Tuesday, October 28, 2008

Banggalah Menjadi Pejuang Bahasa Arab!

Baru-baru ini ketika saya bercuti di Malaysia, saya banyak menghabiskan masa bersama warga UIAM, bumi yang bertuah dalam hidup saya. Walaupun kebanyakan orang balik bercuti bersama keluarga tersayang, atau di tempat-tempat peranginan yang menyeronokkan, namun bagi saya 'Garden of Knowledge and Virtue' itulah hala tuju saya.

Dalam masa bersama anak-anak di sana yang juga merupakan sahabat-sahabat seperjuangan, ramai yang memaklumkan kepada saya bahawa sebahagian pelajar pengkhususan Bahasa Arab telah berpaling tadah, meninggalkan Bahasa Arab dan menukar jurusan mereka ke medan pendidikan dan lain-lain. Saya salah seorang pejuang bahasa tersebut berasa sayu dengan keadaan sedemikian. Ini kerana kuota kemasukan pelajar-pelajar ke dalam bidang Bahasa Arab bagi sesebuah universiti amatlah terhad, ditambahi pula dengan penghijrahan sebahagian mereka ke bidang lain, makinlah mengurangkan bilangan mereka. Namun setiap orang ada pendirian masing-masing.


Saya tidak ada hak untuk menghalang pendirian seseorang asalkan ia tidak bercanggah dengan garisan Islam. Bahkan setiap ilmu yang dipelajari adalah ilmu Allah, yang mana masing-masing ada manfaatnya yang tersendiri.

Saya bertanya kepada beberapa pelajar sebab-sebab yang menjadikan mereka meninggalkan pengajian Bahasa Arab. Secara kesimpulannya kerana faktor-faktor berikut:

1) pasaran kurang mahukan Bahasa Arab, oleh itu peluang pekerjaan susah
2) pengkhususan pendidikan meyediakan peluang pekerjaan yang luas berbanding pengkhususan Bahasa Arab

3) pengkhususan pendidikan akan mendapat gaji yang lumayan berbanding Bahasa Arab.
4) pengkhususan pendidikan boleh mengajar di mana-mana sahaja samada di sekolah atau di universiti, manakala bidang Bahasa Arab hanya terhad di universiti sahaja.
5) Bahasa Arab amat susah untuk dipelajari berbanding pendidikan yang majoriti subjek-subjeknya dalam Bahasa Inggeris dan minoritinya dalam Bahasa Arab.

Ada betulnya juga apa yang dikatakan itu, namun tak semuanya betul. Bila saya bertanya kembali adakah anda pasti anda akan mudah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian nanti? Adakah anda pasti anda akan mendapat gaji yang lumayan berbanding pelajar Bahasa Arab? Adakah anda pasti jurusan Bahasa Arab hanya terhad di universiti sahaja? Mereka tersenyap dengan lontaran soalan-soalan tersebut.

Bagi mereka yang cintakan bahasa yang agung ini tidak sesekali meninggalkannya di belakang, bahkan akan berjuang bersungguh-sungguh untuk memperolehi ilmu kerana Allah. Mantapkan diri dengan ilmu Bahasa Arab, perkasakan diri dengan komunikasi dalam Bahasa Arab, dapatkan natijah yang baik dalam peperiksaaan, insya Allah pekerjaan dan perkara-perkara lain akan dipermudahkan.

Pengalaman saya dalam mempelajari Bahasa Arab bersama kawan-kawan yang lain, walaupun bahasa tersebut diakui susah, namun dengan adanya semangat yang berkobar-kobar untuk menguasai sesuatu, kesusahan itu dilimpahi kesenangan. Kemanisan amat dirasai setelah dianugerahi Tuhan jalan-jalan mudah untuk menerokainya. Kemanisan juga akan dirasai oleh mereka yang mempunyai cinta yang membara. Kerana cinta setia pasti ada, kerana cinta pengorbanan tetap bersama, kerana cinta sayang kan datang jua.

Kepada mereka yang setia dengan pengajian Bahasa Arab, dulu, kini dan selamanya, saya ucapkan syabas! Banggalah menjadi pejuang Bahasa Arab. Jangan lepaskan peluang anda untuk menguasai Bahasa Arab yang mulia ini dengan merujuk pakar-pakar di bumi anda itu. Sebelum noktah terakhir anda berada di situ, kejarlah semaksima mungkin ilmu yang hebat ini.

Bukankah al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab yang mampu mengalahkan ahli-ahli sastera Arab?! Kajilah al-Quran dari sudut bahasa dan uslub-uslubnya yang mungkin menjadikan anda setia bersamanya. Bukankah Bahasa Arab itu bahasa Nabi kita saw? Tak berbanggakah anda bila dapat berkomunikasi dalam bahasa Nabi kita? Bukankah Bahasa Arab (yang mereka tinggalkan itu) bahasa yang tepu dengan kalimah-kalimah yang tinggi? Bukankah ilmu-ilmu dalam al-Quran itu memerlukan kemantapan dalam Bahasa Arab untuk menerokainya?

Fikirlah sedalam-dalamnya! Genggamlah ilmu Bahasa Arab ini dengan sekuat-kuatnya. Moga-moga anda memperolehi rahmat Allah dalam perjuangan ini.


28 Oktober 2008




2 comments:

syazwaniadnan said...

syukran ustazah, `ala haza at-tasyji`.
doakan sy istiqamah atas 'jalan' ini, insyaAllah =)

sitihasliza said...

insya Allah, muwaffaq!