Saturday, October 18, 2008

Cinta Manusia Bermusim

Bercakap tentang cinta adalah suatu perkara yang menyeronokkan bagi kebanyakan insan, namun di sebalik keseronokan itu ada kepedihan yang melanda bagi sesetengah pihak. Aku pernah didatangi beberapa insan yang meluahkan isi hatinya tentang percintaan sebelum perkahwinan atau selepasnya. Mereka bukanlah bercinta sebagaimana takrif cinta yang dibuat oleh muda-mudi hari ini, yang bebas dalam pergaulan mereka, keluar sana-sini, 'bergayut' tanpa ada batasan dan sebagainya, seolah-olah mereka seperti pasangan suami isteri.

Kisah yang ku nak paparkan di sini memang berlaku di depan mataku. Lelaki dan wanita ini telah mengikat janji dengan kata-kata untuk melangsungkan perkahwinan setelah tamat pengajiannya nanti. Dengan asas pendidikan agama yang mereka ada, mereka tidak melakukan perkara-perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam. Akhirnya si wanita meminta agar pihak lelaki berjumpa dengan ahli keluarganya untuk menyatakan hasrat perkahwinan mereka.

Setelah kunjungan pihak lelaki ke rumah wanita, keluarga meraka bersungguh-sungguh berpakat untuk mengikat hubungan mereka berdua ke jinjang pelamin.
Hari demi hari kehidupan mereka sangat baik sekali. Kadang-kadang si wanita ini menerima hadiah yang begitu berharga dari seorang lelaki yang bakal menjadi suaminya. Ku selalu diminta untuk mendengar kisah kehidupannya itu. Ku sentiasa ucapkan kebahagiaan yang akan menjelma nanti. Namun, ku sangkakan panas berpanjangan, akhirnya hujan tetap turun jua.

Ku terus dikunjungi wanita ini memberitahu keadaan dirinya yang sudah tiada hubungan dengan lelaki itu. Lelaki itu telah membatalkan niatnya untuk berkahwin. Katanya kerana mempunyai masalah dalam 'bisnes'nya. Kesedihan pada diri wanita itu tidak dapat digambarkan. Dia tetap setia dengan lelaki itu dan sanggup menunggu sehingga 'bisnes'nya pulih kembali. Namun hati lelaki itu 'kosong', tidak mempunyai perasaan belas kasihan, tetap dengan pendiriannya untuk meninggalkan wanita itu kerana masalah peribadinya. Macam sebuah patung yang tiada nyawa dibuatnya. Sungguh..cinta manusia bermusim.


Satu lagi sebuah kehidupan keluarga yang amat menyentuh perasaanku. Namun, disebabkan banyak luahan yang ku terima dari insan-insan sekeliling menyebabkan hilangnya kejutan pada diri. Dah biasa dengan isu-isu wanita kini. Ku didatangi insan dengan linangan air mata untuk berkongsi pengalaman hidupnya.

Perkahwinan dengan seorang lelaki yang dianggap baik baginya, namun akhir-akhir ini hidupnya dengan 'makan hati berulam jantung'. Dia sebagai isteri yang kedua kepada seorang lelaki, mengimpikan sebuah keluarga contoh dalam kehidupan poligami. Sebelum perkahwinan dilangsungkan dia ada meminta pandangan dari kawan-kawan tentang perkahwinan itu. Mereka memberikan respon agar cuba menolak lamaran lelaki itu, namun cinta punya pasal, tersangkut jua padanya yang akhirnya membawa kepada ijab qabul walaupun sebahagian sanak saudaranya sahaja yang tahu dan hadir pada majlis walimah tersebut. Terfikir juga di benakku bahawa nak jadi isteri kedua ni kena sembunyikan dulu ke?

Apapun al-hamdulillah, mereka dah jadi pasangan yang sah. Rindu-rindu dan cinta-cinta pun dilangsaikan dengan cara yang halal. Namun, beberapa bulan kemudian, cinta dan rindu itu tidak tahan lama. Hangat-hangat tahi ayam saja. Bila isteri pertama menguasai segala-galanya, isteri kedua terpaksa mengalah. Yang aku peliknya, suami tak dapat berkata apa-apa. Bahkan ikut saja telunjuk isteri pertama. Yang ku rasa kasihan pula pada wanita ini, suami bersikap kurang bertanggungjawab terhadapnya. Semua kerja perlu diselesaikan sendiri, tak kiralah kerja dalaman atau luaran rumah, tetapi suami tetap menyatakan 'abang cinta sayang'. Untuk isteri pertama bukan setakat kata-kata yang manis, bahkan dilaksanakan tanggungjawabnya dan dikotakan segala janji-janji. Alahai..cintanya dia pada isteri pertama.

Teringat aku kepada bait Imriil Qais, penyair terkenal di zaman jahiliah. Katanya:

نقل فؤادك حيث شئت من الهوى * فما الحب إلا للحبيب الأول

yang bermaksud: Pindahkanlah hati-hati kamu kepada sesiapa yang kamu inginkan (cintakan), namun, tidak ada cinta melainkan cinta kepada kekasih yang pertama.

Tak tahulah setakat mana betulnya pandangan penyair tersebut. Itulah kisah ringkas yang dapat ku simpulkan bahawa cinta manusia, sayang manusia itu bermusim. Dalam nasyid pun ada menyatakan "kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi, kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjinya pasti". Oh, indahnya berkasih dengan Tuhan!

Akhirnya, walaupun coretan ini menceritakan tentang secebis kesedihan dalam kehidupan, namun ia adalah sebagai pengajaran buat semua, iktibar dari peristiwa yang lalu agar kita selalu berwaspada, berfikir sebelum bertindak, dan bersedia dengan cabaran yang bakal dilalui. Tidak dinafikan ramai juga yang memperolehi cinta sejati, cinta kerana Allah, cinta suami isteri yang berasaskan kepada iman, cinta yang membawa ke syurga, cinta di dunia yang membawa mereka cinta yang kekal di akhirat. Bersabarlah dengan segala ujian yang tidak kenal erti usia, masa dan tempat...langit tidak selalunya cerah, awan tidak selalunya mendung.




No comments: