Thursday, July 30, 2009

Kuliah Jumaat: Ramadhan & Persiapan Menghadapinya (siri 1), Oleh: TG Nik Abdul Aziz

Syukur pada Allah, semasa saya 'membelek-belek' video dari youtube, saya mendapati video Kuliah Jumaat yang disampaikan oleh TG Nik Aziz, yang tidak dapat saya mengikutinya secara 'live' pada minggu-minggu yang lepas. Sebagaimana yang saya jangkakan, kali ini, Tok Guru berbicara tentang bulan Ramadhan dan persiapan-persiapan untuk menghadapinya. Buat insan yang menyebarkan video tersebut diucapkan jazakallahu khairan kathira.

Tok Guru melontarkan bicara kuliahnya dengan menyebut bahawa biasanya masyarakat kita memanggil bulan Ramadhan ini dengan bulan puasa. Jangan sebut bulan puasa, dibimbangi bila datangnya Ramadhan, dan bila kita berpuasa, maka kita berasa selesai segala-galanya disebabkan puasa tersebut, sedangkan segala apa yang perlu kita buat di atas muka dunia ini, samada perlu dibuat atau ditinggalkan tidak boleh kita berpandukan pada diri sendiri dan berpandukan pada kaedah orang ramai. Orang ramai buat macam ni, maka kita pun buat juga. Orang ramai tidak buat macam tu, maka kita pun tidak buat macam tu juga.

Seolah-olah kita tidak ada rujukan, tak ada Nabi untuk kita rujuk, tak ada Tuhan untuk kita rujuk. Sedangkan segala perkara rujukan kita ialah Nabi saw samada dalam berniaga, dalam solat, kahwin, bercerai, berperang, berdamai, nak senyum, nak ketawa, nak menangis, semua rujukannya ialah Nabi kita saw. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu" (aal-Imran: 31).

Jadi bila kita berdepan dengan bulan Ramadhan, banyak perkara yang perlu kita baiki. Islam datang untuk membaiki fikrah manusia, bukannya datang membawa perkara baru. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Aku bukanlah rasul yang pertama (pembawa perkara baru) di antara rasul-rasul..." (al-Ahqaaf: 9).

Dalam banyak-banyak bulan hijrah, bulan Muharram, Safar, Rabiiul awwal tidak disebut di dalam al-Quran, akan tetapi bulan Ramadhan ada disebut di dalamnya. Firman Allah yang bermaksud: "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia..." (al-Baqarah: 185). Oleh itu, kita perlu rasa bertuah dengan wujudnya bulan Ramadhan ini.

Apakah persiapan-persiapan yang perlu kita buat untuk menghadapi bulan Ramadhan?

Rasulullah saw sebelum masuknya Ramadhan (dalam bulan Sya'ban) Nabi kita buat berbagai-bagai latihan. Perkara yang sepatutnya dibuat pada bulan Ramadhan, perlulah kita buat pada bulan Sya'ban lagi, seperti bersedekah, baca al-Quran, solat malam, zikir-zikir dan lain-lain perkara lagi. Semuanya ini adalah persiapan fizikal dan spiritual untuk menghadapi Ramadhan. Jadi, bila tibanya Ramadhan, maka mudahlah bagi kita untuk menghadapi puasa, kerana dalam bulan Sya'ban kita dah banyak berpuasa.

'Aisyah RA berkata: Rasulullah saw seakan-akan berpuasa penuh dalam bulan Sya'ban (puasa sunat). Perkara sunat ini diibaratkan seperti lauk-pauk. Perkara yang 'wajib' dimakan ialah nasi, tetapi nasi hanyalah satu pinggan, lauknya pula empat atau lima pinggan. Kenapa jadi begitu? Ikan tak 'wajib', sayur tak 'wajib'. Nasi yang wajib, lauk hanyalah sunat, kenapa banyaknya yang sunat ketika makan, tetapi tidak banyak yang sunat ketika melakukan ibadat (ibadat khusus)?

Begitu juga dengan solat. Solat fardhu lima waktu jika ditunaikan sudah cukup. Tetapi yang kita naknya solat lima waktu dicampur dengan solat-solat sunat qabliah dan ba'diah. Sebelum zohor ada sunat, selepas zohor, sebelum Asar, sebelum maghrib (khilaf), selepas maghrib, sebelum Isya' dan selepasnya. Dan di antara Isya' dan Subuh ada sunat lain iaitu solat tahajjud.

Dalam bulan Ramadhan terlalu amat penting kita bersolat malam, kerana di antara malam dan siang dari segi mutu atau kualitinya tentulah lebih baik waktu malam. Nabi saw ada menyebut bahawa Allah Taala turun dari atasannya ke langit dunia pada penghujung malam. Turun membuat tawaran hebat (promosi). "Tidak adakah orang-orang yang nak meminta sesuatu dariKu, Aku akan berikan?, tidak adakah orang yang meminta ampun dosa, Aku nak ampunkan?. Tak adakah orang yang nak berdoa, Aku nak mustajabkan?. Inilah titik yang sangat berharga di waktu malam.

Kalau dalam bulan Ramadhan, waktu tahajjud ini seperti waktu sahur. Pada waktu tersebut Allah Taala turun dari atasan ke langit dunia. Cara bagaimana Allah turun itu, tak perlu dipersoalkan. Cumanya Allah nak beritahu di sini bahawa Dia maha dekat dan rapat dengan manusia pada waktu tersebut. Jadi mahu tak mahu kita perlu bersahur. Sesetengah orang yang bersahur pada awal malam lagi, ini tak betul caranya.

Bersambung...bi iznillah...



No comments: