Masjid UIAM
UIAM
UIAM
Hari ini Jumaat 05 Sept bersamaan 05 Ramadhan merupakan hari yang lebih gembira bagiku. Semenjak semalam ku melangkah kaki ke Bumi UIAM, bumi yang sentiasa dalam ingatanku. Di Masjid universiti ini ku dapat berbuka puasa dengan kawan-kawan, 'anak-anak'ku yang ku sayangi, dapat berterawih bersama mereka, menjadi makmun kepada imam-imam yang hebat, dapat mengeratkan ukhuwwah, bertanya khabar, dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru. Oh seronoknya ukhuwwah Islamiyyah!
Rasa sungguh bertuah hari ini kerana dapat Solat Jumaat, terharu melihat manusia berpusu-pusu mengingati Allah, tambahan pula khutbah yang disampaikan oleh Dr. Jamal Badi dari Kulliyyah Ilmu Wahyu menekankan tentang Bulan Ramadhan dan kelebihannya. Khutbah disampaikan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.
Sebaik sahaja selesai Solat Jumaat diadakan pula solat jenazah ghaib serta solat hajat. Kemudian diikuti dengan Tazkirah Ramadhan dalam Bahasa Arab yang disampaikan oleh Dr. Abu Saiid Muhammad Abdul Majid dari Jabatan Bahasa Arab. Beliau mengupas tentang tujuan difardhukan puasa di Bulan Ramadhan ini iaitu untuk memperolehi ketaqwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah Taala. Beliau juga menghuraikan tentang al-Quran dan kelebihannya yang mana ia diturunkan pada bulan yang mulia ini. Bulan Puasa juga merupakan 'madrasah' untuk mendidik jiwa manusia ke arah kemajuan dunia dan akhirat. Beliau menyatakan juga kalam al-Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ihya' Ulumiddin yang membahagikan puasa seseorang itu kepada tiga bahagian iaitu puasa al-umum, puasa al-khusus, puasa al-khawasi al-khawas.
Al-hamdulillah, ku dapat berjumpa lagi dengan suasana sebegini rupa yang ku impikan ingin hidup sebegini selama-lamanya. Suasana yang penuh dengan keimanan, ilmu pengetahuan, nasihat-menasihati, ukhuwwah yang erat dan sebagainya. Moga-moga Allah memberikan semangat yang baru buat diriku untuk bekalan menuju ke Bumi Syam.
No comments:
Post a Comment