Thursday, October 30, 2008

Ceritaku Hari ini...

Sekarang ni dah masuk fasl syitaa' (musim sejuk) di bumi Jordan ni, musim yang menakutkan bagiku. Sejuk kat sini memang hebat la jugak. Kalau tahun lepas cuaca mencecah ke -4 darjah c. Tapi ada jugak bebudak Malaysia yang seronok dengan musim sejuk ni. Katanya boleh main salji, kulit tak terbakar, jadi halus dan mulus...macam-macam. Tapi aku biasa je. tak turun main pun, tengok melalui tingkap je. Aku memikirkan macam mana la orang sini boleh hidup dalam salji, cuacanya pun aku tak tahan. Namun, tetap ku fikirkan keagungan Tuhan yang mampu mencipta apa saja yang Dia kehendaki. Oh..semakin banyak ku berjalan semakin banyak ku kaji kehebatan Tuhan. Terima kasih, Tuhanku.

Hari ini sebelumku turun untuk ke kelas hujan 'datang' lebat sekali. Buntu jugak dibuatnya. Payung pun tak ada. Nak tahan teksi pun hujan lebat sangat. Tahun ni hujan turun awal. Kalau tahun lepas, hujan tak turun lagi bulan Oktober ni. Macam mana ni? Cuaca sejuk ditambahi pulak hujan. Lalu aku pergi tanya jiran sebelah rumahku, orang Mesir, nak mintak payung. Ku sebut 'mizollah' dia tak faham. Kena cakap 'syamsiyyah' baru dia faham. Dua-dua pun betul. Tapi dia pun takde payung gak. Dengan jiranku ni kena banyak cakap 'ammiyyah'. Maklumlah dia belajar sampai tahap persekolahan je.

Ku langkahkan kakiku turun ke bawah nak pergi kelas jugak, sambil memikirkan macam mana nak sampai ke jamiah ni. Tanya kedai sebelah rumah pun tak jual payung. Buntu...tiba-tiba ada hamba Allah menegurku, awak nak apa? Nak payung, nak gi muhadharah, jawabku. Oh..mai saya hantarkan awak. Awak belajar kat Jamiah Urduniyyah kan? Ya, jawabku tersenyum. Leganya, aku boleh pergi jugak akhirnya.

Bila sampai ke jalan utama, terkejut aku...'fayadhan'! Banjir dah melimpah. Jalan penuh sesak, satu jalan ditutup. Alamak...muhadharah dah start dah. Kul 3.30pm dah lepas. Malunya aku nak masuk kelas, mesti sampai lewat ni. Ku terpaksa pusing-pusing ikut jalan alternatif. Pi ikut jalan lain pun 'zahmah' jugak. Bila kenderaan penuh di jalan, mulalah kedengaran bunyi hon. Budaya orang sini memang gitu. Hon tu sentiasa ada di mana-mana. Pong pang pong pang. Tahun lepas aku bengang gak ngan depe ni. Pelik bin ajaib, tak kira masa hon sentiasa ada. Tapi tahun ni dah biasa da, so dok nak tergelak ada la dengan perangai depe. Hamba Allah yang hantar aku pun gitu la, tapi depan aku dia 'cool' skit, sebab aku buat tak reti, lagipun dia tahu budaya orang Malaysia bukan macam diorang.

Kat Jordan ni kira ok la sikit. Ku pernah berada di Mesir bebrapa bulan yang lepas, oh..lain macam. Lagi nak tergelak. Depe 'tak main' lampu-lampu isyarat ni. Lagipun lampu isyarat ada di beberapa tempat je. Aku tanya kawan kat sana, apasal keluar warna merah depe jalan jugak? Kawanku tu jawab selamba je: orang sini tak guna lampu isyarat, pakai hentam je. Tengok boleh jalan go on la. Ya Allah...lawaknya! Satu lagi yang aku terkejut jugak, hari tu naik bas ngan kengkawan nak gi Masjid Azhar, alahai penuhnya...sampai je di satu tempat, sorang pakcik yang dah berusia nak turun bas, bas tak berhenti, dia terus terjun..haah!! biasa je dia, tak pengsan pun. Gitulah kehidupan di sebahagian negara Arab. Lain betul berbanding ngan bumi Malaysia.

Berbalik kepada ceritaku tadi, ku sampai ke jamiah kul 4.15pm. Lalu terus ku solat Asar dulu, sebab kelas akan habis sampai waktu maghrib kul 6pm. Hari ni muhadharah dibuat di ofis Dr. Bila ku ketuk pintu, Dr. terus tanya: kaifa najauti? (macam mana awak terselamat?), al-hamdulillah Dr. dah tau kat Sweileh banjir. Aku senyum lalu ku bagitau semua, tempat saya ada banjir kilat. So, kelewatan dimaafkan la.

Setelah muhadharah tamat, ku bercakap beberapa perkara dengan Dr., kemudian terus melangkah seribu untuk mendapatkan bas agar tak terlepas solat maghribku. Ku nak solat di rumah. Solat di rumahku lebih ku rasa bahagia dan selesa berbanding solat di luar rumah. Biasalah kan, rumah kita lebih bersih, lebih wangi, lebih cantik. Bila sampai di luar jamiah, ku lihat ramainya manusia menunggu bas. Bas-bas dah penuh. Macam mana ni? Solat aku bagaimana? Kalau dok tunggu sini, habislah. Ahh..aku takkan gadaikan solatku hanya kerana menunggu bas. Biarlah aku sampai rumah lewat sikit, asalkan aku lega bila laksanakan perintah Tuhan. Aku tahu ramai orang menggadaikan solatnya kerana menunggu bas, ramai orang menggadaikan solat kerana berada dalam kapal terbang, ramai orang menggadaikan solat kerana cuaca sejuk, ramai orang menggadaikan solat kerana muhadharah. Oh, sedihnya! Ya Allah jadikanlah kami orang-orang yang mendirikan solat.

Lalu ku berpatah balik masuk ke jamiah menuju ke musolla. Oh, Tuhan, sejuknya nak ambik wudhuk!. Kat musolla takder air panas, kat rumahku ada la. Menggigillah aku. Namun ku tahu, Tuhan tetap memerhatikanku. Sentiasa menghisab mujahadah ini. Bila selesai solat terasa lega lagi, sebab Tuhan masih memberi rahmat, memberi hidayah agarku tetap menyambut perintahnya. Ku sentiasa ingat kata-kata Tok Guru: orang yang solat bermakna dia mengikat dirinya seratus peratus dengan Allah Taala. Sungguh..Terima kasihlah Tuhan atas nikmat Iman yang kau berikan. Al-hamdulillah ku dapat sampai ke rumah dengan selamat. Airmata berguguran mengingatkan hidup ini perlu dengan mujahadah. Dengan mujahadah kita akan dinaikkan pangkat oleh Allah. Pangkat yang tak ternilai harganya. Moga-moga kita tergolong dalam golongan orang-orang muttaqin. aamin...


Rabu, 29 Oktober 2008
10.21 pm


Wednesday, October 29, 2008

Tuesday, October 28, 2008

Banggalah Menjadi Pejuang Bahasa Arab!

Baru-baru ini ketika saya bercuti di Malaysia, saya banyak menghabiskan masa bersama warga UIAM, bumi yang bertuah dalam hidup saya. Walaupun kebanyakan orang balik bercuti bersama keluarga tersayang, atau di tempat-tempat peranginan yang menyeronokkan, namun bagi saya 'Garden of Knowledge and Virtue' itulah hala tuju saya.

Dalam masa bersama anak-anak di sana yang juga merupakan sahabat-sahabat seperjuangan, ramai yang memaklumkan kepada saya bahawa sebahagian pelajar pengkhususan Bahasa Arab telah berpaling tadah, meninggalkan Bahasa Arab dan menukar jurusan mereka ke medan pendidikan dan lain-lain. Saya salah seorang pejuang bahasa tersebut berasa sayu dengan keadaan sedemikian. Ini kerana kuota kemasukan pelajar-pelajar ke dalam bidang Bahasa Arab bagi sesebuah universiti amatlah terhad, ditambahi pula dengan penghijrahan sebahagian mereka ke bidang lain, makinlah mengurangkan bilangan mereka. Namun setiap orang ada pendirian masing-masing.


Saya tidak ada hak untuk menghalang pendirian seseorang asalkan ia tidak bercanggah dengan garisan Islam. Bahkan setiap ilmu yang dipelajari adalah ilmu Allah, yang mana masing-masing ada manfaatnya yang tersendiri.

Saya bertanya kepada beberapa pelajar sebab-sebab yang menjadikan mereka meninggalkan pengajian Bahasa Arab. Secara kesimpulannya kerana faktor-faktor berikut:

1) pasaran kurang mahukan Bahasa Arab, oleh itu peluang pekerjaan susah
2) pengkhususan pendidikan meyediakan peluang pekerjaan yang luas berbanding pengkhususan Bahasa Arab

3) pengkhususan pendidikan akan mendapat gaji yang lumayan berbanding Bahasa Arab.
4) pengkhususan pendidikan boleh mengajar di mana-mana sahaja samada di sekolah atau di universiti, manakala bidang Bahasa Arab hanya terhad di universiti sahaja.
5) Bahasa Arab amat susah untuk dipelajari berbanding pendidikan yang majoriti subjek-subjeknya dalam Bahasa Inggeris dan minoritinya dalam Bahasa Arab.

Ada betulnya juga apa yang dikatakan itu, namun tak semuanya betul. Bila saya bertanya kembali adakah anda pasti anda akan mudah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian nanti? Adakah anda pasti anda akan mendapat gaji yang lumayan berbanding pelajar Bahasa Arab? Adakah anda pasti jurusan Bahasa Arab hanya terhad di universiti sahaja? Mereka tersenyap dengan lontaran soalan-soalan tersebut.

Bagi mereka yang cintakan bahasa yang agung ini tidak sesekali meninggalkannya di belakang, bahkan akan berjuang bersungguh-sungguh untuk memperolehi ilmu kerana Allah. Mantapkan diri dengan ilmu Bahasa Arab, perkasakan diri dengan komunikasi dalam Bahasa Arab, dapatkan natijah yang baik dalam peperiksaaan, insya Allah pekerjaan dan perkara-perkara lain akan dipermudahkan.

Pengalaman saya dalam mempelajari Bahasa Arab bersama kawan-kawan yang lain, walaupun bahasa tersebut diakui susah, namun dengan adanya semangat yang berkobar-kobar untuk menguasai sesuatu, kesusahan itu dilimpahi kesenangan. Kemanisan amat dirasai setelah dianugerahi Tuhan jalan-jalan mudah untuk menerokainya. Kemanisan juga akan dirasai oleh mereka yang mempunyai cinta yang membara. Kerana cinta setia pasti ada, kerana cinta pengorbanan tetap bersama, kerana cinta sayang kan datang jua.

Kepada mereka yang setia dengan pengajian Bahasa Arab, dulu, kini dan selamanya, saya ucapkan syabas! Banggalah menjadi pejuang Bahasa Arab. Jangan lepaskan peluang anda untuk menguasai Bahasa Arab yang mulia ini dengan merujuk pakar-pakar di bumi anda itu. Sebelum noktah terakhir anda berada di situ, kejarlah semaksima mungkin ilmu yang hebat ini.

Bukankah al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab yang mampu mengalahkan ahli-ahli sastera Arab?! Kajilah al-Quran dari sudut bahasa dan uslub-uslubnya yang mungkin menjadikan anda setia bersamanya. Bukankah Bahasa Arab itu bahasa Nabi kita saw? Tak berbanggakah anda bila dapat berkomunikasi dalam bahasa Nabi kita? Bukankah Bahasa Arab (yang mereka tinggalkan itu) bahasa yang tepu dengan kalimah-kalimah yang tinggi? Bukankah ilmu-ilmu dalam al-Quran itu memerlukan kemantapan dalam Bahasa Arab untuk menerokainya?

