Monday, August 24, 2009

Ahlan Ya Ramadhan


Saturday, August 15, 2009

Mendekati Allah Melalui CiptaanNya

Allah swt tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Semua ada sebabnya. Semua ada gunanya. Semua ada hikmahnya. Terpulang kepada manusia untuk mencari sebab, guna dan hikmahnya itu. Allah hamparkan bumi ini dan mencipta segala sesuatu di dalamya bukan semata-mata untuk manusia hidup dan berkembang biak serta menggunakan segala khazanah kekayaanNya. Apa yang lebih penting, semua penciptaan itu diwujudkan supaya manusia dapat melihat secara zahir akan alam ciptaan Allah ini. Ia adalah bukti besar kepada manusia mengenai wujudnya Allah. Ia adalah sebenarnya dalil bagi mereka adanya Allah.

Demikian juga antara sebab Allah mencipta sekalian alam, bukan sahaja alam syahadah atau alam nyata ini yang boleh dilihat manusia, tetapi juga alam lain. Alam itu adalah alamat atau tanda akan wujudnya Allah. Segala apa yang Allah cipta itu ialah alam. Alam itu adalah apa sahaja selain Allah. Hakikat kewujudan ini hanya ada dua. Satu Allah dan satu alam. Allah adalah Khaliq - yang mencipta. Alam adalah makhluk - yang dicipta. Ada alam maka sudah tentu ada Tuhan yang menjadikannya.

Kebanyakan manusia hanya melihat, tetapi mereka tidak nampak apa-apa. Kalaupun mereka nampak, mereka tidak dapat kaitkan alam ini dengan Tuhan. Pembabitan mereka hanya selapis saja. Manusia tidak dapat melihat apa yang di sebalik ciptaan Tuhan itu. Penglihatan mereka seolah-olah terlindung dan terhijab. Sama sahaja seperti mereka melihat lukisan yang cantik. Mereka terpegun dan memuji kecantikan lukisan itu dan mahu memilikinya. Tidak terbayang di fikiran mereka siapa pelukisnya. Sama juga seperti orang yang memakan hidangan sedap dan lazat. Dia mahu memakannya sehingga habis, tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan memasaknya.

Manusia sebenarnya boleh melihat dengan pelbagai cara. Pertama, dengan mata kepala. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, mata hati. Jarang sekali seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini.

Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu hutan yang tebal dan menghijau. Kalau dia melihat dengan mata akal, maka dia akan nampak balak dan kayu-kayan yang boleh dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Allah dan hikmah terkandung di dalam ciptaan hutan berkenaan. Terasa di hatinya betapa hebatnya Allah.

Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu air yang luas dan membiru serta ombak tidak henti-henti memukul pantai. Orang yang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang boleh ditangkap dan dijual. Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut begitu luas dan dalam yang siapa-siapa pun tidak tahu apa rahsia tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Allah.

Siapa melihat dataran bumi dengan mata kepala, maka itulah sahaja dia nampak iaitu tanah dan batu-batan. Siapa yang melihat dengan mata akal, akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam terkandung di dalam perutnya. Siapa yang melihat dengan mata hati pula akan nampak hebatnya perbuatan Allah yang menghamparkan bumi ini untuk dihuni manusia boleh hidup dan yang mengabdikan diri kepada Allah. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Allah.

Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa menguntungkan dan boleh memuaskan kehendak nafsu mereka. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Allah di sebalik ciptaan-Nya. Alam tidak membawa mereka kepada Allah.

Hati mereka buta kerana jiwa mereka mati - jiwa mereka sudah tidak boleh berfungsi lagi. Mereka sudah tidak mempunyai rasa. Mereka tidak terangsang langsung dengan akhirat. Mereka tidak ingin kepada syurga. Mereka tidak takut kepada neraka. Mereka tidak merasakan peranan Allah dalam hidup mereka. Mereka tidak rasa bahawa Tuhan itu wujud. Kalaupun mereka tahu yang Allah itu wujud, mereka setakat tahu sahaja. Ia belum menjadi sesuatu keyakinan atau pegangan. Justeru itu, soal Tuhan diambil ringan.

Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka adalah hamba. Selagi jiwa mereka tidak dihidupkan selagi itulah mereka akan hanyut di alam dunia mengikut arus yang akan membawa kepada kelalaian, kesesatan dan kebatilan.

Berdoalah banyak-banyak dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin agar Allah berkenan memberi hidayah. Tanpa hidayah, manusia tidak akan dapat menjadi insan tulin yang layak menjadi hamba dan khalifah Allah. Selepas hidayah barulah datang ilmu. Selepas ilmu baru boleh yakin dan faham. Selepas faham, barulah boleh beramal.

Apabila jiwa hidup, mata hati akan celik. Ketika itu, kita akan nampak apa-apa tersembunyi selama ini. Allah akan angkat hijab bagi kita. Akan terbongkar segala rahsia yang tidak pernah kita tahu sebelum ini. Hati akan mudah dengan kebenaran dan jinak dengan kebaikan. Keyakinan datang tanpa perlu difikir dan diakal-akalkan. Segala-galanya akan mudah difahami.

Firman Allah bermaksud: "Dan demi sesungguhnya Kami sudah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?" (Surah Al-Qamar: Ayat 17,22,32 & 40)

Allah juga berfirman bermaksud: "Dan Demi sesungguhnya Kami berulang-ulang kali menyebarkan hujah antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalKu serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur." (Surah Al-Furqan: ayat 50 )

Allah berfirman lagi bermaksud: "(Engkaukah yang lebih baik) atau orang-orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil ketakutan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah Al-Zumar: ayat 9)

Dalam ayat lain, Allah berfirman bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga, (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah Al-A'raaf: ayat 179).


Susunan: Hashim Ahmad
Harian Metro, 27 Februari 2009, m/s: A14
Dipetik dari: facebook.com



Friday, August 14, 2009

Renungan Buat Para Isteri Dan Bakal-Bakal Isteri

Oleh: Zamri Keciks

Buat sang suami, fikir-fikirkanlah!

Pembaca Semua,

Saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan semua kerana saya ingin puan-puan tahu apa sebenarnya tersirat di dalam benak sesetengah suami dan bagaimana dia melihat kita dari pandangan mata mereka. Walaupun mereka tidak pernah komplen tentang perawakan kita tetapi di sudut hati mereka, mereka menilai secara diam-diam dan membanding kita dengan perempuan lain.

Barangkali suami puan-puan tidak begitu, tapi ini boleh jadi panduan. Saya seorang isteri baru berusia 29 tahun dan mempunyai 3 orang anak. Perawakan saya biasa sahaja, tidaklah hodoh, sedikit gempal setelah melahirkan 3 orang anak. Saya berkerja sebagai seorang eksekutif dan suami saya berkerja biasa saja.

Kebanyakan belanja seperti ansuran rumah dan kereta, saya yang membayarnya demi suami yang mempunyai gaji tidak seberapa.

Suami saya bolehlah dikatakan menarik jika dibandingkan dengan saya. Suami saya tinggi, cerah kulit dan menarik minat ramai perempuan semasa bujangnya.

Saya mengabdikan diri seluruhnya untuk rumahtangga, pagi sebelum pergi kerja saya akan masak untuk anak-anak, sarapan untuk suami, saya memandu sendiri ke pejabat dan setelah balik ke rumah pada petangnya sayalah yang menyediakan segala keperluan rumahtangga.

Sepanjang perkahwinan suami tidak pernah 'komplen' pasal perwatakkan saya. Saya memakai tudung, dia nampak biasa saja, tetapi dia tidaklah sentiasa tertarik kepada saya semasa di rumah seperti cuba mencium saya, memeluk atau memegang saya, kami akan bersama bila waktu malam apabila dia perlukan saya.

Baru-baru ini saya mendapat tahu dia mempunyai kekasih di tempat kerja sendiri. Gadis tersebut bukanlah muda dari saya tetapi sudah berumur 30 tahun. Saya mendapat tahu juga yang suami saya sering ke rumah gadis tersebut semasa waktu kerja. Hubungan yang terjalin nampaknya telah sampai ke tahap hubungan seks.

Bila saya bersemuka dan bertanya kepadanya, pada mulanya dia menafikan, tetapi setelah dikemukakan bukti dan sebagainya, baru dia mengaku. Saya ingin tahu kenapa dia menjalin hubungan. Apa kurangnya saya, dia akhirnya berterus terang mengatakan memang tiada apa yang kurang dengan saya. Saya menjaga makan minum, membantu kewangan, menguruskan rumahtangga dengan baik tetapi saya hanyalah setakat itu sahaja. Dia tiada rangsangan lagi bila melihat saya.

Baginya, dia kadangkala ingin bersama wanita yang dilihat cantik, menarik minat lelaki lain dan bila berjalan sama menimbulkan cemburu pada lelaki lain. Dia dengan berani memberitahu saya bahawa teman wanitanya mempunyai kuku yang cantik, perut yang nipis, bau yang sedap, 'fashion' yang menarik.

Sedangkan saya menurutnya walaupun tidak hodoh tetapi hanyalah wanita yang sangat biasa saja, kuku saya pendek dan kadang kala rosak kerana memasak, rambut pulak kadang kala berbau bila balik kerja kerana bertudung sepanjang hari. Kulit perut saya pula tebal, tidak menarik di rumah bila hanya ber't-shirt' dan berkain batik.

Hari-hari melihat saya dia merasa tiada apa yang dibanggakan tentang saya, bercakap di rumah pula hanyalah tertumpu pasal rumah dan anak-anak. Tiada topik menarik separti teman wanitanya yg boleh bercakap pasal politik, 'carreer', mempunyai 'taste' yang tinggi dan dapat membantu dia mengenali dunia yang baru mengenai 'fashion', korporat, jadi dia merasakan seperti lelaki yang berjaya bila bersama wanita tersebut.

Memang saya akur tentang perawakan saya kerana pertamanya memang saya dilahirkan begini, kedua saya terlalu sibuk untuk membelek diri sendiri, ketiga saya tidak mempunyai cukup wang untuk berbelanja sepenuhnya untuk kecantikan.

Begitulah hati budi lelaki sebenarnya walau bagaimanapun kita menjaga dia tetapi dia masih mementingkan fizikal jauh di sudut hati ingin bersama wanita menarik yang boleh membuat dia berasa bangga.

Saya telah pun berpisah dengan suami sekarang tetapi saya tidaklah duduk meratap tetapi menghadiri 'slimming session' dan membelanjakan duit separuh untuk kecantikan bukan untuk lelaki tetapi untuk kepuasan sendiri, biarlah saya pendek dan sedikit tembam tetapi saya berazam untuk menjaga kebersihan dan kelihatan menarik.

PS (Pendapat Saya): Penting di sini kita memahami erti perkahwinan. Perkahwinan adalah bukan tempat kita untuk berseronok-seronok dan jangan bertindak zalim dengan perbuatan kita. Perkahwinan adalah sebahagian cara untuk kita mencari keredhaan Allah. Dan perkahwinan itu sebahagian dari iman, dan perkahwinan juga tempat kita diuji. Maka, bersabarlah dan bertindak dengan bijak dan penuh hikmah.

Bagi lelaki yang berfikir untuk bertindak seperti ini, fikirkanlah, betapa besarnya pengorbanan seorang isteri demi sebuah keluarga yang sempurna. Jadikanlah kebaikan seseorang isteri itu sebagai hiasan untuk anda, tetapi jadikanlah keburukan seseorang isteri itu sebagai tanggungjawab anda untuk memperbaikinya. In syaa Allah...



Dicatat oleh: Drs. Khalil Idham Lim

idhamlim.blogspot.com



Thursday, August 13, 2009

Subhanallah! Al-Quran Tidak Terbakar Dalam Kebakaran



H1N1: Bala Atau Kelemahan Saintis?

Oleh: Wan Afifi Wan Zainudin*

Sehingga hari ini, saya melihat kerajaan Malaysia mula panik dengan serangan virus H1N1 ini yang telah meragut lebih 20 nyawa. Langkah pencegahan melalui kaedah sains nampaknya tidak berkesan untuk menghalangnya daripada merebak.

Maka, datang pula cadangan untuk mengadakan Solat Hajat besar-besaran di seluruh negara. Walaupun idea ini bukan datang daripada kerajaan, akan tetapi masih kedapatan rakyat yang percaya dan yakin bahawa sains bukan segala-galanya untuk menentang virus ini. Al-hamdulillah, ada lagi rakyat yang masih mendambakan sesuatu daripada Pencipta.

Sewaktu mula-mula penyakit menyerang negara ini, ramai yang menuduh dan mengaitkannya dengan babi. Mana tidaknya, apabila nama asalnya “ Virus Selsema Babi” sebelum ditukar dengan nama “Virus Selsema H1N1”.

Mulalah segelintir masyarakat mula menuduh bangsa yang sangat rapat dengan binatang ini iaitu, bangsa Cina. Sungguh menebalnya sifat perkauman di kalangan rakyat Malaysia. Malangnya selepas beberapa ketika, bangsa yang jijik dengan babi, bangsa Melayu, telah diserang dengan virus ini.

Sehingga menyebabkan beberapa kampus UiTM ditutup. Di kampus ini, sah-sahlah dipenuhi dengan bangsa Melayu. Apakah bangsa Melayu hari ini makan babi? Tentunya tidak secara umumnya.

Lantas peristiwa dan keadaan sebegini mula membuatkan saya kembali berfikir, mengapa masyarakat Melayu-Muslim menerima bahana penularan wabak ini? Walaupun tidak ada statistik yang tepat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan penularan wabak ini.

Mungkin untuk mengelak sikap prejudis kepada sesuatu bangsa yang bakal mencetuskan perbalahan kaum. Namun, dengan angka-angka dan kaedah-kaedah mengelak jangkitan yang didedahkan oleh pihak kementerian terbabit, kita dapat membuat sedikit rumusan yang mungkin kurang tepat.

Pertamanya: virus ini berjangkit melalui udara hasil interaksi manusia seharian. Jadi untuk mengelak jangkitan ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menjauhi daripada tempat-tempat yang penuh sesak dengan manusia.

Bahkan ditambah lagi dengan nasihat untuk memakai topeng muka. Antara tempat yang bersesak-sesak manusia di dalamnya adalah di kelab-kelab malam. Sedar atau pun tidak, umat Melayu yang mengaku Islam semakin berani melawan perintah Allah. Mereka tanpa segan silu mengunjungi tempat-tempat maksiat ini atas nama kebebasan.

Soal minum arak, wallahu a'lam, walaupun banyak pendedahan berani selebriti-selebriti tanah air. Anehnya, terlibat dengan demonstrasi menentang kezaliman tidak boleh, tapi menganjur dan mengunjungi konsert-konsert liar tidak mengapa.

Nah, masih ego mahu melawan larangan Allah?

Keduanya: setakat penilitian saya (mungkin benar, mungkin tidak benar), kebanyakkan mereka yang diserang penyakit ini adalah mereka yang dalam lingkungan usia remaja dan ke atas.

Tidak kedengaran bayi-bayi yang baru lahir dijangkiti, dan mungkin jumlah jangkitan pada peringkat kanak-kanak sangat kecil walaupun banyak sekolah ditutup.

Mungkin bayi yang baru lahir tidak kena jangkitan wabak ini adalah disebabkan kadar keaktifan penghasilan antibodinya yang sangat tinggi. Ada kemungkinan juga, ini adalah satu peringatan daripada Allah kepada generasi muda yang dalam lingkungan usia belia remaja.

Kelompok ini banyak terlibat dengan salah laku seks atau gejala zina. Jika berjangkit dalam keluarga, mungkin itu perkara biasa disebabkan genetik yang sama. Tapi jangkitan berlainan genetik ini sangatlah malang. Inilah peringatan Allah kepada manusia supaya kembali kepada-NYA. Cuma nak sedar atau tidak sahaja.

Ketiganya: hari ini, masyarakat Malaysia didedahkan dengan kaedah-kaedah menjauhi jangkitan H1N1 ini. Antaranya kaedah membasuh tangan yang betul, menutup hidung dan mulut sewaktu bersin dan batuk.

Maksudnya, penyakit ini juga sangat berkait rapat dengan penjagaan kebersihan diri sendiri serta diri dan masyarakat. Kebersihan adalah lambang sebuah bangsa yang bertamadun. Masyarakat Malaysia sangat jauh dengan budaya menjaga kebersihan ini.

Daripada sinilah, kita akan mula mengorak langkah baru, mengembalikan nilai-nilai dan akhlak sebagai seorang manusia yang tahu adab dan tatasusila.

Secara saintifiknya, badan kita mempunyai sistem pertahanan badan yang sangat unggul. Tetapi semakin meningkat dewasa, badan kita semakin lemah melawan penyakit lebih-lebih lagi penyakit melibatkan virus.

Ini kerana, jika kita menyedari sewaktu kecil kita diberikan suntikan imunisasi untuk memberikan badan kita antibodi melawan penyakit bawaan virus. Tapi sesudah mengikat dewasa, kita banyak mengharap kepada antibodi diri sendiri sahaja.

Kita meninggalkan kerja-kerja “Amar Makruf Nahi Mungkar” dalam konteks hubungan sesama manusia. Diri kita mungkin sudah baik, akan tetapi masyarakat sekeliling kita? Apakah itu bukan tangungjawab kita? Atau dengan kata lainnya, “Mati kubur lain-lain” dan “Jangan jaga tepi kain orang”.

Bukan semua masalah manusia dan dunia ini mampu diselesaikan dengan sains. Banyak perkara yang tidak mampu diselesaikan dengan akal manusia, kerana yang mangawal atur dan mengurus tadbir alam semesta ini adalah Allah. Walaupun Islam tidak pernah sesekali menolak rasional dan logik sains.


*Penulis ialah graduan Uni. Malaya dan kini menganggotai Sekolah Pemikir Muda, sebuah badan pemikir bebas berteraskan intelektual dan percambahan idea bagi membina polisi Malaysia yang lebih harmoni.


Sumber: mahasiswakini.com


Wednesday, August 12, 2009

Ziarah Bumi Mesir Masih Dalam Kenangan

Tahun lepas, awal bulan Ogos aku telah bertapak di bumi Mesir. Selama dua minggu aku berada di sana. Secara 'on de spot', dua hari sebelum berlepas, kawanku menelefonku mengatakan ingin membeli tiket ke sana dengan pengurusan Ustaz Mus'ab. Terkejut aku dengan apa yang diperbuat oleh kawanku itu. Dahlah masa tu aku berada di Mu'tah, memang terpinga-pinga dibuatnya. Hajat di hati untuk berminggu di sana, namun kerana keinginan yang teramat untuk jejaki bumi Mesir, aku pulang ke Amman keesokan harinya meninggalkan Mu'tah buat sementara cuma.

Baru saja sampai Mu'tah dah kena balik. Aduhai...perjalanan dari sana ke Amman memakan masa berjam-jam. Oh, penatnya! Aku pulang bukannya dapat rehat pun, kena pindahkan barang ke rumah baruku ini. Kena 'pack' barang tu dan barang ni, kena basuh itu ini, dan banyak lagi. Esok aku dah nak berlepas ke Mesir. Awal pagi pulak tu. Jadi, apa lagi, Ustaz Mus'ab 'and da geng' la yang angkut dan pindahkan barang-barangku ini. Syukur tak terkata. Al-maklumlah, perempuan macam aku ni tak mampu nak 'angkat berat' sebagaimana perempuan-perempuan yang lain. Buat kerja banyak sikit, terus kena ambik nafas baru.

Malam itu aku tak mampu tidur dek banyak kerja yang perlu dibereskan. Hanya tidur-tidur ayam selama satu jam. Kawanku dari Mafraq datang ke rumahku pada malam tersebut bersama rombongannya. Rombongannya itu bermalam di rumah sahabat-sahabat yang lain, manakala kawanku tinggal bersamaku. Seronok aku melihat dia dibuai mimpi, sedangkan aku masih dengan pengemasan rumah dan barang-barang.

Keesokan harinya, aku dan kawanku berlepas dari Lapangan Terbang Amman ke bumi Qaherah, Mesir, memakan masa lebih kurang satu jam sahaja. Oh, hanya sekelip mata aku dah sampai ke bumi bersejarah itu!. Mesir ini merupakan bumi anbiyaa' dan tak lupa juga, ia adalah bumi fir'aun. Aku disambut oleh akhawat di sana. Kami menuju ke Rumah Pelajar Terengganu, hayy 'asyir, Qaherah dengan menaiki van yang disediakan.

Sebaik sahaja sampai, aku disediakan bilik untuk berehat dan bersantai. Letih tak terkata, namun, aku gembira akhirnya sampai jua ke bumi yang ku impikan. Kemudian aku dan temanku dihidangkan nasi 'ikang singgang'. Ya Allah...manalah aku boleh jumpa ikan-ikan segar sebegitu rupa di bumi Jordan, tempat pengajianku ini. Oh, gembiranya!

Bilamana aku berada bersama anak-anak Terengganu, aku terus menukarkan 'lidah'ku. Sama-sama berkomunikasi dengan bahasa 'ganu kiter'. Seronok juga, walaupun pada permulaannya ada rasa nak tergelak. Aku dah biasa hidup dengan kawan-kawan dari berbagai-bagai negeri. Jadi tidaklah rasa kekok dan pelik dengan loghat mereka itu.

Apa yang paling menarik ku berada di bumi Qaherah ialah pengajian ilmu tambahan yang dicurahkan oleh para pelajar di sana cukup memberangsangkan. Ditambahi pula dengan pengajian talaqqi yang tidak putus-putus oleh para mashayikh terutama sekali pengajian di Masjid al-Azhar. Allahu Akbar! Aku rindu dengan suasana sedemikian rupa.

Selepas solat Subuh berjamaah di Musolla Rumah Pelajar Anak Negeri, akan diadakan sedikit Kuliah Subuh. Tepat jam tujuh pagi pula diadakan kuliah atau tazkirah di Rumah Pelajar Negeri Kedah. Kemudian, lebih kurang jam 8.30 pagi pula, kuliah tafaqquh di Rumah Pelajar Pahang dan begitulah seterusnya diadakan di rumah anak negeri masing-masing hingga hampir tengahari. Penyampai kuliah terdiri daripada ikhwah dari tahun dua, tiga, empat dan pelajar Masters. Kita yang mengikutinya terasa penat dengan banyaknya kuliah dan tazkirah yang diadakan di kawasan situ. Kebetulan pula, beberapa rumah pelajar anak-anak negeri berdekatan antara satu sama lain.

Namun, satu perkara yang mengecewakanku ialah bilamana kuliah-kuliah itu hanya disampaikan oleh para ikhwah. Tidak ada satu pun kuliah disampaikan oleh para akhawat, sedangkan akhawat di bumi Mesir begitu ramai. Kenapa boleh jadi begitu? Tidak adakah sebahagian dari akhawat yang cuba bangkit mencetuskan idea perkongsian ilmu ini? Tidak adakah sebahagian dari kita yang bersemangat maju ke hadapan, mencanaikan segala ilmu yang diperolehi, membaca kitab-kitab dan berbincang sesama kita? Tidak adakah perasaan 'jeles' dalam diri kita bila melihat para ikhwah mampu dan sanggup berjuang untuk berkongsi ilmu dengan kita semua? Amat rugilah kalau kita tidak berusaha ke arah kebaikan itu.

Selain itu, syarahan-syarahan umum yang dianjurkan oleh pihak persatuan juga banyak diadakan. Hari kedua berada di sana, aku dan pelajar-pelajar lain dihidangkan dengan muhadharah yang disampaikan oleh as-Sheikh al-Habib as-Syatiri, ulama terkenal dari Yaman. Ma syaa Allah!, menggeletar hatiku dengan muhadharah beliau yang cukup berkesan itu. Beliau bercakap tentang ilmu dan kelebihan mereka yang menuntut ilmu. Bahasa Arab fusha yang dilontarkan oleh beliau itu amat menyentuh hatiku ini. Berlinangan air mata mendengar muhadharah tersebut. Mudah-mudahan aku juga tergolong dalam golongan yang cinta kepada ilmu. Kawasan padang malam tersebut dilimpahi manusia yang datang dari segenap penjuru bumi Mesir.

Sebaik sahaja selesai muhadharah tersebut, aku dikerumuni para akhawat. Mereka meminta dariku agar menterjemahkan fikrah-fikrah yang disampaikan oleh as-Sheikh tadi. Ini kerana mereka tidak memahami sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh beliau. Aku terkejut dan berasa sedikit hairan dengan keadaan para pelajar kita di Timur Tengah ini (walaupun tidak kesemuanya). Kenapa mereka tidak berusaha untuk menguasai bahasa Arab ini, sedangkan mereka dari awal lagi sudah berada di Tanah Arab (peringkat Bachelor)? Kenapa mereka tidak cuba mencari kenikmatan Bahasa Arab ini, sedangkan di sini banyak sumber untuk memilikinya berbanding mereka yang belajar bahasa tersebut di tanahair sendiri?. Fikir-fikirlah demi kebaikan kita untuk mencapai redha Allah swt dan sekaligus mencapai cintanya yang agung itu.

Aku juga berasa cukup bertuah bersama akhawat di sana khususnya anak-anak Terengganu kerana memberi peluang kepadaku walaupun tidak secara rasmi untuk menyampaikan sedikit perkongsian ilmu tentang keseronokan hidup dalam memperjuangkan Bahasa Arab, bahasa yang agung itu. Dapat juga ku lontarkan tentang peri pentingnya syair dalam kehidupan kita. Betapa pentingnya ilmu Nahu dan Sorof dalam memahami al-Quran. Begitu pentingnya ilmu Balaghah dalam merapatkan diri kita dengan pencipta kita Yang Maha Kuasa itu. Oh, syukur padaMu wahai Tuhan!

Kini, aku tidak lagi menjumpai suasana sedemikian rupa. Suasana yang telah ku rasai jua di bumi UIA dulu. Bumi yang masih terpahat di hati ini. Hidupku di sana dengan memberi dan menerima. 'Lidah'ku di sana tidak sama dengan lidahku di sini. Namun, aku pasrah, aku faham bahawa keadaan semasa di sini cukup berbeza, keadaan manusia memang tidak sama. Tapi aku tetap menaruh harapan pada Tuhan sekalian alam, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang agar mengembalikan sejarahku sedemikian, agar aku pulih dari kelukaan, yang telah lama berpanjangan.

Aamin aamin ya Rabbal 'aalamin!


Siti Hasliza Mat Yusoff
Sweileh, Amman.



Monday, August 10, 2009

Isu Arak Di Selangor: Contohilah Kerajaan Kelantan

Sudah beberapa hari isu arak di Selangor hangat diperkatakan ramai. Bila saya 'membelek-belek' laman-laman web sensasi yang membicarakan tentang isu-isu semasa seperti TKO, Malaysiakini, blog-blog tertentu dan lain-lainnya, isu arak ini sentiasa terpapar dalam topik-topik terkini, dan menjadi topik ulasan dari orang ramai.

Sebenarnya saya amat tertarik dengan satu artikel yang ditulis oleh Ustaz Nik Abduh yang bertajuk: 'Arak Di Selangor', yang menceritakan bagaimana Islam mengambil cakna terhadap pengurusan arak ini. Beliau juga mengambil contoh bagaimana kerajaan Islam Kelantan bertindak mengatur dan mengawal urusan arak ini demi kebaikan masyarakat Kelantan samada yang muslim dan bukan muslim.

Di bawah ini saya sertakan artikel beliau tersebut.

Salam Kamunting,

Isu arak yang tengah panas di Selangor hendaklah difahami sebagai isu kawalan penjualan arak, bukan isu pengharaman arak. Arak adalah haram di sisi Islam. Meminum, menjual, mengangkat dan apa – apa yang bersifat menyokongnya adalah haram dan berdosa besarlah setiap muslim yang melakukannya.

Jika sebuah negara itu penduduknya Islam semuanya, maka tidak boleh ada satu pun kedai yang dibenarkan menjual arak. Undang – undang Islam mengenainya adalah ketat seketat yang dikehendaki Allah, tuhan yang menciptakan arak lalu mengharamkannya ke atas manusia.

Adapun jika sebuah negara umat Islam itu turut didiami bukan Islam yang menghalalkan arak dalam kehidupan mereka, maka hak untuk mendapatkan bekalan arak itu hendaklah diberikan. Oleh kerana wujud ketakutan ianya mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam, maka penjualan dan pengedaran arak di kalangan masyarakat bukan Islam hendaklah dikawal oleh kerajaan yang memerintah.

Oleh kerana hampir tiada negara umat Islam hari ini yang tegak tanpa minoriti bukan Islam, maka undang - undang pengawalan penjualan arak haruslah diterima pakai dan hendaklah sentiasa disemak agar ianya memberi dan menepati keadilan dan hak kepada semua rakyat.

Hikmat pengharaman arak adalah terlalu jelas. Allah menyebutnya di dalam al Quran agar ianya jelas dan menutup kekeliruan manusia terhadap pengharamannya. Tidak ada ugama yang tidak mengharamkan arak. Yang menjadikannya halal hanyalah penganut ugama masing – masing bergantung kekuatan mereka mengamalkan ugama mereka.

Di negara kita, arak adalah halal. Kerajaan menjadikannya hasil mahsul ekonomi negara. Sedikit kawalan ke atasnya oleh undang – undang negara adalah sekadar untuk mengesahkannya sebagai halal. Ia seperti undang – undang menyekat zina, riba dan rokok. Barang halal yang terkawal, bukan barang haram yang terkawal.

Justeru dalam Islam, ianya adalah isu menghalalkan yang haram. Ia satu dosa besar dan dibalas kehinaan, murka dan neraka tuhan. Ridha ke atas ketetapan ini juga adalah haram dan teramat besar dosa dan kehinaannya di sisi Allah. Justeru sebarang usaha, seruan dan sokongan ke atas pengharaman dan pengawalannya daripada melegari kehidupan umat Islam di negara kita adalah wajib dan diganjari ridha dan ganjaran Allah. Ia melepaskan kita daripada dosa yang dikembangkan oleh pemerintah Islam yang derhaka kepada Allah.

Ia bukan isu sensitiviti. Ia isu iman. Ia samada syurga atau neraka.

Undang – undang negara mengenai arak hari ini adalah menepati kehendak masyarakat bukan Islam yang langsung membuang hukum agama mereka berkenaan arak. Untuk mereka agama mereka. Tetapi ugama mereka bukan untuk kita. Malangnya, pemerintah negara kita yang mengaku muslim berlaku dan bertindak sebaliknya. Ia kemalangan yang menghinakan umat Islam di negara sendiri.

Oleh kerana PAS adalah gerakan Islam nasional yang berusaha menguasai politik dan kuasa demi pelaksanaan dasar dan polisi Islam yang lebih kukuh dalam negara, maka PAS dilihat mampu, bertanggung jawab dan mesti menggunakan kudratnya untuk memastikan penjualan arak di dalam negara menepati kehendak ugama.

Penguasaan PAS di negeri Kelantan selama hampir 20 tahun telah menyaksikan peraturan ke atas kawalan penjualan arak dilaksanakan. Orang Islam dilarang menjual arak, apatah meminumnya. Kebenaran menjual arak adalah terhad kepada sebilangan premis bukan Islam yang tertentu dengan syarat – syarat yang menjamin penyalah gunaannya yang boleh melibatkan umat Islam.

Selepas lebih 10 tahun perlaksanaan berjalan, masyarakat bukan Islam telah memohon supaya ditambah bilangan premis mereka yang dibenarkan menjual arak kerana bertambahnya kependudukan masyarakat bukan Islam terutama di bandar Kota bharu. Kerajaan telah menyemak balik dan akhirnya meluluskan penambahan koata selepas perundingan yang agak memakan masa kerana ketelitian termasuk soal – soal penyalah gunaan yang dilaporkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Penguat kuasaan kawalan penjualan arak di Kelantan pada awalnya telah mendapat tentangan masyarakat bukan Islam yang bimbang hak dan kebebasan mereka dirampas. MCA pernah berhasrat menganjurkan pesta minum arak terbuka sebagai bantahan ke atas perlaksanaan enakmen tersebut, tetapi akhirnya dibatalkan apabila akur dengan tempelakan YAB Tuan guru yang tidak menghalang, malah menyuruh mereka berpesta minum sampai pecah perut. Ketegasan YAB Menteri Besar Kelantan yang mahukan perlaksanaannya berjalan akhirnya telah diterima baik dan berjalan lancar.

Sila lihat artikel sepenuhnya melalui blog beliau: nikabduh.wordpress.com


Saturday, August 8, 2009

Puasa Sunat Pada Bulan Sya'ban: al-Qaradhawi

من فتاوى العلامة الدكتور يوسف القرضاوي:

السؤال:

هل هناك أيام معينة في شهر شعبان يستحب فيها الصيام ؟


الجواب:

الحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، ومن اتبعه إلى يوم الدين، وبعد :

شهر شعبان كان من الشهور التي يحرص النبي صلى الله عليه وسلم على أن يصوم فيها أكثر من غيره من الشهور . روت عائشة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وسلم لم يستكمل صيام شهر قط غير رمضان ، على خلاف ما يفعل بعض الناس في بعض البلاد العربية ، حيث يصومون ثلاثة أشهر : رجب ، شعبان ، ورمضان . والأيام الستة من شوال ، التي يسمونها (البيض) يبدأ الصيام عندهم من أول رجب إلى السابع من شوال، ما عدا يوم العيد، الأول من شوال. وهذا لم يرد عن النبي صلى الله عليه وسلم ولا عن الصحابة ولا عن التابعين.


كان النبي صلى الله عليه وسلم يصوم من كل شهر ، وتقول عائشة : كان يصوم حتى نقول : لا يفطر . ويفطر حتى نقول : لا يصوم ، وأحياناً يصوم الاثنين والخميس ، وأحياناً ثلاثة أيام من كل شهر ، وخاصة الأيام البيض القمرية . وأحياناً يصوم يوماً ويفطر يوماً ، كما كان يفعل داود عليه السلام ( أحب الصيام إلى الله صيام داود ، كان يصوم يوماً ويفطر يوماً ) .


وكان عليه الصلاة والسلام أكثر ما يصوم في شهر شعبان ، وكأن ذلك نوع من التهيؤ والاستعداد لاستقبال رمضان . أما أن يصوم أياماً محددة ، فلم يرد قط .


وفي الشرع لا يجوز تخصيص يوم معين بالصيام ، أو ليلة معينة بالقيام دون سند شرعي.. إن هذا الأمر ليس من حق أحد أياً كان وإنما هو من حق الشارع فحسب .


تخصيص الأوقات ، أو تخصيص الأماكن بالعبادات ، وتحديد الصور والكيفيات ، هذا من شأن الشارع ومن حقه ، وليس من شأن البشر.

والله تعالى اعلم .


Sumber: qaradawi.net


:Terjemahan

:Soalan

Adakah disunatkan berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Sya'ban


:Jawapan

Bulan Sya'ban merupakan salah satu bulan yang digalakkan oleh Nabi saw untuk memperbanyakkan puasa. 'Aisyah r.a telah meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak berpuasa penuh (dalam bulan-bulan yang lain) kecuali dalam bulan Ramadhan. Ini berbeza dengan apa yang dibuat oleh sebahagian masyarakat di sesetengah negara 'Arab, yang mana mereka berpuasa tiga bulan (berturut-turut): Rejab, Sya'ban dan Ramadhan, dan enam hari dalam bulan Syawwal yang mereka namakannya (al-baidh) menjadikan puasa mereka itu bermula dari awal Rejab sehingga hari yang ketujuh dalam bulan Syawwal, kecuali hari raya (iaitu hari pertama dalam bulan Syawwal). Perkara ini tidak ada dari Nabi saw, juga dari .para sahabat serta tabi'in-tabi'in


Nabi saw berpuasa pada setiap bulan. 'Aisyah r.a berkata: Baginda saw berpuasa sehingga kami mengatakan (merasakan) bahawa Baginda tidak berbuka, dan Baginda berbuka sehingga kami mengatakan (merasakan) bahawa Baginda tidak berpuasa. Kadang-kadang Baginda berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, kadang-kadang pada setiap bulan, khususnya pada hari al-baidh (dalam bulan Qamariah), dan kadang-kadang juga baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari yang lain (yang berikutnya), sebagaimana yang dibuat oleh Nabi Daud a.s. Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud a.s, Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari yang lain.


Nabi alaihi as-solatu wa as-salam banyak berpuasa pada bulan Sya'ban. Ini merupakan satu persediaan Baginda untuk menyambut Ramadhan. Adapun (yang mengatakan bahawa) Baginda berpuasa pada hari-hari tertentu tidak ada sama sekali.


Dalam syarak, tidak harus (kita) mengkhususkan puasa pada hari tertentu, atau melakukan qiam pada malam tertentu tanpa ada sanad (sandaran) syar'ie. Sesungguhnya urusan ini bukanlah hak seseorang (untuk berbuat demikian), bahkan ia adalah hak Allah sahaja.


Mengkhususkan waktu-waktu atau tempat-tempat dengan ibadat-ibadat (tertentu) dan menentukan gambaran-gambaran dan kaifiat-kaifiatnya merupakan urusan Allah dan haknya, dan ia bukanlah urusan manusia.


Allah Taala yang Maha Mengetahui.



Friday, August 7, 2009

Allahumma Ballighna Ramadhan


Thursday, August 6, 2009

TG Nik Aziz Seru Rakyat Berdoa Dijauhi Bala H1N1




KOTA BHARU, 5 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkiaskan, virus H1N1 yang semakin serius melanda negara hari ini adalah satu bala atas kemungkaran yang berlaku.

Bala ini katanya akan datang tidak mengira samada di kawasan itu ada golongan agama atau sebaliknya, semuanya akan ditimpa. Lebih-lebih lagi apabila ada golongan agama yang 'membisu' yang tidak mahu menegur atau menasihati kemungkaran yang berlaku, ujarnya sinis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini virus H1N1 yang melanda negara yang kini menyebabkan 12 kematian.

Beliau ditemui di pengkalan kapal, Pengkalan Kubor sebaik menyambut ketibaan delegasi MISI ROYALTI 2009 yang membuat pelayaran ke Pelantar Minyak Cakrawala, sempadan Malaysia Thailand 4 hingga 5 Ogos. Misi itu dikepalai Exco Kanan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

Bercakap lanjut mengenai isu H1N1, Tok Guru bagaimanapun berharap semua pihak berdoa kepada yang Pencipta selain berusaha dengan kaedah perubatan. Beliau turut mahu semua pihak berganding bahu bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan pusat, rakyat mahupun kerajaan-kerajaan negeri.

"Kita kena serah kepada Allah, bala ini bila mari (datang) dia jangan kata tak ada kena mengena dengan Tuhan, alim ulama sebut ia akan kena termasuk kepada orang baik, kerana apa? mungkin kerana dia tidak nasihat dan tak tazkirah.

"Oleh itu kita kena kerjasama semua sekali, rakyat mahupun kerajaan kena bekerjasama, jika tidak habis kena bala, bumi ini tuhan punya, justeru kita tidak boleh buat pandai-pandai," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, seorang lagi kanak-kanak, berusia enam tahun, meninggal dunia 2.30 pagi ini di Hospital Batu Pahat akibat wabak selesema babi A (H1N1), menjadikan jumlah seluruhnya 12 orang meninggal dunia di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Dua korban terbaru wabak tersebut yang dilaporkan sebelumnya terjadi di Melaka. Seorang lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu - masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang - menjadi korban terbaru kes selepas kematian kanak-kanak tiga tahun disahkan akibat virus tersebut.

Mangsa kesembilan Iffah Syazwina Samsuddin dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Hospital Melaka. Korban kelapan membabitkan seorang guru 51 tahun dari Kuala Selangor yang meninggal dunia Ahad lalu. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai.

Setakat ini, 1,476 kes selesema A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara, termasuk 16 kes terbaru termasuk kematian tersebut.

Korban ketujuh, ibu 24 tahun dari Miri, Sarawak yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu meninggal dunia Ahad lepas. Anaknya bagaimanapun dilaporkan selamat. Keenam, murid lelaki berusia 11 tahun dari Johor Bahru meninggal akibat komplikasi, 2 Ogos lalu. Kelima, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia Jumaat lalu.

Pada 28 Julai lalu, wanita berusia 20 tahun dari Melaka meninggal dunia akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran. Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1).

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 26 Julai. Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).


Sumber: harakahdaily.net


Hikmah Perlaksanaan Hukum Hudud Menurut al-Quran Dan Sains

Oleh: Dr. Jamnul Azhar Hj. Mulkan

Hikmah Perlaksanaan Hudud

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap keduanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian. Hendaklah hadir ketika dijatuhkan hukumun terhadap mereka sekumpulan di kalangan orang-orang yang beriman.” (An-Nur:2)

Pandangan Ulama Tafsir

Hukuman ke atas penzina lelaki dan perempuan yang merdeka, berakal dan yang masih bujang atau dara yang masih belum berkahwin adalah disebat dengan seratus sebatan setiap seorang. Hikmah memulakan hukuman ke atas perempuan dalam kes zina dan memulakan hukuman ke atas lelaki ketika kes mencuri adalah kerana kes zina selalunya terjadi disebabkan oleh golongan perempuan yang boleh mengaibkanya lebih daripada lelaki dan lebih memberi kesan keatasnya, manakala dalam kes mencuri pula selalunya berlaku keatas orang lelaki kerana mereka lebih berani dan lebih merbahaya daripada orang perempuan dalam melakukan perkara itu, maka didahulukan orang lelaki daripada orang perempuan.

Pada zahir ayat ini menerangkan akan ketetapan hukuman kea tas penzina –penzina iaitu 100 sebatan rotan tetapi telah ditetapkan di dalam sunnah yang Qat’ie dan penzina yang belum berkahwin dan yang telah berkahwin. Adapun hukuman bagi penzina yang telah berkahwin ialah direjam dengan batu sehingga mati mengikut sunnah secara lisan dan perbuatan.

Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud bahawasanya Nabi Muhammad saw telah bersabda:

“Tidak halal darah orang-orang Islam kecuali berlakunya salah satu daripada tiga perkara iaitu orang yang telah berkahwin berzina, orang yang membunuh dengan sengaja dan keluar daripada agamanya juga berpecah daripada jamaah orang-orang Islam.”

Janganlah kamu berlembut dan berasa belas kasihan ketika hendak melakukan hukuman keatas penzina kerana ini adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah, juga tidak boleh merosakkan hudud Allah yang telah ditetapkan, dan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW daripada apa yang telah diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab al-Kutub as-Sittah daripada Aisyah ra:

“Demi Tuhan yang menciptakan diriku, walaupun sekiranya Fatimah bint Muhammad mencuri, sesungguhnya aku akan potong tanganya.”

Maka dirikanlah hudud ke atas orang-orang yang melakukan perbuatan zina dan pukullah mereka itu dengan pukulan yang menyakitkan untuk memberikan pengajaran ke atas mereka jika kamu beriman dengan Allah SWT dan hari Akhirat.

Dan dirikanlah hudud secara terang-terangan di hadapan sekumpulan daripada orang-orang Islam tambahan balasan bagi orang yang berzina. Sesungguhnya penzina-penzina itu apabila disebat di hadapan orang ramai akan memberi kesan yang lebih untuk mencegah mereka daripada melakukan perbuatan itu lagi. Telah berkata Qatadah:

"Allah S.W.T telah memerintahkan sekumpulan daripada oraang-orang yang beriman untuk melakukan penyaksian ketika hukuman itu dijalankan adalah kerana untuk memberi peringatan, nasihat dan pengajaran".

Kes-kes zina ini disabitkan dengan salah satu daripada perkara berikut:

1- Iqrar atau pengakuan : Ini selalunya berlaku ketika pemerintahan Islam. Keterangan atau penyaksian: Iaitu penyaksian 4 orang saksi lelaki yang merdeka, adil dan beragama Islam dan melihat dengan mata mereka sendiri. Ini sangat jarang berlaku dan tidak terhasil kecuali sedikit.

2- Mempunyai hubungan dengan perempuan yang tidak mempunyai suami yang boleh dikenali baginya.

Perbahasan

Apabila Allah menjadikan manusia, Allah juga menjadikan bersama kejadian manusia itu undang-undang yang dapat mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan kesengsaraan akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri.Terdapat 17 jenis kesalahan yang dihukumkan dengan hukum hudud, antaranya hukum bagi mereka yang melakukan penzinaan. Apabila sabit dua kesalahan terdapat dua jenis hukuman bagi dua kategori manusia yang melakukan kesalahan itu;

1. Sebat 100 rotan untuk yang belum berkahwin
2. Rejam sampai mati untuk penzina yang sudah berkahwin

Kenapakah terdapat perbezaan di dalam hukuman yang di jalankan bagi kesalahan yang sama tetapi dilakukan oleh jenis manusia yang berbeza?

Sepintas lalu, ulama’ menggariskan bahawa menghukum mereka yang belum berkahwin jika disabitkan kesalahan dengan 100 rotan adalah wajar sebagai pengajaran bagi mereka yang melakukanya ataupun remaja yang berkeinginan mencubanya. Hukuman sebat ditentukan bagi penzina jenis ini adalah kerana mereka belum pernah merasa nikmat perkahwinan. Keinginan mereka adalah disebabkan dorongan nafsu yang kadangkala dapat mengatasi fikiran manusia sehingga menjerumuskanya melakukan kesalahan zina.

Rejam sampai mati pula adalah hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina yang sudah berkahwin kerana penzina jenis ini sudah merasai nikmat perkahwinan dan tidak ada alasan yang boleh diterima sebagai kemaafan kerana dikhuatiri tabiat mereka itu akan merosakkan banyak manusia. Rejam sampai mati adalah ubat yang paling mujarab bagi manusia jenis ini.

Hikmah Di Sebalik Perlaksanaan Hudud

Buat penzina yang belum berkahwin, mereka mempunyai antibody T4 Limfosit yang kuat dan masih bertenaga. Jika sekiranya seseorang penzina itu dihinggapi HIV selepas penzinaanya,T4 Limfositnya akan diserang oleh HIV Aids yang akan menyebabkan sel-sel T4 Limfositnya musnah sehingga menyebabkan mati dan akhirnya sel sum-sum tulangnya mengalami kelumpuhan dan fibrosis dan tidak lagi dapat lagi menghasilkan sel-sel T4 yang baru. Badan akan lemah dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit akan menyerang.

Pesakit jenis ini juga mempunyai kemungkinan untuk disembuhkan. Tetapi dengan syarat ia mesti didera dan badannya mesti mengalami kesakitan yang banyak bagi meransang penghasilanan sel-sel T4 yang baru serta mengelakkan sum-sum tulang daripada fibrosis. Cara terbaik adalah dengan menyebat di antara bawah tengkuk dan di atas pinggang di bahagian belakang dengan sebatan yang akan meransang penghasilan semula antibodi T4 yang baru dan pesakit tersebut boleh sembuh daripada AIDS selepas antibodi sel-sel T4 Limfositnya itu boleh menguasai HIV AIDS.

Jika sekiranya pesakit tersebut sudah berkahwin, apabila dihinggapi virus AIDS, sel-sel T4 mereka telah lemah berbanding dengan sel-sel T4 kepunyaan mereka yang belum berkahwin. Kelemahan ini berpunca daripada sum-sum tulang yang mengalami sedikit hakisan dan kurang menghasilkan antibodi kerana lebih banyak ditumpukan ke arah menghasilkan benih-benih bagi tujuan menghasilkan sperma-sperma baru.

Penzina jenis ini tidak akan dapat diselamatkan daripada virus HIV AIDS dan rejam sehingga mati adalah merupakan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran penyakit di samping memberikan pengajaran yang menyebabkan orang lain takut untuk melakukan kesalahan yang sama.

Imuniti Dan Hikmah Perlaksanaan Hudud

Sistem imuniti badan manusia adalah menepati sistem pentadbiran dan pertahanan sesebuah negara Islam. Di dalam badan manusia terdapat berjuta-juta sel yang terdiri kebanyakanya daripada protein. Begitu juga keadaanya antibodi yang terdiri 100% daripada protein. Salah satu keistimewaan bagi haiwan vertebrata ialah keupayaan antibodinya mengenali kandungan asal badan (yang di panggil sel asal) dan benda-benda yang datang dari luar. Tindakbalas imuniti adalah merangkumi kesemua aktiviti yang pada akhirnya menghasilkan penghapusan bahan-bahan luar (foreign materials) samaada melalui proses kecederaan atau tidak. Tindakbalas imun adalah merangkumi dua fenomena yang asas:

1.Tindakbalas humoral (tindakan antibody)
2.Tindakbalas pembaikan sel

Toleran (ketiadaan tindakbalas imun) adalah juga salah satu daripada mekanisme tindakbalas imun yang bertindak sebagai mekanisme pertahanan yang memelihara tindakbalas imun terhadap sel sendiri. Dalam banyak hal, mekanisme pertahanan badan (tindak balas imun) adalah seolah–olah sebuah sistem pengawalan (undang-undang hudud) yang di wujudkan bagi tujuan pengawalan. Sistem ini akan dapat mengenali antara orang asing dan penduduk tetap sebuah negeri. Orang asing yang di anggap mengancam keselamatan akan dihapuskan dengan di hukum dan penduduk asal negeri tersebut yang baik akan di tolerankan. Maka yang menyeleweng di kalangan penduduk asal negeri itu juga turut dihapuskan bagi tujuan keselamatan dan sistem sosial yang teratur itu.

Masyarakat yang tidak mempunyai undang-undang hudud yang telah di tentukan oleh Allah itu adalah seolah-olah masyarakat yang sedang dilanda AIDS dimana kesemua unsur asing budaya dan kehidupan yang boleh membahayakan manusia dan boleh memusnahkan kehidupan manusia dibolehkan masuk seluas-luasnya tanpa sebarang pengawasan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang segala-gala keperluan biologis, psikologi dan mental manusia.

Adalah menjadi satu perkara yang boleh merosakan manusia apabila manusia cuba menentukan haluan mereka sendiri yang mereka sendiri tidak faham dan tidak tahu. Sedangkan Allah, Tuhan yang menjadikan dan menciptakan yang paling arif dan tahu tentang keperluan-keperluan manusia serta sistem pengawalanan yang dapat mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah perhambaan nafsu yang boleh memusnahkan manusia itu sendiri.


Sumber: pmram.org



Monday, August 3, 2009

Hayya Bil Jihad!


Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu
di batang-batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung dengan-Mu
daripada kejahatan-kejahatan mereka,


Ya Allah,
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Pecah-belahkanlah dan kacau-bilaukanlah persatuan mereka,
Goncangkan pendirian mereka,
Dan hantarkanlah anjing-anjing Kamu kepada mereka,
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa,
Wahai Tuhan Yang Maha Menghukum,
Wahai Tuhan Yang bersifat Murka,


Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang menggerakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka.


Aamin...!


'Terjemahan Doa Qunut Nazilah'


Sumber: I Luv Islam.Com



Sunday, August 2, 2009

Bila Tuhan Anugerahkanku Ilham...


Aku cukup berpuas hati menjadikan Allah sebagai Tuhanku, yang sentiasa mendengar rintihanku. Aku cukup berpuas hati menjadikan Islam sebagai tatacara hidupku. Aku juga cukup berpuas hati menjadikan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasulku.

Oh Tuhanku...
Aku amat takut dengan fitnah dunia,
Aku amat takut dengan fitnah insan di dalamnya,
Aku amat bimbang dengan fitnah suasana sekelilingnya.


Tuhanku...
Fitnah yang datang cukup membahayakan,
Di segenap penjuru ia menikam,
Perasaan sedih lagi mengecewakan,
Aku rebah, aku sakit berpanjangan,
Dalam melawan arus yang mendatang.


Tuhan...
Aku insan yang lemah,
Aku insan yang amat memerlukanMu,
mengharapkanMu segala rahmat,
cucuran belaian dan kasih sayang,
yang akan berterusan sepanjang zaman.


Tuhan...
Telah Engkau anugerahkanku...
ilham yang baik ku jadikan pegangan,
ilham yang bernas ku jadikan pedoman,
demi menghadapi segala ujian,
di alam fana ini yang penuh cabaran.


Tuhanku...
Aku amat berkeyakinan,
bahawa Engkaulah Allah, Engkaulah pencipta,
Melindungi aku dari fitnah dunia,
Akan tetap ku katakan,
bahawa...
Engkaulah Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang.




Siti Hasliza Mat Yusoff,
Sweileh, Amman,
02 Ogos 2009.