Saturday, July 18, 2009

Rokok Oh Rokok!

Anda seorang perokok? Kalau jawapannya ya, maka sayalah salah seorang musuh anda. Bukan musuh pada batang tubuh anda, tetapi musuh pada fikrah anda yang sukakan pada tabiat merokok itu.

Sebelum ini, saya pernah menulis terjemahan tentang hukum merokok yang difatwakan oleh Mufti Mesir pada tahun 1999 (lihat sini). Saya juga ada menyedut pandangan bekas Mufti Perlis, Dr. MAZA tentang isu ini melalui artikel pendeknya 'Utamakan Pasangan Yang Tidak Merokok' (lihat sini). Namun, pada kali ini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai kehidupan para perokok dan alasan-alasan mereka.

Dalam mana-mana forum, bila saya berbicara tentang rokok, ramai para perokok mula melenting. Tak kurang juga yang menghentam saya, menanyakan mengapa saya lebih bersungguh nak menyentuh isu rokok, sedangkan isu-isu lain yang lebih penting perlu saya utarakan. Ada juga bila saya keluarkan hujah dengan menyertakan pandangan Mufti Mesir tersebut, mereka terus menghina dan memaki hamun mufti itu dan mengatakan bahawa sepatutnya Mufti tersebut perlu memberi nasihat dan fatwa kepada pemimpin Mesir yang menyokong Israel dan sebagainya.

Oh, begitu sekali keadaan mereka yang sensitif bila ditegur tentang isu rokok ini. Saya bercakap tentang isu tersebut tidak bererti saya menyepikan diri dari isu-isu lain. Bahkan isu-isu kewanitaan, rumahtangga, cinta, hukum-hakam, tazkirah-tazkirah umum, hatta isu-isu politik dan kenegaraan juga amat saya titik beratkan. Berkenaan dengan makian sesetegah orang terhadap Mufti Mesir tersebut, di sini saya hanya petik dan fokuskan pada fatwa beliau tentang rokok. Adapun isu-isu lain, maka saya tidak mahu menghuraikan tentang pendiriannya di sini. Bahkan alasan-alasan anda itu hanyalah dalih bukannya dalil untuk memuaskan hati anda meneruskan tabiat yang kurang sihat itu.

Al-hamdulillah, Allah menganugerahkan saya hidup bersama keluarga, adik-beradik yang tidak merokok. Tidaklah pula saya merasakan bahawa abang-abang saya itu kurang 'gentleman' tanpa ada batang-batang rokok di mulutnya, walaupun ramai manusia kini mengatakan kurangnya sifat tersebut bila tidak merokok. Bahkan saya berasa bangga, gembira, puas hati dan mengucapkan tahniah buat mereka atas kejayaan sedemikian rupa, dan bagi saya inilah salah satunya sifat 'gentleman' yang mereka miliki kerana mampu melawan tabiat yang kotor itu.

Teringat saya kepada kawan rapat al-marhum abah yang juga gurunya memberi sedikit tazkirah tentang rokok. Katanya bila beliau berada di hadapan perokok atau melalui kawasan mereka yang sedang merokok, beliau tidak akan menggunakan lagi pakaian atau jubahnya itu untuk menunaikan solat melainkan setelah membasuhnya. Ya Allah...tersentak saya dengan kata-kata beliau tersebut. Begitu sekali orang yang hatinya bersih tidak mahu berjumpa dengan Allah berpakaikan pakaian yang berbau busuk asap rokok itu. Bukanlah dengan bau rokok itu boleh membatalkan solat sebagaimana pakaian yang terkena najis, namun kerana hati yang cintakan Allah, tidak rela sama sekali berdepan dengan penciptanya yang Maha Suci itu dalam keadaan busuk, hapak, hanyir dan sebagainya.

Namun, pada hari ini kita melihat ramai manusia menjadikan rokok ini sebagai makanan harian mereka. Rasa loya kalau tak boleh hisap rokok. Rasa nak demam, panas dalaman, 'tension', hidup tak ceria dan seumpamanya akan wujud bila tidak hidup bertemankan racun itu. Perkara ini berlaku di semua tempat, tak kiralah samada di tanahair Malaysia sana, lebih-lebih lagi di dataran Syam ini, walaupun tidak pada semua orang. Tabiat merokok di kalangan masyarakat Arab sini cukup hebat, tak kira samada pemandu teksi, tukang sapu sampah, penjual, polis, doktor perubatan, pelajar, pensyarah dan lain-lain. Tak kira juga di mana saja berada; tepi jalan, dalam bas, dalam teksi, balai polis, restoran, hospital, dalam dewan kuliah, pejabat pensyarah dan sebagainya. Dah bertebaran sungguh tabiat ini.

Pernah satu ketika saya dipelawa oleh kawan Arab yang sekelas dengan saya..."Hasliza, nah rokok!", katanya. "Astaghfirullah", secara spontan kalimah itu terkeluar dari bibir saya. Dia dan rakan-rakan yang lain gelak terbahak-bahak. "Kenapa? haram?", dia bertanya kembali. Saya hanya senyum, malas nak melayan perangai perokok. Pernah juga saya perli mereka yang merokok ini..."bila korang merokok, korang baca bismillah tak? Mereka gelak lagi. "Kalau tak baca, apa faedah korang merokok?!", saya menambah lagi.

Yang menyedihkan saya juga, bila mendapati ramai pelajar Malaysia di bumi Jordan ini mengamalkan tabiat buruk tersebut. Saya pernah mendapat panggilan dari seorang pelajar di sini yang tidak pernah saya kenalinya. Setelah dia menyatakan beberapa perkara, saya meminta agar dia menyambungnya melalui YM. Kemudian, saya terus menyoalnya: awak ni perokok ke? "ya", jawabnya. Saya terkejut dengan jawapan itu, sedangkan dia seorang pelajar jurusan syariah yang semestinya seorang yang hebat berbanding saya yang hidup dalam dunia bahasa.
Lalu saya melontarkan pandangan-pandangan dan hujah-hujah tentang rokok yang telah saya kumpulkan.

Pelajar tersebut juga mengatakan bahawa doktor-doktor (pensyarah-pensyarah) di sini juga suka merokok, jadi kenapa saya begitu menekankan persoalan rokok ini? Anda perlu ingat, kita bukan bergantung pada doktor, sheikh, tok lebai atau manusia lain, bahkan kita bergantung pada dalil atau hujah yang sahih. Kalaulah orang itu melakukan apa-apa perbuatan atau amalan yang bersandarkan kepada dalil-dalil yang sahih, maka kita dibolehkan untuk mengikuti amalannya tersebut. Bukannya mengikut dengan membuta tuli, seperti seekor lembu yang ditarik oleh tuannya, ia tidak tahu samada akan diberikan rumput ataupun akan disembelih.

Bagaimana anda boleh membuang tabiat merokok ini?

Sebenarnya untuk menghilangkan tabiat ini bergantung pada si perokok itu sendiri. Saya berkata demikian kerana jawapan ini saya petik dari beberapa orang perokok tegar. Salah seorangnya berkata bahawa dia seorang perokok yang akan menghisap dan menghabiskan beberapa kotak rokok pada setiap hari. Namun, dia mampu meninggalkan tabiat itu kerana kehendaknya yang tinggi untuk tidak mahu menghabiskan wang yang banyak pada perkara yang tidak berfaedah. Tetapi malangnya, isterinya juga seorang perokok tegar yang tidak mampu meninggalkannya.

Pernah juga saya bertanya kepada perokok: kenapa anda boleh meninggalkan rokok, bila anda berpuasa (pada bulan Ramadhan)? Dia menjawab: kerana Allah menyuruh kita berpuasa dan saya takutkan Allah. Oh, boleh pula seorang perokok menjawab sedemikian?.

Maknanya, secara kesimpulan dapat saya katakan bahawa untuk meninggalkan tabiat merokok ini terpulang kepada keinginan yang tinggi pada diri anda masing-masing. Anda berusahalah bersungguh-sungguh, ditambahi dengan meminta dan mengadu kepada Allah, Tuan empunya diri anda itu agar dibuang fikrah suka merokok itu. Mudah-mudahan mujahadah yang dilakukan mendapat ganjaran dan keredhaan dariNya.

Buat mereka yang tidak merokok, samada lelaki atau wanita, syabas dan mabruk saya ucapkan, kerana anda memilih kehidupan yang sihat, kerana anda salah seorang dari golongan yang saya sukai. Saya begitu yakin bahawa rakan-rakan seperjuangan saya di bumi Amman ini tidak hidup bertemankan batang-batang rokok kerana mereka juga kurang berminat dengan tabiat buruk sedemikian.

Terima kasih.



No comments: