Saturday, August 15, 2009

Mendekati Allah Melalui CiptaanNya

Allah swt tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Semua ada sebabnya. Semua ada gunanya. Semua ada hikmahnya. Terpulang kepada manusia untuk mencari sebab, guna dan hikmahnya itu. Allah hamparkan bumi ini dan mencipta segala sesuatu di dalamya bukan semata-mata untuk manusia hidup dan berkembang biak serta menggunakan segala khazanah kekayaanNya. Apa yang lebih penting, semua penciptaan itu diwujudkan supaya manusia dapat melihat secara zahir akan alam ciptaan Allah ini. Ia adalah bukti besar kepada manusia mengenai wujudnya Allah. Ia adalah sebenarnya dalil bagi mereka adanya Allah.

Demikian juga antara sebab Allah mencipta sekalian alam, bukan sahaja alam syahadah atau alam nyata ini yang boleh dilihat manusia, tetapi juga alam lain. Alam itu adalah alamat atau tanda akan wujudnya Allah. Segala apa yang Allah cipta itu ialah alam. Alam itu adalah apa sahaja selain Allah. Hakikat kewujudan ini hanya ada dua. Satu Allah dan satu alam. Allah adalah Khaliq - yang mencipta. Alam adalah makhluk - yang dicipta. Ada alam maka sudah tentu ada Tuhan yang menjadikannya.

Kebanyakan manusia hanya melihat, tetapi mereka tidak nampak apa-apa. Kalaupun mereka nampak, mereka tidak dapat kaitkan alam ini dengan Tuhan. Pembabitan mereka hanya selapis saja. Manusia tidak dapat melihat apa yang di sebalik ciptaan Tuhan itu. Penglihatan mereka seolah-olah terlindung dan terhijab. Sama sahaja seperti mereka melihat lukisan yang cantik. Mereka terpegun dan memuji kecantikan lukisan itu dan mahu memilikinya. Tidak terbayang di fikiran mereka siapa pelukisnya. Sama juga seperti orang yang memakan hidangan sedap dan lazat. Dia mahu memakannya sehingga habis, tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan memasaknya.

Manusia sebenarnya boleh melihat dengan pelbagai cara. Pertama, dengan mata kepala. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, mata hati. Jarang sekali seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini.

Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu hutan yang tebal dan menghijau. Kalau dia melihat dengan mata akal, maka dia akan nampak balak dan kayu-kayan yang boleh dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Allah dan hikmah terkandung di dalam ciptaan hutan berkenaan. Terasa di hatinya betapa hebatnya Allah.

Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu air yang luas dan membiru serta ombak tidak henti-henti memukul pantai. Orang yang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang boleh ditangkap dan dijual. Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut begitu luas dan dalam yang siapa-siapa pun tidak tahu apa rahsia tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Allah.

Siapa melihat dataran bumi dengan mata kepala, maka itulah sahaja dia nampak iaitu tanah dan batu-batan. Siapa yang melihat dengan mata akal, akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam terkandung di dalam perutnya. Siapa yang melihat dengan mata hati pula akan nampak hebatnya perbuatan Allah yang menghamparkan bumi ini untuk dihuni manusia boleh hidup dan yang mengabdikan diri kepada Allah. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Allah.

Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa menguntungkan dan boleh memuaskan kehendak nafsu mereka. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Allah di sebalik ciptaan-Nya. Alam tidak membawa mereka kepada Allah.

Hati mereka buta kerana jiwa mereka mati - jiwa mereka sudah tidak boleh berfungsi lagi. Mereka sudah tidak mempunyai rasa. Mereka tidak terangsang langsung dengan akhirat. Mereka tidak ingin kepada syurga. Mereka tidak takut kepada neraka. Mereka tidak merasakan peranan Allah dalam hidup mereka. Mereka tidak rasa bahawa Tuhan itu wujud. Kalaupun mereka tahu yang Allah itu wujud, mereka setakat tahu sahaja. Ia belum menjadi sesuatu keyakinan atau pegangan. Justeru itu, soal Tuhan diambil ringan.

Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka adalah hamba. Selagi jiwa mereka tidak dihidupkan selagi itulah mereka akan hanyut di alam dunia mengikut arus yang akan membawa kepada kelalaian, kesesatan dan kebatilan.

Berdoalah banyak-banyak dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin agar Allah berkenan memberi hidayah. Tanpa hidayah, manusia tidak akan dapat menjadi insan tulin yang layak menjadi hamba dan khalifah Allah. Selepas hidayah barulah datang ilmu. Selepas ilmu baru boleh yakin dan faham. Selepas faham, barulah boleh beramal.

Apabila jiwa hidup, mata hati akan celik. Ketika itu, kita akan nampak apa-apa tersembunyi selama ini. Allah akan angkat hijab bagi kita. Akan terbongkar segala rahsia yang tidak pernah kita tahu sebelum ini. Hati akan mudah dengan kebenaran dan jinak dengan kebaikan. Keyakinan datang tanpa perlu difikir dan diakal-akalkan. Segala-galanya akan mudah difahami.

Firman Allah bermaksud: "Dan demi sesungguhnya Kami sudah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?" (Surah Al-Qamar: Ayat 17,22,32 & 40)

Allah juga berfirman bermaksud: "Dan Demi sesungguhnya Kami berulang-ulang kali menyebarkan hujah antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalKu serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur." (Surah Al-Furqan: ayat 50 )

Allah berfirman lagi bermaksud: "(Engkaukah yang lebih baik) atau orang-orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil ketakutan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah Al-Zumar: ayat 9)

Dalam ayat lain, Allah berfirman bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga, (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah Al-A'raaf: ayat 179).


Susunan: Hashim Ahmad
Harian Metro, 27 Februari 2009, m/s: A14
Dipetik dari: facebook.com



No comments: