Wednesday, July 23, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (2)

Syeikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani
(1880- 1952)


Salah seorang guru pondok dan ulama pengarang tersohor di Semenanjung Melayu pada suku kedua abad ke 20 Masihi. Seangkatan dengan Tok Seridik, Haji Ismail Pontianak, Haji Omar Banggol Kulim, Dato' Perdana, Haji Mat Jebing. Beliau bukan sahaja terkenal di Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi juga terbilang di Mekah.

Nama penuh tokoh ulama kelahiran Kg Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan Kota Bharu/ Bachok pada penghujung 1297H/ 1880M ini ialah Haji Osman bin Muhammad. Lantaran itu pada peringkat awalnya beliau lebih dikenali dengan panggilan Haji Seman Sering.

Beliau termasuk dalam kumpulan murid kesayangan Tok Kenali. Juga pernah berguru dengan Haji Jamaluddin dan Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Di Mekah pula, beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor ( Syeikh Mohd Mukhtar bin Atarid) yang ternama itu.

Namanya mula 'timbul' selepas kejayaan beliau mendirikan Madrasah Manabi' al-Ulum (1932) di Penanti, Bukit Mertajam. Madrasah ini kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian pondok yang paling maju di Seberang Perai, khususnya pada dasawarsa 1930-an dan 1940-an.


Sebagai pendidik yang dedikasi beliau banyak menghasilkan karya sendiri dan terjemahan. Syeikh Osman bukan sahaja berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karangan, tetapi juga selalu memilih topik yang berkait rapat dengan persoalan yang dihadapi oleh masyarakat. Kitab al-Durrat al-Nafi'ah (alamat qiamat) karangannya meletakkan beliau sebagai sasterawan Islam yang berpandangan jauh kerana ia dianggap buku berbahasa Melayu paling terperinci membicarakan perihal tanda-tanda dunia hampir qiamat.

Di samping itu Syeikh Osman kerap berulang alik ke Mekah dan diberi kepercayaan di Masjid al-Haram. Sebab itu muridnya ramai. Mereka termasuk Hj Abdul Rahman Sungai Durian, Hj Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj Abdullah Lati, Hj Abdullah Kg Laut, Hj Hasan Ketereh, Hj Abu Bakar Bukit Tiu, Hj Mohd Ibrahim Akibi Pulau Pinang, Hj Ismail Merbok Hj Husein Umbai, Hj Abdul Ghani Kubang Bemban dan antara yang masih ada lagi ialah Ustaz Abdul Kadir Kamaluddin (lahir 1921), Ketapang Tengah, Pekan, Pahang.


Tokoh yang amat mementingkan istiqamah dan disiplin diri ini ditakdirkan meninggal di tanah suci Mekah waktu fajar hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371H bersamaan 19 September 1952M.



Petikan dipetik dari Arkib Negeri Kelantan
dan disusun oleh Ismail Che Daud.




No comments: