Sunday, July 19, 2009

Majlis Memperingati Isra' Dan Mi'raj

Satu majlis yang telah dianjurkan oleh pihak Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA) pada hari Jumaat, 17 Julai 2009, demi memperingati peristiwa Isra' dan Mi'raj. Inilah salah satu majlis yang cukup berharga dan bahagia buat diri saya, kerana ia menjadikan saya rindu kembali kepada dunia lama, kehidupan di bumi UIAM, bumi yang banyak memberikan jasa kepada diri saya untuk bersama para ulama, dalam merapatkan diri pada Tuan Empunya alam.

Tak lekang-lekang dari bibir saya mengucapkan syukur kepada Allah, kata-kata gembira dan berpuas hati kepada teman saya selaku ahli jawatankuasa dalam majlis tersebut, kerana mampu mencipta suasana majlis dan perjalanannya yang cukup memberi kesan pada diri ini.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tentatif program ini, bolehlah dirujuk kepada blog rasmi PPMA.

Apa yang lebih mengagumkan saya dalam majlis ini ialah satu forum yang begitu hebat yang bertajuk: Peranan Solat Dalam Membentuk Dan Mendidik Peribadi Muslim, yang dipengerusikan oleh Ustaz Syed Hilmi Syed Abdul Rahman, Ph.D dalam bidang aqidah, di Universiti Balqa', pengerusi yang mampu mengendalikan forum dengan sebaiknya, menjadikan ahli majlis tidak jemu-jemu untuk mendengar forum tersebut. Jutaan tahniah saya ucapkan buat ustaz!

Kemudian diikuti dengan tiga orang ahli panel yang masyhur di Amman ini, mereka ialah Ustaz Fakhrurrazi Dato' Zabidi selaku ahli panel pertama, M.A dalam bidang Tafsir di University of Jordan, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i, ahli panel ke-2, M.A dalam bidang Hadith di Jerash University dan Ustaz Mohd. Najib Ja'far, ahli panel ke-3, Ph.D dalam bidang Bahasa Arab di University of Jordan.

Di sini dapat saya perhatikan bahawa ketiga-tiga ahli panel itu 'mewarnai' topik forum tersebut menggunakan fikrah dan uslub berdasarkan bidang pengajian masing-masing. Satu titik pertemuan yang dapat saya simpulkan dari uslub, gaya bahasa dan pembawaan fikrah oleh ketiga-tiga ahli panel, walaupun ianya berbeza, namun, matlamat dan tujuannya adalah sama; untuk mencapai target 'makrifatullah', menjadikan diri kita hamba yang semakin hari semakin rapat dengan pencipta kita iaitu Allah SWT.

Untuk mendapatkan fikrah-fikrah, isi-isi serta maklumat-maklumat forum yang berkaitan dengan solat tersebut, anda dijemput untuk melayari blog Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i.

Buat akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada Majlis Tertinggi PPMA, pengarah program dan ahli-ahli jawatankuasa kerana mampu menjayakan majlis yang mulia itu. Mudah-mudahan program sedemikian dapat dijalankan lagi pada masa akan datang, bi iznillah...



No comments: