Wednesday, November 25, 2009

Tips Berurusan Dengan Lelaki

Oleh: nasya

"Berikut adalah 5 tips bagaimana berurusan dengan lelaki ajnabi. Tips-tips ini telah dikongsi oleh seorang sahabat yang amat disegani oleh kaum lelaki dan kaum wanita. Semoga dengan mengamalkan perbatasan hubungan ini, akan lebih mensucikan hati kita dan hati mereka. Sama-samalah kita menjaga hati.

1. Elakkan berurusan dengan lelaki - Selagi masih boleh dan berpeluang untuk minta tolong daripada perempuan. Kecuali dalam hal seperti dalam hal repair kereta, repair laptop dan lain-lain. Disebabkan limitation kemampuan wanita dalam hal tersebut, maka terpaksalah juga akhirnya minta bantuan daripada orang lelaki.

2. Kalau terpaksa berkomunikasi dengan orang lelaki, gunakanlah medium perantaraan dalam bentuk tulisan seperti SMS, e-mel atau nota kecil. Gunakan perkataan-perkataan formal, bukan bahasa pasar. Contoh: maaf (bukan sorrie..), terima kasih (bukan time kacih..). Lagi satu, tak payahlah buat smiley face ke =), gelak ke (hihihi..), dan lain-lain yang kurang berfaedah.

Elakkan bercakap melalui telefon kalau belum betul-betul desperate. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa insan yang bernama lelaki. Buktinya sampai ALLAH sound kepada wanita supaya keraskan suara! Rujuk al- Quran, surah al-Ahzab, ayat 32: "Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah-lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik."

Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, sepatutnya kita juga menyahut seruan tersebut untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka - darjat wanita bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih, kan?

3. Tundukkan hati. Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kita sepatutnya merasa bulu roma kita meremang kerana takut pada ALLAH! Kita sangat takut sekiranya disebabkan kita, lelaki tersebut tertarik kepada kita. Sewaktu berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut, banyakkan beristighfar dan berdoa “ Ya ALLAH, janganlah KAU jadikan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya daripada panahan-panahan syaitan.”

4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan subjek communication skills yang pernah kita belajar, "make eye contact with the person you’re talking to..". Ianya applicable kalau kita bercakap dengan sesama jantina sahaja. Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati teori “dari mata turun ke hati” itu benar-benar bisa berlaku.

Para sahabat dahulu pun, ALLAH perintahkan supaya tahan pandangan mata mereka apabila berurusan dengan isteri-isteri nabi. Rujuk kembali Surah al-Ahzab, ayat 53: "…apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagimu dan hati mereka…".

Tetapi kita bukanlah disuruh membawa tabir ke mana-mana kita pergi. Kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, fail ke...

Kita lihat betapa ALLAH sangat mengambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tidak tewas ke dalam kemungkaran. Kalau kita nak jadi sehebat mereka, kenalah aplikasikan apa yang mereka lakukan. Takkan nak tunggu ALLAH sebut nama kita dalam al- Quran baru nak buat. Contoh : "Wahai cik_____, tundukkanlah pandangan.." . Isk, isk... tak layaknya..

5. Cepatkan urusan. Perkara ini mungkin applicable kepada students / orang yang dah bekerja dan terpaksa berurusan dengan team lelaki. Dah tak dapat nak dielakkan, mereka sahaja teammate kita. So, apa-apa kerja yang dibuat bersama, buat sahajalah kerja tersebut. Tak payahlah nak berborak-borak, tanya hal peribadi, gelak-gelak, buat lawak..tak perlu, TAK PERLU! Siapkan kerja cepat-cepat, then go.

Discussion venue
pula buatlah di tempat yang proper dan berurusanlah secara profesional.

Semoga bermanfaat dan semoga kita dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat perintah ALLAH dan takutkan hari pembalasan. Semoga tidak melalaikan diri kita dan orang yang menerimanya. Jagalah diri, hiasi peribadi. Wassalam."


Sumber: tranungkite.net



Tuesday, November 24, 2009

Garam Dan Usia



Oleh: Anual Bakri Haron

Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.

Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat hingga kehujung. Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya.

Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam. Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian / tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah, emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita.

Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap quadragenarian / quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada terkesan di mana-mana.

*Sebahagian petikan sahaja*


Sumber: harakahdaily.net



Monday, November 23, 2009

Tanahair Jua Yang Menjadi Pilihan


"Salam, saya nak tanya,
awak berada di mana sekarang? tanyaku pada salah seorang ahli facebook.

"Wa 'alaikumussalam, di Saudi", jawabnya lalu memberitahuku nama kawasan di bumi tersebut. Tapi aku dah lupa. "Kenapa?", tanya dia kembali.

"Oh, maafkan saya, nama awak sama dengan nama salah seorang kawan saya, jadi saya fikirkan kawan saya tadi", jawabku.

"Mesti seronok tinggal di bumi Saudi kan?", aku bertanya lagi.

"Ok lah, tapi tak boleh tipu, hati tetap mengatakan seronok di Malaysia", jawabnya.

"Kenapa?", tanyaku lagi, sengaja ingin mengorek citarasa orang di bumi asing.

"Saya datang ke sini untuk bertugas. Hidup di negeri orang ni, budaya orang Arab tidak sama dengan budaya kita. Namun, yang menggembirakan saya di sini, kerana adanya al-Masjidul Haram, boleh saya solat berjamaah", tambahnya lagi.

Aku tersenyum bercampur rasa ingin tergelak dengan jawapan itu. Al-maklumlah, jawapan itu ada betulnya pada diriku dan kawan-kawanku.

Aku juga berada di bumi asing. Aku telah mencuba, sedang mencuba, akan mencuba, paksa mencuba agar jawapan yang diberikan itu menjadi sebaliknya. Namun, bak kata peribahasa kita "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri".

Tapi, aku sentiasa teringat kata-kata seorang Professor dari Singapura yang datang ke Sweileh, Amman pada bulan Syawwal baru-baru ini:
carilah pengalaman di bumi asing dengan sebanyak mungkin kerana ia tidak mampu dibeli oleh manusia.



Sunday, November 22, 2009

500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Ke- 42


Mursyidul 'Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
yang menduduki tangga ke 42
dari keseluruhan 500 Muslim yang berpengaruh.


The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku "The 500 Most Influential Muslims In The World" tahun 2009.

Para tokoh Muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi kondisi kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan banyak orang.

"500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia" sepanjang tahun 2009 itu, dibagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politisi, cendikiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai katagori muslim radikal.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan bersama lembaga Prince Alwaleed Bin Talal Center for Christian-Muslim Understanding ini disebutkan, tujuan diterbitkannya buku ini untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal luas di dunia internasional, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Dalam daftar 500 Muslim yang dianggap paling berpengaruh di dunia, terdapat sejumlah nama tokoh Muslim dari Indonesia, antara lain Profesor Doktor Din Syamsuddin, pimpinan Muhammadyah, dai kondang Abdullah "AA Gym" Gymnastiar dan Dr KH Ahcmad Hasyim Muzadi, pimpinan Nahdlatul Ulama.

Ketiga tokoh Muslim Indonesia itu bahkan masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas diantara 500 tokoh yang paling berpengaruh di dunia.

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas antara lain, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Dua tokoh Muslim lainnya yang masuk dalam buku "The 500 Most Influential Muslim 2009" adalah penulis dan tokoh sastra Indonesia, Helvy Tiana Rosa, pengusaha Muslim Haidar Bagir-pendiri dan direktur penerbitan buku Mizan, Ustadzah kondang Tutty Alawiyah bahkan Abdurahman Wahid (Gus Dur), Susilo Bambang Yudhoyono dan sejumlah tokoh Muslim yang di Indonesia justeru kerap menimbulkan kontroversi dan pengusung Islam liberal, misalnya tokoh feminis Musdah Mulia yang juga masuk dalam daftar di buku tersebut.


Sumber: nikhassanazmi.blogspot.com


Saturday, November 21, 2009

Tafsiran 'Sekufu' Dari Sudut Psikologi Moden

Oleh: Pn. Ainon Mohd.

Kajian pakar-pakar psikologi menunjukkan bahawa pasangan yang berkongsi nilai-nilai dan sikap yang serupa, -sebagai contoh sama-sama menyokong parti yang serupa, sama-sama menyukai orkid dan lain-lain, mereka menikmati hubungan yang kekal lebih lama, dibandingkan dengan pasangan yang berlainan nilai dan sikapnya.

Pola ini berlaku baik di kalangan pasangan yang sudah berkahwin ataupun belum. Pola yang serupa juga juga berlaku di kalangan para rakan dan sahabat.

Menurut para pengkaji pasangan yang berlainan nilai dan sikap menunjukkan ciri-ciri berikut:

1. Lebih banyak mengalami pelbagai masalah komunikasi.

2. Kurang berinteraksi antara satu sama lain.

3. Kurang bercakap-cakap dan berbual-bual.

4. Kurang bertukar-tukar pendapat dan fikiran.

5. Percakapan mereka lebih singkat.

6. Ayat-ayat yang mereka gunakan lebih ringkas.

7. Disebabkan mereka lebih banyak berbeza pendapat, mereka lebih kerap bertengkar dan mereka menghadapi lebih banyak koflik.

8. Mereka tidak banyak melakukan apa yang disebut pendedahan diri. Mereka tidak banyak memberitahu apa yang ada di dalam lubuk hati mereka kepada pasangan masing-masing. Mereka tidak banyak bercakap tentang diri mereka secara mendalam.

9. Mereka juga kurang menghabiskan waktu bersama-sama dan kurang terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang serupa.

10. Mereka juga lebih banyak saling kritik- mengkritik satu sama lain, lebih kerap tuduh menuduh dan saling membela diri.

11. Mereka kurang menikmati rasa kepuasan dalam perhubungan, oleh itu mereka kurang memberi kata-kata pujian dan sanjungan kepada pasangan mereka. Sebaliknya, mereka sendiri juga kurang menerima kata-kata pujian dan sanjungan daripada pasangan mereka.

12. Mereka juga kurang bertukar-tukar hadiah antara satu sama lain. Oleh itu mereka kurang berasa dirinya dihargai oleh pasangannya. Akibatnya, mereka mengalami keadaan di mana jiwa dan kalbu mereka berasa seolah-olah “kosong” dan kurang “bermakna” meskipun mereka mempunyai isteri, suami atau kekasih.

Banyak pasangan tersedar bahawa mereka telah berkahwin dengan orang yang nilai dan sikapnya banyak berbeza dengan nilai dan sikapnya sendiri. Tetapi oleh kerana sudah terkahwin, mereka meneruskan juga hidup dalam keadaan itu.

Oleh hal yang demikian mereka mencipta berbagai-bagai cara untuk mengurangkan perselisihan dalam rumah tangga mereka. Umpamanya, mereka mengambil sikap mengalah sahaja setiap kali berlaku pertentangan pendapat.

Satu cara lain yang popular ialah mereka mengurangkan interaksi dengan cara banyak diam melainkan keadaan sangat memerlukan mereka bercakap.

Strategi mengalah dan diam adalah strategi yang dapat mengurangkan pertengkaran dan konflik rumah tangga, tetapi ia mencipta kesan sampingannya sendiri. Strategi tersebut menyebabkan perkahwinan itu tidak dapat lagi membekalkan makna kepada jiwa dan kalbu.

Bagi menghilangkan perasaan itu, mereka mencari makna itu di tempat-tempat lain, umpamanya dengan membina hubungan lain.


Sumber: facebook.com


Akhawat...Maruah Anda: Tolong Jaga 'Hati' Allah!

Ketikamana Syawal yang lalu masih lagi menyelubungi insan-insan sekeliling, aku dijemput oleh satu persatuan di bumi Jordan ini untuk meraikan bulan yang mulia itu dengan menghadiri satu program yang cukup meriah lagi 'menghairankan' dengan tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan ukhuwwah di kalangan para pelajar dan ahli-ahli persatuan.

Setelah aku berhempas-pulas di bumi tanahair yang tercinta dengan program-program yang begitu menggembirakan hati, di samping dapat beraya dengan keluarga, aku juga dihidangkan dengan program-program ikatan ukhuwwah setelah datang kembali ke bumi syam ini. Penat juga menghitung tarikh-tarikh untuk dimasukkan ke dalam jadual peribadi.

Apa yang menghairankan aku, program dari persatuan tersebut diadakan di Wadi Syu'aib. Oh, bagus juga nak pergi wadi ni, boleh kenal tempat baru, boleh tengok air, boleh bermesra dengan geng-geng, fikirku. Aku pun dah lama tak makan angin dengan mereka.

Pagi-pagi lagi kami bertolak ke wadi tersebut dengan menaiki bas yang disewa khas. Ya, sungguh seronok pergi ramai-ramai. Perjalanan ke sana lebih kurang satu jam juga (kalau tak silap). Dalam perjalanan tersebut, telingaku mendengar dan memfokuskan pada tazkirah yang dipasang oleh pemandu bas yang berbicara tentang solat. Amat berkesan tazkirah tersebut buat mereka yang ber'aqal, tambahan pula dengan suara penyampainya yang begitu lantang menerjah ke benakku. Antara intipati tazkirah tersebut ialah:
  • Solat itu merupakan rezeki dari Allah Taala
  • Solatlah kamu selagimana kamu masih mempunyai 'aqal
  • Jagalah solat dengan sebaik-baiknya nescaya solat akan menjaga kamu
  • Teramat rugi bagi mereka yang meninggalkan solat
  • Meninggalkan solat merupakan satu punca terjerumus ke dalam syahawat
  • Adakah dengan solat boleh menghabiskan wang anda?!, adakah dengan solat menghabiskan masa anda?!
  • Wahai orang yang meninggalkan solat, musibah untuk anda!
Mudah-mudahan Allah memberikan ganjaran yang sebaiknya buat penyampai tazkirah tersebut.

Bila saja ku sampai di wadi itu, ku melihat air yang tenang sedang mengalir. Kanak-kanak dah mula bersorak sebaik sahaja melihat air di situ. Bagaimana aku nak menyeberangi wadi ini? fikirku. Airnya dalam juga, lebih kurang paras betis dan lutut. Al-hamdulillah beberapa orang ikhwah berganding bahu mengangkat batu, meletakkannya ke dalam air agar kami para akhawat dapat menyeberangi wadi tersebut. Terima kasih ku ucapkan pada mereka.

Namun, apa yang menyedihkanku, sebahagian dari akhawat berjalan atas batu-batu tersebut sambil tangan mereka memegang bahu para ikhwah. Ada yang terus membuka stokin dan mengangkat sedikit pakaian mereka agar tidak terkena air. Aku terkejut! Subhanallah! Kenapa macam ni?

Aku tahu bahawa batu-batu di situ masih tidak kuat dan akan sedikit bergolek bila dipijaknya, oleh itu sebahagian daripada ikhwah membenarkan diri mereka dipegang oleh akhawat untuk menyeberangi wadi itu. Namun, persoalan di sini ialah adakah keadaan tersebut dikatakan dharurah yang menghalalkan anda untuk memegang sang lelaki yang bukan mahram anda? Begitulah sebaliknya bagi sang lelaki. Soalan lagi ku lontarkan: Adakah dengan mengharungi air wadi itu berkemungkinan besar maut akan menimpa diri anda?


Ada juga yang berkata: "takpelah, pegang adik je". Eh, betulkah 'teori' ini? Adik itu kecil atau besar? Umur berapa?

Fikir-fikirkanlah, mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang dimarahi Tuhan.


Apapun aku ucapkan hamdan lillah, terima kasih wahai Allah, Tuhanku yang menyelamatkan aku dari menyentuh insan-insan yang bukan mahramku. Aku juga cuba meniti dan berjalan atas batu-batu tersebut, namun aku kalah. Aku undur kembali, kemudian mengharungi air wadi itu. Biarlah pakaianku sedikit basah, asalkan perbuatanku tidak mengguris 'hati' Tuhanku yang sentiasa memerhatikan tindak- tandukku. Maafkan aku wahai Tuhan, kalau aku salah seorang dari mereka yang membelakangkan undang-undangMu.


21 November 2009


Friday, November 20, 2009

Royalti Petroleum Dan Maruah Rakyat Kelantan

Oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Untuk kali ini izinkan saya menyentuh sedikit tentang wang ihsan yang katanya nak diberikan kepada rakyat Kelantan oleh Kerajaan Persekutuan. Sepatutnya, perkara ini tidak berbangkit kerana bumi Kuala lumpur yang dirujuk sebagai Kerajaan Pusat itu tidak mengeluarkan minyak walaupun setitik.

Hasil negeri dari mana-mana negeri berupa minyak dan gas yang diambil oleh Pusat itulah yang sepatutnya disebut sebagai pemberian secara ihsan dari negeri kepada Persekutuan.

Jika diikutkan logik, ini dikira sudah terbalik apabila kita yang beri dia (Pusat) melalui perjanjian, tiba-tiba setelah dia dapat, dia senang-senang istilahkan pemberian ini adalah hasil ihsan dan kasihan belas Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Kelantan. Kononnya, dengan sikap murah hati Persekutuan itulah, maka Kelantan dapat membangun dan menikmati rahmat pembangunan yang berterusan.

Pada saya ini memang sudah menjadi tunggang-langgang. Perkara ini asalnya hak negeri. Kami tidak boleh dilihat sebagai penagih ihsan atau pengemis simpati tetapi kami cuma meminta hak kami untuk ditunaikan. Kami mahu membangunkan negeri kami dengan duit dari hasil bumi kami itu. Itu saja. Sebutlah royalti atau namakan apa saja tetapi gunalah saluran yang betul untuk kembalikan hak kami.

Maksud saya, berilah kepada kerajaan negeri. Bukankah kerajaan ini adalah kerajaan yang sah yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat? Kerajaan ini ada persidangan Dewan Undangan Negerinya dan ada bajetnya sama ada defisit atau surplus. Ia dirasmikan sendiri oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.

Sepatutnya tidak timbul sama sekali memberikan royalti yang dengan pandai-pandai ditukar istilah kepada wang ihsan. Saluran yang ditentukan pula ialah melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan bukan Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim. Bukankah ini suatu keanehan?

Kita kena faham bahawa JPP itu hanyalah sebuah jabatan kerajaan dan bukannya kerajaan! Jika diikutkan, langkah ini boleh ditafsirkan sebagai semacam satu bentuk penghinaan juga ke atas kebolehan dan kredibiliti pegawai-pegawai tadbir negeri (PTN) kami yang juga berkelulusan lebih kurang sama juga dengan pegawai-pegawai jabatan Persekutuan.

Inilah sedihnya kita apabila terlalu lama golongan sekular ini memerintah. Sesudah berpuluh tahun terbiasa dengan sekularisme, mereka sudah selesa dan sebati mengasingkan politik dari agama.

Melalui proses masa, kesedaran kasih sayang, keikhlasan, kemurnian, persaudaraan dan perasaan adik abang telah dilunturkan. Ini kerana dalam ajaran sekular, ajaran-ajaran seperti ini sememangnya tiada. Jika ada sekali pun, ia hanya dibuat-buat.

Terlalu lama diperap dan direndam dalam tempayan politik sekular yang keruh dan kotor ini menyebabkan semua nilai-nilai murni ini akhirnya hilang ditenggelam. Kini, amalan songsang yang menimbus ajaran murni dan nilai-nilai kesetiakawanan ini telah dilakukan melalui pentafsiran akta dan undang-undang. Ia dibuat dengan tidak jujur dan dilakukan dengan sewenang-wenang.

Undang-undang 3 batu nautika yang dihadkan sebagai perairan negeri ini misalnya, siapa yang tentukan? Tidakkah musnahnya nasib dan masa depan Palestin itu bermula sejak kota suci itu dibelah dua oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Siapa yang memberi hak dan mengajar ini semua? Hatta, lima Kuasa Besar dalam anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diberikan kuasa veto; itu pun satu lagi konspirasi jahat. Siapa yang ajar ini semua jika tidak kuasa yang zalim di pusat dunia? Semua ini ada kena-mengena dengan kuasa yang ada di pusat.

Ini sama jugalah dengan sistem pinjaman ah long di Malaysia dan amalan kapitalis dunia tajaan Amerika dan kuasa-kuasa besar yang sekular di dunia.

Atas nama ketamakan untuk menguasai petrol negeri yang bersempadanan dengan Rusia bertujuan untuk menjadikan Afghanistan negeri penampan (buffer state), negara umat Islam itu telah dibedil dan dimusnahkan untuk dijajah tanpa sedikit pun perasaan persaudaraan, kemanusiaan, belas kasihan dan kasih sayang. Kalau iya nak tiru Amerika sekalipun, Umno malulah sedikit kepada semangat dan ikatan federalisme yang sama-sama kita bina melalui perjanjian persekutuan yang kukuh itu.

Perangai mengepung ekonomi kerajaan Islam ini bukan perkara baru. Ia boleh kita lihat dalam surat Al-Munafiquun ayat 7, maksudnya: "Mereka orang-orang (munafiquun) yang mengatakan (kepada orang-orang Anshar): 'janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (muhajiriin) yang ada di sisi Rasulullah s.a.w. supaya mereka (kumpulan) terbubar (meninggalkan Rasulullah). Padahal kepunyaan Allahlah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami."

Amalan ini pernah dilakukan oleh Abdullah bin Ubai terhadap Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang bersama baginda. Pemimpin Umno nampaknya tidak pernah serik membuat diskriminasi.

Dalam keadaan dia menindas Kelantan selama ini, tidakkah dia sedar bahawa yang jatuh ialah Selangor dan Perak yang kaya sedangkan Kelantan semakin teguh?

Jika dalam pilihan raya umum 2004 PAS hanya mendapat 23 kerusi di Kelantan, kesan amalan penindasan Umno telah menjadikan kerusi yang dikuasai PAS pada tahun 2008 bertambah dari 23 kerusi kepada 39 kerusi.

Sepanjang pemerhatian saya, Umno ini hanya parti pak turut yang hanya taat kepada penjajah. Umno cuma meneruskan dasar-dasar Inggeris. Sebaliknya, kita di Kelantan sentiasa melakukan muhasabah, menilai dan mengubah amalan-amalan Inggeris lama dengan diperbaharui supaya semuanya berada dalam keadaan yang sentiasa disemak agar selaras dengan kehendak Islam baik dari segi pembangunan kebendaan atau kerohanian.

Ini yang menarik minat dan perhatian rakyat. Kita ada dasar mengenai ubudiyyah misalnya, yakni kesedaran tentang pengabdian mutlak kepada Allah SWT semata-mata. Kita ada itqan yakni kesedaran mengenai mutu dan kerja yang berkualiti dalam segenap segi. Kita juga ada mas'uliyah yakni prinsip pertanggungjawaban supaya apa saja yang kita cakap dan kita lakukan hendaklah serupa dengan apa yang kita mahu jawab di hadapan Allah SWT diakhirat kelak.

Bersifat adil dalam konteks memberi layanan kepada masyarakat berbilang bangsa pula, kita perkenalkan skim Kifaalah, Ladang Rakyat, masjid tiga budaya di Rantau Panjang dan pelbagai projek pembangunan sosio-ekonomi tanpa mengira perbezaan bangsa, bahasa, agama dan keturunan.

Umno sebenarnya sudah ketandusan moral. Selagi Umno menolak agama dari komponen pembangunan maka selama itulah dia tidak berjumpa dengan rahmat.

Menolak Islam samalah seperti mengakui Islam itu ada kecacatan. Ini boleh terbawa-bawa pula untuk mempercayai bahawa risalah yang dibawa Nabi s.a.w. juga adalah cacat dan Jibrail juga cacat.

Logiknya, Allah SWT juga akan turut dikira cacat. Maha Suci Allah, wal 'iyazu billah. Ini satu perkara yang cukup berbahaya.

Kembali kepada isu royalti, saya tidak rela rakyat Kelantan dihina apabila seolah-olah kita terpaksa menagih belah ihsan dari sedekah orang lain sedangkan minyak dan gas itu adalah milik kita.

Kita mahu suap rezeki rakyat kita dalam keadaan bermaruah. Kita tidak mahu diajar untuk menyembah orang. Kita mahu bebas dari berabdi sesama manusia. Tiada yang lain yang kita mahu melainkan kita hanya mahu memuja dan memuji Allah SWT semata-mata.


Sumber: detikdaily.net


Thursday, November 19, 2009

Jom Pakat Puasa Pada Bulan Zulhijjah

عن ابن عباس رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "ما من أيام العمل الصالح فيهن أحب إلى الله منه في هذه الأيام العشر. قالوا ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال: ولا الجهاد في سبيل الله، إلا رجل خرج بنفسه وماله ولم يرجع من ذلك شيء" أخرجه البخاري



Ibadah Haji 1430H


Selasa, 17 November 2009 yang lalu, tujuh orang sahabat seperjuangan saya dari bumi Sweileh, Amman ini telah bertolak menuju ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah haji. Mereka ialah Ustaz Mujahid, Abang Zul, Shahrul, Hairi, Kak Ina, Kak Yus dan Marwah.

Didoakan semoga anda sekalian selamat sampai ke destinasi yang dituju, dapat menunaikan ibadah sebaik-baiknya dengan hati yang tenang dan mendapat haji yang mabrur di sisi Allah. Semoga kalian juga dapat pulang kembali ke bumi Amman ini, demi menyambung perjuangan yang telah ditempuhi. Doakan kejayaan kami di sini dan sahabat-sahabat kita yang lain bila berada di Tanah Suci nanti.


Sunday, November 15, 2009

Kesabaran Membawa Kejayaan: Cabaran Seorang Doktor Falsafah

Oleh: Izyan Liyana Mohd. Darif

Mereka yang berjaya menamatkan pengajian hingga ke peringkat Ph.D menceritakan bahawa laluannya bukan mudah dan penuh dengan ranjau berduri. Namun, apakah yang menyebabkan mereka nekad?

SUDAH tiga kali dia mengelilingi Bulatan Bistari berhampiran Seksyen 2, Shah Alam, Selangor. Dr. Siti Zabedah Mohd. Shariff, 53, seolah-olah sukar untuk menentukan arah yang hendak dituju. Semuanya menjadi serba tidak kena memandangkan di fikirannya hanya memikirkan kata-kata penasihat yang memintanya membaiki dan mempertingkatkan tesis Ph.Dnya.

Pada waktu itu Siti Zabedah mula resah dan kecewa. Pening memikirkan kaedah dan informasi tambahan yang diperlukan untuk memantapkan tesis berkenaan. Apatah lagi tempoh tamat pengajian semakin hampir sedangkan dia baru sahaja memulakan bab lima tesisnya.

"Proses pembelajaran di peringkat doktor falsafah (Ph.D) cukup memenatkan dan memeritkan. Sebelum ini saya pernah mendengar keluhan bahawa proses pengajian Ph.D cukup jauh berbeza dengan diploma, ijazah mahupun sarjana. Namun semangat yang berkobar-kobar untuk belajar saya tidak mengendahkan keluhan tersebut.

"Sebaliknya saya berazam untuk menempuh apa saja rintangan yang datang. Namun keazaman itu goyah seketika sebaik sahaja memasuki tahun kelima pengajian. Kesabaran saya diuji. Semakin hampir ke garisan penamat semakin kuat cabaran yang datang," imbas Siti Zabedah yang baru sahaja menerima anugerah Ijazah Doktor Falsafah Sebaran Am, pada Istiadat Konvokesyen ke-71, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Kini pensyarah kanan jurusan kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu sudah mampu tersenyum. Pergelutan selama enam tahun melunaskan tesisnya membuahkan hasil.

Perjalanan

Namun dalam membiasakan diri dengan gelaran doktor falsafah, Siti Zabedah masih sukar melupakan keperitan yang dihadapi sepanjang proses pengajiannya.

Laporan tesis yang disusun rapi di atas rak buku sentiasa mengingatkan Siti Zabedah betapa payahnya untuk sampai ke tahap ini. Jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Convent Muar, Johor itu proses pembelajaran peringkat Ph.D diibaratkan sebuah perjalanan persendirian. Segala-galanya perlu dilakukan sendiri tanpa bantuan teman mahupun orang sekeliling.

Dia menyifatkan ketika bergelar calon Ph.D, Siti Zabedah bagaikan berada di tengah-tengah antara peranan seorang pensyarah, keluarga, anak dan teman. Pada situasi tersebut semua aspek perlu diuruskan secara serentak tanpa membiarkan ada yang tercicir.

"Saya perlu bijak menguruskan masa. Setiap detik yang berlalu begitu berharga dan saya tidak pernah sia-siakan. Sebab itu selama tempoh pengajian, kehidupan saya bermula seawal pukul 4 pagi. Celik saja mata saya terus menuju ke komputer untuk menyiapkan laporan tesis. Idea-idea pada waktu pagi mencurah-curah memandangkan fikiran kita segar pada waktu itu.

"Tepat saja pada pukul 5.30 pagi saya menguruskan hal rumah tangga seperti mengemas rumah, membasuh baju dan paling utama memasak sarapan pagi dan hidangan tengah hari. Ini kerana selain suami dan anak-anak saya turut menjaga dan menguruskan kebajikan ibu yang sudah berusia dan uzur," jelas Siti Zabedah yang bergegas ke kuliah pada pukul 8 pagi dan tamat pukul 5 petang.

Seharian berada di kampus, Siti Zabedah yang pernah bertugas sebagai penyunting berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), selama 17 tahun seboleh-bolehnya menyiapkan segala keperluan kuliah. Bermula daripada bahan-bahan pengajaran, tugasan atau soalan kuiz, Siti Zabedah mahu sempurnakan segala-galanya secepat mungkin.

Penulisan akademik

Ini kerana waktu di rumah hanya diperuntukkan untuk keluarga dan sebahagian besar menyiapkan laporan tesisnya.

Dalam pada itu dia sentiasa berusaha mencuri masa ke perpustakaan mencari buku dan jurnal untuk dibuat rujukan. Sehinggakan pada hujung minggu Siti Zabedah perlu mengorbankan waktu santainya dengan mengunjungi stesen televisyen yang menjadi bahan kajian tesisnya.


SITI ZABEDAH mengambil masa selama enam tahun untuk menghabiskan tesis Ph.Dnya.

"Tesis merupakan penulisan akademik. Ia tidak sama seperti penulisan rencana mahupun karangan. Setiap ayat yang ditulis perlu disokong dengan fakta dan contoh. Sebab itu setiap calon Ph.D sentiasa sibuk mencari bahan-bahan rujukan dan bukti bagi mendapatkan hasil tesis yang memberangsangkan," kata Siti Zabedah yang pernah berputus asa untuk meneruskan pengajian Ph.D.

Lebih-lebih lagi apabila keputusan itu diambil tatkala tempoh pengajian masuki tahun kelima. Ini kerana pada satu peringkat dia tidak dapat mengawal dan menguruskan banyak perkara secara serentak.

Enggan membiarkan diri merana kerana pengajiannya, Siti Zabedah tegar menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada penasihatnya untuk tidak meneruskan pengajian. Malangnya niat itu langsung tidak mendapat simpati sebaliknya dia 'dimarahi' kerana tempoh pengajian bakal tamat dalam tempoh setahun saja lagi.

Mengapa beliau mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke tahap Ph.D, sedangkan pada awalnya dia mengerti keperitan yang bakal dialami? Jawapan Siti Zabedah cukup ringkas. Dorongan itu berpunca daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Usahanya meneruskan pengajian bagi menyahut cabaran KPT yang menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara memiliki Ph.D menjelang 2020.

Namun sebelum menamatkan bicara, Siti Zabedah sempat melahirkan rasa tidak puas hati kepada individu yang tidak bertanggungjawab membeli dan menghadiri konvokesyen di universiti luar negara tanpa menjalani proses pengajian sebenar.

"Ia tidak adil bagi kami yang bersusah payah dalam segala aspek. Sanggup mengorbankan masa dan tenaga semata-mata untuk memegang segulung Ph.D. Tetapi individu yang memiliki kelulusan palsu ini sangat rugi kerana tidak mempunyai kepakaran menghasilkan kajian dan tesis," katanya.


Sumber: kosmo.com.my