Friday, October 30, 2009

Good Luck For Your Exam



Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan:
'Selamat Menempuhi Peperiksaan Akhir Semester'
'Good Luck For Your Exam'
'Ma'a at-Taufiq wa an-Najah'


kepada:
anak-anak pelajar-pelajar
sahabat-sahabat
yang dikasihi


yang berada di bumi:
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


'Kecemerlangan Anda Membanggakan Saya'



Siti Hasliza Mat Yusoff
Sweileh, Amman.




Monday, October 26, 2009

Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah

Sumber: scribd.com
Oleh: Fathi Yakan

Saturday, October 24, 2009

Menagih Cinta Ilahi (Siri 2)


Memburu cinta selain Tuhan dua kali malang


Masa berjalan begitu laju. Tidak pernah berhenti walau sedetik. Ertinya begitu laju umur kita meningkat, setiap detik umur kita meninggalkan kita. Setiap detik umur kita berkurang. Tetapi hakikat ini jarang kita rasai. Setiap detik, kita makin jauh meninggalkan dunia dan setiap detik jugalah kita makin dekat menghampiri Akhirat.


Kalaulah kita cintakan dunia, maka apa yang kita cintai itu makin hari makin jauh terpisah dari kita. Sedangkan Tuhan yang tidak pernah kita cinta makin dekat dengan kita. Alangkah malang dan terseksanya jiwa terpaksa meninggalkan apa yang kita suka dan cinta. Bertambah malang dan terseksa lagi apabila kita akan berhadapan dengan Tuhan yang tidak pernah kita cinta sepanjang hayat kita. Ertinya kita pergi ke Akhirat, menghadap Tuhan tanpa membawa apa-apa. Yang kita cinta hendak ditinggalkan, manakala yang tidak kita cinta, akan berhadapan dengan kita. Maka kita akan berhadapan dengan dua kali penderitaan, iaitu meninggalkan yang kita cinta, hendak bertemu Tuhan.

Roda umur kita makin laju ke hadapan. Dunia yang kita cinta makin jauh kita tinggalkan sedangkan Tuhan yang sepatutnya kita cinta masih jauh dari kita. Aduh, malang sekali nasib kita di sana, negara yang kekal abadi. Kenapa Tuhan perlu dijadikan cinta agung? Setiap makhluk perlu menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya kerana terlalu banyak nikmat dan kasih sayang yang Allah limpahkan kepada makhlukNya. Kasih sayang Allah pada makhlukNya boleh dilihat dari dua sudut. Pertama dari sudut ilmu dan kedua dari sudut realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian.

i. Dari sudut ilmu
Banyak ayat Quran dan Hadis yang memperlihatkan kasih sayang Allah pada hamba-Nya. Di atas kasih sayang Tuhan itu, wajarlah seorang hamba itu meletakkan cinta agungnya hanya kepada-Nya.

ii. Di sudut realitinya
Dalam realiti kehidupan manusia, kita wajib meletakkan cinta agung kepada Tuhan yang Maha Agung supaya dengan itu kita akan mendapat ketenangan yang agung di dunia dan Akhirat. Ini kerana:

a) Allah itulah Tuhan yang mencipta dan menghidupkan kita serta menjadikan seluruh isi dunia ini untuk kita gunakan, cuma jangan sampai menyalahgunakannya.

b) Dia jugalah Tuhan yang menjadikan Akhirat sebagai tempat tinggal kita yang abadi selepas mati. Dan jika kita beriman dengan-Nya, menyembah dan mentaati-Nya serta berbuat baik seperti yang Dia kehendaki; bukan seperti yang kita kehendaki, maka kita akan ditempatkan di dalam Syurga yang nikmatnya tidak dapat kita bayangkan di dunia ini. Tetapi kalau berlaku sebaliknya, maka azab NerakaNya pula yang akan ditimpakan kepada kita yang mana tidak dapat digambarkan penderitaannya. Mudah-mudahan Allah melindungi kita dari azab yang dahsyat dan pedih ini.

c) Allah jualah yang menciptakan suami untuk berhibur, isteri untuk bersenang-senang dan anak-anak sebagai cahaya mata penyejuk hati. Kalau begitu mengapa kita tidak mencintai Allah, Tuhan yang mengurniakan kita suami, isteri dan anak-anak itu?

d) Sewaktu kita diuji oleh kesakitan maka Allahlah yang menyembuhkan. Diberi kelegaan daripada kesakitan yang kita alami. Dikurniakan ketenangan dan kesabaran ketika berhadapan dengan kesakitan dan kesusahan. Disembuhkan selepas sakit bukankah merupakan satu nikmat Tuhan yang wajib disyukuri?

e) Allah jualah yang memberi rezeki yang tidak terhingga banyaknya yang mana dengan itulah kita dapat makan, minum, berpakaian dan lain-lain. Maka dengan itu selamatlah kita dari lapar, dahaga, telanjang dan sebagainya.

f) Kalau ada masalah atau ujian hidup, kepada Allahlah kita minta penyelesaian. Setiap hamba merasakan dia mempunyai tempat untuk mengadu dan berharap. Ada satu zat yang Maha Agung yang mana setiap hamba boleh menyandarkan segala harapan pada-Nya. Harapan itu pun sudah cukup melegakan. Itu pun sudah memadai untuk menjadikan kita manusia yang tidak berputus asa dan kecewa, harapan ini akan mengurangkan tekanan jiwa.

Allah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk. Lebih mulia dan sempurna dari haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Malah manusia yang bertakwa lebih mulia dari para malaikat. Manusia dikurniakan akal fikiran yang mana dengannya manusia dapat ilmu dan mampu menguasai makhluk lain walau sebesar dan sekuat mana pun makhluk itu.

h) Allah jugalah yang menggilirkan malam dan slang agar manusia dapat berehat dan bekerja sesuai dengan fitrah semula jadi manusia.

Cukuplah sekadar itu senarai nikmat-nikmat yang besar yang kita terima dari Tuhan. Sebenarnya banyak lagi nikmat Allah pada kita yang kita tidak mampu kita hitung, seperti firman Allah: "Jika kamu ingin menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya."

Berdasarkan hujah-hujah di atas maka sewajarnyalah kita mencintai Allah iaitu dengan cara beriman dan menyembahNya sepertimana yang Dia mahu, bukan sepertimana yang kita mahu. Seterusnya mentaati perintah dan menjauhi laranganNya.

Oleh kerana begitu besar dan agungnya Tuhan dalam hidup kita maka dalam kita berbuat apa sahaja, biarlah bersama Tuhan. Sertakan Tuhan dalam kehidupan, bawalah rasa bertuhan ke mana-mana. Jadikan Tuhan segala-galanya dalam hidup, modal hidup mati kita, aset yang kekal abadi. Mencari Tuhan akan memberi keuntungan dan kebahagiaan kepada kita. Meninggalkan Tuhan, kita akan kecundang. Tuhan adalah harta yang bukan harta yang sangat diperlukan. Selain Tuhan adalah harta yang tidak memberi jaminan. Jika kita memiliki Tuhan hakikatnya kita memiliki segala-galanya manakala kehilangan Tuhan pula adalah kehilangan segala-galanya.


Sumber: drmindailmu.blogspot.com



Menagih Cinta Ilahi (Siri 1)

Menjadikan Tuhan sebagai cinta agung adalah jaminan kebahagiaan dan keselamatan hidup dunia dan Akhirat. Roh semula jadi manusia ingin disayangi dan menyayangi, ingin dikasihi dan mengasihi serta ingin dicintai dan mencintai. Perasaan sayang manusia tiada terhad sesama insan semata tetapi meliputi semua makhluk sama ada yang bernyawa sayang pula diberi hanya sesama manusia, tidak kepada benda. Ini yang membezakan di antara 'sayang' dengan 'kasih sayang'. Manakala perasaan cinta pula walaupun tidak salah diberikan sesama makhluk tetapi cinta paling agung hanya layak diberikan untuk Tuhan.

Mencintai atau ingin dicintai oleh manusia bukanlah kemuncak cinta atau cinta agung, kerana cinta sesama manusia tidak kekal. Paling lama sekadar tempoh masa kita masih hidup. Bahkan sering berlaku dalam sebahagian perjalanan usia kita lagi, iaitu sebelum kita mati, cinta itu telah pudar atau terungkai sama sekali. Cinta yang diagung-agungkan dan dipuja-puja itu hancur berkecai.

Di sini barulah kita sedar bahawa cinta kepada makhluk atau cinta daripada makhluk bukanlah cinta yang hakiki atau sejati. Itu hanya cinta sementara waktu. Kita sahaja yang menyangka cinta itu sejati dan sampai ke hujung. Rupa-rupanya dalam perjalanan umur, cinta kita kepada orang lain atau cinta orang lain kepada kita, dengan sendirinya dia ataupun kita sendiri yang mengungkainya semula atas sebab-sebab yang bermacam-macam.

Oleh kerana itulah, mencintai makhluk selalu mengecewakan kita sekalipun bukan satu kesalahan. Jadi jangan meminta, menagih atau mengharapkan sangat untuk mencintai manusia atau dicintai oleh manusia walaupun is tidak salah. Cinta itu tidak abadi.

Sebaliknya berilah dan terimalah cinta yang kekal abadi. Itulah cinta agung namanya. Iaitu cintakan Allah yang Maha Agung. Inilah cinta yang hakiki, yang sejati, yang kekal abadi dan membawa kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di Akhirat.

Cintakan Allah ini tiada tandingan dan bandingannya. Cinta ini jika berjaya diperolehi adalah cinta yang paling memuaskan dan menenangkan. Buahnya paling menghiburkan dan paling membahagiakan. Tetapi malangnya cinta yang hakiki dan agung ini jarang orang ambil perhatian. Jarang orang memburunya seperti cinta-cinta murahan yang lain. Mungkin daripada jutaan manusia, hanya seorang yang memburunya.

Kalau seseorang itu telah mencintai Allah, walaupun seluruh makhluk memusuhinya atau membencinya, namun dia tetap mendapat kebahagiaan dan ketenangan. Sebaliknya cinta kepada makhluk tidak akan membawa manusia kepada kebahagiaan sejati dan kekal abadi, selagi cinta hakiki lagi agung daripada Allah itu tidak dimiliki. Sebab itulah orang yang beriman dengan Allah dan mentaatiNya sentiasa tenang walaupun di dalam kesusahan dan ujian.

Oleh yang demikian, kalau kita tidak dapat memiliki cinta daripada manusia, usahlah bersedih hati kerana cinta itu tidak abadi. Pun tidak hakiki dan sejati. Kalau begitu, cari dan burulah cinta yang agung, iaitu Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya.

Sesiapa yang menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya, amat beruntunglah hidupnya di dunia dan Akhirat. Di antara keuntungan yang diperolehnya ialah:

1. Tiada kecewa

Seseorang itu tidak akan kecewa dalam percintaannya merebut cinta agung. Seandainya semua makhluk di bumi dan langit berlumba-lumba merebut cinta Tuhan, tidak ada siapa yang akan kecewa bahkan Maha Kuasanya Tuhan dapat membalas cinta semua makhluk-makhlukNya serentak dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Tiada siapa yang akan kecundang dan kecewa dalam perebutan mencari cinta agung.

2. Tiada saingan

Tidak akan berlaku saingan, pertarungan, permusuhan atau peperangan dalam mencari cinta Tuhan. Sebaliknya dalam perebutan mencari cinta dunia sama ada cinta manusia, biasanya akan berakhir dengan permusuhan dan akan ada yang kecewa dan menderita.

3. Mendapat ketenangan dan kebahagiaan

Mendapat cinta Tuhan akan membuahkan ketenangan, kedamaian, keamanan dan kebahagiaan yang hakiki. Jiwa lapang, hati senang dan tenang. Bahkan kesengsaraan, kesakitan atau penderitaan dalam usaha meraih cinta agung itu pun sudah merupakan sebahagian daripada kebahagiaan. Kadangkala hati resah, cemas dan bimbang apakah cintanya terhadap Tuhan itu berbalas. Dalam keresahan cemas dan bimbang itu terubat pula dengan keyakinan bahawa Tuhan itu Maha Luas RahmatNya. Maka di situ pula bertambah lagi ketenangan. Sesekali terasa diri lemah, daif dan lalai, tertebus pula dengan pengaduan serta bermanja-manja dengan Allah SWT yang Maha Pengasih. Bertambah pula mendalamnya rasa kehambaan. Sebaliknya merebut cinta dunia akan menimbulkan keresahan dan tiada ketenangan di jiwa. Walaupun dunia yang dicintai itu sudah ada di tangan, namun fikiran masih kusut.

Mereka yang gagal mendapat dunia yang dicintai dan diburunya itu pula sudah ramai yang sakit jiwa dan berputus asa. Bahkan ada yang sanggup bunuh diri kerana kecewa dalam percintaan yang tidak kekal itu.

4. Dapat kawan dan perpaduan

Bersama-sama mencari Tuhan membawa manusia berukhuwah dan berkawan. Walaupun manusia itu dari berlainan latar belakang, bangsa, pangkat, kedudukan malah jika pernah menjadi musuh sekalipun, namun di dalam perjuangan merebut cinta Tuhan, secara automatik setiap hati manusia itu akan terikat satu sama lain. Kerana masing-masing sedang dalam perlumbaan mencari cinta yang satu iaitu cinta yang hakiki. Sebaliknya pertarungan dalam merebut cinta dunia akan mengakibatkan ukhuwah dan persahabatan makin jauh dan terbarai. Akhirnya akan membawa kepada pecah belah dan permusuhan.

5. Menghilangkan mazmumah

Mencari cinta Tuhan dapat membantu menghilangkan mazmumah. Mazmumah adalah sifat-sifat keji yang terdapat dalam diri manusia seperti hasad, dengki, sombong, ego, tamak, gila dunia dan lain-lain. Mazmumah dapat merosakkan segala kebahagiaan dan ketenangan di dalam jiwa seseorang insan. Perlumbaan mencari cinta Tuhan adalah salah satu proses paling berkesan dalam usaha seseorang manusia meruntuhkan mazmumah di dalam jiwa.

Sebaliknya, merebut cinta dunia akan menebalkan mazmumah. Hasad dengki pasti akan berlaku dan ia bagaikan siraman baja yang menyuburkan lagi pohon mazmumah dalam diri manusia.

6. Disenangi oleh orang

Mengejar cinta Tuhan orang akan suka dan rasa senang. Tiada siapa yang akan rasa tercabar atau tergugat dalam pertarungan merebut cinta Tuhan Orang yang berusaha merebut cinta agung akan disenangi semua makhluk. Manusia senang dan sayang padanya dan para malaikat juga turut mendoakannya Kerana makin ramai yang merebut mencintai Tuhan, semakin mendorong kepada tercetusnya keamanan, ketenangan dan kebahagiaan.
Sebaliknya di dalam sesuatu pertarungan atau perebutan lebih-lebih lagi perebutan cinta dunia, ramai yang tidak senang dan makin dibenci orang. Semakin sengit perebutan dunia, makin bertambahlah huru-hara dan porak-peranda hidup.

7. Tidak akan kesepian atau keseorangan

Memburu cinta Tuhan tidak akan keseorangan dan kesepian. Biarpun tiada kawan bersama, kita tidak akan rasa kesunyian dan ketakutan kerana Tuhan yang menjadi cinta agung sentiasa ada bersama. Malah Tuhan bukan sekadar boleh memerhati, bahkan boleh menjaga dan melindungi kita. Malah di waktu kita tidur, di kala kekasih yang paling hampir dan paling kita cintai pun tidak mampu untuk menjaga kita. Tuhan boleh menjaga dan mengawal kita kerana Dia tidak tidur.

Meletakkan cinta dan harap pada Tuhan akan membuatkan hati sentiasa rasa tenang dan selamat kerana kita tahu bahawa kita berada di dalam kawalan dan penjagaan satu Zat yang Maha Agung lagi Berkuasa. Sebaliknya, manusia yang menyandarkan diri kepada cinta selain Tuhan, belum tentu makhluk yang dicintainya itu dapat mendampinginya sepanjang masa lebih-lebih lagi menjadi pelindungnya setiap masa.

8. Jalannya luas dan selamat.

Mengejar cinta Tuhan jalannya luas, lapang, selamat dan menyelamatkan, manakala mengejar cinta dunia jalannya sempit, himpit-menghimpit serta memudaratkan. Begitulah beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan cinta agungnya dan malang sekali bagi sesiapa yang memburu cinta selain Tuhan.


Sumber: drmindailmu.blogspot.com


Friday, October 23, 2009

Cara Jepun 'Mengharamkan' Rokok

Oleh: Zamri Kecik's

SIM Informasi tentang cara Pemerintah Jepun dalam “mengharamkan” rokok di negaranya. Tidak perlu pakai MUJ (Majlis Ulama Jepun).

Ini menunjukkan bentuk kepedulian Jepun akan kesihatan dan kenyamanan warganya.

* Tahun 2004, Pemerintah Jepun menaikan harga rokok. Dengan dinaikannya rokok, tidak menyebabkan kos pengangkutan, teksi, dll menjadi naik jugak.

* Tahun 2007 akhir, Pemerintah Jepun memasang larangan merokok di semua teksi di Jepun, tidak terkecuali untuk pengemudinya. Kalau di KL kan, penumpang mengalah kepada pemandu teksi yang merokok.

* Tahun 2008, Pemerintah Jepun mengeluarkan kad “Taspo”, yaitu semacam SIK (Surat Izin Merokok), dengan tujuan remaja di bawah umur 20 tahun tidak boleh merokok. Masing-masing perokok wajib terdaftar sebagai perokok dan wajib memiliki kad tersebut. Kad Taspo ini sangat sakti. Mesin penjual rokok atau toko tidak akan menjual rokoknya kepada yang tidak memiliki kad ini.

* Kad ini juga akan mengesan prestasi penggunaan rokok per bulan dalam hitungan grafik, yang berhubungan dengan kesehatan dunia dan sebagainya.

* Rokok di Jepun dibuatkan semacam klasifikasi dari 10 s/d 1. Tujuannya adalah memberikan penyuluhan kepada perokok untuk berhenti secara alami. Klasifikasi tingkat 10 adalah yang paling berat, tinggi kadar tar, nikotin, dll. Setelah itu akan biasakan dengan rokok klasifikasi 9, 8, 7, dst., akhirnya klasifikasi tingkat-1, yaitu rokok yang paling ringan. Kalau sudah terbiasa menghisap rokok klasifikasi-1, tidak merokok sama sekali pun boleh.

* Tempat-tempat merokok disediakan bagi perokok hampir di pusat-pusat kota

* Merokok sambil berjalan boleh didenda 5000 yen/ RM200 di tempat!

* Awal 2009, dikabarkan harga rokok akan naik berlipat-kali ganda, dari 300 yen menjadi 900 yen. Dijamin, gaji akan habis kalau nekad beli rokok tiap hari. Semua karena pemerintah peduli kepada warganya. Tanpa perlu fatwa-fatwa.


Sumber: idhamlim.blogspot.com



Monday, October 19, 2009

Indahnya Hidup Bertawakkal Kepada Allah

Hidup ini adalah kembara merentasi benua yang mencabar. Ketakutan dan cabaran menghambat kita di mana-mana. Namun Allah menyediakan berbagai bekalan kekuatan yang jika dihayati, diselami dan dihirup ke dalam urat nadi akan menjadikan insan sabar dan yakin dalam meneruskan kembara ini.

Antara bekalan yang disediakan ialah solat, terutama di qiyamullail. Esakan dan tangisan rintihan di malam yang sunyi adalah nikmat yang tidak gambarkan. Airmata rintihan dan pengakuan diri di hadapan Allah atas kelemahan dan dosa, juga pemohonan atau doa agar diberikan limpah kurnia, itu semua adalah kenikmatan yang tidak dapat difahami melainkan sesiapa yang merasainya. Dalam sebak tangisan itulah insan merasai nikmat menghambakan diri kepada Tuhan Yang Maha Agung. Itulah bekalan dalam merempuh cabaran dan dugaan hidup.

Demikian juga Ramadan, kedatangannya selalu memberikan kekuatan baru dalam hidup ini. Tangisan dan esakan di kesunyian malam ketika sendirian, maka tanpa riyak dan ujub, membawa kekuatan kepada diri insan dalam menerusi agenda perjalanan hidup. Begitulah juga, haji dan umrah. Segalanya apabila ditunaikan dengan jiwa yang merendah kepada Allah, lidah yang memohon ampun dan kurnia, ia adalah bekalan kekuatan yang maha ajaib.

Hidup ini jika Allah bantu keajaiban akan berlaku. Percayalah kepada doa dan tawakkal, di samping berusaha menurut prinsip-prinsip agama. Apabila Allah menolong kita tiada siapa lagi yang dapat melakukan apapun. Pertolongan dan kurnia Allah itu boleh menjelma dalam berbagai rupa dan bentuk, cuma kita yang selalu jahil untuk memahami kemakbulan doa yang pernah diminta.

Banyak ungkapan doa yang mengandungi erti yang hebat yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Tidak perlu ajaran tarekat yang sebahagiannya mencipta wirid dan zikir rekaan, sehingga melupai keindahan wirid dan doa yang sahih yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Antara ungkapan doa yang amat menarik jiwa saya ialah doa yang baginda s.a.w ajar:

“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).

Setiap kali ada kesempatan yang baik, di tempat yang baik dan di waktu yang baik, saya sering mengulangnya, walaupun entah kali ke berapa ratus atau ribu sekalipun. Ya! Jika Allah yang menguruskan urusan kita, tentu aturan yang ditentukan itu akan begitu hebat merentasi andaian mana-mana insan. Namun jika hidup ini hanya bergantung kepada orang lain, kita sering menjadi mangsa. Jika bergantung kepada diri semata, banyak perkara yang kita akan gagal mengendalikannya. Namun, apabila kita serahkan agar Allah membantu, tanpa ditinggalkan kita walaupun sekelip mata, keajaiban hidup akan berlaku.

Usaha adalah tuntutan kehidupan, namun tawakal yang sebenar adalah jaminan kekuatan dan kesejahteraan. Allah boleh mengatur perjalanan ini apa yang disangka tewas oleh manusia, tetapi kejayaan yang berlaku, apa yang disangka kecewa oleh manusia, tetapi kebahagiaan yang memenuhi jiwa.

Ajaibnya cinta, ajaibnya tawakkal. Semoga Allah tidak meninggal kita semua dalam merentasi kehidupan ini!


Sumber: drmaza.com

Saturday, October 17, 2009

Mutiara Kata



Thursday, October 15, 2009

Musibah Padang: Tazkirah Dari Allah

Oleh: Mohd Norzi Nasir

Hampir dua minggu berlalu namun memori hitam di sebalik bencana tragis gempa bumi berkekuatan 7.9 pada skala Ricther yang memusnahkan bumi Minang Padang, Pariaman Sumatera Barat, Indonesia pasca musibah pada 30 September 2009 seolah-olah sukar dilupakan.

Gempa bumi yang berlaku bukan sahaja meragut nyawa, memusnahkan harta benda, malah mengundang kesengsaraan umat Islam yang tidak dapat digambarkan melalui luahan perasaan.

Mungkinkah masih wujud ruang dan peluang, bagi mengembalikan jati diri umat Islam lainnya sebagai seorang Muslim, bermuhasabah diri dan bersikap empati serta simpati terhadap nasib masyarakat Padang?

Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, nescaya Allah SWT akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, nescaya Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim nescaya Allah SWT akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat kelak. Allah SWT sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya. (riwayat Muslim)

Namun bagi sebahagian umat Islam yang telah kehilangan gagasan dan pola pemikiran Islam yang sebenar dan produktif, tatkala mendengar permasalahan baru perasaan mereka nyata tidak tersentuh, nurani mereka tidak terusik terhadap musibah dan bencana yang menimpa saudara mereka iaitu umat Islam sendiri.

Mereka bagai kehilangan penyertaan untuk memberi bantuan. Adakalanya tidak memberi perhatian sama ada dalam bentuk sumbangan kemanusiaan seperti derma kilat, bantuan makanan, pakaian atau mendoakan kesejahteraan mangsa musibah.

Terpaterikah di dalam sanubari mereka akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Musibah: Peringatan bagi sekelian hamba-Nya

Allah SWT Maha Mengetahui terhadap semua yang dilaksanakan dan ditetapkan.

Mengingatkan mereka terhadap kewajipan sebagai seorang Muslim, yang merupakan hak Allah SWT dan mengingatkan mereka dari perbuatan syirik dan melanggar perintah serta melakukan yang dilarang.

Firman Allah SWT yang bermaksud:Dan tidaklah Kami memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakuti. (al-Israk: 59).

"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau Dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya." (al-Israa': 16)

"Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami menyeksa penduduknya Dengan azab seksa Yang berat; Yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). (al-Israa': 58)

Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan: "Pada suatu ketika, Allah SWT memberi keizinan kepada bumi untuk bernafas, lalu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Lantas akhirnya, timbullah rasa takut yang mencengkam dalam diri hamba-hamba Allah.

"Semua yang berlaku merupakan peringatan agar mereka bersegera bertaubat, berhenti daripada berbuat maksiat, tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta menyesali atas segala dosa yang telah lalu".

Simpati dan empati

Empati adalah kemampuan seseorang individu untuk peka, menyelami dan merasai serta mengambil tahu apa jua perasaan yang dilalui oleh sahabatnya dalam apa jua situasi dan keadaan.

Sikap empati menjadikan seseorang mudah untuk menterjemahkan apa yang dirasai dalam bentuk tindakan.

Sikap ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih-sayang, kasihan dan simpati adalah ibarat satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan demam. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ukhuwah bertaut kasih bersemi

Islam menekankan prinsip dan hubungan saling tolong menolong di dalam lingkungan kehidupan manusiawi.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya saling bekerjasama di dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan melarang dari saling bekerjasama di dalam perkara dosa dan permusuhan. Ia beradasrkan ayat 2 surah al-Maidah.

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat di atas menyebut, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin agar saling tolong-menolong di dalam perkara kebaikan. Tolong-menolong merupakan kebajikan dan agar meninggalkan kemungkaran yang mana hal ini merupakan al-takwa.

Allah SWT melarang mereka daripada saling bantu-membantu dalam perkara dan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. (Tafsir al-Quran al-Azim 2/7)

Sabda Rasulullah SAW: Tiga perkara yang barang siapa mendapatinya, dia akan merasakan manisnya iman, iaitu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaan kepada selain keduanya, dia mencintai saudaranya dan dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah, dia membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia membenci untuk dilemparkan ke dalam api neraka. (riwayat al Bukhari dan Muslim)

Mengambil hikmah atas setiap musibah

Muhasabah diri merupakan satu cara atau alternatif untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di akhirat.

Muhasabah diri mempunyai beberapa kelebihan kepada individu Muslim. Seseorang yang sentiasa bermuhasabah diri akan segera menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, "Seandainya kita dapat merungkai dan mengetahui hikmah Allah yang terkandung dan tersirat dalam setiap ciptaan dan urusan-Nya, nescaya kita akan temui betapa banyak hikmah.

"Sayangnya akal kita (manusia) sangat terbatas, pengetahuan kita amat sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia jika dibandingkan dengan ilmu Allah, sebagaimana sinar lampu yang sia-sia di bawah sinar matahari. Dan ini pun hanya kira-kira, yang sebenarnya tentu lebih dari sekadar gambaran ini". (Syifa' Alil fi Masail al-Qada wal al-Qadr wa Hikmah wa Ta'lil: 452).

Allah SWT Maha Mengetahui atas apa jua musibah yang berlaku tersirat di sebaliknya hikmah yang tidak mampu diketahui oleh sekelian manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia jahat (buruk) bagi kamu. dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216)

Nikmat sabar dan reda

Kesejahteraan bagi setiap hamba-Nya yang menemui ajalnya di saat musibah melanda dalam keadaan husnul khatimah (penghujung yang baik) hasil ketaatan, keimanan dan bekalan ketakwaan dan sifat sabar yang dimiliki.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, 'Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun'. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 153)

Sebaliknya, kecelaan dan kerugian adalah bagi setiap hamba yang menemui ajalnya dalam keadaan su'ul khatimah (penghujung yang tidak baik) sebelum dan ketika musibah melanda lantaran alpa lalai bergelumang dengan maksiat dan mengingkari akan perintah-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya sesuatu ujian. Jika Allah menyayangi suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan, dan sesiapa yang murka (ingkar) maka baginya kemurkaan Allah SWT". (riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah).

Pendek kata Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (al-A'raaf: 96)

Di antara runtuhan dan air mata jangan kita hanyut dalam duka, jadikan musibah ini sebagai pengikat persaudaraan, buktikan kita berdaya, tunjukkan kita punya cinta.