Fikirlah sedalam-dalamnya! Genggamlah ilmu Bahasa Arab ini dengan sekuat-kuatnya. Moga-moga anda memperolehi rahmat Allah dalam perjuangan ini.


28 Oktober 2008




Sunday, October 26, 2008

Linangan Airmata Buatnya


Linangan airmataku

Bila mengingati insan sepertinya

Insan yang tak pernah ku bersua muka

Insan yang tak pernah ku gelak tawa

Namun tetap sentiasa di jiwa

untuk
selama-lamanya

Linangan airmata buatnya

Bukan kerana sedih

Bukan kerana duka

Bukan kerana hiba

Bahkan kerana cinta

Cinta yang membara

pada insan yang bergelar hamba

yang sentiasa melutut pada yang Maha Esa


Ku cintakannya bukan kerana batang tubuhnya
Bukan kerana pangkatnya
Bukan kerana ketampanannya
Bukan kerana hartanya
Namun...demi Allah
akhlaknya yang terpuji lagi tinggi
menyentuh hati tersemat di sanubari

Ku kenalinya insan pejuang
Belum pun cecah usia belasan
Insan sederhana dihiasi senyuman
Lembut tetapi tegas
dalam menegakkan kalimah Tuhan
menyambung perjuangan Nabi akhir zaman

Wasiat dan nasihatnya tetap kan ku pahat
Tazkirah serta khutbah pasti kan ku ingat
Sebagai modal untukku bergiat
mengharungi dunia yang penuh maksiat
cabaran, dugaan dan cubaan
yang tak henti-henti datang melayang

Oh Tuhan...Ku harapkan padaMu
akan ada insan di masa kan datang
Yang mampu merempuh dunia fana
Yang sanggup merentasi lautan bergelora
Yang berupaya merealisasi Islam hendaknya
Yang mungkin menjadikan aku
berlinangan airmata untuk musim kedua

Oh Tuhan...Doaku padamu
Kurniakan aku hidup yang berkat
Hidup yang penuh dengan rahmat
Moga-moga kan ku dapat
bersatu, berjiran bersamanya di akhirat


Siti Hasliza Mat Yusoff
26 Oktober 2008




Cukuplah...


26 Oktober 2008



Saturday, October 25, 2008

Friday, October 24, 2008

Fikrah Pemimpin Bijak

Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra
Rantau Panjang, Ke
lantan




Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra ini dibina di tepi jalan utama menuju ke Pekan Rantau Panjang berdekatan dengan kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang, Kelantan. Masjid ini dirasmikan oleh YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, yang juga merupakan ilham beliau sendiri dalam pembinaanya.

Masjid yang dibina berasaskan seni budaya cina ini begitu unik dan mengagumkan saya sebagai seorang muslimah yang melihat Islam sebagai agama antarabangsa ('aalamiyyah). Masjid ini juga diurus sepenuhnya oleh kaum cina muslim dari imam-imamnya hinggalah ke ajk-ajknya.

Apa yang membuatkan saya terfikir ialah, Tok Guru Nik Aziz merupakan pemimpin yang bijak, yang mampu menghapuskan budaya berbangga pada mana-mana bangsa, bahkan Islam yang perlu dibanggakan. Satu fikrah yang dicetuskan oleh beliau dalam pembinaan masjid ini ialah untuk menyatakan bahawa Islam untuk semua bangsa yang diturunkan oleh Allah pencipta alam ini. Tok Guru menyatakan pembinaan masjid sedemikian rupa dalam ceramah Eidilfitri di Kubang Kerian, Kelantan baru-baru ini bertujuan supaya masyarakat sekeliling terutama masyarakat cina berasa bahawa Islam bukan hanya agama orang Melayu sahaja. Bahkan untuk mereka juga.


Gambar-gambar dan sedikit maklumat dari:



Awasi Aurat Anda!

Beberapa hari yang lepas, saya mendapat artikel dari seorang wanita yang tidak dikenali melalui YM. Entah macam mana diperolehinya alamat YM saya itu. Al-maklumlah dunia sekarang semakin sempit. Diberitahu namanya Tasha dan umurnya 17 tahun.

Terkejut saya dengan artikel tersebut serta perasaan malu pada diri sendiri apabila membaca coretan peribadinya yang berbangga dengan penzinaan yang dilakukan bersama bapanya ketika berumur 15 tahun. A'uzubillah. Terfikir saya pada permulaannya mungkin dia akan menyatakan kesedihan dengan kelakuan bapanya yang terkutuk itu, namun sebaliknya, bahkan disebarkan pula artikel kepada orang ramai menyatakan keseronokannya itu.

Itulah perbuatan manusia yang mempunyai akal, tetapi mengenepikan agama, tarafnya lebih rendah dari binatang. Namun saya tidak tahu apa agamanya, cuma namanya dan bapanya ber'ala' melayu.

Berkemungkinan besar kehidupannya tidak dilitupi dengan pengetahuan agama yang menjadi asas dan benteng pada diri kita menyebabkan dia tidak berasa bersalah dan berdosa dengan Allah swt. Seks haram itu terjadi disebabkan pemakaian baju renang yang nipis yang boleh meghairahkan mereka yang melihatnya. Walaupun di depannya lelaki yang mahram iaitu bapanya sendiri, namun aurat tetap perlu diawasi. Tambahan pula kehidupan di zaman moden ini, maksiat berleluasa, boleh dilihat di merata-rata tempat. Manusia longgar dengan pegangan agamanya, maka lebih baiklah kita berwaspada dengan menutup aurat sebaik yang mungkin.

Wanita ialah makhluk yang cantik yang dicipta oleh Allah. Namun, bukanlah kecantikan itu untuk dijadikan barang dagangan, boleh dipertontonkan kepada semua orang tanpa ada batas-batasnya. Kadang-kadang dengan suaranya yang lembut dan merdu boleh menjadi 'fitnah' kepada sang lelaki, apatah lagi dengan kecantikan yang ada pada dirinya.

Berkenaan dengan had-had dalam menutup aurat boleh dirujuk dalam tafsir-tafsir al-Quran, hadis-hadis atau kitab-kitab Fiqh yang diiktiraf. Di sana kita akan dapati banyak dalil-dalil serta pandangan-pandangan ulama berkenaan dengan aurat yang memuaskan hati kita. Saya tidak bercadang untuk membahaskan tentang hudud aurat di sini, namun saya bersedia untuk berkongsi maklumat jika didapati ada kemusykilan dalam hal ini.

Satu perkara yang saya nak tekankan di sini ialah bahawa menutup aurat ini merupakan suatu kewajipan yang tidak ada pertikaian di kalangan ulama kecuali sebahagian kecil anggota yang menjadi 'khilaf' bagi mereka. Perlu diingat bahawa kewajipan menutup aurat tersebut bukanlah dikira samada kita berada di rumah atau di luar rumah sebagaimana yang difikirkan oleh kebanyakan masyarakat kini, bahkan ia perlu dilihat samada kita berada di depan ajnabi (bukan mahram) atau bersama mereka yang bukan ajnabi (mahram).

Sekalipun berada di rumah bersama keluarga dan sanak saudara, kita sebagai wanita yang beragama Islam perlu sedar siapakah mereka yang bersama kita? Jika di sana adanya ipar duai, para sepupu atau mereka-mereka yang bukan mahram, maka wajib kita bersegera dan bertindak mengawasi aurat kita.

Pernah kita dengari, rata-rata masyarakat menyatakan bahawa mereka yang menutup aurat dan mengawasinya juga terjebak dalam seks haram, dirogol dan diperkosa. Oleh itu, menutup aurat atau tidak, sama sahaja pada pandangan mereka. Memang saya tidak nafikan bahawa perkara itu berlaku dalam dunia hari ini, namun perlu kita ketahui bahawa menutup aurat merupakan satu perintah Allah yang wajib dilaksanakan. Ia merupakan satu benteng atau prisai untuk mengelakkan diri dari berlakunya anasir-anasir yang tidak sihat dan sekaligus boleh mengurangkan berlakunya perkara-perkara tersebut.

Oleh itu, hendaklah kita sedar bahawa menutup aurat adalah perkara penting yang mempunyai hikmah yang besar. Moga-moga kita mendapat taufiq dan rahmat dari Allah swt.

24 Oktober 2008



Cadangan Bernas Untuk Wanita

Artikel di bawah ini diambil dari sumber: drmaza.com
y
ang bertajuk 'Utamakan Pasangan Yang Tidak Merokok', yang mana saya kira ia merupakan cadangan yang bernas dari penulis untuk wanita kini.

Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin mencadangkan agar wanita yang ingin berkahwin mengutamakan pasangan yang tidak merokok.

Ini berdasarkan Islam menyuruh agar memilih pasangan yang mempunyai pegangan agama dan akhlak yang baik, sementara merokok merupakan unsur yang mencacatkan.

Ini atas beberapa alasan;

1) Perokok sentiasa melakukan perkara yang ditegah oleh agama iaitu merosakkan diri. Majoriti para ulama zaman ini mengharamkan rokok

2) Perokok bukan sahaja membahayakan diri, tetapi juga keluarga; isteri dan anak-anak yang akan terhidu asap beracun rokok. Sepatutnya ibubapa melindungi anak dan keluarga, bukan membahayakan mereka.

3) Ramai perokok yang tidak menjaga kebersihan. Bahkan rokok itu sendiri mengotorkan diri. Di samping betapa banyak tandas dan kemudahan awam lain rosak atau cacat disebabkan kesan rokok yang dihisap oleh penggunanya. Ciri yang seperti ini kurang baik bagi seseorang bapa atau ibu yang akan mengepalai keluarga dan rumahtangga.

4) Rokok adalah pembaziran. Ramai perokok yang ketagihan sanggup utamakan membeli rokok daripada pemintaan keluarga atau keperluan keluarga yang lain. Mereka berkira untuk perkara-perkara yang baik atau perlu, tetapi lupa diri atau ringan tangan untuk membeli sekotak rokok yang sentiasa meningkat harganya.

5) Merokok adalah contoh yang tidak baik untuk anak-anak. Maka perokok mencacatkan ciri-ciri keibubapaan. Justeru, ramai anak perokok turut merokok samada setelah dewasa atau sebelum cukup dewasa.

Atas alasan-alasan ini dan selainnya, maka saya menasihati umat Islam dan kaum wanita khususnya, menjadikan ‘merokok’ adalah salah satu ciri yang mencacatkan pemilihan dalam menentukan pasangan masing-masing.


24 Oktober 2008




Thursday, October 23, 2008

Senyum Kambing

Hari ini, Khamis, 23 Oktober 2008, saya ada membaca artikel mela lui akhbar Berita Harian tentang kekalutan politik yang berlaku dalam tanahair. Tersenyum saya dibuatnya.

Tajuk: Kenyataan sinis Rais hina Umno: Shahidan

KANGAR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan cadangan sinis Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya jawatan tertinggi parti dipertandingkan secara tender satu penghinaan kepada Umno.

Katanya, kenyataan Rais itu memalukan Umno apatah lagi dengan statusnya parti keramat yang mendokong dan memperjuangkan hak orang Melayu.

Sebagai tindak balas terhadap kenyataan itu, Shahidan secara sinis mencadangkan pencalonan Rais ditender RM1.

"Kita tahu beliau (Rais) ahli bahasa dan kenyataan sedemikian bukan perkara baru bagi beliau. Beliau sebelum ini pernah menggelar kumpulan mat rempit sebagai mat setan.

"Justeru, sebelum beliau ambil tindakan untuk tender Umno, saya cadangkan Rais sendiri ditender dan saya akan mulakan tender beliau dengan RM1. Jika beliau mahu tender parti juga, lebih baik beliau tender Semangat 46 yang beliau sertai dulu.

"Sebagai seorang menteri, Rais tidak patut membiarkan emosi dan rasa marah menguasai diri, sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian.," katanya di sini, semalam.


Wednesday, October 22, 2008

Detik-Detik Terakhir Dalam Syawwal


Sedar tak sedar kita dah berada di penghujung bulan Syawwal. Cepatnya masa berlalu. Hari ini 22 Syawwal 1429H di bumi Malaysia, dan 23 Syawwal 1429H di bumi Syam ini. Hatiku semakin bimbang memikirkan adakah hari ini lebih baik dari hari semalam? Adakah tamrin Ramadhan yang lalu dapat dipraktikkan untuk sekian lamanya? adakah Tuan Empunya alam ini semakin suka dengan tindak-tandukku?

Syawwal masih lagi berbaki. Bagi mereka yang telah menyempurnakan puasa sunat Syawwal diucapkan syabas! Moga Allah memberikan ganjaran yang sebanyak-banyaknya. Bagi mereka yang belum memulakan lagi atau belum menyempurnakan lagi puasa tersebut, teruskanlah! bulan Syawwal masih ada.

Marilah sama-sama kita menyahut sabda Nabi saw yang menyatakan bahawa sesiapa berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawwal, maka dia dikira berpuasa sepanjang tahun.



Tuesday, October 21, 2008

Pengumuman

Salam semua,

Saya ditugaskan untuk membuat kajian tentang
"al-jihad fi al-Quran al-karim"

Sesiapa yang berminat untuk membantu saya dalam kajian ini boleh menghubungi saya di alamat e-mel: cthasliza@yahoo.com

Saudara/ saudari boleh membantu saya memberikan maklumat-maklumat berkenaan topik tersebut samada dalam Bahasa Melayu/ Bahasa Arab/ Bahasa Inggeris


Sumber-sumber atau rujukan-rujukan samada:

- melalui laman web
- buku-buku/ tafsir-tafsir/ hadis-hadis beserta nama penulis-penulisnya
- apa-apa artikel beserta nama penulisnya-penulisnya
- video-video yang berkaitan serta nama penceramahnya


Topik-topik merangkumi:

makna jihad, skop-skopnya,
peranan dan kepentingannya dalam Islam,
ayat-ayat al-Quran atau hadis-hadis yang menyokong tentang jihad,
I'jaz bayani dan tasyri'i dalam ayat-ayat jihad


Segala kerjasama yang diberikan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.



Selamat Ulang Tahun ke18 -Kerajaan Islam Kelantan-


Hari ini 21 Oktober 2008, genap 18 tahun Kerajaan Islam Kelantan di bawah kepimpinan ulama yang diterajui oleh YAB Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berslogankan 'Membangun Bersama Islam'.

Di sini saya nak ucapkan:

"Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-18"

kepada:

Kerajaan Islam Kelantan
Semua rakyat Kelantan yang berjuang untuk Islam

TAHNIAH!



Sunday, October 19, 2008

Gud Luck 4 Ur Exam


Kepada penghuni bumi UIAM;

sahabat-sahabat yang di kasihi,
anak-anak yang disayangi
ikhwah dan akhawat seperjuangan

saya ucapkan:

Selamat menempuhi peperiksaan akhir semester
Good Luck For Your Exam
Bittaufiq Wannajah


Saturday, October 18, 2008

Cinta Manusia Bermusim

Bercakap tentang cinta adalah suatu perkara yang menyeronokkan bagi kebanyakan insan, namun di sebalik keseronokan itu ada kepedihan yang melanda bagi sesetengah pihak. Aku pernah didatangi beberapa insan yang meluahkan isi hatinya tentang percintaan sebelum perkahwinan atau selepasnya. Mereka bukanlah bercinta sebagaimana takrif cinta yang dibuat oleh muda-mudi hari ini, yang bebas dalam pergaulan mereka, keluar sana-sini, 'bergayut' tanpa ada batasan dan sebagainya, seolah-olah mereka seperti pasangan suami isteri.

Kisah yang ku nak paparkan di sini memang berlaku di depan mataku. Lelaki dan wanita ini telah mengikat janji dengan kata-kata untuk melangsungkan perkahwinan setelah tamat pengajiannya nanti. Dengan asas pendidikan agama yang mereka ada, mereka tidak melakukan perkara-perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam. Akhirnya si wanita meminta agar pihak lelaki berjumpa dengan ahli keluarganya untuk menyatakan hasrat perkahwinan mereka.

Setelah kunjungan pihak lelaki ke rumah wanita, keluarga meraka bersungguh-sungguh berpakat untuk mengikat hubungan mereka berdua ke jinjang pelamin.
Hari demi hari kehidupan mereka sangat baik sekali. Kadang-kadang si wanita ini menerima hadiah yang begitu berharga dari seorang lelaki yang bakal menjadi suaminya. Ku selalu diminta untuk mendengar kisah kehidupannya itu. Ku sentiasa ucapkan kebahagiaan yang akan menjelma nanti. Namun, ku sangkakan panas berpanjangan, akhirnya hujan tetap turun jua.

Ku terus dikunjungi wanita ini memberitahu keadaan dirinya yang sudah tiada hubungan dengan lelaki itu. Lelaki itu telah membatalkan niatnya untuk berkahwin. Katanya kerana mempunyai masalah dalam 'bisnes'nya. Kesedihan pada diri wanita itu tidak dapat digambarkan. Dia tetap setia dengan lelaki itu dan sanggup menunggu sehingga 'bisnes'nya pulih kembali. Namun hati lelaki itu 'kosong', tidak mempunyai perasaan belas kasihan, tetap dengan pendiriannya untuk meninggalkan wanita itu kerana masalah peribadinya. Macam sebuah patung yang tiada nyawa dibuatnya. Sungguh..cinta manusia bermusim.


Satu lagi sebuah kehidupan keluarga yang amat menyentuh perasaanku. Namun, disebabkan banyak luahan yang ku terima dari insan-insan sekeliling menyebabkan hilangnya kejutan pada diri. Dah biasa dengan isu-isu wanita kini. Ku didatangi insan dengan linangan air mata untuk berkongsi pengalaman hidupnya.

Perkahwinan dengan seorang lelaki yang dianggap baik baginya, namun akhir-akhir ini hidupnya dengan 'makan hati berulam jantung'. Dia sebagai isteri yang kedua kepada seorang lelaki, mengimpikan sebuah keluarga contoh dalam kehidupan poligami. Sebelum perkahwinan dilangsungkan dia ada meminta pandangan dari kawan-kawan tentang perkahwinan itu. Mereka memberikan respon agar cuba menolak lamaran lelaki itu, namun cinta punya pasal, tersangkut jua padanya yang akhirnya membawa kepada ijab qabul walaupun sebahagian sanak saudaranya sahaja yang tahu dan hadir pada majlis walimah tersebut. Terfikir juga di benakku bahawa nak jadi isteri kedua ni kena sembunyikan dulu ke?

Apapun al-hamdulillah, mereka dah jadi pasangan yang sah. Rindu-rindu dan cinta-cinta pun dilangsaikan dengan cara yang halal. Namun, beberapa bulan kemudian, cinta dan rindu itu tidak tahan lama. Hangat-hangat tahi ayam saja. Bila isteri pertama menguasai segala-galanya, isteri kedua terpaksa mengalah. Yang aku peliknya, suami tak dapat berkata apa-apa. Bahkan ikut saja telunjuk isteri pertama. Yang ku rasa kasihan pula pada wanita ini, suami bersikap kurang bertanggungjawab terhadapnya. Semua kerja perlu diselesaikan sendiri, tak kiralah kerja dalaman atau luaran rumah, tetapi suami tetap menyatakan 'abang cinta sayang'. Untuk isteri pertama bukan setakat kata-kata yang manis, bahkan dilaksanakan tanggungjawabnya dan dikotakan segala janji-janji. Alahai..cintanya dia pada isteri pertama.

Teringat aku kepada bait Imriil Qais, penyair terkenal di zaman jahiliah. Katanya:

نقل فؤادك حيث شئت من الهوى * فما الحب إلا للحبيب الأول

yang bermaksud: Pindahkanlah hati-hati kamu kepada sesiapa yang kamu inginkan (cintakan), namun, tidak ada cinta melainkan cinta kepada kekasih yang pertama.

Tak tahulah setakat mana betulnya pandangan penyair tersebut. Itulah kisah ringkas yang dapat ku simpulkan bahawa cinta manusia, sayang manusia itu bermusim. Dalam nasyid pun ada menyatakan "kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi, kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjinya pasti". Oh, indahnya berkasih dengan Tuhan!

Akhirnya, walaupun coretan ini menceritakan tentang secebis kesedihan dalam kehidupan, namun ia adalah sebagai pengajaran buat semua, iktibar dari peristiwa yang lalu agar kita selalu berwaspada, berfikir sebelum bertindak, dan bersedia dengan cabaran yang bakal dilalui. Tidak dinafikan ramai juga yang memperolehi cinta sejati, cinta kerana Allah, cinta suami isteri yang berasaskan kepada iman, cinta yang membawa ke syurga, cinta di dunia yang membawa mereka cinta yang kekal di akhirat. Bersabarlah dengan segala ujian yang tidak kenal erti usia, masa dan tempat...langit tidak selalunya cerah, awan tidak selalunya mendung.




Wednesday, October 15, 2008

Respon Kepada Artikel: Ada PhD, Tapi Tak Faham-faham Perjuangan Islam

Tulisan seorang penulis yang diberi nama yaasin yang bertajuk "Ada PhD, tapi tak faham-faham perjuangan Islam" dalam laman web Tranungkite.net yang dilulus terbit pada Selasa, 14 Oktober 2008 yang lalu ada betulnya, namun perlu diperkemaskan isi kandungannya agar tidak menjadi keliru kepada para pembaca. Saya seorang pelajar yang suka menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi berasa terpanggil untuk memberikan respon terhadap penulisan tersebut.

Beliau menyatakan:

"Mereka yang rajin berada di menara gading -duduk di situ sahaja, jemaah tak ikut, program Islam tak kisah, gerakan Islam tak masuk, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan serta isu-isu semasa tidak dihiraukan sangat adalah golongan yang paling cepat boleh menyelesaikan tesis PhDnya.

Dalam PAS ada yang bersemangat menulis tesis PhD. Tanyalah kepada aktivis-aktivis kita. Ilmu mereka bukan sebarang, tetapi kekadang dengan sebab komitmen dengan jemaah dan permainan politik IPT, mereka terpaksa melupakan untuk menyelesaikan tesis PhD mereka."

Pertamanya, saya nak nyatakan bahawa menyambung pelajaran ke peringkat Master atau PhD merupakan satu wasilah atau cara untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Ini kerana dengan adanya sistem peperiksaan atau semester-semester yang dihadkan untuk menyelesaikan sesuatu pengajian menyebabkan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan maklumat-maklumat demi kejayaan yang diimpikan. Sebenarnya tidak semua orang mampu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak semua orang mempunyai kehendak atau kekuatan serta kesabaran dalam pengajian mereka.

Keduanya, penulis ada menyebut bahawa mereka yang rajin berada di menara gading, tidak menghiraukan aktiviti-aktiviti Islam, atau mungkin kita katakan program dakwah Islamiah adalah golongan yang paling cepat boleh menyelesaikan tesis PhD mereka. Sebenarnya pandangan tersebut kurang tepat untuk dijadikan fakta. Ini kerana ramai di kalangan kita yang mengambil Master atau PhD dan tidak mengikuti mana-mana program dakwah, namun kerana sibuk dengan urusan keluarga, sibuk dengan mengejar 'fulus', projek itu dan projek ini demi kepentingan diri, atau kerana tidak pandai menguruskan masa dengan sebaik mungkin, walaupun tidak mempunyai tanggungjawab yang lain, akhirnya Master atau PhD mereka terbengkalai begitu saja. Ini bukan satu perkara yang menghairankan, bahkan ianya memang berlaku dalam masyarakat pelajar kita hari ini.

Ketiganya, penulis perlu ingat bahawa dakwah Islamiyah bukan hanya menyertai program-program Islam yang dianjurkan oleh mana-mana pihak semata-mata, atau memasuki jamaah-jamaah Islam IPT sahaja, bahkan dakwah Islamiyah itu luas yang perlu dihidupkan oleh setiap individu di mana sahaja mereka berada. Ini kerana seorang muslim itu daa'i (pendakwah). Sebagai contoh bila kita makan bersama kawan-kawan dalam satu 'dorm' atau 'room mate', jangan lupa sampaikan Islam, jadikan ia sebagai 'usrah' harian, begitu juga ketika berdiskusi atau berbincang tentang subjek-subjek yang dipelajari, selitkan juga isu politik Islam, kerajaan Islam, mu'amalah Islam, hukum ikhtilat dan sebagainya. Jadikan kita sebagai tempat rujuk untuk mencipta idea-idea bernas untuk menghidupkan program Islam. Jadikan 'bilik' kita sebagai tempat untuk berbincang tentang kehidupan Islam. Laksanakan solat jamaah bersama kawan-kawan dalam satu 'dorm', ajak mereka membaca al-Quran, tunjukkan pakaian yang dibenarkan dalam Islam, rapatkan diri dengan mereka yang kurang pendidikan agama dengan tujuan untuk mengajak mereka ke arah kebenaran dan sebagainya.

Perlu diingat bahawa kekadang kesibukan kita dengan program-program jamaah IPT, kawan-kawan dalam satu 'dorm' di universiti kita tak solat. Ada pula yang tidak tahu membaca al-Quran, ada yang pakai 'short pan', menutup aurat tidak sempurna, ber'dating', ada pakwe dan makwe, merokok dan sebagainya. Walaupun saya tidak nafikan bahawa program-program Islam yang dianjurkan oleh jamaah merupakan satu cara untuk menghidupkan agenda Islam di universiti.

Penulis juga ada menyatakan bahawa aktivis-aktivis PAS ada yang bersemagat untuk menulis tesis PhD, namun disebabkan komitmen kepada jamaah dan permainan politik IPT, mereka terpaksa melupakan pengajian mereka itu. Memang saya tak nafikan semua orang sibuk, lebih-lebih lagi bila kita memegang sesuatu jawatan dalam organisasi, namun, nak seribu daya, seribu cara yang difikirkan untuk memperolehi perkara yang diimpikan. Saya boleh katakan sedemikian kerana ramai di kalangan aktivis-aktivis PAS mampu menulis apa-apa penulisan dalam blog masing-masing yang tak kurang hebatnya. Mampu merujuk kitab-kitab yang muktabar, mampu menggunakan masa untuk menyebarkan idea-idea yang baik. Tapi kenapa tidak mampu untuk mengumpulkan maklumat demi menyiapkan tesis PhD?! Apa kata kalau mereka cuba kumpulkan fikrah-fikrah mengenai politik Islam yang disebarkan dalam blog, kemudian berusaha untuk mengembangkan fikrah-fikrah tersebut dalam bentuk tesis PhD, alangkah baiknya jika mereka berbuat sedemikian.

Tidak kurang juga ramai di kalangan mereka mampu memberikan ceramah agama sehingga 5 atau 6 ceramah dalam satu hari, namun mereka tidak mampu untuk memperuntukkan masa demi menyiapkan tesis Master atau PhD yang juga merupakan satu cara untuk kita memperolehi ilmu pengetahuan dan menyebarkannya kepada pembaca-pembaca lain.

Saudara penulis juga perlu faham bahawa Islam tidak menegah seseorang itu berusaha untuk memperolehi apa-apa pangkat atau sesuatu jawatan, seperti Dr., Prof. Madya, Prof. dan sebagainya asalkan matlamat dan tindakan kita tidak tersasar dari garisan Islam. Memang betul ramai yang mendapat pangkat Dr. dengan cara yang salah di sisi Islam sebagaimana yang disebutkan oleh penulis itu, namun ramai juga yang mendapat pangkat sedemikian dengan cara yang halal di sisi Islam.

Saya tahu walaupun sebenarnya penulis tersebut ingin menujukan artikelnya kepada segelintir pihak yang salah menggunakan 'title' PhDnya yang masih tidak faham tentang perjuangan Islam, namun disebabkan artikelnya yang pendek dan bersifat umum, berkemungkinan besar boleh mengelirukan pembaca dalam menilainya.

Kita juga mempunyai ramai pejuang yang ber'title'kan Dr., yang mampu mempertahankan Islam dan perjuangannya hatta dalam PAS sendiri pun tak kurang ramainya aktivis-aktivis yang berpangkat Dr. Sebagai contoh S.S. Dr. MAZA yang berkelulusan PhD dalam bidang hadis, graduan UIAM, beliau mampu menyatakan kebenaran Islam, walaupun banyak kenyataannya menetang kerajaan yang ada pada hari ini. Hakikatnya mereka yang ada PhD, namun tidak mahu faham tentang Islam ialah golongan mereka yang menjadikan dunia sebagai matlamat dan tidak mempunyai pandangan yang jauh untuk mengharungi alam akhirat yang bakal menanti kita semua.

Akhir kalam, kepada mereka yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, teruskan perjuangan anda. Jangan jadikan diri sebagaimana segelintir manusia yang meletakkan dunia di hati mereka. Ingat ISLAM matlamat kita!




Tuesday, October 14, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (11)

Haji Awang Lambor
(1900- 1963)

Salah seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada pertengahan abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Haji Mohd Saleh Pedada, Haji Yaakub Kelong, Haji Daud Geting dan Haji Pak Man Berangan.

Nama sebenar tokoh ulama yang dilahirkan di Kg. Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah bin Haji Omar. Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul Rahman -lepasan pondok di Patani- ialah seorang khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik kepada Haji Yusoff bin Haji Abdul Rahman, Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir Mas. Datuknya, Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kota Bharu Reman adalah Imam perintis di surau mukim Jal Kecik.

