Tuesday, June 24, 2008

Mengenali Tokoh Ulama' Kelantan (1)

TOK KENALI ( 1870-1933)


Tokoh ulama Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulama besar Semenanjung Tanah Melayu. Sezaman dengan Tun Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dan lain-lain. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.


Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad. Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H-1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu dan soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum itu, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawwuf sahaja).


Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, nam
un, beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa, bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-muridnya termasuklah Hj. Mat Jebeng, Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payung, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato' Hj. Ahmad Maheral-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato' Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato' Hj. Hasan Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor), Dato' Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhar Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).


Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri, Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Makkah), juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar. Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' itu sangat berkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali. Beliau kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad, 2 Syaaban 1352 bersamaan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.

Tok Kenali Bersama Keluarga

Tok Kenali Bersama Pendita Zaaba

Maqam Tok Kenali



Artikel ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan,
disusun oleh Ismail Che Daud
Potret-potret tokoh tersebut diambil dari laman Potret Ulama: http://potretulama.multiply.com/


Monday, June 23, 2008

Adakah Al-Quran Buah Hati Anda?


20 soalan muhasabah diri...

1) Adakah anda membaca al-Quran setiap hari?


2) Adakah
anda suka menghafaz al-Quran?

3) Adakah anda cemburu terhadap penghafaz-penghafaz al-Quran?


4) Adakah anda berasa serba salah bila tidak membaca al-Quran setiap hari?

5) Adakah anda berusaha untuk memahami al-Quran?


6) Adakah anda menangis bila dapat memahami al-Quran?



7) Adakah anda membaca al-Quran dengan bertajwid?


8) Adakah anda berusaha melunakkan suara bila membaca al-Quran?


9) Adakah al-Quran sentiasa bersama anda walau di mana anda berada?


10) Adakah anda bersungguh-sungguh untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran?



11) Adakah anda menyusun jadual harian anda untuk mengkhatamkan al-Quran dan menghafaznya?


12) Adakah anda suka berkawan dengan penghafaz-penghafaz al-Quran?


13) Adakah anda suka mendengar bacaan dari qurra'
al-Quran?


14) Adakah anda meletakkan al-Quran kitab yang teratas dari susunan kitab-kitab lain?


15) Adakah anda rasa terpanggil untuk menegur kesilapan mereka yang menulis ayat-ayat al-Quran dan memperbetulkannya?


16) Adakah hati anda 'tersentuh' bila mendengar orang membaca al-Quran?


17) Adakah anda kagum dengan bahasa dan susunan ayat-ayat al-Quran?


18) Adakah anda bercita-cita untuk membina keluarga penghafaz al-Quran?


19) Adakah anda tersentak dan marah terhadap orang-orang yang mempermainkan hukum al-Quran?

20) Adakah anda berusaha dengan sedaya upaya untuk mempraktikkan seruan al-Quran?




Sunday, June 22, 2008

Renungan Buat Muslimah

Sebagai manusia biasa, kecenderungan terhadap ‘Si Dia’ merupakan satu fitrah yang dikurniakan Allah kepada makhluknya. Namun, akal merupakan nikmat yang besar yang perlu dijaga dan digunakannya dengan sebaik mungkin demi kebaikan diri masing-masing, mengikut acuan yang dikehendakiNya.


Zety (bukan nama sebenar) seorang pelajar universiti yang cerdik dan cekal hatinya. Dia seorang yang berpegang kuat pada landasan-landasan Islam menyebabkan kehidupannya tidak sama dengan kebanyakan pelajar-pelajar kota, dari segi muamalahnya, tutur katanya, pemikirannya dan tatacara hidupnya, yang mana kehidupan di kota banyak menjurus ke arah kehidupan yang bebas dan kurang berpegang pada ajaran Tuhan. Zety bukanlah seorang perempuan jalanan yang ke sana ke mari tanpa tujuan yang penting untuk dilakukannya.


Oleh kerana dia seorang wanita beragama dan berpendidikan, ada yang berminat dan cenderung kepadanya untuk dijadikan ‘permaisuri rumah tangga’. Namun, mereka tidak berani untuk menyatakan hasrat yang suci itu. Tambahan pula, segan dengan sikap Zety yang pemalu dan suka menjauhkan diri dari lelaki yang bukan mahramnya. Sebahagian daripada mereka yang berani menyuarakan khitbah melalui ‘orang tengah’ ditolak olehnya kerana mereka kurang berpendidikan agama, dan beraliran barat yang kurang tahu tentang kesyumulan Islam.


Suatu ketika tanpa disangka-sangka, Zety mengenali seorang pemuda yang digelar dengan Ustaz K, yang dianggapnya hebat pada penulisan dan artikelnya yang bertebaran dalam internet. Zety tidak tahu siapa lelaki tersebut, hanya melalui tulisan-tulisan yang amat dikaguminya. Dia yang suka membaca blog-blog manusia, tiba-tiba ternampak 'id YM' Ustaz K tersebut, di’add’nya id itu, kononnya ingin mengenali tuan empunya blog itu dan bertukar-tukar pendapat dengan beliau. Memang sah, lelaki yang dianggapnya hebat pada penulisannya itu, sebenarnya manusia hebat yang Allah kurniakan ilmu kepadanya. Kehidupannya yang sentiasa dengan ilmu menjadikan Zety suka bersoal jawab dan bertanya tentang dunia ilmu yang memang diminatinya.


Namun, tanpa diduga, lelaki tersebut juga meminati pendirian Zety, cara kehidupannya yang sedikit berlainan dengan wanita-wanita lain serta dirinya yang suka kepada ilmu. Akhirnya Ustaz K menyatakan minatnya yang mendalam terhadap Zety untuk selalu bertukar-tukar pendapat dalam ilmu pengetahuan. Tetapi Zety mengelak diri dengan menyatakan minat yang mendalam sedemikian rupa, kemungkinan boleh membawa kepada perasaan cinta yang mungkin jatuh ke lembah dosa. Akan tetapi Ustaz K bertegas bahawa perhubungannya melalui alam siber ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar menambah ilmu pengetahuan. Tetapi hati Zety yang halus itu begitu takut dengan ustaz tersebut, bimbang kalau-kalau hubungan walaupun hanya melalui alam siber boleh membawa kepada bibit-bibit percintaan yang tidak berlandaskan agama, disebabkan kata-kata Ustaz K yang selalu menyebut ‘suka’, ‘minat yang mendalam’, ‘awak hebat’, ‘awaklah wanita yang diidamkan’ dan sebagainya.


Disebabkan perasaan takut dan risau yang ada pada dirinya itu, beberapa hari kemudian Zety terus bertegas pada Ustaz K bahawa kalau beliau memang ada hati dan berminat untuk berkahwin, maka Zety mahukan kata-kata yang terus –terang (khitbah) dan kemudiannya terus melangsungkan perkahwinan agar tiada hubungan yang tidak baik berlaku. Tetapi ustaz K berkata: “awak tak kenal saya, saya pun tak kenal awak”. Lalu Zety terus menjawab: “kalau macam tu, tak perlulah berkomunikasi dengan kata-kata yang sedemikian rupa. Kalau mempunyai niat yang betul, nak berkahwin dalam masa yang terdekat bolehlah berkenalan dengan lebih lanjut."


Ketegasan Zety itu menyebabkan Ustaz K mengiakan apa yang terdapat pada hatinya dan bersetuju untuk bermuamalah sedemikian, dengan niat untuk berkahwin dalam masa yang terdekat. Kebimbangan itulah menyebabkan Zety tidak suka bergaul rapat dengan mana-mana lelaki yang tiada pertalian darah dengannya. Lebih kurang seminggu Zety berkenalan dengan Ustaz K yang hanya melalui e-mel dan YM, akhirnya dia berfikir untuk menyatakan perkara ini kepada keluarganya serta persediaan-persediaan yang perlu dibuat. Namun hatinya begitu berat lagi untuk memberitahu keluarga kerana dia ingin tahu siapa sebenarnya Ustaz K, di samping pengesahan yang sebaik-baiknya dari beliau.


Hati Zety berasa tidak selesa, semacam ada sesuatu yang hendak diperkatakan pada ustaz tersebut. Lalu pada suatu ketika, dia terus bertanya: “adakah ustaz dah berkahwin?”. Sebelum ini, hati Zety telah mengatakan sedemikian, namun dia membiarkannya sahaja. Ini kerana dia tahu bahawa Ustaz K masih muda, belum mencecah umur 30an. Baginya ramai lagi muda-mudi yang belum berkahwin sekitar umur 26, 27 atau 28.


Bila soalan itu dilontarkan, Zety merasakan seolah-olah Ustaz K tidak mahu menjawab dan ingin mengelak diri. Akhirnya setelah didesak olehnya, Ustaz K memberi jawapan melalui e-mel bahawa beliau telah berkahwin dan mempunyai anak. Zety amat terkejut dengan berita tersebut, berkecai hatinya, sedih mengenangkan keadaan itu. Dia menangis teresak-esak mengenangkan bagaimana seorang lelaki yang baik pada fikirannya sanggup berbuat demikian tanpa memberitahu keadaannya yang sebenar. Sebelum ini, Zety betul-betul bertekad untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa yang terdekat demi mengelakkan fitnah yang akan berlaku. Namun, itulah hakikat, kita manusia yang dhaif, tidak akan tahu apa yang akan berlaku.


Ustaz K sebenarnya sudah lama ingin memberitahu Zety tentang status dan keadaan dirinya, namun begitu berat untuk menyatakannya, bimbang kalau-kalau Zety terus memutuskan hubungan dengannya. Sedangkan beliau begitu tertarik terhadapnya dan merasakan bahawa Zety amat berlainan dengan isterinya. Namun, Zety faham ‘kejutan’ yang melanda pada diri Ustaz K itu. Dia memaafkan beliau, walaupun pada hakikatnya kesedihan itu amatlah dirasai. Zety tidak mahu hidup bersama Ustaz K, kerana dia simpati dengan isteri dan anak-anaknya yang amat memerlukan kasih sayang beliau. Walaupun dia terharu dengan peristiwa tersebut, namun terus mengharapkan agar Allah memberi ketenangan dan mengampunkannya jika ada kesilapan yang telah berlaku.


“Takpelah Zety, awak tu masih muda lagi. Ujian Allah ni selalu datang, tambah-tambah lagi orang yang baik macam awak ni. Insya Allah, awak akan dapat orang yang hebat macam awak jugak.” Senyuman Zety selalu terpancar bila dinasihatkan sedemikian.


Selang beberapa lama, dikhabarkan bahawa Zety telah melangsungkan perkahwinan dengan orang yang hebat pada pandangan saya. Pasangannya yang amat sesuai, seorang lelaki yang kuat berpegang pada agamanya, menjadikan saya terharu melihat wanita seperti Zety. Agamalah jua menjadi pilihanya!. Suaminya yang petah berbahasa Arab menjadikannya suka berkomunikasi dengan Bahasa Al-Quran itu. Tersenyum saya melihat anugerah Allah yang diberikan kepada Zety sebagaimana yang dimintanya.

Sekian.


* Artikel ini merupakan luahan hati seolah pelajar dan ditulis sebagai renungan bersama *



Friday, June 20, 2008

Ingat Kembali Bala Allah!

Tsunami 2004





Tanggal 26.12.2004
Air mata rasa berlinang
Ingat peristiwa dahsyat
Bencana alam
gegaran sungguh kuat
Tsunami dah datang
semua yang Allah buat


Bencana bumi malanda Samudera
Yang Tuhan jadi pada manusia
Nama diberi Tsunami berbisa
Ramainya mati seluruh negara


Kejadian Tuhan tidak dijangka
Airnya pasang sekelip mata
Banyaknya hilang harta benda
Sehelai sepinggang hidup tersiksa


Beribu-ribu jadi terkorban
Terasa pilu mata memandang
Ayah dan ibu anak tersayang
hilang begitu dibawa gelombang


Ramainya hilang meninggal keluarga
Belas kasihan tak berair mata
Kejadian alam sungguh bahaya
sampai sekarang tidak akan lupa


Mari bersatu kita doakan
ia berlalu dalam ingatan
Apa yang perlu kita salurkan
Sama membantu memberi sumbangan


*Diambil dari sebuah lagu berjudul 'Tsunami'
dan diolah oleh empunya blog ini *




Pemergian Abah

Abah...
Tanggal 3 Mei 2006
Kau pergi meninggalkan aku dan keluargamu
Pergi untuk sekian lamanya
mengadap Rabbul Izzati
mengadap panggilan Ilahi yang Maha Tinggi

Belum ku sangka belum ku duga
Pemergianmu sebegini rupa
Engkau tidak sakit
Engkau tidak lupa
Engkau sebagaimana biasa yang ku tatapi
sebelum meninggal desa demi mencari rezeki
Tapi Allah yang Maha Mengetahui
Ajal yang datang sukar dimengerti

Gelak tawamu masih terngiang-ngiang
Engkau pergi dalam keadaan tenang
Senyuman yang manis buat keluarga tersayang
tanda ingatan buat kami sekalian

Abah...
Doaku untukmu takkan ku lupa
walau di mana aku berada
terus menerus tetap ku baca
demi kebahagiaanmu yang berada di sana
di alam yang lain tak sama dengan dunia

Ya Allah...
Cucurilah rahmat buat abahku
Berikanlah kasih sayang untuknya selama-lama
Redha dan maghfirah dariMu diharapkan jua
dari anak yang dhaif yang tak punya apa
hanya harapan dan keyakinan yang ada
bahawa Engkau tetap bersamanya.



Thursday, June 19, 2008

Tolong Jangan Biadap Dengan Allah!


Artikel ini di tulis oleh Ust Zaharuddin Abd Rahman, diambil dari laman web: http://zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=726&Itemid=72


Amat menaikkan darah apabila sedang solat tiba-tiba ada orang melintas di depan kita. Jahilkah si dia?. Biadap sungguh. Agak kerap berlaku, ketika kita menunaikan solat sunat selepas Jumaat, manusia-manusia biadap ini dengan selambanya melintas tanpa ambil kisah kita sedang menunaikan solat.

Amat perlu kita semua menasihatkan diri dan semua yang dikenali agar menjauhi sikap melintas di hadapan orang solat, terutamanya bagi mereka yang amat prihatin dalam hal solat. Salah satu tanda keperihatinan seseorang itu dengan solatnya adalah apabila ia meletakkan 'penghadang' khusus di depannya ketika solat sunat seorang diri.
Tegahan melintas di hadapan orang solat ini disebut dalam dua hadis ini, sabda Nabi s.a.w :-

لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين
يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً

Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perawi : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari) [1]


Dan sebuah lagi hadis menunjukkan besarnya dosa lalu dihadapan orang solat :-

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى
فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَان

Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari) [2]

Jelas dari dalil-dalil ini, sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah (penghadang) agar tiada individu yang mendapat dosa kerana melalui di hadapan kita selain merosakkan solat kita. Selain itu, amat perlu juga kita menahan sekiranya terdapat individu ingin melintas sewaktu kita menunaikan solat.
Ada yang bertanya kepada saya, mengapakah dosa melintas ini kelihatan terlalu besar?. Jawabnya mudah.
Anggaplah apabila anda melintas di hadapan orang yang solat, individu tersebut telah menunjukkan kebiadapannya terhadap Allah s.w.t, tiada hormat kepada Allah yang sedang berhadap kepada orang yang solat. Keadaan ini jelas dari sabdaan baginda nabi s.a.w :-


فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ

Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud) [3]
Jelas, individu yang lalu TANPA HORMAT kepada Allah dan orang yang bersolat melintas. Secara langsung juga, individu itu juga biadap kepada orang yang sedang solat.

Kesimpulannya, jauhilah sifat buruk dan dosa ini. Adapun ketika di Mekah yang terlalu ramai manusianya yang pelbagai ragam dan sikap, mungkin ada keringanan sedikit disebabkan keadaan yang tidak amat sukar dikawal, namun demikian, saya yakin keadaan tersebut boleh dikawal di Malaysia. Jangan jadikan diri sebahagian dari kumpulan biadap ini.
Sekian.

Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/
13 Jun 2008

________________________

[1] Sohih Al-Bukhari, , no 487, 1/191
[2] Sohih Al-Bukhari, , no 486, 1/191
[3] Fath al-Bari, Ibn Hajar, 2/304



Wednesday, June 18, 2008

Wajarkah Pelajar Universiti Berpolitik?


Islam satu agama yang syumul, satu tatacara hidup yang komprehensif yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia samada dari sudut aqidah, ibadah, sosial, politik, muamalah, munakahah dan sebagainya. Ini kerana Islam adalah agama Allah yang diturunkan kepada Nabi kita Muhammad SAW untuk mengajar dan mentarbiyyah manusia demi kebaikan mereka di dunia dan di akhirat. "Tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam."

Kita selalu mendengar persoalan dari sebahagian masyarakat kita bahawa "wajarkah pelajar universiti itu berpolitik?", "bolehkah politik disebarkan dalam sesebuah universiti?, "apa hukum berpolitik?" dan sebagainya. Soalan-soalan sebegini menjadikan saya hairan dan kekok dengan keadaan masyarakat kita sekarang. Ini kerana kehidupan kita yang tidak mempraktikkan Islam secara menyeluruh menjadikan kita kurang faham tentang Islam.

Politik merupakan satu cabang kehidupan manusia. Meninggalkan politik bermakna meninggalkan satu bahagian dalam kehidupan kita yang dituntut oleh Islam, samada seseorang itu bergelar pelajar sekolah, pelajar universiti, staf kerajaan atau swasta, orang awam, orang kampung dan sebagainya perlu berpolitik dengan politik Islam. Jadi, persoalan wajar atau tidak wajar berpolitik seharusnya tidak timbul dalam kehidupan seseorang.

Bila kita bercakap tentang politik, ramai di kalangan kita memikirkan tentang pemerintahan negara. Sebenarnya ilmu politik Islam itu amat luas. Ia mencakupi banyak ruang kehidupan kita sebagai seorang Islam, termasuklah urusan pentadbiran keluarga, sekolah, pentadbiran kampung, universiti, pejabat-pejabat dan termasuklah juga pentadbiran negara.

Setiap manusia yang mengaku beragama Islam, yang beriman kepada Allah pasti sentiasa memuji dan memujaNya dengan menghambakan dirinya kepada Tuhan yang mentadbir alam ini. "Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir sekalian alam". Upacara penghambaan diri kita ialah dengan tunduk dan patuh pada perintah Allah sekalipun kehendak kita bercanggah dengan kehendak Allah, dan juga meninggalkan segala laranganNya sekalipun larangan tersebut amatlah kita cenderung untuk melakukannya. Jadi, biarlah kita berpolitik atau mentadbir setiap urusan pentadbiran mengikut acuan yang diberikan oleh Islam.

Berbicara tentang politik juga amatlah sensitif bagi mereka yang kurang jelas tentang kesyumulan Islam. Begitu hebat 'alghazwul fikri' (perang saraf) yang dibuat oleh penentang-penentang Islam sehinggakan terpahat dan terpacak dalam benak masyarakat kita hari ini dengan frasa 'politik lain agama lain'.

Nabi Muhammad SAW sendiri merupakan ahli politik yang hebat dan bijak dalam mengatur strategi-strategi pentadbirannya samada dalam pentadbiran keluarga, masyarakat dan negara sehinggakan pemikir-pemikir barat mengakui kebijaksanaan Nabi yang tiada tandingannya. Pemikiran Nabi SAW bukanlah hanya sekadar pemikiran 'tok lebai' atau 'ustaz' yang kita faham pada hari ini, iaitu sekadar mengajar ilmu fiqh, ilmu tajwid dan seumpamanya, bahkan lebih dari itu, yang mana baginda merupakan seorang pemimpin atau ahli politik yang berkaliber dan berwawasan tinggi dengan misi dan visi perjuangannya yang diutus oleh Allah sebagai model kepada semua manusia di muka bumi ini.

Kebijaksanaan baginda dalam menguruskan urusan kehidupan ini memang diakui dan diiktiraf oleh semua. Ini kerana baginda SAW tidak mempelajari sesuatu ilmu dengan sesiapa sahaja, bahkan secara langsung mendapat wahyu dari Allah melalui Jibril AS. "Katakanlah wahai Muhammad: sesungguhnya aku seorang manusia seperti kamu (manusia yang lain) yang diwahyukan kepadaku...".

Ramai di kalangan kita juga, bila menyebut tentang politik mereka memahaminya sebagai sebuah parti politik bagi pihak-pihak tertentu. Dalam sesebuah negara demokrasi seperti Malaysia, parti politik perlu ditubuhkan untuk memegang tampuk kerajaan. Mana-mana parti yang menang dalam Pilihan Raya Umum akan dapat memerintah kerajaan Malaysia berpandukan kepada dasar-dasar atau arah tuju sesebuah parti masing-masing. Parti-parti politik ini merupakan satu platfom, wadah atau juga boleh dikatakan sebuah bekas untuk meletakkan dasar perjuangan atau prinsip masing-masing dalam mentadbir negara. Parti-parti juga merupakan kulit atau hiasan luaran sahaja, manakala isinya ialah dasar-dasar yang diperjuangkan yang menjadi asas yang utama, yang akan mencorak dan membentuk sesebuah kerajaan.

Oleh itu tidak dapat tidak, bagi mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlu berada di dalam sesebuah parti atau pertubuhan yang berdasarkan kepada dasar-dasar yang dikehendaki Tuhan pencipta kita, agar mereka yang memimpin parti tersebut dapat melaksanakan perintah Tuan Empunya alam ini iaitu Allah SWT. Tak kiralah samada parti yang melaksanakan dasar-dasar Islam itu ialah PAS atau PIS atau PUS, UMNO atau UMNA atau UMNI, yang penting ialah perlu merealisasi dan mempraktikkan agama Allah dalam kerajaan kita ini.

Begitu juga dengan pentadbiran-pentadbiran bawahan yang lain, yang telah saya sebutkan tadi seperti pentadbiran sekolah, universiti, pentadbiran kampung serta persatuan-persatuan atau mana-mana jamaah perlu ditadbir dengan poltik Islam, perlu dipimpin oleh mereka yang ingin mendaulatkan Islam agar pentadbiran mereka selari dengan piawaian yang dikehendaki oleh Allah berdasarkan kod-kod yang terdapat dalam al-Quran dan al-Hadith. Ini kerana jika kita enggan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Tuan Empunya alam yang Maha Agung ini, pasti kita akan di 'tampar' dan di 'sepak' olehNya yang bersifat dengan sifat al-qahhar, al-jabbar dan al-mutakabbir. Kita sebagai kuli atau hamba Allah yang kerdil, yang hanya menumpang duniaNya wajib taat pada 'rules n regulations'Nya yang amat tepat dan selamat untuk kita semua.

Akhir kalam, kita sebagai pelajar universiti yang berwawasan jauh, marilah sama-sama kita masuk ke dalam tatacara hidup Islam keseluruhannya tanpa mengenepikan mana-mana ruang kehidupan agar kita diberi rekod yang cemerlang serta 'pointer' yang terbilang oleh Allah SWT.



Tuesday, June 17, 2008

Suara Hati Seorang Wanita

Suria (bukan nama sebenar) yang telah berkenalan dengan saya dengan lebih dekat lagi. Dia anak sulung dari dua orang adik-beradik sahaja. Suria hidup dengan seorang emak yang telah diceraikan ayah semenjak kecil lagi. Khabarnya, penceraian tersebut disebabkan sihir yang menyebabkan ayahnya menceraikan emaknya dengan talak tiga. Saya tersenyap mendengar ceritanya tersebut, rasa simpati dengan keluarganya.

Suria belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat melangkah masuk ke universiti. Begitu tabah seorang emak mendidik dan membesarkan anak-anak, walaupun diceraikan ketika umurnya awal 20an. Ayah suria berkahwin lain dan mempunyai beberapa orang anak tetapi emaknya tidak 'berteman' sekian lamanya. Lalu saya bertanya kepadanya: "kenapa emak awak tak kahwin lagi?" Suria menjawab: "emak masih ingat ayah sampai sekarang..tapi emak tak boleh kembali kerana dah ditalak tiga, kecuali kena kahwin dengan orang lain dulu".


Terkejutnya saya dengan jawapan yang pilu itu. Hati saya menangis, bercucuran air mata mendengar suara hati seorang wanita yang bergelar ibu, yang amat setia dengan cintanya, walaupun suaminya telah pergi 'berjauhan' dengannya.



Monday, June 16, 2008

Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin

Artikel ini saya ambil dari tulisan S.S Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Tahniah diucapkan kepada beliau di atas artikel yang amat berharga.

"Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?” Sebelum harga minyak naik, telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.


Pembaziran

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27). Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’. Apakah patut pada saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka? Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat. Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan. Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala- galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma‘ruf dan al-An- Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?” (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperoleh ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa‘d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir). Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa. Saya kadang- kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.


Tanggungjawab

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana. Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang? Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/


Ulasan: Isu Pembatalan MOU dan Mu'adalah dengan Al-Azhar

Isu pembatalan MOU dan Mu'adalah dengan Al-Azhar, Mesir tidaklah begitu mengejutkan buat diri saya. Cuma sekadar mendapat maklumat-maklumat terkini tentang isu semasa di Malaysia. Ini kerana isu-isu sedemikian rupa seperti penghinaan terhadap Islam, meruntuh masjid-masjid orang Islam, memperlekehkan Pengajian Islam, mempermainkan ajaran-ajaran Islam, menyekat bantuan terhadap sekolah-sekolah yang berteraskan pengajian Islam, memperlambatkan projek atau belanjawan kepada mereka yang nak menegakkan Islam, menjadi satu perkara biasa di dalam masyarakat kita, Malaysia. Jadi, tak hairanlah kalau isu pembatalan MOU tersebut dilaksanakan demi menyekat pengajian Islam yang mantap di kalangan masyarakat kita.

Penghinaan dan 'penganaktirian' ini bukanlah berlaku kepada pelajar-pelajar yang belajar di Universiti Al-Azhar sahaja, bahkan di universiti-universiti tempatan pun banyak berlaku demikian. Kalau kita tengok pelajar-pelajar jurusan Bahasa Arab dan Pengajian Islam di universiti-universiti tempatan pun tidaklah mendapat tempat di Pusat Pengajian Tinggi berbanding jurusan-jurusan yang lain, bahkan dari semasa ke semasa jurusan-jurusan yang berbentuk keagamaan ini amatlah terhad dan semakin diperkecilkan peratusan kemasukannya. Sehinggakan sebahagian tenaga pengajar pengkhususan tersebut mengatakan: "kalau macam ni, mungkin suatu hari nanti boleh 'tutup kedai' la...". Ini kerana kerajaan yang ada sekarang 'lebih berminat' kepada pengkhususan- pengkhususan yang boleh membawa habuan kepada negara, walaupun tidak semua pelajar-pelajar jurusan yang diminati kerajaan mampu membawa pulangan tersebut.

'Penganaktirian' terhadap pelajar-pelajar jurusan agama ini dapat saya perhatikan yang mana pihak atasan selalu memperlekehkan kedudukan pelajar-pelajar tersebut dengan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai daya saing yang tinggi, tidak mampu menguasai Bahasa Inggeris, golongan yang tidak boleh berdepan dengan masyarakat, pengajian yang kurang faedah dan sebagainya berbanding jurusan-jurusan lain.

Demikian juga susahnya pelajar-pelajar Pengajian Islam ini untuk memperolehi biasiswa dari pihak kerajaan. Yang ada hanyalah pinjaman PTPTN yang amat memeritkan pelajar, yang mana mereka perlu membayar balik pinjaman tersebut serta dibebani dengan pembayaran riba yang berganda-ganda. Begitu juga dengan kurangnya peluang pekerjaan bagi para pelajar ini disebabkan 'kurangnya minat' kerajaan kita terhadap pengkhususan tersebut. Hatta ibubapa juga berfikir panjang untuk menggalakkan anak-anak mereka menjurus ke arah bidang keagamaan, bimbang kalau-kalau pekerjaan tidak diperolehi selepas tamat pengajian nanti. Ada juga yang bertanya: "engkau belajar Bahasa Arab ni nak kerja apa nanti?", dan ada juga yang bertanya: "ambil Pengajian Islam ni mudah ke dapt kerja?!. Begitulah senario yang berlaku pada hari ni sehinggakan ramai pelajar yang mengambil jurusan tersebut menukar pengkhususan pengajian mereka bilamana mereka menyambung pembelajaran ke peringkat ijazah lanjutan (Master atau PhD), kerana ketiadaan peluang pekerjaan untuk mereka. Alangkah sedihnya hati ini mengingatkan kurangnya keprihatinan orang atasan terhadap pelajar-pelajar Pengajian Islam ini.

Oleh itu untuk memartabatkan Pengajian Islam dan pelajar-pelajarnya, tidak lain dan tidak bukan hanyalah dengan mendaulatkan Islam dan orang-orang yang berjuang untuk menegakkan Islam agar agama Allah yang suci ini dapat difahami dan dijunjungi oleh semua lapisan masyarakat.

Di sini saya paparkan coretan dan luahan pelajar dari Universiti Al-Azhar, Mesir, berkenaan isu pembatalan MOU dan Mu'adalah dengan universiti tersebut yang boleh dilawati melalui laman web: http://hewipmram55.blogspot.com/.

"Sejak dahulu lagi, pelajar Malaysia dibenarkan menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar tanpa sebarang biasiswa ataupun pinjaman dari pihak kerajaan. Mereka hanya mendapat zakat yang diberikan atas ihsan majlis agama negeri masing-masing ataupun daripada individu tertentu dan yang pastinya perbelanjaan dari ibu ayah sepenuhnya.


Kronologi penyekatan hak pengajian agama di Universiti Al-Azhar

Bagi pelajar yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar lepasan pengajian Pondok agama dan pelajar daripada mana-mana kolej yang membuat perjanjian MOU dan Muadalah, layak untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Namun bermula tahun 2001, Sijil Tinggi Agama Malaysia mula diperkenalkan dan menjadi syarat wajib bagi mereka yang ingin menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Ini menyebabkan mereka yang mengambil Sijil Tinggi Agama (STA) atau Sijil Tinggi Ugama (STU) tidak layak mendapat tempat di Universiti Al-Azhar. Seterusnya pada sessi kemasukan 2005/2006, sistem peperiksaan tahdid mustawa mula diperkenalkan bagi pelajar muadalah bagi menentukan mereka berada di tahun empat atau tahun 2, sedangkan sebelum ini mana-mana pelajar muadalah akan terus berada di tahun 4. Pada tahun yang sama juga pelajar dari pengajian Pondok tidak dibenarkan datang secara terus ke sini diatas alasan tiada SPM, STAM ataupun Diploma dari mana-mana kolej yang diiktiraf oleh LAN. Dan akhirnya pada tahun 2008, satu sejarah telah terlakar apabila, perjanjian MOU dan Muadalah dibatalkan. Dan kedengaran ura-ura yang terbaru bahawa pelajar STAM yang mendapat keputusan mumtaz dan jayyid jiddan sahaja yang layak menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Semakin sempit peluang pelajar Malaysia yang berkeinginan untuk menimba ilmu agama di gedung para ulamak yang tersohor didunia ini…adakah ia angkara tangan-tangan ghaib, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Penjelasan terhadap tohmahan yang sering dilemparkan kepada pelajar agama di Universiti Al-Azhar

- Graduan pelajar Al-Azhar kurang berkualiti kerana kurang berilmu dan tidak fasih bercakap dalam bahasa arab-
Realitinya mungkin ada namun adakah kesemuanya? Mungkin wujud seorang dua yang lemah dan kenapa perlunya dinisbahkan dengan beribu lagi graduan yang berjaya. Bukti bahawa graduan Al-Azhar berilmu dan juga mampu dalam berbahasa arab adalah bukan semudah yang disangka untuk meraih graduan di Universiti Al-Azhar ini. Pelajar Malaysia disini tidak pernah diberi kelebihan untuk mereka lulus peperiksaan dengan mudah kerana silibus dan layanan tetap sama dengan pelajar Mesir sendiri. Mereka mampu untuk menjawab peperiksaan didalam bahasa arab dikira sebagai mampu untuk menguasai bahasa arab. Lagipun tidak semua pelajar yang datang kesini mengambil pengkhususan dalam fakulti bahasa arab kerana wujudnya fakulti-fakulti lain seperti syariah, usuludin dan dakwah. Maka apabila mereka mampu untuk menghabiskan pengajian di Universiti Al-Azhar menandakan mereka memang layak dari segi ilmu yang dimiliki serta mampu untuk berbahasa arab.