Sumber: utusan.com.my


Tuesday, October 13, 2009

Pemakaian Purdah: Adat Tradisi Atau Pensyariatan?

Beberapa hari yang lepas timbul isu purdah yang diperkatakan oleh Sheikh al-Azhar Mohamed Sayyed Tantawi yang saya perolehinya melalui sumber islamonline.net, (sila klik: arabic / english). Boleh rujuk juga melalui sumber aljazeera.net dan alarabiya.net.

Saya juga ada membaca ulasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang kenyataan Sheikh al-Azhar tersebut melalui sumber Berita Harian.

Apa yang saya terkilan dengan kenyataan as-Sheikh melalui sumber tersebut ialah bahawa niqab atau purdah ini tidak ada kaitan dengan Islam bahkan ia adalah semata-mata adat atau budaya atau tradisi orang Arab. Tuan Guru juga menyebut bahawa Islam hanya minta wanita menutup aurat dan baginya Islam tidak pernah menyebut tentang menutup muka.

Saya tahu bahawa Tuan Guru di sini sebenarnya ingin menekankan soal keselamatan, namun benarkah Islam dan al-Quran tidak pernah mengutarakan tentang isu penutupan muka bagi wanita? Saya kira perkara ini boleh mengelirukan kita semua. Saya juga tidak pasti kemungkinan Tuan Guru tersilap, atau kesilapan dari sumber berkenaan, atau mungkin benar soal purdah tidak ada dalam Islam?

Saya terfikir, kalaulah purdah ini hanyalah tradisi semata-mata dan memang tidak diperkatakan di dalam Islam, kenapa timbulnya perbezaan pendapat di kalangan ulama tafsir, ulama hadis, ulama fiqh dan lain-lain tentang ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hijab atau pakaian wanita di dalam Islam? Ada yang berpendapat bahawa seluruh tubuh badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup, dan sebahagian yang lain berpendapat keseluruhan tubuh badan wanita wajib ditutup kecuali muka dan tangan.

Sebelum ini juga saya ada menulis dan mengumpulkan maklumat tentang persoalan khilafiyyah yang diiktiraf ini; adakah pemakaian purdah atau menutup muka ini menjadi satu kewajipan bagi wanita? Benarkah pemakaian purdah ini adalah tradisi dan adat orang-orang arab semata-mata? Moga-moga dalil-dalil atau nas-nas yang dikupas dan ditafsir oleh para ulama menjadi bukti dan pegangan buat kita semua.

Sila lihat:

1) Dalil-dalil wajib berpurdah dan dalil-dalil yang tidak mewajibkannya (klik sini)
2) Hukum memakai purdah (klik sini)
3) Zaman kini, lebih awla wanita tidak berpurdah: Dr. Yusuf al-Qaradhawi (klik sini)

Saya juga ada meneliti pandangan-pandangan ulama lain dalam isu pemakaian purdah ini melalui laman-laman web di bawah:

1) Purdah: antara bid'ah dan kewajipan, (islamonline.net (arabic)), (klik sini)
2) Perbahasan tentang pensyariatan purdah, (islamonline.net (arabic)), (klik sini)
3) Niqab: innovated or obligatory, (islamonline.net), klik sini)
4) Purdah wanita dalam masyarakat Arab, (qaradawi.net) (arabic)), (klik sini)
5) Pakaian wanita Islam, (qaradawi.net) (arabic)), (klik sini)

Semoga ada manfaatnya,

Allah Yang Maha Mengetahui.



Sunday, October 11, 2009

Friday, October 9, 2009

Allah Hampir Dengan Kita...Teruskan Berdoa!

Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.

Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya):

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin.

Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga.

Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga.

Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian.

Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Tuesday, October 6, 2009

Puasa Sunat Syawwal


Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam
yang bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan,
kemudian diikutinya puasa enam hari
dalam bulan Syawwal,
maka dia seperti berpuasa setahun."

(HR Muslim).




Monday, October 5, 2009

Tuhan Mempertemukan Aku Dengan Mereka



Sebelum aku terbang pulang ke tanahair, hatiku selalu bersuara, memohon dari yang Maha Esa agar dipertemukan dengan si dia, dipertemukan dengan mereka yang cinta pada diriku, yang dahagakan semangat mujahadah, teringinkan roh ketuanan ilmu, mengidamkan terpacaknya ketuanan Islam dalam diri dan watan.

"Allah, Tuhanku... terimalah pengaduan hati kecilku ini"

Aku tersenyap, kelu untuk berkata-kata, nak melemparkan ayat-ayat ini pada insan-insan di sekelilingku. Nak menyatakan kuatnya keinginanku untuk bertemu dengan mereka. Namun, Mungkin mereka tidak faham apa yang bergolak di benakku ini.

Al-hamdulillah, sebulan lebih aku perahkan masaku di bumi kesayangan. Dapat bersua muka bersama mama, keluarga, anak-anak watan dan insan-insan tersayang. Dari lapangan terbang ku pulang mengadap mama yang sentiasa dengan senyuman anak muda buat seketika waktu. Dapat berpuasa bersamanya di awal Ramadhan.

"Kakak pergilah UIA", mamaku mula bersuara.

Mamaku amat memahami diriku ini. Aku perlu ke sana demi untuk menceduk semangat yang kian luntur. Semangat yang telah ku bina beberapa tahun yang lalu semakin berkurangan. Semangat yang telah ku pacakkan dalam jiwa ini terhakis sedikit demi sedikit. Ya, aku perlu kepada suasana di Taman Ilmu dan Budi itu.

Suasana yang mendorong aku
untuk kenal makrifat Tuhan.
Suasana yang menjadikan aku tidak lekang
dengan perdebatan ilmu dan akhlak.
Suasana yang mendorong aku
untuk berebut-rebut mencari redhaMu.
Suasana yang menjadikan aku kenal
erti hidup dalam lughah arabiyyah.
Suasana yang menyumbangkan aku
erti berukhuwwah dalam satu kalimah tauhid.
Oh Tuhan, kekalkanlah aku dengan suasana ini!

Di bumi ini, Tuhan mempertemukan aku dengan insan-insan yang sentiasa terdetik di hati. Nun di sana, aku memerhatikan sekelompok manusia bersama kitab-kitab berdiri menunggu sesuatu. Dari belakang ku nampak insan semacam yang ku kenali. Ya, dia berpakaian sedemikian rupa. Tapi, entahlah, ramai juga insan lain sepertinya. Aku menuju ke tempat itu.

Ya Allah...memang dia yang ku harapkan, itulah dia, insan yang selalu bersamaku tika suka dan duka di suatu ketika dulu.

Assalamualaikum, kaifal hal? kaifal umur?
Aku bertanya dengan hati yang penuh gembira.
Wa'alaikumussalam, kaifa anti? kaifal umur wassihah?

Al-hamdulillah, dia masih mengenaliku walaupun aku diselubungi pakaian hitam, pakaian kegemaranku. Aku tidak mampu bercakap panjang dengannya, sekadar bertanya khabar dan urusan harian kerana banyak program Tuhan yang perlu dibereskan.

Ya Allah..., aku sangat teringin meluahkan rasa rindu padanya, ingin meluahkan rasa hidupku di bumi orang. Walau bagaimanapun, aku cukup gembira, kerana Allah mempertemukan aku dengannya jua walau sekelip mata.

Di sana, Aku juga dapat berjumpa dengan sahabat setia, Maryam dari Nigeria yang merupakan antara sehabat-sahabat sefikrah, seperjuangan yang sentiasa bermain di benakku. Maryam sahabatku dari Kulliyyah Sains ini sedang menyambung pengajian di peringkat Master di bumi UIA. Dari peringkat ijazah aku mengenalinya sehingga sekarang, insan yang berpegang kuat pada agama, banyak memberikanku pandangan yang bernas tentang Islam. Aku seronok hidup dengannya.

"Eh, awak masih boleh berbahasa Inggeris?", tanya Maryam. Aku tersenyum. Al-hamdulillah, kenapa? aku bertanya kembali.
Ya lah, awak kan dah berada di sana. Orang di sana tak bercakap Bahasa Inggeris kan?
Ya, tapi saya selalu bercakap dengan orang yang serumah dengan saya.

Dahulunya, aku hidup dengan Maryam. Bahasaku hanyalah bahasa Arab dan Inggeris. Maklumlah, aku tak faham bahasa Yuroba, Maryam pula tak faham Bahasa Melayu. Namun, sekarang ini dia dah boleh bercakap ayat-ayat mudah dalam bahasa Melayu. Aku kagum dengannya.

Sebenarnya kita perlu bina suasana bahasa jika kita ingin menguasai bahasa itu. Al-hamdulillah kenangan yang tak dapat ku lupakan, hidup dalam dunia bahasa yang indah bersama sahabatku Maryam itu.

Di bumi itu jua aku dipertemukan dengan anak-anak, pelajar-pelajarku, para akhawat yang amat ku kasihi. Dah lama aku berpisah dengan mereka. Aku seronok melihat mereka meneruskan perjuangan hidup dalam menggali mutiara-mutiara ilmu yang cukup bernilai. Ku perhatikan gelagat anak-anakku, ke sana kemari memenuhkan jadual harian mereka. Aku gembira dengan aktiviti mereka, bersungguh-sungguh membuka tirai makrifatullah, bersungguh-sungguh mengintai dunia Islam. Aku cukup ceria menjadi sahabat mereka. Aku cukup bangga menjadi ibu mereka.

Tahniah buat anak-anakku, para akhawat semua! Andalah insan yang akan meneruskan perjuangan muslimah, yang akan meneruskan agenda jihad demi ketinggian Islam yang kita cintai.


Siti Hasliza Mat Yusoff,
Sweileh, Amman.



Thursday, October 1, 2009