Beliau sendiri bersepupu dengan Hajjah Zainab bt. Haji Yusoff yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Mohd Zain Meranti, guru awalnya. Seorang sepupunya lagi ialah Haji Ahmad bin Haji Yusoff, Imam mukim Meranti yang meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga bertalian dua pupu dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah, Bunut Susu (meninggal 2 Ogos 1931).

Manakala Pak Chu Haji Mat Saman bin Haji Abu, guru al-Quran ternama di kawasan Lambor/ Kubang Batang sebelum Bah Air Merah (1926) itu pula ialah abang iparnya.

Kerana latar belakang keluarga yang sedemikian maka tidak hairanlah jika beliau sudah mula terdedah kepada pengajian asas agama sejak kecil lagi.

Selepas menuntut beberapa ketika dengan Tok Kenali dan Tok Selehong, beliau pergi menamat di Kota Mekah selama 9 tahun lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggora, Tok Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ali Patani dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Nik Dir Patani.

Pada 1934, pulang ke Kelantan lalu mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah (pengasas Pondok Tasat di Legor, Thailand), Haji Wan Mat Wan Saleh (pendiri Pondok Paya Ular di Bunut Susu), Haji Mohd Nor Haji Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su Che Wil Haji Abdul Rahman (Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam Bunut Susu), Haji Yaakub Awang, Kg. Jelutong, Gunong, Bachok dan Haji Che Wil Abdul Latif, Kg Meranti Besar.

Tuan Guru Haji Awang Lambor pulang ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu, 27 Zulkaedah 1382 bertepatan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu.


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan

dan disusun oleh Ismail Che Daud.



Monday, October 13, 2008

Ku Cintakan Mereka


Ku cintakan orang-orang yang soleh
Namun, aku bukanlah sebahagian dari mereka


Ku cintakan orang-orang yang berilmu
Namun, kerdilnya aku untuk bersama mereka


Ku cintakan orang-orang yang wara'
Namun, aku bukanlah orang yang layak untuk mereka


Ku cintakan para pejuang Islam
Namun, jauhnya aku untuk mendampingi mereka


Ku cintakan orang-orang yang bertahajjud di malam hari
Namun, apakah aku jua di kalangan mereka yang bertahajjud?


Ku cintakan orang-orang yang rindukan Rasulullah
Namun, siapalah aku untuk mendekati mereka


Ku cintakan orang-orang yang menghafaz al-Quran
Namun, mampukah aku menjadi sebahagian dari mereka?


Ku cintakan orang-orang yang cintakan akhirat
Namun, hinanya aku bila berdepan dengan mereka


Ku cintakan mereka yang cintakan diriMu wahai Tuhan
Namun, layakkah aku untuk digelar hambaMu yang beriman


Ku cintakan mereka!
Ku cintakan mereka sekalian!




Sunday, October 12, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (10)


Haji Daud Bukit Abal
(1903- 1976)

Syeikh tarekat Ahamadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa/ Sidi Muhammad al-Azhari/ Syeikh Mohd. Said Linggi. Adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat/ Gong Kemudu.

Nama penuh ahli sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Lahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya, Wan Halimah bt. Haji Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.

Antara guru-guru awalnya: Haji Awang Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib, Yaakub Legor dan Maulana Tok Khurasan.

Di kota Makkah pula, antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan Syeikh Omar Hamdan, Syeikh Mohd Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Mohd Syafie Kedah (Tok Shafie). Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan tarekat Ahmadiyah (termasuk ilmu ihsanuddin) kepadanya.

Setelah kembali dari Makkah pada awal 1941, beliau berkebun sambil mengajar agama di beberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula sekolah pondok peninggalan bapa mertuanya, Haji Awang Limbat.

Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan -mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu Usuluddin, furu'uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengamalan zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1956); dan pada peringkat awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.

Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul dua petang Ahad, 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976.

Warisan ilmunya kini disebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu), Ustaz Wan Hasan Muhammad Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs. Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam).


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan

dan disusun oleh Ismail Che Daud



Saturday, October 11, 2008

Teruskan Perjuangan Ulama'



Friday, October 10, 2008

Mutiara Kata

الأفعال أبلغ من الأقوال

Actions speak louder than words


أول الحزم المشورة
The first step to take action is to consult


سر النجاح على الدوام هو أن تسير إلى الأمام
The secret to success is to walk forward


يد واحدة لا تصفق
One hand cannot applaud


أصل الشجرة بذرة
A tree starts with a seed


إذا كان الصبر مُرّا فعاقبته حلوة
If patience is bitter then its result is sweet


التجربة العلم الكبير
Experience is the great science


اضربْ ما دام الحديد حاميا
Strike while the iron is hot


الجنة بدون ناس لا تداس
Paradise without people is not worth living in


جرح الكلام أقسى من جروح الأفعال
The wound of words is worse than the wound of swords


من يزرع الشوك لا يحصد العنب
He who plants thorns must never expect to gather roses


الجمال ليس في ملامح الوجه ولكن مكمنه ما يوجد بداخل القلب
Beauty is not in the face; beauty is a light in the heart




Tuesday, October 7, 2008

Innal Muhibba Liman Yuhibbu Muti'u



: قال الإمام الشافعي رضي الله عنه

تعصي الإله وأنت تظهر حبه
هذا محال في القياس بديع

لو كان حبك صادقا لأطعته
إن المحب لمن يحب مطيع

في كل يوم يبتديك بنعمة
منه وأنت لشكر ذاك مضيع


terjemahan:

al-Imam as-Syafie r.a telah berkata:

Kamu membuat maksiat kepada Allah, namun kamu menyatakan kecintaan kepadaNya
Ini sesuatu perkara yang mustahil untuk diqiaskan

Kalaulah kecintaan kamu kepadaNya adalah benar nescaya kamu akan mentaatiNya
Ini kerana, sesungguhnya orang yang menyintai orang yang dicintainya itu akan mentaatiNya

Setiap hari nikmat-nikmat daripadaNya akan mengelilingi kamu
Namun, kamu lupa untuk mensyukuri demikian itu


Rujukan: Diwan al-Imam as-Syafie, penulis: Abdul Rahim Mardini, Dar al-Mahabbah, Damsyiq, m/s: 190-191.