- Graduan lepasan Al-Azhar tidak mampu untuk mengajar matapelajaran bahasa arab-.
Saya ingin membawa satu analogi yang mungkin akan membuat kita merenung kembali serta tidak berat sebelah dalam menghukum, adakah mereka yang belajar matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris adalah orang yang mampu menguasai bahasa inggeris? Jawapannya pasti tidak,kerana ia adalah bahasa yang untuk memahami matapelajaran tersebut dan bukanlah satu pengkhususan dalam matapelajaran bahasa inggeris. Begitu jualah kondisi pelajar Malaysia yang belajar di Al-Azhar kerana tidak semua pelajar yang datang kesini mengambil pengkhususan dalam fakulti bahasa arab kerana wujudnya fakulti-fakulti lain seperti syariah, usuludin dan dakwah namun kenapa hukuman yang sering dilemparkan tidak adil.

-Graduan lepasan Al-Azhar tidak mampu membuat kerja-
Apakah bentuk kerja yang diberikan? Adakah ia berada didalam ruang lingkup pengajiannya. Diakui mungkin kelemahan itu terjadi namun ia adalah suatu yang tidak adil sekiranya menilai sesuatu kerja tnpa diberi tunjuk ajar. Mana-mana bidang pun, perlu melalui proses latihan ataupun amali dalam perlaksanaanya. Analogi yang hendak dibawa adalah seorang guru mendapat latihan di maktab perguruan, seorang jururawat juga mendapat latihan di kolej kejururawatan hatta seorang D.O sekalipun mendapat latihan di INTAN. Namun kenapa hukuman berat sebelah ini yang disebarkan.

Adakah kesemua kenyataan diatas ini pernah dibuat kajian? Sebenarnya ia bukanlah satu keputusan dari sebuah kajian namun adalah satu kenyataan dari mulut ke mulut. Kadang-kadang apabila satu benda yang bukan kenyataan tapi sering diucapkan akan menyebabkan pemikiran kita juga berfikiran seperti ucapan tadi. Perkara yang jarang-jarang berlaku tidak boleh dijadikan hujah. Salahkan kami yang berkeinginan untuk menimba ilmu agama di gedung para ulamak yang tersohor didunia ini…adakah hanya kami pelajar agama yang dipandang sebagai bukan bidang professional, maka layak untuk diadili secara kejam. Izinkan kami belajar ilmu Allah Taala…"



Saturday, June 14, 2008

Nasihat Untuk Muslimah

Satu nasihat dari Dr. Fathi As-Sayyid dalam bukunya berjudul '500 Nasihah Lil-Mar'ah Al-Muslimah' yang sentiasa terpahat dalam pemikiran saya, beliau menyatakan bahawa:


لا تحْزَنِي على ما فاتك مِن أي شيءٍ كنتِ تريدين


لَعَلِمك أنه غير مقدور لكِ


إذ لو كان مقدورا لك لَمَا فاتك
من أي حال من الأحوال


yang bermaksud: Janganlah kamu bersedih dengan apa yang kamu inginkan itu tidak dapat kamu perolehinya, nescaya kamu akan mengetahui bahawa ia tidaklah ditakdirkan untukmu, ini kerana jika ia ditakdirkan untukmu pasti ia takkan terlepas dari genggamanmu walau apa jua keadaan sekalipun.

Friday, June 13, 2008

Apa Ada Pada Syair?

Pengalaman mengajar syair Arab kepada pelajar-pelajar Melayu yang berjurusan Bahasa Arab amat memberi makna dalam hidup saya. Ini kerana dapat mengajak mereka mengubah persepsi terhadap pembelajaran syair Arab dan pemahamannya yang kononnya tidak membawa manfaat kepada manfaat yang besar merupakan satu titik kejayaan pada diri saya. Ramai juga di kalangan pelajar pengkhusuan lain malah pelajar-pelajar kursus Bahasa Arab sendiri yang baru berjinak-jinak dalam program bahasa ini mengeluh: "apalah tujuan belajar syair ni?, dok hafaz-hafaz jer.. pastu jawab soalan exam. Entah apa...dahlah susah nak faham kalimah-kalimah yang tinggi dan jarang digunakan". Itulah kedengaran suara-suara dari pelajar Bahasa Arab walaupun mereka tidak berani nak melontarkan keluhan tersebut di hadapan saya. Salah seorang pelajar pengajian Islam yang diwajibkan mengambil subjek Bahasa Arab bersama saya bertanya dalam kelas: Apa tujuan mempelajari syair?. Satu senyuman bonus diberikan kepada para pelajar menjadikan mereka kelihatan pelik dan keliru dengan saya.

Memanglah kalau tengok dari segi zahirnya mempelajari syair dan memahaminya bukanlah sebagaimana mempelajari ilmu pengajian Islam, yang mana kalau bidang Fiqh contohnya mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian yang bersangkut paut dengan hukum- hakam dalam aktiviti harian kita. Namun bagi saya memahami syair sebenarnya akan menghasilkan dua faedah utama iaitu meningkatkan kekuatan bahasa dan kekuatan jiwa.

Di sini saya berikan beberapa bait-bait syair dari penyair terkenal di zaman moden buat tatapan kita bersama iaitu Ilya Abu Madhi dalam qasidahnya yang masyhur "Falsafah alhayat" (Falsafah kehidupan).


أيهذا الشاكي وما بك داء * كيف تغدو إذا غدوتَ عليلا؟

وترى الشوكَ في الورود وتعمى * أن ترى فوقها الندى إكليلا

والذي نفسه بغير جمال * لا يرى في الوجود شيئا جميلا

فتمتّع بالصبح ما دمتَ فيه * لا تخف أن يزول حتى يزولا

أدركتْ كنهَها طيورُ الرّوابي * فمِن العار أن تظل جهولا

تتغنّى والصقر قد ملك الجــ * وّ عليها والصائدون السبيلا

تتغنّى وعمرها بعض عام * أفتبكي وقد تعيش طويلا؟

فاطلبِ اللهو مثلما تطلب الأطـ * يارُ عند الهجير ظلا ظليلا

وتعلّمْ حبَّ الطبيعة منها * واتركِ القال للورى والقيلا


Kalau kita perhatikan bait-bait syair ini, banyak nasihat yang diperturunkan oleh penyair yang terkenal ini agar kita melihat kehidupan ini dengan penuh optimis bukan secara pesimis. Beliau mengajak mereka-mereka yang selalu merintih dan tidak puas hati dengan kehidupan serta tidak mempunyai semangat yang kental agar kembali melihat kehidupan ini dengan penuh keyakinan, bersemangat dan bermotivasi. Beliau menyatakan bahawa bagaimanakah orang yang selalu merungut dan merintih ini boleh menghadapi hari esok jikalau dirinya lemah dan patah semangat? Penyair ini juga menegaskan bahawa mereka yang sedemikian ini jikalau melihat pada mawar yang cantik itu pada durinya sahaja dan tidak mahu memandang pada bunga tersebut ada embun yang menjadi mahkotanya yang bersinar-sinar. Demikianlah keadaan manusia yang hati dan dirinya yang tidak baik sentiasa melihat apa sahaja di depan matanya pun semuanya tidak cantik.

Penyair ini menambah bait-baitnya dengan menyeru kita agar melihat kepada burung-burung yang berterbangan di udara dengan katanya bahawa burung-burung tersebut memahami dan mengerti tentang kehidupannya dan alangkah aibnya seorang manusia itu jahil tentang kehidupannya. Burung-burung sentiasa menyanyi dan bergembira walaupun mereka tahu sang helang sentiasa mengelilingi udara mencari mangsanya, begitu juga pemburu-pemburu sentiasa memburu mereka. Mereka juga tak henti-henti menyanyi keriangan sedangkan jangka hayat mereka hanyalah setengah tahun. Apakah kita manusia asyik menangis walhal hidup kita lebih panjang berbanding dengan mereka. Oleh itu marilah kita menikmati keindahan hidup sebagaimana yang dinikmati oleh burung-burung yang sentiasa berteduh di bawah bayangan pokok di waktu tengahari, dan tinggalkanlah serta lupakanlah kata-kata yang tidak baik dari mereka yang suka bercakap demikian.

Betapa hebatnya nasihat yang diberikan oleh penyair Ilya Abu Madhi ini yang menjadikan saya kagum dan terpesona dengan pendirian beliau yang mana syairnya dapat memberi suntikan baru pada saya dan pembaca sekalian untuk mengahadapi rintangan hidup dan hari-hari yang mendatang dengan lebih bersemangat dan hati yang tabah serta cekal. Tambahan pula bait-bait syair amat berguna kepada kita sebagai pelajar Bahasa Arab khususnya demi menambahkan lagi perbendaharaan kata seperti perkataan iklil, kunhaha, tuyur ar-rawabi, al-'aar, as-shaqr, al-hajir, al-wara, al-qila dan sebagainya yang sekaligus meningkatkan lagi penguasaan kita dalam Bahasa Arab yang kita agungkan ini.

Penyair ini juga banyak menggunakan uslub istifham istinkari yang menjadi tamparan hebat kepada pembacanya serta mencuit hati kita untuk berfikir dan bertanya diri sendiri dengan persoalan-persoalan yang dilontarkan seperti:

"kaifa taghdu iza ghadauta 'alila?!" (bagaimana kamu hendak menghadapi hari esok, jika kamu dalam keadaan sakit (jiwa yang tidak sihat))?!

"tataghanna waumruha ba'dh 'aam * afatabki waqad ta'ishu tawila?! (Burung-burung sentiasa menyanyi dan berkicauan sedangkan umur mereka hanyalah setengah tahun sahaja, apakah kamu masih menangis sedangkan hidup kamu lebih panjang dari mereka?!). -Di sini penggunaan fe'el mudhari' + qad yang membawa maksud boleh jadi @ kadang-kadang-.

Akhir kata, walaupun kesusahan hidup yang kita hadapi dalam dunia pembelajaran khasnya, kesedihan hidup dalam dunia luaran amnya, sama-samalah kita mencari inisiatif baru dengan sentiasa memperbaharui hidup ini dengan penuh semangat, sabar, cekal dan berharap dengan yang Maha Kuasa, Maha Agung, Maha Penyayang, Maha Mengasihani diri kita semua serta memperbanyakkan bacaan-bacaan seperti al-Quran, al-Hadith, tazkirah-tazkirah dan tak lupa juga pada syair-syair yang mampu mendorong kita ke arah hidup yang positif dan hati yang optimis.

Selamat Maju Jaya.


Siti Hasliza Mat Yusoff