Wednesday, July 8, 2009

Doa Dan Kelebihannya

Doa merupakan satu permintaan. Ia juga menjadi penghubung antara hamba dan Tuhannya dan merupakan pengiktirafan hamba terhadap penciptanya. Doa menjadi sumber kekuatan insan. Ia merupakan satu ibadah. Firman Allah yang bermaksud: "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku terima permohonan kamu" (Ghafir: 60), "Dan apabila hambaKu meminta dariKu, maka sesungguhnya Aku amat dekat dengannya" (al-Baqarah: 186).

Berdoa itu merupakan satu ibadat yang paling mulia. Oleh itu orang-orang yang suka berdoa kepada Allah SWT akan dimuliakan olehNya. Doa merupakan senjata bagi orang mukmin untuk menghalang dari musibah bala' dan kejahatan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa mengamalkan doa-doa dan zikir-zikir samada di waktu pagi atau petang yang menjadi senjata untuk mengelakkan diri dari gangguan jin dan syaitan dengan izin Allah SWT.

Sesungguhnya Allah akan bersama hambanya bila dia sentiasa berdoa kepadaNya. Hanya dengan berdoa sahaja pun orang mukmin itu akan sentiasa di dalam penjagaan Allah, apatah lagi bila dia senantiasa mengerjakan amalan-amalan soleh yang boleh merapatkan dirinya dengan Allah yang Maha Agung. Oleh itu, sama-sama kita meminta dengan Allah agar menjadikan kita cinta kepada doa bukan hanya pada waktu susah sahaja, bahkan juga ketika dalam kesenangan dan kemewahan.

Adakah kita mempunyai adab-adab tertentu bila berdoa?

Tidak syak lagi bahawa doa merupakan satu ibadah. Untuk berdoa tentulah ada adab-adabnya. Ia bukanlah satu kefardhuan, bahkan adab yang perlu diambil kira bila berdoa. Antaranya ialah:

1) Niat yang ikhlas: "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yang ikhlas..."

2) Berwudhuk: Hendaklah seorang mukmin itu sentiasa bersama wudhuk sebagaimana ketika hendak solat memerlukan wudhuk.

3) Dalam keadaan khusyuk dan khudhuk: Sebagaimana Nabi juga mengiktiraf dosa-dosanya, maka kita sebagai hamba yang tidak terlepas dari dosa lebih-lebih lagi perlu berdoa dan memohon ampun dariNya.

Sesungguhnya Allah tidak menerima doa orang-orang yang lalai. Oleh itu hendaklah kita menghadap Allah dengan hati yang khusyuk dan khudhuk dengan menunjukkan bahawa kita memang berhajat kepadaNya.

4) Melazimkan diri dengan doa yang ma'thur

Bukanlah menjadi satu perkara penting doa itu dimakbulkan atau tidak. Ini kerana, boleh jadi doa itu ditangguhkan, atau disimpan untuk pendoa itu pada hari kiamat, atau boleh jadi ditukarkan dengan kebaikan baginya. Sebab itulah ada sebahagian manusia terkejut melihat kebaikan-kebaikan yang dilakukannya dipamerkan oleh Allah pada hari kiamat tersebut.

Waktu-waktu yang dimustajabkan doa.

Nabi kita SAW menunjukkan kita waktu-waktu untuk berdoa, antaranya ialah:

1) Hari 'Arafah

2) Pada bulan Ramadhan khususnya pada malam Qadr'

Bahkan Allah Taala memuliakan pada setiap malam, pada suku akhir malam (waktu tahajjud). Akan tetapi, malangnya ramai manusia 'lari' dari merebut peluang keemasan itu. Mereka begitu susah dan penat untuk meninggalkan tidurnya.

3) Pada hari Jumaat

4) Di antara azan dan iqamah

5) Pada setiap akhir solat sebelum imam memberi salam.

6) Pada waktu sujud... dan lain-lain.

Sebaik-baiknya memulakan doa dengan doa yang ma'thur, kemudia doa-doa lain untuk menghilang segala kesusahan dan sebagainya. Doa-doa pagi dan petang itu hendaklah dihafaz dan juga diajarkan kepada anak-anak. Nabi SAW telah mengajar kita semua doa untuk menjadikan diri kita ini sentiasa bergantung dengan Allah SWT.

Hendaklah kita menjadikan doa itu satu perkara yang mudah untuk dibaca dan dilihat, seperti menggantung dan menampalnya di kereta, meletakkan doa-doa di dalam rumah, di dinding dan sebagainya kerana doa merupakan satu perkara yang sangat penting untuk dibaca setiap hari.

Perkara-perkara yang perlu diingat ketika berdoa:

1) Jangan berdoa dengan suara yang terlalu kuat.

2) Jangan berdoa dengan doa: "Allahumma ighfir li in shi'ta" (Ya Allah, ampunilah diriku kalau Kamu mahu".

3) Jangan berdoa untuk memutuskan silatul rahim.

4) Jangan berdoa dengan doa yang membawa kepada dosa.

5) Menjauhkan diri dari memakan perkara haram seperti hasil riba, rasuah, curi dan seumpamanya kerana makanan yang haram menegah seseorang itu dari dimakbulkan doanya.

Oleh itu hendaklah kita bertakwa dan berasa gerun kepada Allah SWT agar kita diredhaiNya dan mudah-mudahan doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah 'Azza wa Jalla.


Terjemahan dari siaran tazkirah al-Mahajjah al-Baidhaa', melalui: TV Saudi 1, selepas Solat Maghrib (Waktu Makkah al-Mukarramah), disampaikan oleh: Dr. Abdullah Ali Basfar.



No comments: