Saturday, September 20, 2008

Khutbah Jumaat, 19 Ramadhan 1429H


Jumaat, 19 Ramadhan 1429H, sekali lagi saya bersama jamaah UIAM menunggu ketibaan Solat Jumaat. Perkara yang bakal menjadi tumpuan saya ialah Khutbah Jumaat yang selalunya menusuk jiwa saya yang mana ia merupakan bahan inspirasi dan motivasi buat diri saya demi mengharungi hidup yang penuh mencabar ini berlandaskan ukuran yang dikehendaki Tuhan.

Khutbah Jumaat kali ini disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Razzaq Abdul Rahman As-Sa'di, pensyarah di Jabatan Bahasa Arab, UIAM. Beliau menyampaikan khutbah tersebut dalam Bahasa Arab berkisarkan topik yang berkaitan dengan Ramadhan al-mubarak. Antara isi kandungan khutbah tersebut ialah:

1) Beliau menasihati jamaah agar bersungguh-sungguh mencari kelebihan Ramadhan terutamanya pada hari ke sepuluh yang terakhir dengan beriktikaf di masjid serta memperbanyakkan ibadah khusus sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi saw dan ahli keluarga baginda saw. Namun beliau menegaskan agar para jamaah masjid tetap menjaga kebersihan dan keamanan masjid demi kebaikan bersama.

2) Beliau mengingatkan umat Islam agar berpegang teguh pada al-Quran dengan memperbanyakkan bacaan, bertadabbur dan memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran kerana ia merupakan senjata bagi umat Islam yang tidak mampu dilenyapkan oleh para kuffar walaupun mereka seringkali berusaha menghapuskannya.

3) Beliau juga menjelaskan pandangan-pandangan tentang penamaan 'Lailatul Qadr' serta penurunan al-Quran, adakah ia diturunkan secara sekaligus (jumlah) atau secara beransur-ansur? Di sini ada ikhtilaf ulama dalam penurunan tersebut. Namun beliau membuat kesimpulan dari pandangan-pandangan tersebut dengan menyatakan bahawa al-Quran diturunkan sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah, kemudian secara beransur-ansur kepada Nabi saw berdasarkan keadaan semasa dan persoalan-persoalan yang ditimbulkan pada zaman tersebut.

4) Beliau menggalakkan para pelajar dan ahli jamaah agar berusaha mempelajari Bahasa Arab yang merupakan Bahasa al-Quran yang begitu penting kepada umat Islam untuk memahami isi kandungannya, di samping tidak mengenepikan bahasa-bahasa yang lain demi kepentingan dakwah Islamiyyah. Beliau menyatakan walaupun ada pertikaian tentang hadis Nabi saw yang bermaksud:"Aku menyintai Bahasa Arab kerana aku merupakan orang Arab, al-Quran juga diturunkan dalam Bahasa Arab, dan ia juga merupakan bahasa ahli syurga", namun katanya makna hadis tersebut adalah sahih (Nabi merupakan orang Arab dan al-Quran juga dalam Bahasa Arab).

5) Beliau menyatakan pujian dan kegembiraannya terhadap Kerajaan Malaysia kerana berusaha mewujudkan pusat-pusat pengajian al-Quran, musabaqah al-Quran, markaz-markaz tahfiz al-Quran demi melahirkan generasi al-Quran. Begitu juga dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang banyak menggerakkan program-program serta pengajian-pengajian berteraskan al-Quran kepada pelajar-pelajar dan orang awam sebagaimana yang dianjurkan oleh pihak universiti, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan juga kulliyyah-kulliyyah yang lain.


Diucapkan jazakallah khaira kepada Prof. Madya Dr. Abdul Razzaq Abdul Rahman As-Sa'di di atas khutbahnya yang mantap, bahasa yang digunakannya mudah difahami, yang berkesan kepada para jamaah. Mudah-mudahan diambil manfaat oleh semua pendengar.

Kepada mereka yang ingin bersama beliau dalam tazkirah mingguan, boleh mengikutinya pada setiap hari Khamis, malam Jumaat, selepas Solat Maghrib bertempat di Masjid UIAM. Kecuali pada Bulan Ramadhan, tazkirah atau sessi soal jawab agama dibuat selepas Solat Tarawih.

Sekian.


No comments: