Saturday, September 20, 2008

Khutbah Jumaat, 19 Ramadhan 1429H


Jumaat, 19 Ramadhan 1429H, sekali lagi saya bersama jamaah UIAM menunggu ketibaan Solat Jumaat. Perkara yang bakal menjadi tumpuan saya ialah Khutbah Jumaat yang selalunya menusuk jiwa saya yang mana ia merupakan bahan inspirasi dan motivasi buat diri saya demi mengharungi hidup yang penuh mencabar ini berlandaskan ukuran yang dikehendaki Tuhan.

Khutbah Jumaat kali ini disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Razzaq Abdul Rahman As-Sa'di, pensyarah di Jabatan Bahasa Arab, UIAM. Beliau menyampaikan khutbah tersebut dalam Bahasa Arab berkisarkan topik yang berkaitan dengan Ramadhan al-mubarak. Antara isi kandungan khutbah tersebut ialah:

1) Beliau menasihati jamaah agar bersungguh-sungguh mencari kelebihan Ramadhan terutamanya pada hari ke sepuluh yang terakhir dengan beriktikaf di masjid serta memperbanyakkan ibadah khusus sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi saw dan ahli keluarga baginda saw. Namun beliau menegaskan agar para jamaah masjid tetap menjaga kebersihan dan keamanan masjid demi kebaikan bersama.

2) Beliau mengingatkan umat Islam agar berpegang teguh pada al-Quran dengan memperbanyakkan bacaan, bertadabbur dan memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran kerana ia merupakan senjata bagi umat Islam yang tidak mampu dilenyapkan oleh para kuffar walaupun mereka seringkali berusaha menghapuskannya.

3) Beliau juga menjelaskan pandangan-pandangan tentang penamaan 'Lailatul Qadr' serta penurunan al-Quran, adakah ia diturunkan secara sekaligus (jumlah) atau secara beransur-ansur? Di sini ada ikhtilaf ulama dalam penurunan tersebut. Namun beliau membuat kesimpulan dari pandangan-pandangan tersebut dengan menyatakan bahawa al-Quran diturunkan sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah, kemudian secara beransur-ansur kepada Nabi saw berdasarkan keadaan semasa dan persoalan-persoalan yang ditimbulkan pada zaman tersebut.

4) Beliau menggalakkan para pelajar dan ahli jamaah agar berusaha mempelajari Bahasa Arab yang merupakan Bahasa al-Quran yang begitu penting kepada umat Islam untuk memahami isi kandungannya, di samping tidak mengenepikan bahasa-bahasa yang lain demi kepentingan dakwah Islamiyyah. Beliau menyatakan walaupun ada pertikaian tentang hadis Nabi saw yang bermaksud:"Aku menyintai Bahasa Arab kerana aku merupakan orang Arab, al-Quran juga diturunkan dalam Bahasa Arab, dan ia juga merupakan bahasa ahli syurga", namun katanya makna hadis tersebut adalah sahih (Nabi merupakan orang Arab dan al-Quran juga dalam Bahasa Arab).

5) Beliau menyatakan pujian dan kegembiraannya terhadap Kerajaan Malaysia kerana berusaha mewujudkan pusat-pusat pengajian al-Quran, musabaqah al-Quran, markaz-markaz tahfiz al-Quran demi melahirkan generasi al-Quran. Begitu juga dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang banyak menggerakkan program-program serta pengajian-pengajian berteraskan al-Quran kepada pelajar-pelajar dan orang awam sebagaimana yang dianjurkan oleh pihak universiti, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan juga kulliyyah-kulliyyah yang lain.


Diucapkan jazakallah khaira kepada Prof. Madya Dr. Abdul Razzaq Abdul Rahman As-Sa'di di atas khutbahnya yang mantap, bahasa yang digunakannya mudah difahami, yang berkesan kepada para jamaah. Mudah-mudahan diambil manfaat oleh semua pendengar.

Kepada mereka yang ingin bersama beliau dalam tazkirah mingguan, boleh mengikutinya pada setiap hari Khamis, malam Jumaat, selepas Solat Maghrib bertempat di Masjid UIAM. Kecuali pada Bulan Ramadhan, tazkirah atau sessi soal jawab agama dibuat selepas Solat Tarawih.

Sekian.


Friday, September 19, 2008

Info Malam al-Qadr

Artikel ini saya petik dari laman web http://www.zaharuddin.net/


Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr : 2) .

Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :-
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Waktunya

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini. Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah negara adalah berlainan. Di negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu jika negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi?. Hal ini sukar diputuskan oleh para ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.


Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-
أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan zaman lain umumnya), sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Ertinya : "Malam al-Qadar adalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )


Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar

Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Antaranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )
Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Bererti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.

Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir Ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan Nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa)? Bersabda Nabi : "Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"


Mestikah Mendapat Tanda?

Sabda Nabi SAW :
من يقم ليلة القدر فيوافقها..
Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)

Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-Qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.


Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :
waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )
Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li Ahkam al-Quran, 20/134 )


Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?

Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan Lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
1) Berzikir
2) Berdoa
3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.

Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.
Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

sekian.

Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/
20 Ramadhan 1428 H
2 Oktober 2007
( Ulang siar pada 19 September 2008 = 19 Ramadhan 1429 H)


Wednesday, September 17, 2008

Selamat Menyambut Hari Nuzul al-Quran



Wednesday, 12.21 pm
17 Ramadhan 1429H
17 September 2008M
UIAM

Tuesday, September 16, 2008

al-Hubbu wal-Bughdhu (1)


الحب والبغض


بالله آمنواإنه يحب المؤمنين
ولا تكفروا بالخالق إنه لا يحب الكافرين


الرحمن اذكروا أبدا إنه يحب الذاكرين
ولا تغفلوا عن الرحيم إنه لا يحب الغافلين


الملك اشكروا إنه يحب الشاكرين
ولا تنكروا القدوس إنه لا يحب المنكرين


السلام ادعوا دائما إنه يحب الداعين
ولا تستنكفوا عن البارئ إنه لا يحب المستنكفين


بالأول استعينوا إنه يحب المستعينين
ولا تستكبروا عن عبادته إنه لا يحب المستكبرين


على الآخر توكلوا إنه يحب المتوكلين
ولا تنحرفوا عن الباقي إنه لا يحب المنحرفين


الظاهر أطيعوا إنه يحب المطيعين
ولا تفسقوا عن الباطن إنه لا يحب الفاسقين


المبدئَ اتقوا دائما إنه يحب المتقين
ولا تظلموا الجبّار إنه لا يحب الظالمين


إلى الحق اهتدوا إنه يحب المهتدين
ولا تفرحوا بالدنيا إنه لا يحب الفرحين


إلى الناس أحسنوا إنه يحب المحسنين
ولا تبطلوا الإحسان بالمن إنه لا يحب المانّين


Sunday, September 14, 2008

Puisi Buat Ramadhan


Ramadhan...
Marhaban buatMu diucapkan
Kau datang lagi buat diriku
pada tahun yang penuh kemuliaan
Kau datang dengan penuh senyuman
Disambut mesra
oleh mereka yang beriman


Ramadhan...
Mudah-mudahan tahun ini
tahun keramat bagiku
Dapat mendakapi diriMu yang bertuah
dipenuhi rahmat dipenuhi berkat
dipenuhi maghfirah
Keampunan yang dibuka seluas-luasnya
oleh Tuhan Rabbul Izzah


Ramadhan...
Terimalah diriku sebagai sahabatMu
Aku insan dhaif
pengemis yang selalu meminta-minta
Mengharapkan diriMu menjadi teman
Walaupun kau datang hanyalah sekelip mata
Sebulan bertandang kemudian pulang
membawa seribu satu kenikmatan
menggembirakan hatiku yang gundah
memberi suntikan semangat
pada diri yang lemah
membelai jiwaku yang parah


Ramadhan...
Jangan tinggalkan aku bersendirian
Walaupun aku tahu Kau akan pulang
Namun...
harapanku agar dapat bertemu
di tahun kan datang
Oh ya!
Jangan lupa tinggalkan pesanan
wasiat, nasihat, kata-kata semangat yang mantap
Suasana diriMu moga-moga terpahat
Agar diriku sentiasa beroleh kejayaan
kasih- sayang serta simpati
dari Tuan Empunya alam


Amin...


15 Ramadhan 1429

UIAM

Wednesday, September 10, 2008

Ramadhan Kareem





Monday, September 8, 2008

Salam Ramadhan




Friday, September 5, 2008

Indahnya Bumi UIAM


Masjid UIAM


UIAM



Hari ini Jumaat 05 Sept bersamaan 05 Ramadhan merupakan hari yang lebih gembira bagiku. Semenjak semalam ku melangkah kaki ke Bumi UIAM, bumi yang sentiasa dalam ingatanku. Di Masjid universiti ini ku dapat berbuka puasa dengan kawan-kawan, 'anak-anak'ku yang ku sayangi, dapat berterawih bersama mereka, menjadi makmun kepada imam-imam yang hebat, dapat mengeratkan ukhuwwah, bertanya khabar, dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru. Oh seronoknya ukhuwwah Islamiyyah!


Rasa sungguh bertuah hari ini kerana dapat Solat Jumaat, terharu melihat manusia berpusu-pusu mengingati Allah, tambahan pula khutbah yang disampaikan oleh Dr. Jamal Badi dari Kulliyyah Ilmu Wahyu menekankan tentang Bulan Ramadhan dan kelebihannya. Khutbah disampaikan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.


Sebaik sahaja selesai Solat Jumaat diadakan pula solat jenazah ghaib serta solat hajat. Kemudian diikuti dengan Tazkirah Ramadhan dalam Bahasa Arab yang disampaikan oleh Dr. Abu Saiid Muhammad Abdul Majid dari Jabatan Bahasa Arab. Beliau mengupas tentang tujuan difardhukan puasa di Bulan Ramadhan ini iaitu untuk memperolehi ketaqwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah Taala. Beliau juga menghuraikan tentang al-Quran dan kelebihannya yang mana ia diturunkan pada bulan yang mulia ini. Bulan Puasa juga merupakan 'madrasah' untuk mendidik jiwa manusia ke arah kemajuan dunia dan akhirat. Beliau menyatakan juga kalam al-Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ihya' Ulumiddin yang membahagikan puasa seseorang itu kepada tiga bahagian iaitu puasa al-umum, puasa al-khusus, puasa al-khawasi al-khawas.


Al-hamdulillah, ku dapat berjumpa lagi dengan suasana sebegini rupa yang ku impikan ingin hidup sebegini selama-lamanya. Suasana yang penuh dengan keimanan, ilmu pengetahuan, nasihat-menasihati, ukhuwwah yang erat dan sebagainya. Moga-moga Allah memberikan semangat yang baru buat diriku untuk bekalan menuju ke Bumi Syam.