Salam Kamunting,

Walaupun anda orang Perak, anda tak boleh memilih perak menggantikan emas.

Walaupun orang sibuk sangat berkerumun merebut perak, anda pasti akan rugi jika disibukkan juga dengan gelagat ramai meninggalkan emas.

Kalau berlumba nak dapat perak, anda bukanlah seorang atlit. Anda mungkin hanya seorang pengampu raja yang mesti diberi emas setiap kali masuk gelanggang.

Sebut kata raja, maka emas adalah untuknya walaupun ’smash’nya asyik tersangkut di jaring atau keluar gelanggang.

Anda samada memilih emas atau mengurniakannya kepada yang sememangnya berhak ke atasnya.

Hari ini, kita sedang mengikuti krisis di negeri Perak. Krisis politik, krisis perlembagaan, krisis raja, krisis Melayu dan paling tidak disebut, krisis nilai.

Saya bertanya ayahanda, adakah ini sama seperti krisis mageran di Kelantan dahulu? Ayahanda menjawab, di Kelantan, ia dibuat - buat. Bakar tayar, bakar balai polis, kemudian isytihar darurat untuk rampas Kelantan. Ibrahim Ali adalah kepala pengat! Semacam ayahanda ingin melebihkan krisis di negeri Perak berbanding di Kelantan. Pada signifikannya.

Paling berbeza di antara dua krisis tersebut ialah anda sendiri. ‘Anda’ dulu adalah orang tua - tua. ’Anda’ sekarang adalah anak - anak muda yang berpendidikan dan berilmu. Yang muda - muda dulu ramainya hanyalah kaki wayang yang hanyut dalam dunia cinta Hisdustan dan Tamil. Hari ini, anak - anak muda adalah kaki blog dan kaki demontrasi menentang kemungkaran politik dan kerajaan.

Dunia ini tempat krisis. Di syurga tak ada krisis lagi. Di neraka, krisis antara penghuninya dilayan tamat dengan masing - masing disimbah azab panas yang bertambah - tambah. Adapun di dunia tempat kita duduk ini, krisis sentiasa berlaku dan ia sebahagian kehidupan. Kehidupan berlangsung dengan wujudnya krisis.

Jika tangan manusia tidak melakukannya, tangan Allah pula melakukannya. Krisis kemarau, krisis banjir dan tanah runtuh, malah krisis macam - macam wabak penyakit yang di luar tangan manusia. Kita dihidupkan dengan krisis dan dipaksa berkrisis.

Jika anda memahami ini, anda sebagai seorang muslim pastinya akan lebih mudah menerima hakikat bahawa dalam krisis itu ada hikmat. Ada jawaban yang anda perlukan dalam kehidupan anda. Justeru anda tidak boleh menempelaknya sebagai buruk atau membelakanginya demi kesucian diri. Allah menciptakannya dan setiap ciptaan Allah penuh dengan hikmah dan kebenaran yang tersembunyi dan nyata.

Jika anda menguasainya, anda akan memperolehi hikmah dan kebenaran itu. Jika anda gagal menguasainya, anda akan kempunan dan kehilangan pedoman dalam kehidupan. Justeru anda perlu bijak berhadapan dengan krisis. Jika anda mahu menang, anda mesti masuk berlawan dulu. Jika anda mengisytihar menang sebelum berlawan, anda akan ditertawakan. Jika anda menawan sebuah empayar pun, orang akan kata, itu empayar haram di perintah oleh bapak menteri haram yang makan gaji haram!

Sebenar - benarnya anda masa itu menghina diri sendiri dengan membunuh diri sendiri di hadapan khalayak semata - mata untuk membuktikan bahawa anda berani membunuh diri!

Di negeri Perak yang sedang berkrisis sekarang, anda hanya perlu menilai dan membezakan di antara tiga perkara. Apakah yang benar dan bagaimana kebenaran itu dijulang pejuangnya. Anda tak boleh dan jangan sesekali mengenal kebenaran melalui orang. Kenali orang melalui kebenaran yang telah anda kenali.

Ertinya, anda perlu melihat kepada tiga. Kebenaran, pejuangnya dan bagaimana ia dibawa.

Jika kebenaran ditemui bersama UMNO, UMNOlah sedang memperjuang kebenaran. Bagaimana ia memperjuangkannya, itu soal ketiga yang tidak akan merosakkan yang pertama walaupun ia boleh memberi kesan kepada yang kedua.

Jika kebenaran ditemui bersama PAS, PASlah pejuang kebenaran. Bagaimana ia diperjuangkan, itu soal ketiga yang terpisah yang tidak akan mengganggu kebenaran.

Jangan nilai kebenaran pada tindakan memboikot majlis angkat sumpat, kekal bertahan di rumah MB atau berdemo dan berbaringan di atas jalan raya. Itu cara menjunjung kebenaran. Itu mungkin betul dan mungkin salah caranya. Ia mungkin menambah manis atau mungkin menambah masin. Ia tetap gulai kambing untuk santapan.

Jangan pula menilai kebenaran pada upacara gilang - gemilang di istana, dipancar langsung di kaca tv atau diulas manis 24 jam. Itu cara menjunjung kebenaran yang didakwa. Ia tetap batil jika ianya sah batil.

Telanjangkanlah kebenaran atau pakaikannya dengan emas berlian, ia adalah kebenaran yang tidak memerlukan apa - apa pun untuk ia kekal benar. Kenapa? Kebenaran itu daripada Allah. Ia tunjang dan neraca di bumi dan dengannya bumi kekal bergerak dan berlayar di peredaran masa.

Adapun pejuangnya, ia adalah perlakuan manusia dan makhluk. Gagah mana makhluk itu, kentallah ia mendakap kebenaran dan cantiklah ia membawa kebenaran.

Bola tetap bola. Jika ia di kaki Ronaldo, cantiklah ia menerjah gawang! Tapi jika ia di kaki pondan atau kaki rasuah, stadium pun runtuh ditagur penonton!

Ia bukan soal PAS atau UMNO. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam neraca syariah dan ugama. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam neraca kemanusian dan keadilan. Di Perak, ia bukan soal PAS atau UMNO.

Ia soal siapa berhak memerintah dan mentadbir negeri Perak daripada sudut kesahihan undang - undang yang termaktub. Kalau BN, BNlah. Kalau PR, PRlah. Jangan anda membodoh diri dengan neraca sendiri yang salah.

PAS dan UMNO bukan krisis di Perak yang tengah bermula. PAS dan UMNO adalah krisis negara. Ia telah lama dan matahari kebenaran telah pun tegak di atas kepala.

Semua tahu kerajaan PR adalah sah semasa ia mengangkat sumpah memerintah negeri Perak selepas menang dalam pilihan raya umum tahun lepas. Hari ini, hak itu telah ditarik dan dilucutkan. Malangnya, ia berlaku secara luar tabi’ie dan penuh kekeliruan. Ia dibayangi komplot politik murahan dan jelik. YAB Nizar dihalau dari pejabatnya. Krisis berlaku. Kedua - dua pihak yang bertentangan masing - masing mendakwa kebenaran.

Apabila kebenaran menjadi pertikaian dan mula kelihatan samar, anda perlu merujukkannya kepada neraca yang benar. Itulah singgahsana tempat kebenaran bertakhta. Jangan rujukkannya kepada Israel atau Amerika. Di situ tempat kebatilan dipakaikan tatahan berlian. Jangan rujukkannya kepada UMNO atau PAS. Mereka adalah orang dalam kandang. Mereka bukan hakim dan tak boleh dilantik sebagai hakim pun.

Carilah nabi Daud alaihis salam jika anda berebut kambing! Dialah hakim yang adil. Itu, inikan pula berebut kerajaan!

Negara kita negara undang - undang. Semua kita terikat dengan undang - undang. Jika anda hanya inginkan dunia, nyahkan undang - undang al Quran. Jika anda inginkan dunia dan akhirat, letakkan undang - undang al Quran yang benar itu di hadapan undang - undang negara yang dipaksakan ke atas kita di dunia ini.

Kita adalah rakyat atau pemerintah atau raja. Raja, pemerintah dan rakyat perlu akur bahawa mereka perlu tunduk pada undang - undang dan perlembagaan negara. Orang PAS tak boleh melaksanakan hukum potong tangan ke atas pencuri kerana undang - undang negara melarang hukum al Quran itu dilaksanakan. Tiada cela daripada Allah pada perkara yang dipaksakan.

Rakyat hari ini bukan seperti rakyat dulu. Rakyat yang berilmu dan meraikan ilmu.

Pemerintah hari ini bukan seperti pemerintah dahulu kala. Ia dipilih dan diangkat oleh rakyat. Ia dipecat dan dijatuhkan rakyat.

Raja hari ini bukan lagi raja zaman purba kala. Raja dulu titahnya adalah undang - undang. Raja hari ini undang - undang mengatur titahnya.

Begitu semangat negara kita dibetuk di hari kita merdeka daripada penjajahan barat. Sesiapa yang melanggar undang - undang, dia salah dan mesti dihukum. Jika anda melindunginya, anda adalah pengkhianat negara. Samada anda rakyat atau pemerintah atau raja.

Begitulah semangat kebenaran dijulang. Ia mudah.

Tetapi di negara kita ada kepayahan. Jika negeri Perak sedang mengalami krisis perlembagaan, maka negara kita sedang mengalami krisis kehakiman. Dahlah undang - undang pun penuh cacat dan cela, para hakim pun dicalit cacat dan cela. Samada sistem kehakiman itu dicemari oleh para hakim sendiri atau ianya dicekik oleh pemerintah BN hari ini, krisis kehakiman akan tetap mewarnai penghakiman ke atas negeri Perak yang sedang berkrisis.

Justeru kita dihadapkan dengan krisis yang lebih besar. Krisis nilai dalam kehidupan.

Kita perlukan guru yang mengajar kita nilai kehidupan. Ia bukan raja atau pemerintah. Guru kita adalah orang - orang yang berilmu di antara kita.

Saya menyarankan anda mengambil kira pandangan para ulama, para pengamal undang - undang, para politikus dan ilmuan lain yang bersih dan berjuang di medan perjuangan yang luas. Mereka guru yang akan memimpin kita kepada nilai hidup yang membahagiakan. Negara kita akan kembali sentosa dengan pemartabatan nilai dalam kehidupan.

Kita hadapi krisis di negeri Perak seadilnya. Biar pun perak kita terlepas, asalkan emas kita miliki. Kebenaran adalah emas dalam kehidupan. Kebenaran adalah nilai kehidupan sebagaimana emas adalah nilai mengukur wang dan harta.

Syurga tiada krisis di dalamnya. Jika kita ingin selamat daripada krisis, kita mestilah jadi ahli syurga sebelum masuk syurga lagi. Ia hanya milik seorang muslim yang tunduk pada kebenaran TuhanNya.


Sumber: nikabduh.wordpress.com