Thursday, August 13, 2009

H1N1: Bala Atau Kelemahan Saintis?

Oleh: Wan Afifi Wan Zainudin*

Sehingga hari ini, saya melihat kerajaan Malaysia mula panik dengan serangan virus H1N1 ini yang telah meragut lebih 20 nyawa. Langkah pencegahan melalui kaedah sains nampaknya tidak berkesan untuk menghalangnya daripada merebak.

Maka, datang pula cadangan untuk mengadakan Solat Hajat besar-besaran di seluruh negara. Walaupun idea ini bukan datang daripada kerajaan, akan tetapi masih kedapatan rakyat yang percaya dan yakin bahawa sains bukan segala-galanya untuk menentang virus ini. Al-hamdulillah, ada lagi rakyat yang masih mendambakan sesuatu daripada Pencipta.

Sewaktu mula-mula penyakit menyerang negara ini, ramai yang menuduh dan mengaitkannya dengan babi. Mana tidaknya, apabila nama asalnya “ Virus Selsema Babi” sebelum ditukar dengan nama “Virus Selsema H1N1”.

Mulalah segelintir masyarakat mula menuduh bangsa yang sangat rapat dengan binatang ini iaitu, bangsa Cina. Sungguh menebalnya sifat perkauman di kalangan rakyat Malaysia. Malangnya selepas beberapa ketika, bangsa yang jijik dengan babi, bangsa Melayu, telah diserang dengan virus ini.

Sehingga menyebabkan beberapa kampus UiTM ditutup. Di kampus ini, sah-sahlah dipenuhi dengan bangsa Melayu. Apakah bangsa Melayu hari ini makan babi? Tentunya tidak secara umumnya.

Lantas peristiwa dan keadaan sebegini mula membuatkan saya kembali berfikir, mengapa masyarakat Melayu-Muslim menerima bahana penularan wabak ini? Walaupun tidak ada statistik yang tepat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan penularan wabak ini.

Mungkin untuk mengelak sikap prejudis kepada sesuatu bangsa yang bakal mencetuskan perbalahan kaum. Namun, dengan angka-angka dan kaedah-kaedah mengelak jangkitan yang didedahkan oleh pihak kementerian terbabit, kita dapat membuat sedikit rumusan yang mungkin kurang tepat.

Pertamanya: virus ini berjangkit melalui udara hasil interaksi manusia seharian. Jadi untuk mengelak jangkitan ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menjauhi daripada tempat-tempat yang penuh sesak dengan manusia.

Bahkan ditambah lagi dengan nasihat untuk memakai topeng muka. Antara tempat yang bersesak-sesak manusia di dalamnya adalah di kelab-kelab malam. Sedar atau pun tidak, umat Melayu yang mengaku Islam semakin berani melawan perintah Allah. Mereka tanpa segan silu mengunjungi tempat-tempat maksiat ini atas nama kebebasan.

Soal minum arak, wallahu a'lam, walaupun banyak pendedahan berani selebriti-selebriti tanah air. Anehnya, terlibat dengan demonstrasi menentang kezaliman tidak boleh, tapi menganjur dan mengunjungi konsert-konsert liar tidak mengapa.

Nah, masih ego mahu melawan larangan Allah?

Keduanya: setakat penilitian saya (mungkin benar, mungkin tidak benar), kebanyakkan mereka yang diserang penyakit ini adalah mereka yang dalam lingkungan usia remaja dan ke atas.

Tidak kedengaran bayi-bayi yang baru lahir dijangkiti, dan mungkin jumlah jangkitan pada peringkat kanak-kanak sangat kecil walaupun banyak sekolah ditutup.

Mungkin bayi yang baru lahir tidak kena jangkitan wabak ini adalah disebabkan kadar keaktifan penghasilan antibodinya yang sangat tinggi. Ada kemungkinan juga, ini adalah satu peringatan daripada Allah kepada generasi muda yang dalam lingkungan usia belia remaja.

Kelompok ini banyak terlibat dengan salah laku seks atau gejala zina. Jika berjangkit dalam keluarga, mungkin itu perkara biasa disebabkan genetik yang sama. Tapi jangkitan berlainan genetik ini sangatlah malang. Inilah peringatan Allah kepada manusia supaya kembali kepada-NYA. Cuma nak sedar atau tidak sahaja.

Ketiganya: hari ini, masyarakat Malaysia didedahkan dengan kaedah-kaedah menjauhi jangkitan H1N1 ini. Antaranya kaedah membasuh tangan yang betul, menutup hidung dan mulut sewaktu bersin dan batuk.

Maksudnya, penyakit ini juga sangat berkait rapat dengan penjagaan kebersihan diri sendiri serta diri dan masyarakat. Kebersihan adalah lambang sebuah bangsa yang bertamadun. Masyarakat Malaysia sangat jauh dengan budaya menjaga kebersihan ini.

Daripada sinilah, kita akan mula mengorak langkah baru, mengembalikan nilai-nilai dan akhlak sebagai seorang manusia yang tahu adab dan tatasusila.

Secara saintifiknya, badan kita mempunyai sistem pertahanan badan yang sangat unggul. Tetapi semakin meningkat dewasa, badan kita semakin lemah melawan penyakit lebih-lebih lagi penyakit melibatkan virus.

Ini kerana, jika kita menyedari sewaktu kecil kita diberikan suntikan imunisasi untuk memberikan badan kita antibodi melawan penyakit bawaan virus. Tapi sesudah mengikat dewasa, kita banyak mengharap kepada antibodi diri sendiri sahaja.

Kita meninggalkan kerja-kerja “Amar Makruf Nahi Mungkar” dalam konteks hubungan sesama manusia. Diri kita mungkin sudah baik, akan tetapi masyarakat sekeliling kita? Apakah itu bukan tangungjawab kita? Atau dengan kata lainnya, “Mati kubur lain-lain” dan “Jangan jaga tepi kain orang”.

Bukan semua masalah manusia dan dunia ini mampu diselesaikan dengan sains. Banyak perkara yang tidak mampu diselesaikan dengan akal manusia, kerana yang mangawal atur dan mengurus tadbir alam semesta ini adalah Allah. Walaupun Islam tidak pernah sesekali menolak rasional dan logik sains.


*Penulis ialah graduan Uni. Malaya dan kini menganggotai Sekolah Pemikir Muda, sebuah badan pemikir bebas berteraskan intelektual dan percambahan idea bagi membina polisi Malaysia yang lebih harmoni.


Sumber: mahasiswakini.com


2 comments:

arfie said...

salam.. sekadar menambah.. ada gak kanak-kanak yg umurnya 5 tahun yg turut jadi mangsa H1N1.. wallahua'lam.. apapun mntak akak doakn saya yg nak balik m'sia ujung bulan ni.. hehe

sitihasliza said...

Salam kembali buat arfie,

Firman Allah swt yang bermaksud: Dan takutlah kamu (peliharalah dirimu) dari fitnah (musibah) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksanya (al-Anfaal: 25).

Daripada ayat tersebut dapat difahami bahawa bala atau musibah yang diturunkan oleh Allah akan menimpa sesiapa shj baik yg kecil mahupun yg besar, tua atau muda, orang yg beriman, kafir atau munafiq kesan daripada kezaliman yg dilakukan oleh 'tangan-tangan' yg tidak 'berhati perut', enggan mendengar nasihat Allah swt.

Dalam artikel tersebut, penulis tidaklah menafikan bhw kanak-kanak juga terlibat dalam wabak H1N1, akan tetapi beliau menyatakan bhw "kebanyakkan mereka yang diserang penyakit ini adalah mereka yang dalam lingkungan usia remaja dan ke atas."

Pd pandangan saya, secara umumnya penulis ingin menekankan bahawa setiap bala yg menimpa manusia amat berkait rapat dengan perbuatan dan amalan harian mereka.

Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada anda krn sudi memberikan sedikit komen tersebut.