Wednesday, March 31, 2010

Facebook: Photos & Tagging Yang Mengundang Dosa


Oleh: Abu Umair


Ketika mula-mula saya mendaftar dan menyertai laman rangkaian sosial Facebook, saya tertarik dengan satu fungsi dalam aplikasi ‘Photos‘ yang dikenali sebagai ‘Tagging‘. Mungkin dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai ‘penandaan’.

Fungsinya, pengguna Facebook yang muat naik gambar ke dalam album fotonya boleh melakukan ‘tagging‘ iaitu menanda pengguna-pengguna lain yang ada dalam gambar tersebut. Aturannya ringkas, semudah ABC, dan hasilnya gambar-gambar yang ditanda itu secara automatik akan masuk dalam senarai ‘Photos of‘ bagi pengguna lain yang ditanda.

Menariknya fungsi ‘tagging‘ dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di bahagian ‘Photos‘ di profile nya. Mungkin pengguna tersebut tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu. Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.

Dari sudut yang lain, tagging adalah satu operasi penyebaran gambar kepada khlayak pengguna Facebook secara berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut. Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘. Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.

Jadi apa masalah dengan penyebaran gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya, pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah.

Saya sedih melihat sebahagian rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.

Kemudian, gambar-gambar mengaibkan ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua kesalahan.

Pertama: Memuat naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara maksiat.

Kedua: Menyebarkan gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘, mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.

Amat malang orang yang dibebankan dengan dosa yang banyak lagi berterusan, disebabkan oleh perbuatannya menyebarkan gambar yang demikian.

Saya menyeru kepada semua rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan, wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.

Sunday, March 28, 2010

Hukum Merokok, Oleh: UZAR


Soalan:

Apakah pandangan ustaz tentang merokok dan hukumnya menurut pandangan Islam, saya ada mendengar ada ustaz-ustaz yang mengatakan terdapatnya ulama silam yang hanya menghukumnya sebagai makruh dan tidak haram, adakah ia benar? - Klang -

Jawapan:

Sebelum saya memasuki jawapan, suka saya mengingatkan bahawa pemerintah kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat kuat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara.

Adapun dari sudut hukumnya; sebagai asasnya, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukumannya berdasarkan berbezanya tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil dari rokok. Hakikatnya, dalam hal ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada "ahl az-zikr" dalam halnya, "ahli az-zikr" dalam hal rokok adalah doktor perubatan (selain ulama) yang mampu mengenalpasti impak buruk dari rokok kepada tubuh dan kehidupan. Maka sebarang fatwa ulama yang tidak dibuat berlandaskan maklumat lengkap dari para doktor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.

Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada 2 kumpulan dalam hukum rokok. Ia seperti berikut :-

1) HARAM :

Ia adalah ijtihad oleh majoriti ulama kontemporari termasuk Dar Al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, seluruh ahli persidangan Mencegah rokok (persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. (Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah)

Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh Muhd Alauddin Haskafi al-Hanafi, Syeikh Sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar'ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, halaman 25-26).

Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun (seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain) yang terkandung di dalamnya. (Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, halaman 28; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun, halaman 34-35).

Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh". (Rujuk Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346).

Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT

"Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman" (Al-Furqaan: 59).

Oleh kerana itu, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.

Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya:

"Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat" (Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66; Sohih kata Hakim, dan di atas syarat Muslim kata az-zahabi, Albani: Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)

Hadith lain pula menyebut :

"Sesiapa yang memakan dari pokok ini, berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia" (Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no 876 )

2) HARUS MENGIKUT KEADAAN


Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan ), Syeikh Hasan Makmun.

Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandangan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan mengganggu, ketika itu, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan.

Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah Haram merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh sendiri, orang lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam menyebut :

"Ad-Darar Yudfa' Bi Qadaril Imkan" ;
Ertinya: "Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan" (Al-Madkhal Al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)

Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata (dengan sedikit ubahsuai olahan) :-

a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.

b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil.

Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi mereka yang belum merokok, dan makruh (dibenci Allah) bagi sesiapa yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya dan masih berusaha. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera. Wallahu a'lam.


Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


Sumber: facebook.com




Wednesday, March 24, 2010

Tuesday, March 23, 2010

Ayat - Ayat Bahagia (3)


1) "Jagalah istri, jangan kau sakiti. Sayangi istri, amanah Ilahi. Bila diri kian bersih, satu istri terasa lebih. Bila bisa jaga diri, tidak perlu menikah lagi. Bila suami berpoligami, dakwah akan terbebani. Demarketing menjadi-jadi, dakwah bisa dibenci…." [Ustaz Cahyadi Takariawan @ Pak Cah, (Ustaz Cinta dari Indonesia), dipetik dari: Saifulislam.com]


2) "Perkahwinan bukanlah untuk menghalalkan apa yang tidak dihalalkan sebelumya SEMATA-MATA, bahkan perkahwinan ialah KOMBINASI cinta, perasaan, keinginan dan tanggungjawab" antara pasangan hidup di dunia menuju ke alam syurga. [Aku Terima Nikahnya, Saifulislam.com]



3) "Yang indah itu bukannya hidup bersuami isteri. Ramai di luar sana suami yang mahu membuang isteri dan isteri mahu membuang suami. Yang indah ialah HIDUP BERIMAN, biar pun takdirnya bersendirian." [FB: Ust. Hasrizal Abdul Jamil]


4) Episod demi episod aku melakarkan sebuah novel CINTA srikandi di alam maya. Aku menenggelamkan jiwa ke dalam lautan CINTA, mahu menerokai bahasa serta kandungannya. Ramai sungguh manusia menganggap indahnya sebuah CINTA, ramai lagi manusia mengimpikan bahagianya dunia CINTA. Namun, ketahuilah, CINTA mampu menenangkan jiwa walau dengan sepatah kata, jua menjadi racun berbisa, yang bersedia meruntuhkan hidup berumahtangga.


5) Bila turunnya gerimis kemanjaan, menerpa wajah membasahi badan, terasa hangatnya sebuah kerinduan, terasa maraknya sebuah percintaan, bagaikan hidup dalam dunia lakonan, yang memungkinkan impian menjadi satu kenyataan, pengharapan pada sebuah keajaiban, melutut pada yang Maha Handalan, sudah pastinya tiada kelukaan.


6) Seruan azan berkumandang, menjemput diri bersolat dan menuju kejayaan. Mataku kekuyuan, ingin menutup dari pandangan kerana keletihan dek program-program yang datang berterusan, lalu hati kecil ini berkata: wahai diri, adakah ini penutupan matamu buat selama-lamanya? Tersentaknya diri, terkejutnya anggota, lalu bingkas bangun membesarkan Yang Maha Esa. Jutaan terima kasih buat sang hati suci, syukur tak terkata buat Ilahi, yang banyak berbudi pada diri yang kerdil ini.


7) Ramai yang berkata: "Aku tidak mampu nak berdakwah lagi, kerana aku bukannya orang baik pun." Sepatutnya anda perlu menyahut kata-kata ini "أصلحْ نفسك وادعُ غيرك" (Perbaikilah diri kamu dan dakwahlah orang lain)... Sila buktikan kepada saya bilakah tarikh dan waktu anda akan menjadi baik? Saya bimbang... belum pun sempat kita berada di tarikh yang dirancangkan, tiba-tiba rumah yang mempunyai dua tiang sudah menjadi milik kita.


8) Ramai sungguh sang lelaki memiliki jenama USTAZ, ramai juga sang wanita memakai jenama USTAZAH. Alangkah indah kalau jenama itu ditonjolkan di mata-mata insan luaran, sekaligus diaplikasikan di mata-mata insan dalaman agar mizan kehidupan terus menerus mencapai hakikat keseimbangan.




Friday, March 12, 2010

Dia Pernah Mencintaimu

Oleh: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.

“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.

Persoalan.

Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?

“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Aneh.

Mencintai insan yang belum ada.

Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.

Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.

Cinta luar biasa.

Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.

SENYUMAN PERPISAHAN

Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.

Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,

Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.

“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.

Wajah itu mengubat rindu mereka.

Tiga hari yang hilang warna dan sepi.

Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.

Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.

Sangka mereka itu senyum kesembuhan.

Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…

Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.

Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.

“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.

Tangan itu rebah terkulai.

Basah dalam bejana air.

Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.

Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.

Merindui saudara-saudaranya.

Kita.

SEBUAH PERTANYAAN CINTA

Justeru…

Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?

Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?

Hati kecil itu tidak mampu berbohong.

Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….

“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]


Sumber: saifulislam.com