Wednesday, August 12, 2009

Ziarah Bumi Mesir Masih Dalam Kenangan

Tahun lepas, awal bulan Ogos aku telah bertapak di bumi Mesir. Selama dua minggu aku berada di sana. Secara 'on de spot', dua hari sebelum berlepas, kawanku menelefonku mengatakan ingin membeli tiket ke sana dengan pengurusan Ustaz Mus'ab. Terkejut aku dengan apa yang diperbuat oleh kawanku itu. Dahlah masa tu aku berada di Mu'tah, memang terpinga-pinga dibuatnya. Hajat di hati untuk berminggu di sana, namun kerana keinginan yang teramat untuk jejaki bumi Mesir, aku pulang ke Amman keesokan harinya meninggalkan Mu'tah buat sementara cuma.

Baru saja sampai Mu'tah dah kena balik. Aduhai...perjalanan dari sana ke Amman memakan masa berjam-jam. Oh, penatnya! Aku pulang bukannya dapat rehat pun, kena pindahkan barang ke rumah baruku ini. Kena 'pack' barang tu dan barang ni, kena basuh itu ini, dan banyak lagi. Esok aku dah nak berlepas ke Mesir. Awal pagi pulak tu. Jadi, apa lagi, Ustaz Mus'ab 'and da geng' la yang angkut dan pindahkan barang-barangku ini. Syukur tak terkata. Al-maklumlah, perempuan macam aku ni tak mampu nak 'angkat berat' sebagaimana perempuan-perempuan yang lain. Buat kerja banyak sikit, terus kena ambik nafas baru.

Malam itu aku tak mampu tidur dek banyak kerja yang perlu dibereskan. Hanya tidur-tidur ayam selama satu jam. Kawanku dari Mafraq datang ke rumahku pada malam tersebut bersama rombongannya. Rombongannya itu bermalam di rumah sahabat-sahabat yang lain, manakala kawanku tinggal bersamaku. Seronok aku melihat dia dibuai mimpi, sedangkan aku masih dengan pengemasan rumah dan barang-barang.

Keesokan harinya, aku dan kawanku berlepas dari Lapangan Terbang Amman ke bumi Qaherah, Mesir, memakan masa lebih kurang satu jam sahaja. Oh, hanya sekelip mata aku dah sampai ke bumi bersejarah itu!. Mesir ini merupakan bumi anbiyaa' dan tak lupa juga, ia adalah bumi fir'aun. Aku disambut oleh akhawat di sana. Kami menuju ke Rumah Pelajar Terengganu, hayy 'asyir, Qaherah dengan menaiki van yang disediakan.

Sebaik sahaja sampai, aku disediakan bilik untuk berehat dan bersantai. Letih tak terkata, namun, aku gembira akhirnya sampai jua ke bumi yang ku impikan. Kemudian aku dan temanku dihidangkan nasi 'ikang singgang'. Ya Allah...manalah aku boleh jumpa ikan-ikan segar sebegitu rupa di bumi Jordan, tempat pengajianku ini. Oh, gembiranya!

Bilamana aku berada bersama anak-anak Terengganu, aku terus menukarkan 'lidah'ku. Sama-sama berkomunikasi dengan bahasa 'ganu kiter'. Seronok juga, walaupun pada permulaannya ada rasa nak tergelak. Aku dah biasa hidup dengan kawan-kawan dari berbagai-bagai negeri. Jadi tidaklah rasa kekok dan pelik dengan loghat mereka itu.

Apa yang paling menarik ku berada di bumi Qaherah ialah pengajian ilmu tambahan yang dicurahkan oleh para pelajar di sana cukup memberangsangkan. Ditambahi pula dengan pengajian talaqqi yang tidak putus-putus oleh para mashayikh terutama sekali pengajian di Masjid al-Azhar. Allahu Akbar! Aku rindu dengan suasana sedemikian rupa.

Selepas solat Subuh berjamaah di Musolla Rumah Pelajar Anak Negeri, akan diadakan sedikit Kuliah Subuh. Tepat jam tujuh pagi pula diadakan kuliah atau tazkirah di Rumah Pelajar Negeri Kedah. Kemudian, lebih kurang jam 8.30 pagi pula, kuliah tafaqquh di Rumah Pelajar Pahang dan begitulah seterusnya diadakan di rumah anak negeri masing-masing hingga hampir tengahari. Penyampai kuliah terdiri daripada ikhwah dari tahun dua, tiga, empat dan pelajar Masters. Kita yang mengikutinya terasa penat dengan banyaknya kuliah dan tazkirah yang diadakan di kawasan situ. Kebetulan pula, beberapa rumah pelajar anak-anak negeri berdekatan antara satu sama lain.

Namun, satu perkara yang mengecewakanku ialah bilamana kuliah-kuliah itu hanya disampaikan oleh para ikhwah. Tidak ada satu pun kuliah disampaikan oleh para akhawat, sedangkan akhawat di bumi Mesir begitu ramai. Kenapa boleh jadi begitu? Tidak adakah sebahagian dari akhawat yang cuba bangkit mencetuskan idea perkongsian ilmu ini? Tidak adakah sebahagian dari kita yang bersemangat maju ke hadapan, mencanaikan segala ilmu yang diperolehi, membaca kitab-kitab dan berbincang sesama kita? Tidak adakah perasaan 'jeles' dalam diri kita bila melihat para ikhwah mampu dan sanggup berjuang untuk berkongsi ilmu dengan kita semua? Amat rugilah kalau kita tidak berusaha ke arah kebaikan itu.

Selain itu, syarahan-syarahan umum yang dianjurkan oleh pihak persatuan juga banyak diadakan. Hari kedua berada di sana, aku dan pelajar-pelajar lain dihidangkan dengan muhadharah yang disampaikan oleh as-Sheikh al-Habib as-Syatiri, ulama terkenal dari Yaman. Ma syaa Allah!, menggeletar hatiku dengan muhadharah beliau yang cukup berkesan itu. Beliau bercakap tentang ilmu dan kelebihan mereka yang menuntut ilmu. Bahasa Arab fusha yang dilontarkan oleh beliau itu amat menyentuh hatiku ini. Berlinangan air mata mendengar muhadharah tersebut. Mudah-mudahan aku juga tergolong dalam golongan yang cinta kepada ilmu. Kawasan padang malam tersebut dilimpahi manusia yang datang dari segenap penjuru bumi Mesir.

Sebaik sahaja selesai muhadharah tersebut, aku dikerumuni para akhawat. Mereka meminta dariku agar menterjemahkan fikrah-fikrah yang disampaikan oleh as-Sheikh tadi. Ini kerana mereka tidak memahami sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh beliau. Aku terkejut dan berasa sedikit hairan dengan keadaan para pelajar kita di Timur Tengah ini (walaupun tidak kesemuanya). Kenapa mereka tidak berusaha untuk menguasai bahasa Arab ini, sedangkan mereka dari awal lagi sudah berada di Tanah Arab (peringkat Bachelor)? Kenapa mereka tidak cuba mencari kenikmatan Bahasa Arab ini, sedangkan di sini banyak sumber untuk memilikinya berbanding mereka yang belajar bahasa tersebut di tanahair sendiri?. Fikir-fikirlah demi kebaikan kita untuk mencapai redha Allah swt dan sekaligus mencapai cintanya yang agung itu.

Aku juga berasa cukup bertuah bersama akhawat di sana khususnya anak-anak Terengganu kerana memberi peluang kepadaku walaupun tidak secara rasmi untuk menyampaikan sedikit perkongsian ilmu tentang keseronokan hidup dalam memperjuangkan Bahasa Arab, bahasa yang agung itu. Dapat juga ku lontarkan tentang peri pentingnya syair dalam kehidupan kita. Betapa pentingnya ilmu Nahu dan Sorof dalam memahami al-Quran. Begitu pentingnya ilmu Balaghah dalam merapatkan diri kita dengan pencipta kita Yang Maha Kuasa itu. Oh, syukur padaMu wahai Tuhan!

Kini, aku tidak lagi menjumpai suasana sedemikian rupa. Suasana yang telah ku rasai jua di bumi UIA dulu. Bumi yang masih terpahat di hati ini. Hidupku di sana dengan memberi dan menerima. 'Lidah'ku di sana tidak sama dengan lidahku di sini. Namun, aku pasrah, aku faham bahawa keadaan semasa di sini cukup berbeza, keadaan manusia memang tidak sama. Tapi aku tetap menaruh harapan pada Tuhan sekalian alam, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang agar mengembalikan sejarahku sedemikian, agar aku pulih dari kelukaan, yang telah lama berpanjangan.

Aamin aamin ya Rabbal 'aalamin!


Siti Hasliza Mat Yusoff
Sweileh, Amman.



No comments: