Wednesday, October 15, 2008

Respon Kepada Artikel: Ada PhD, Tapi Tak Faham-faham Perjuangan Islam

Tulisan seorang penulis yang diberi nama yaasin yang bertajuk "Ada PhD, tapi tak faham-faham perjuangan Islam" dalam laman web Tranungkite.net yang dilulus terbit pada Selasa, 14 Oktober 2008 yang lalu ada betulnya, namun perlu diperkemaskan isi kandungannya agar tidak menjadi keliru kepada para pembaca. Saya seorang pelajar yang suka menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi berasa terpanggil untuk memberikan respon terhadap penulisan tersebut.

Beliau menyatakan:

"Mereka yang rajin berada di menara gading -duduk di situ sahaja, jemaah tak ikut, program Islam tak kisah, gerakan Islam tak masuk, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan serta isu-isu semasa tidak dihiraukan sangat adalah golongan yang paling cepat boleh menyelesaikan tesis PhDnya.

Dalam PAS ada yang bersemangat menulis tesis PhD. Tanyalah kepada aktivis-aktivis kita. Ilmu mereka bukan sebarang, tetapi kekadang dengan sebab komitmen dengan jemaah dan permainan politik IPT, mereka terpaksa melupakan untuk menyelesaikan tesis PhD mereka."

Pertamanya, saya nak nyatakan bahawa menyambung pelajaran ke peringkat Master atau PhD merupakan satu wasilah atau cara untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Ini kerana dengan adanya sistem peperiksaan atau semester-semester yang dihadkan untuk menyelesaikan sesuatu pengajian menyebabkan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan maklumat-maklumat demi kejayaan yang diimpikan. Sebenarnya tidak semua orang mampu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak semua orang mempunyai kehendak atau kekuatan serta kesabaran dalam pengajian mereka.

Keduanya, penulis ada menyebut bahawa mereka yang rajin berada di menara gading, tidak menghiraukan aktiviti-aktiviti Islam, atau mungkin kita katakan program dakwah Islamiah adalah golongan yang paling cepat boleh menyelesaikan tesis PhD mereka. Sebenarnya pandangan tersebut kurang tepat untuk dijadikan fakta. Ini kerana ramai di kalangan kita yang mengambil Master atau PhD dan tidak mengikuti mana-mana program dakwah, namun kerana sibuk dengan urusan keluarga, sibuk dengan mengejar 'fulus', projek itu dan projek ini demi kepentingan diri, atau kerana tidak pandai menguruskan masa dengan sebaik mungkin, walaupun tidak mempunyai tanggungjawab yang lain, akhirnya Master atau PhD mereka terbengkalai begitu saja. Ini bukan satu perkara yang menghairankan, bahkan ianya memang berlaku dalam masyarakat pelajar kita hari ini.

Ketiganya, penulis perlu ingat bahawa dakwah Islamiyah bukan hanya menyertai program-program Islam yang dianjurkan oleh mana-mana pihak semata-mata, atau memasuki jamaah-jamaah Islam IPT sahaja, bahkan dakwah Islamiyah itu luas yang perlu dihidupkan oleh setiap individu di mana sahaja mereka berada. Ini kerana seorang muslim itu daa'i (pendakwah). Sebagai contoh bila kita makan bersama kawan-kawan dalam satu 'dorm' atau 'room mate', jangan lupa sampaikan Islam, jadikan ia sebagai 'usrah' harian, begitu juga ketika berdiskusi atau berbincang tentang subjek-subjek yang dipelajari, selitkan juga isu politik Islam, kerajaan Islam, mu'amalah Islam, hukum ikhtilat dan sebagainya. Jadikan kita sebagai tempat rujuk untuk mencipta idea-idea bernas untuk menghidupkan program Islam. Jadikan 'bilik' kita sebagai tempat untuk berbincang tentang kehidupan Islam. Laksanakan solat jamaah bersama kawan-kawan dalam satu 'dorm', ajak mereka membaca al-Quran, tunjukkan pakaian yang dibenarkan dalam Islam, rapatkan diri dengan mereka yang kurang pendidikan agama dengan tujuan untuk mengajak mereka ke arah kebenaran dan sebagainya.

Perlu diingat bahawa kekadang kesibukan kita dengan program-program jamaah IPT, kawan-kawan dalam satu 'dorm' di universiti kita tak solat. Ada pula yang tidak tahu membaca al-Quran, ada yang pakai 'short pan', menutup aurat tidak sempurna, ber'dating', ada pakwe dan makwe, merokok dan sebagainya. Walaupun saya tidak nafikan bahawa program-program Islam yang dianjurkan oleh jamaah merupakan satu cara untuk menghidupkan agenda Islam di universiti.

Penulis juga ada menyatakan bahawa aktivis-aktivis PAS ada yang bersemagat untuk menulis tesis PhD, namun disebabkan komitmen kepada jamaah dan permainan politik IPT, mereka terpaksa melupakan pengajian mereka itu. Memang saya tak nafikan semua orang sibuk, lebih-lebih lagi bila kita memegang sesuatu jawatan dalam organisasi, namun, nak seribu daya, seribu cara yang difikirkan untuk memperolehi perkara yang diimpikan. Saya boleh katakan sedemikian kerana ramai di kalangan aktivis-aktivis PAS mampu menulis apa-apa penulisan dalam blog masing-masing yang tak kurang hebatnya. Mampu merujuk kitab-kitab yang muktabar, mampu menggunakan masa untuk menyebarkan idea-idea yang baik. Tapi kenapa tidak mampu untuk mengumpulkan maklumat demi menyiapkan tesis PhD?! Apa kata kalau mereka cuba kumpulkan fikrah-fikrah mengenai politik Islam yang disebarkan dalam blog, kemudian berusaha untuk mengembangkan fikrah-fikrah tersebut dalam bentuk tesis PhD, alangkah baiknya jika mereka berbuat sedemikian.

Tidak kurang juga ramai di kalangan mereka mampu memberikan ceramah agama sehingga 5 atau 6 ceramah dalam satu hari, namun mereka tidak mampu untuk memperuntukkan masa demi menyiapkan tesis Master atau PhD yang juga merupakan satu cara untuk kita memperolehi ilmu pengetahuan dan menyebarkannya kepada pembaca-pembaca lain.

Saudara penulis juga perlu faham bahawa Islam tidak menegah seseorang itu berusaha untuk memperolehi apa-apa pangkat atau sesuatu jawatan, seperti Dr., Prof. Madya, Prof. dan sebagainya asalkan matlamat dan tindakan kita tidak tersasar dari garisan Islam. Memang betul ramai yang mendapat pangkat Dr. dengan cara yang salah di sisi Islam sebagaimana yang disebutkan oleh penulis itu, namun ramai juga yang mendapat pangkat sedemikian dengan cara yang halal di sisi Islam.

Saya tahu walaupun sebenarnya penulis tersebut ingin menujukan artikelnya kepada segelintir pihak yang salah menggunakan 'title' PhDnya yang masih tidak faham tentang perjuangan Islam, namun disebabkan artikelnya yang pendek dan bersifat umum, berkemungkinan besar boleh mengelirukan pembaca dalam menilainya.

Kita juga mempunyai ramai pejuang yang ber'title'kan Dr., yang mampu mempertahankan Islam dan perjuangannya hatta dalam PAS sendiri pun tak kurang ramainya aktivis-aktivis yang berpangkat Dr. Sebagai contoh S.S. Dr. MAZA yang berkelulusan PhD dalam bidang hadis, graduan UIAM, beliau mampu menyatakan kebenaran Islam, walaupun banyak kenyataannya menetang kerajaan yang ada pada hari ini. Hakikatnya mereka yang ada PhD, namun tidak mahu faham tentang Islam ialah golongan mereka yang menjadikan dunia sebagai matlamat dan tidak mempunyai pandangan yang jauh untuk mengharungi alam akhirat yang bakal menanti kita semua.

Akhir kalam, kepada mereka yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, teruskan perjuangan anda. Jangan jadikan diri sebagaimana segelintir manusia yang meletakkan dunia di hati mereka. Ingat ISLAM matlamat kita!




4 comments:

NOR said...

tapi kan, kita perlukan jemaah dalam hidup kita..apabila kita berseorang, kita sebenarnya gagal untuk melakukan dakwah, hatta dengan romate kita.. ibarat seekor kambing, sangat mudah diterkam pemangsa, dibandingkan dengan sekumpulan kambing...tul tak

siti said...

eh..tentulah!wajib kita hidup dalam jamaah, tanpa jamaah kita tak kuat, mcm mana nak laksanakan kerajaan Islam tanpa jamaah Islam. Cuma saya nak tekankan dakwah Islam xsmestinya hanya ikut program yg dianjurkan oleh mana2 jamaah,bahkan perlu dilaksanakan dimana2 shj, hatta bersama roomate sekalipun.

alqasam said...

Salam.

Kak za yang saya amat rindui..

A well written indeed. Sangat menarik sekali penghujahan kembali kak za demi memperbaiki tanggapan umum dalam tulisan tersebut. Namun seperti asasnya kaedah feqhiyah. " Umum tidak semestinya menyeluruh".

Terima kasih atas pencerahan kak za.

siti said...

Salam kembali, boleh saya tau siapa alqasam? terima kasih juga diucapkan kepada alqasam. Artikel tersebut adalah respon kepada artikel asal agar para pembaca tidak keliru dengan pengajian PhD dan perjuangan Islam .