Friday, January 29, 2010

Meluahkan Rasa Rindu Yang Terpendam

Gambar: Kredit untuk Umme Ayman

Tanggal 17 Januari yang lalu, merupakan hari terakhir aku berdepan dengan kertas peperiksaan. Aku memandang anak-anak, memerhatikan mereka yang bertungkus lumus membaca kitab masing-masing. Aku kasihankan mereka, masing-masing menggagahkan diri menghadapi peperiksaan dalam musim kesejukan. Mulutku tidak lekang terus menyuntik semangat pada mereka dalam mengharungi dunia pembelajaran.

18 Januari, selepas zohor merupakan hari kemerdekaan kami sekeluarga. Alhamdulillah, aku cukup lega, melihat anak-anak riang ria. Mereka berehat seketika...


"Fikirkan program-program masa cuti ni, jangan menghabiskan cuti dengan beriba tangan saja", aku melontarkan ayat pada anak-anakku. Kemudian mereka mula memberikan cadangan itu dan ini...Aku tersenyum, seronok dengan buah fikiran mereka.

Al-hamdulillah sekali lagi, cuti pada kali ini aku dijemput oleh anak-anak Mu'tah untuk membentangkan ucapan tentang pengertian hidup dalam dunia bahasa al-Quran sekaligus menerokai matan-matan Nahu dan Sorof. Aku sungguh gembira dengan jemputan itu, bukan gembira kerana jemputan tetapi gembira kerana ingin berkongsi cinta dengan mereka pada kalam Tuhan.


Lalu aku memberitahu anak-anak tentang jemputan tersebut. Mereka sungguh gembira dan cukup ceria kerana ingin mengembara di bumi sahara sana. Mereka bertungkus-lumus membantuku dalam menyiapkan 'slide show' untuk pembentangan dalam program yang akan diadakan. Oleh kerana program daurah akan dilaksanakan selama dua hari, maka banyaklah juga persiapan diperlukan.

Kami turun pada hari Sabtu yang lepas, sebaik sahaja selesai solat Maghrib, meredah malam yang sangat sejuk. Namun, kerana sebuah perjuangan dakwah bahasa al-Quran, kerana ukhuwwah yang berpanjikan pada Islam, kesejukan diketepikan, tatapan cinta kami kedepankan.


Sampai di Mujamma' Janub, kami terus menaiki bas ke Mu'tah. Aku tersenyum melihat gelagat penduduk Arab. Ku perhatikan gaya bahasa mereka, isyarat mereka dalam berkomunikasi, pergaulan mereka, serta budaya hidup yang cukup berlainan dengan budaya aku sebagai orang Melayu Malaysia. Oh Tuhan, betapa 'azhimnya diriMu, mampu menciptakan makhluk yang bernama manusia dengan kepelbagaiannya.

Di Mu'tah aku sentiasa diperkukuhkan ukhuwwah dengan akhawat di tiga rumah itu. Rumah cinta pertama di bumi Mu'tah yang ku gelarnya. Semoga Allah melimpahi rahmat buat kalian semua.

Pada 24 Januari bermulalah program daurah
. Al-hamdulillah ramainya anak Mu'tah, mereka datang ingin mengetahui tentang dunia hidup dalam bahasa al-Quran. Slot yang pertama ku tekankan betapa pentingnya kita menguasai bahasa Arab. Apa peranan ilmu Nahu, Sorof dan Balaghah dalam kita menghayati kalam Tuhan, kata-kata Nabi kita Sallallahu 'alaihi wa sallam?.

Aku menghuraikan sedikit sebanyak pentingnya ilmu tersebut dalam kita memahami ayat-ayat dalam surah al-Fatihah, surah al-Lail dan beberapa ayat-ayat lain dalam al-Quran kitab yang agung itu.
Aku juga melontarkan mereka tentang peri pentingnya kita berpegang pada bahasa Arab Fusha di samping mengambil bahasa 'aammi (bahasa pasar) hanyalah sebagai bahasa untuk kita bertutur dengan masyarakat Arab yang tidak memahami bahasa fushanya, juga demi memahami pergaulan, adat dan budaya mereka sahaja.

Berusahalah untuk meningkatkan bahasa Arab fusha ini dengan mencari wasilah-wasilah yang baik dalam memperolehinya seperti menonton siaran-siaran muhadharah, khutbah, muqabalah, daurah dan sebagainya.


Kemudian daurah tersebut di sambung dengan slot memahami matan-matan Nahu al-Muqaddimah al-Aajurrumiyyah. Al-hamdulillah, mendapat interaksi dan sambutan yang menggalakkan dari anak-anak sana. Hari yang kedua ,25 Januari, daurah memahami matan tersebut di sambung lagi sehinggalah berakhir hampir waktu solat maghrib.


Aku cukup bersyukur pada Ilahi, akhirnya aku dikurniakan juga saat indah untukku meluahkan rasa rindu yang sudah lama terpendam di jiwa ini. Rindu untuk memberitahu insan betapa nikmat hidup dengan mengkaji ayat-ayat Tuhan. Terasa 'dalam' bila aku menyelam bicara-bicaraNya. Oh, dunia hidupku bersama muhadharah bahasa agung itu telah ku tinggalkan lebih dua tahun yang lalu. Moga-moga aku dipertemukan kembali.

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga buat penganjur persatuan sana. Mohon ampun, mohon maaf jika ada tersalah kata, tersilap bicara dalam masa kita bersua. Kenikmatan juga turut ku rasakan bila tautan ukhuwwah dieratkan. Mudah-mudahan cinta dan rahmat Tuhan sentiasa dicurahkan.

Tanggal 26 Januari, ku pulang ke tanah Amman setelah jauh berjalan, meletakkan sebuah pengharapan, meyakinkan sebuah impian, agar mereka yang bersegandingan tercetus rasa mahu mengenal kalamMu Tuhan, terdetik rasa ingin merintis sebuah perjuangan ulama silam yang semakin lama semakin ditinggalkan..Moga Allah mencurahkan kasih sayang buat hatiku yang sudah lama terpendam...Moga Dia jua menyebarkan belas kasihan buat insan yang mencari ketakwaan melalui dunia bahasa dan kesusasteraan.

Allahumma aameen.




Friday, January 22, 2010

Ayat - Ayat Bahagia



1) Bercinta dengan pencinta yang mengerti sebuah percintaan menyemarakkan aku rasa cinta pada yang Maha Pencinta yang mencintai seorang hamba yang asyik bercinta denganNYA, meletakkan rasa cinta penghambaan sebaik-baik dunia cinta...


2) Mencari kasih yang tersirat di sebalik yang tersurat, memburu rindu yang satu di sebalik kata-kata yang padu, mengenang sayang yang mendalam di sebalik hati yang kelam, menghayati cinta yang membara di sebalik jiwa yang redha, memahami bahawa DIA penentu segala rahsia...



3) Hidup berstatuskan rasa cinta pada Tuhan memungkinkan aku rasa gerun untuk melukakan hatiNya. Kadang-kadang hati yang berbolak-balik ini diuji dan teruji dengan tempias kesyaitanan yang menolak aku untuk memandang sebelah mata pada urusanMu Tuhan. Oh tidak! Jangan tenggelamkan aku hidup bersendirian wahai Penciptaku, terkapai-kapai dalam lautan dunia yang penuh gelora. Tuhan...Engkaulah yang membolak-balikkan hatiku ini, tetapkanlah ia pada agamaMu dan kuatknlah ia pada ketaatan yang tinggi lagi suci demi redhaMu.



4) "Aku cinta pada orang yang soleh...namun, aku bukanlah sebahagian dari mereka... Mudah-mudahan aku tetap memperolehi 'habuan' mereka..." Tuhanku...campakkanlah aku permata soleh sebagai pakaian hidupku, tiupkanlah aku ruh cinta membara pada mereka yang soleh, lontarkanlah aku sebutir rindu yang padu pada suasana yang soleh, jadikanlah aku tangan yang mampu mencetus dunia yang soleh...


5) Menanti bulan jatuh ke riba memang sukar untuk disangka, baik hidup di alam nyata dari hidup di alam maya, terkapai-kapai di lautan mimpi yang asyik merugikan diri, kenal diri kenal badan agar selamat dalam perjalanan.



6) "Setiap keputusan yang dipilih... setiap langkah yang diorak... setiap penyelesaian yang dibuat... PASTI ada UJIANnya..." ...ujian ini lebih mengenalkan diri kita tentang siapa Pencipta kita...



7) Sibukkanlah dirimu dengan urusan-urusan yang mendorongmu untuk mengingati Allah, sebelum kamu disibukkan oleh syaitan-syaitan dan konco-konconya dengan perkara-perkara yang membawamu ke arah maksiat kepada Allah.



8) Begitu hebat senjata wanita yang bernama AIR MATA, mampu menangkis segala kepalsuan dunia. Syukurlah pada Yang Maha Esa mengalungkan dirimu mahkota 'al-mutasobbirah' yang berusaha memerah keringat demi memperolehi kemuncak kesabaran...Yakinlah dengan sepenuhnya bahawa Tuhan itu PASTI bersamamu wanita...



9) Mengekang kemarahan walaupun adanya keletihan, datangnya kebencian, singgahnya kesedihan, namun... ia mengajar aku perlunya kesabaran dalam apa jua keadaan, dalam setiap ujian dan dugaan demi mengharungi kehidupan dunia yang
penuh kebahagiaan di sebalik cabaran yang mendatang.



Thursday, January 21, 2010

Facebook: Anda Penentu Halal Haramnya


Laman jaringan sosial Facebook atau singkatannya FB, kini terus menjadi fenomena bagi pengguna internet di Malaysia. Penggunanya dikatakan bukan sahaja sahaja merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja dan dewasa malah sehingga golongan berumur lebih dari 50 tahun.


Menurut laporan statistik terkini yang dikeluarkan syarikat Facebook, mereka kini mempunyai 350 juta pengguna aktif diseluruh dunia. Dari jumlah itu, seramai 1.1 peratus atau 3.85 juta penggunanya adalah rakyat negara Malaysia dan sebilangan darinya adalah pengguna Islam. Manakala lebih daripada 65 juta juta pengguna aktif Facebook juga mengakses melalui peranti mobile mereka.


Facebook produk Yahudi?


Hukum penggunaan Facebook ini pernah menjadi pertikaian di kalangan pengguna Islam apabila terdapat maklumat yang mendedahkan pengasasnya, Mark Zuckerberg adalah seorang Yahudi sekaligus meletakkan bahawa ianya adalah produk bangsa itu.

Malah lebih berat lagi apabila maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya menyebut Mark Zuckerberg menggunakan perniagaan Facebooknya membiayai Israel menyerang umat Islam di Gaza, Palestin tersebar luas di kalangan pengguna Islam.

Polemik itu juga telah menyebabkan ada kumpulan tertentu melancarkan kempen boikot dengan menyeru orang Islam tidak lagi menggunakan jaringan Facebook kerana didakwa boleh membawa kepada haram akibat menguntungkan Yahudi.

Namun menjadi persoalan adakah betul jika pengharaman dibuat atas asas bahawa ianya hanya produk Yahudi?

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu:

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" (Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)

Ianya menjelaskan bagaimana Islam membenarkan umatnya membeli, menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal.

Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.

Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.

Bila Facebook menjadi Haram?

Hukum mengguna dan membuka akaun Facebook pada asasnya adalah 'Harus' atau dibenarkan selagi tidak melanggar batas syariat Islam. Malah jika ia digunakan untuk kemaslahatan (kebaikan) Islam, maka ia menjadi sangat digalakkan. Namun ianya boleh menjadi haram jika kemudahan jaringan sosial ini disalahguna bergantung kepada matlamat seseorang.

Facebook sepatutnya dijadikan sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, medan perbincangan, ruang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Malangnya ada diantara kita membuka akaun Facebook hanya untuk suka-suka, betul-betul untuk 'bersosial' tanpa ada sebarang tujuan bermanafaat. Apatah lagi, Facebook kini juga dilengkapi aplikasi 'third party' seperti kuiz dan permainan online. Keasyikannya kadang-kadang mampu menjadikan pengguna itu ketagih dan hanyut dalam dunia sendiri sehingga melupakan dunia luar.

Maka tidak hairanlah jika kajian Facebook sendiri menyebut rata-rata penggunanya menghabiskan lebih dari 55 minit sehari mengadap laman ini.

Islam melihat mereka yang menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, boleh menjadi haram sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain. Malah lebih teruk lagi jika penggunaannya membuahkan fitnah menyebabkan institusi keluarga, masyarakat dan negara menjadi porak peranda.

Dalam satu kes yang berlaku 24 Januari 2009, seorang pemuda, Edward Richardson yang berasal dari London, dihukum penjara 18 tahun kerana membunuh isterinya Sarah, setelah mengetahui isterinya itu menukar status 'maried' kepada 'single' pada profile Facebooknya.

Beberapa kes lain juga berlaku termasuk dalam negara ini sehingga terdapat kes seseorang individu itu disiasat oleh pihak berkuasa kerana komen-komennya dalam blog yang berbaur hasutan dan ancaman yang didakwa boleh mewujudkan ketegangan.

Maka persoalan haram dan halal berhubung perkara ini wajar dipulangkan kepada pengguna masing-masing.

Hanya anda tahu bagaimana anda menggunkan kemudahan jaringan sosial ini sama ada memberikan banyak manfaat atau mudarat.

Tepuk dada tanya Iman...


Sumber: harakahdaily.net


Thursday, January 14, 2010

Facebook Dan Status Hukum


Soalan

Ustaz, SYUBHAHKAH menyertai FACEBOOK? ana ada terbaca artikel yang mana pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?

Jawapan

Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak pula ditulis oleh pelbagai individu di forum dan blog.

Sebelum ini saya sendiri tidak menggunakan facebook walaupun saya telah membuat beberapa kajian serba ringkas dan membaca semua terma perjanjian yang terkandung di web facebook.

Namun ramai individu meminta dan mencadangkan saya membuka akaun facebook untuk menyebarluaskan lagi dakwah dan ilmu yang terkandung di dalam website saya. Biasanya, permintaan itu saya abaikan, sehinggalah rakan webmaster zaharuddin.net sendiri mencadangkan kepada saya, lalu saya tolak atas alasan kesibukan.

Beliau kemudian mencadangkan dibuka fanpage facebook dan bukannya facebook profile individu bagi mengelak kesibukan yang dibimbangkan tadi. Beliau juga bersetuju membantu proses pembukaan itu dan administrasi.

Atas tanggungjawab dakwah dan web saya yang kerap ditimpa masalah server akhir-akhir ini, saya izinkan beliau memulakan fanpage facebook untuk pengunjung zaharuddin.net. Boleh melawatnya di sini.

Maka sejak dari 28 Dis 2009, saya mula menjenguk facebook zaharuddin.net dan membuat pengisian serba ringkas.
Zaharuddin.net on Facebook

Kembali kepada soalan, dalam menentukan keputusan dan hukum penyertaan facebook, menurut pendapat saya, terdapat beberapa isu yang perlu diperhati dan telah saya perhati sebelum memberi izin kepda rakan webmaster saya. Ia adalah seperti berikut :-

1) Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?

Kesimpulan bagi soalan ini telah saya ulas panjang lebar dalam artikel terdahulu. Baca di sini. Kesimpulannya, adalah dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal.

Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :-

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)

2) Apa maksud saudara penyoal dengan ayat ‘menyumbang kepada bangsa Yahudi'?

Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah s.a.w dan para sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah.

Cuma persoalannya di sini, adalah menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis. Namun adakah dakwaan itu boleh dibuat dan dipercayai semudah itu, tanpa sebarang bukti jelas dan hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?

3) Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?

Begini, jika ternyata dari sumber yang sohih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang mana digunakan hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, tatkala itu barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama.


Dalam konteks facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah facebook, tidak menyertakan bukti jelas berkenaan hal ini. Semuanya membuat andaian itu dan ini, sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar boleh mengajak kita untuk berhati-hati dan peka sahaja.

Malah majoriti pengguna facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat tersebut. Kecuali yang menyertai skim-skim yang ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan)

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti-bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum. Justeru boleh saya katakan, kajian telah dibuat dan kami gagal MENDAPATI sebarang bukti untuk menyokong andaian-andaian pihak yang membuat andaian.

Jika dikatakan

"bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pihak syarikat facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap-senyap"

Maka jika demikian, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama ini. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara dan aktviti lain, kerana larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam beragama Hindu, Kristian, Buddha dan lainnya. Penjual-penjual tersebut juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap. Akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri, hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti yang jelas.

Oleh kerana itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukum adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun facebook.

Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syuhbat diketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian ‘case by case'.

Pun begitu, pengguna facebook sukar untuk dibebankan dengan masalah ini keran amereka TIDAK BERJUAL BELI denga facebook, mereka hanya menggunakannya secara percuma. Jika dikatakan, penggunanya menyebabkan trafik facebook menjadi tinggi dan iklan mencurah masuk lalu memberi keuntungan kepada pemilik facebook. Ia juga sukar kerana kesesakan trafik bukanlah bersifat ‘direct' membantu facebook, tambahan pula sebagaimana di katakan tadi, tidak jelasnya sumbangan kepada keganasan Yahudi.

4) Privacy pengguna facebook dijajah?

Ini mungkin ada benarnya, setelah saya menghabiskan bacaan privacy policy yang terkandung di dalam web facebook, ia memberikan gambaran bahawa gambar, info dan segala yang terkandung di dalam facebook kita boleh tetap wujud di facebook orang lain yang dikongsi, dan saya yakin pihak facebook juga mempunyai simpanan data terbabit.

Policy menyebutkan :

"Even after you remove information from your profile or delete your account, copies of that information may remain viewable elsewhere to the extent it has been shared with others, it was otherwise distributed pursuant to your privacy settings, or it was copied or stored by other users."

Terma ini adakalanya boleh membawa sedikit mudarat jika tidak ditangani dengan bijak oleh pengguna. Namun demikian, terma ini sahaja tidak mampu menjadi keseluruhan facebook sebagai haram.

Selain itu, juga disebutkan :

To respond to legal requests and prevent harm. We may disclose information pursuant to subpoenas, court orders, or other requests (including criminal and civil matters) if we have a good faith belief that the response is required by law. This may include respecting requests from jurisdictions outside of the United States where we have a good faith belief that the response is required by law under the local laws in that jurisdiction, apply to users from that jurisdiction, and are consistent with generally accepted international standards. We may also share information when we have a good faith belief it is necessary to prevent fraud or other illegal activity, to prevent imminent bodily harm, or to protect ourselves and you from people violating our Statement of Rights and Responsibilities. This may include sharing information with other companies, lawyers, courts or other government entities."

Berdasarkan kepada terma di atas. Sebenarnya pihak facebook mempunyai hak untuk mendedahkan informasi kita kepada mana-mana berdasarkan alasan yang disebut di atas. Tiada takrif jelas bagi yang disebut di atas, semua masih tetap terpulang kepada keputusan pihak facebook. Maka menyerahkan info dan gambar kita kepada syarikat tertentu, CIA, FBI atau apa jua badan kerajaan adalah hak facebook jua.

Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan pengunaan facebook sebagai haram, apa yang perlu adalah kawalan dan had limit.

KESIMPULAN

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut :-

· Hukum membuka akaun dan menggunakan facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.

· Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.

· Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan untuk :-

a- Memanupulasi akaun facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Justeru, ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b- Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c- Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi ( khsusunya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had limitasi, tanpa kawalan ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat. Di samping ia akan kekal di facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook.

d- Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e- Tidak terlibat dengan permainan-permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

f- Tidak mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma facebook. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

g- Menyedari bahawa maklumat kita di facebook boleh menjadi database pihak asing untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi kita jika tidak dikawal. Database sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana facebook. Hatta parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu update sebagaimana facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan.

Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna dan membuka akaun facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Malah jikalau terdapat unsur syubhat sekalipun, ia telah diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui facebook itu.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
19 Muharram 1431 h

05 Januari 2010



Sumber: facebook.com



Thursday, January 7, 2010

Sunday, January 3, 2010

Tok Guru Ulas Isu Saman RM800 Juta

Tok Guru Nik Aziz mengulas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Kerajaan Negeri Kelantan supaya membayar ganti rugi sebanyak RM800 juta kepada Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar perjanjian antara kedua pihak, kes yang berlarutan sejak 45 tahun lalu. Tok Guru mengulas isu berkenaan semasa menyampaikan Kuliah Jumaat beliau di Dataran Ilmu Kota Bharu pada 1 Januari 2009 / 15 Muharam 1431H.




Sumber: MediakiniTV



Saturday, January 2, 2010

Bila Ia Datang Lagi...