Monday, July 28, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (5)


Mufti Haji Wan Musa
(1875-1939)

Ahli tasawuf berpendirian tegas. Bergiat sezaman dengan Tok Selehong, Haji Che Leh Kg. Laut, Tengku Mahmud Zuhdi (Syeikhul Islam Selangor). Putera kedua Tuan Tabal dan adik kandung Mufti Haji Wan Muhammad, juga abang kepada Haji Nik Abdullah Khatib.

Nama penuhnya ialah Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad. Bapanya, Haji Abdul Samad bin Mohd Saleh al-Kalantani (lebih masyhur dengan gelaran Tuan Tabal) ialah penyebar tarekat Ahmadiyah di rantau ini, juga tergolong ulama pengarang yang banyak menulis kitab jawi - terpentingnya Mihat al-Qarib (1883).

Haji Wan Musa adalah seorang rakan seperguruan Tok Kenali, terkenal dengan fikiran-fikran yang berani tetapi kontroversi. Namun beliau terpilih dan ditawarkan jawatan Mufti Kerajaan Kelantan selepas pengunduran Mufti Haji Wan Ishak pada awal 1909.

Sikapnya yang tegas serta pandangan -pandangannya yang cenderong kepada reformasi telah menyeret beliau ke kancah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh 'Kaum Tua' seperti Haji Umar Sungai Keladi, Haji Ibrahim Tok Raja, Haji Ismail Kemuning dan Haji Ahmad Abdul Mannan. Di luar Kelantan pula, beliau pernah berpolemik dengan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani -penulis Tazkiyat al-Anzar (1920) yang menghujah balas pendapat Haji Wan Musa.

Antara persoalan kontroversi yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, hal muqaranah sembahyang, talqin, kain telekung sembahyang, talfiq mazhab, pemindahan harta wakaf atau pusaka dan perbahasan jilatan anjing. Keyakinannya kepada pendapat-pendapat yang pernah diluahkannya serta pertelingakhannya yang lama dengan tokoh-tokoh 'Kum Tua' menyebabkan beliau melepaskan jawatan Mufti pada pertengahan 1916.

Sebagai tokoh berwibawa, halaqat pengajian kitab di suraunya di Jalan Merbau, Kota Bharu berjaya melahirkan ramai pendakwah pelapis yang mampu mengajar baik di sekolah pondok mahupun sekolah moden. Mereka termasuklah Haji Saad Kangkong, Pak Su Wan Adam Kg. Laut, Haji Mohd Zain Meranti, Haji Nik Mat Alim Pulau Melaka, Haji Abdul Mannan Sumatera, Haji Abdul Wahid Melaka, Haji Ahmad Perak dan Haji Ayyub Kemboja. Putera-putera beliau sendiri pun tergolong alim ulama yang disegani. Antara tokoh-tokoh yang dimaksudkan ialah Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mat Nazir, Haji Nik Mud, Haji Nik Leh dan Haji Nik Mat Din. Pusaka lainnya ialah dua buah risalah terjemahan yang selesai disusun seawal 1906 lagi.

Mufti Haji Wan Musa kembali ke alam baqa' pada jam 3 petang Sabtu, 24 Zulkaedah 1357 bertepatan 14 Januari 1939 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kg. Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu.


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan
dan disususn oleh Ismail Che Daud.



No comments: