Sunday, May 30, 2010

Ayat - Ayat Cintaku (2)


1) Terasa ingin memaksa jiwa, merubah angin lautan samudera, cuba memalingkan hati darinya, menutup lonjakan api yang membara. Tuhan... mampukah aku menipu kalbu? Gagahkah aku menyekat rindu? Kalbuku cinta pada yang satu. Ia tenang dalam perjuangan kebenaran. Ia benci penderhakaan yang diagungkan. Namun, siapa aku? aku insan kerdil, aku lemah, aku tidak bertenaga tanpa cintaMu Yang Maha Perkasa.


2) Bagaimana dirimu mampu menerjah masuk bilik ayat-ayat cintaku, sedangkan mereka mundar-mandir di ruang tamu mengemis lontaran buah-buahan cinta manisku?. Maafkan aku, dunia cintaku pada penulisan cinta mujahid Islam yang bergelumang dengan perutusan Tuhan, menolak jiwaku dari membuka mata pada dunia cinta yang palsu lagi menipu. Wahai Tuhan, tetapkanlah hatiku pada sebuah cinta yang membawaku cinta pada cintaMu.



3) Hatinya itu telah jatuh cinta pada insan yang jatuh cinta pada dunia bahasa dan sastera, mampu melibas ayat-ayat sastera cintanya yang berkuasa memaut sekeping jiwa biasa, menuju cinta Yang Maha Pencipta cinta yang sungguh luar biasa. Moga-moga cinta itu kan terpahat di lubuk kalbu.



4) Ingin mencuri hati insan yang telah dicuri oleh perutusan Tuhan. Mampukah aku berbuat demikian? atau aku jua perlu berikannya sokongan? Pautlah hatiku untuk mengenali Tuhan, agar aku bergembira walau jauh dipisahkan. Andai kau tahu aku bersegandingan walau tidak nampak pada pandangan alam, tersenyum dalam linangan, pasti kau berbahagia dalam meneruskan perjuangan yang ditaklifkan.



5) Kerinduan makin terasa di lubuk hati yang kelam setelah sekian lama dia pergi meninggalkan... perginya buat sementara dirasakan bertahun lamanya, namun hati kecil ini berkata: bukankah satu kerinduan pada mujahid Islam menyemarakkan rasa kecintaan pada sebuah perjuangan yang ditaklifkan? Moga Tuhan memberi kerahmatan pada hatiku yang sentiasa hidup dengan segunung pengharapan yang pastinya tiada tandingan.


6) Perpisahan menyemarakkan lagi sebuah kerinduan, menghangatkan lagi sebuah percintaan. Aku berpisah keranaMu Tuhan, aku berjauhan kerana sebuah perjuangan yang ditaklifkan. Dia di bumi penghidupan, aku masih meneruskan perjalanan untuk sampai ke destinasi yang diimpikan. Perpisahan sementara walau dihujani duka nestapa, kelak kan ditaburi mawar mekar yang ceria, senyuman hati lega, pertemuan di hari bahagia, dengan izin Allah Yang Maha Kuasa.


7) Jutaan syukurku padaMu Tuhan kerana mencampakkan rasa cinta pada bahasa Nabi akhir zaman. Jutaan terima kasih jua ku lafazkan kerana Engkau limpahkan kefahaman pada bahasa yang amat ku banggakan. Aku ingin menghayati kalamMu Tuhan. Ku harapkan titisan air mata berpanjangan bila ayat-ayatMu terus ku bacakan. Ku jua impikan satu semangat berterusan dalam jiwa kehambaan untukku sebarkan pada duniaku yang kelam yang amat memerlukan bantuan.



Sunday, May 16, 2010

Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang


Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
1979

Friday, May 14, 2010

Tanahairku... Akhirnya Lesen Judi Dikeluarkan juga

Saya sangat terkejut dan kecewa bila membaca berita di Malaysiakini mengatakan kerajaan kita dengan rasminya mengeluarkan lesen judi untuk kejohanan bola sepak Piala Dunia.

Sebelum ni, saya banyak membaca ulasan-ulasan, pandangan-pandangan serta tazkirah-tazkirah dari banyak pihak menentang isu ingin mengeluarkan lesen judi ini. Namun, kerajaan buat 'pekak badak', tidak tersentuh hati pun dengan pandangan ramai.

Bila saya terdiam sejenak, hati ini berkata: Uh, Sebelum ni pun lesen judi sudah berlambak, lesen arak sudah bertimbun, lesen kelab malam berselerak, lesen rumah urut pun ada, lesen itu dan lesen ini yang terang-terang bercanggah dengan ukuran Islam pun 'tak cekak' nak kira dah. Jadi, lesen judi yang terbaru ni pun, apa salahnya pada pandangan mereka?

Tahniah buat anda yang menentang dan mengkritik isu pengeluaran lesen judi ini. Sama-sama bangkit demi perjuangan Islam!


Berita dari
malaysiakini.com:

Meskipun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, kerajaan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulandepan.

Menurut akhbar harian Cina, Sin Chew, menteri kewangan semalam secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA.

Sehubungan itu pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini.

BERJAYA akan menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak di negara ini yang mempunyai lesen.

Ia dijangka akan menggunakan lebih dua ratus kedai pertaruhan Toto yang dimilikinya itu untuk menerima pertaruhan.

Sebelum ini, ada pihak yang bimbang rangkaian kedai serbanika, 7-eleven yang juga dimiliki Kumpulan BERJAYA akan digunakan untuk tujuan yang sama.

Sin Chew memetik sumber yang berkata, masyarakat Islam akan dilarang daripada terbabit dengan pertaruhan bolasepak itu.

BERJAYA pada 11 Mei lalu memohon sahamnya di Bursa Kuala Lumpur digantung hari ini mulai jam 9 pagi hingga 5 petang sementara menunggu pengumuman lanjut berhubung cadangan menaikkan modalnya.

Ketika dihubungi pegawai BERJAYA berkata kenyataan media akan dikeluarkan hari ini.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata tindakan kerajaan itu bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.




Monday, May 10, 2010

Saturday, May 1, 2010

Ayat - Ayat Cintaku


1) Tuhan... jutaan syukurku buatMu kerana Engkau memperkenalkan aku erti hidup dalam dunia cinta... Makin kuat ribut rindu menerpa, makin dalam aku menyelam dunia sastera cinta. Kerana sebuah cinta aku pasti menyokong perjuangan sucinya. Kerana sebuah cinta hatiku berkata: aku ingin mengharungi lautan gelora bersamanya demi satu senyuman manis bak gula, mengharapkan redha dan emas cinta dariMu Tuhan...Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa.


2) Hidup dalam dunia rindu menjadikan aku kenal erti hidup bergantung padaMu wahai Tuhanku. Hidup dalam dunia cinta menjadikan aku mengharapkan cinta itu dariMu wahai Yang Maha Perkasa. Hidup dalam dunia berdikari ini menjadikan aku rasa Engkau Yang Maha Melindungi diri. Hidup dalam dunia mujahadah menjadikan aku rasa kerdil di depanMu Yang Maha Gagah. Ya Allah... kasihanilah diriku, siapalah aku tanpa ada tarbiyyah dariMu.


3) Mendengar kicauan burung-burung, menyemarakkan rasa rindu dalam hati yang terkurung, betulkah aku masih berpijak di bumi Urdun? atau dilambung ke singgahsana yang akan berkunjung?...Nun di sana, nostalgia di kota metropolitan, aku diperkenalkan tentang siapa Tuhan?... Ku gagahkan semangat demi sebuah pengharapan, hati berpautkan pada sebuah kuasa yang tidak pernah padam, tetap ku katakan 'na'am', mengiakan padaNya yang mampu menyelesaikan segala keinginan, demi Islam yang ku impikan.


4) Salam perjuangan dari Dataran Syam buat insan yang bernama mujahid Islam, gelaran permaisuri telah ku kecapi kepada sang raja yang tidak pernah berdiam diri, mengisi laluan hari dengan memperkasakan diri, ingin melihat Islam terus tegak berdiri. Aku cukup redha, berasa bahagia pula bila sang ketua memadukan naibnya dengan perutusan dari langit sana, berbekalkan sehati sejiwa bertemakan sebuah cinta menuju ke alam syurga.


5) Lakaran ayat-ayat cinta buatmu di medan perang sana, sedang berentap di hujung kota menghunus pedang Laksamana, memerangi syaitan bertopengkan manusia yang menjunjung dunia sekularisme. Dariku seorang wanita, anak desa Cik Siti Wan Kembang namanya. Di sebalik tabir cucuran air mata tanda kerinduan pada perjuangn yang nyata, sambil mengintai di jendela dunia pada sebuah jihad sana. Pautlah hatiku jua untuk terjun bersama dalam meneruskan perjuangan Baginda demi meninggikan kalimahNya.



6) Kawan yang ku cari ialah insan yang mampu bersamaku, mendorongku untuk mengenali Tuhan. Namun, tidak ramai manusia sedemikian. Mereka asyik dengan keunggulan dunia yang sementara, tidak habis-habis nak ditelan, langsung tidak pedulikan batasan-batasan yang telah dibentangkan. Wahai Tuhan, anugerahkanlah aku kawan-kawan yang boleh mencetuskan rasa cinta padaMu, jauhkanlah jua dari mereka yang akan melenyapkan kasih dan rinduku pada makrifatMu.


7) Anak-anakku... Biarlah kita sedikit asalkan kita kuat, biarlah kita kecil asalkan kita riang, biarlah kita kerdil asalkan kita berkesatuan... Aku melontar engkau menyambut, aku senyum engkau gembira, aku seronok engkau bahagia, aku sayang engkau cinta... Moga-moga Allah curahkan rahmat buat kita semua.


8) Bukankah kita ada ALLAH untuk meluahkan segala rahsia?!, bukankah kita ada Dia untuk mengharapkan segala cita-cita?! Dengan bismillah kita bermula, ikhtiar dan usaha dengan segigihnya, lantas pacakkanlah kalimah tawakkal yang melangit tingginya pada Yang Maha Agung, Tuhan Yang Maha Hidup, tidak akan mati selama-lamanya.