Friday, June 5, 2009

Bila Saya Menulis Begini...

Pernah satu ketika, saya menulis artikel mengenai cinta secara berturut-turut dalam blog ini, maka ada sebahagian pengunjung berkata: huh, blog ini blog cinta ke?, asyik cinta-cinta je ni.

Sekarang ni dalam beberapa hari yang lepas pula, saya ada menulis tentang topik isu semasa atau boleh dikatakan juga sebagai topik politik. Maka, berkemungkinan besar pembaca blog saya akan terfikir bahawa blog saya ini adalah blog yang cenderung kepada politik. Bahkan ada besar kemungkinan juga mereka yang 'allergic' dengan isu-isu politik akan memandang serong dan tidak suka untuk memahaminya.

Pernah terjadi pada diri saya, bilamana saya meng 'copy paste' tajuk: "Ahli Gerakan Islam Perlu Tahu Uslub Dakwah" dari laman web harakahdaily.net, maka ada di kalangan insan menghentam saya dan menyatakan bahawa saya ingin menghasut dan memecahbelahkan umat Islam.

Lalu saya terfikir dan bertanya pada diri sendiri bahawa adakah insan itu telah membaca dan memahami kandungan artikel tersebut atau hanya melihat sahaja kepada topik, lalu terus menghukum dan memberi pandangan sedemikian? atau dia 'panas hati' melihat perkataan 'Islam' atau 'ahli gerakan Islam' pada topik tersebut. Ini kerana isi-isi dalam topik itu menerangkan uslub-uslub dakwah yang perlu ada pada mereka yang bergelar muslim, demi kebaikan dakwah Islam mereka.

Walau bagaimanapun, saya hanya tersenyum dengan gelagat pembaca blog saya yang berbagai-bagai, fikrah dan pandangan yang berbeza-beza yang memungkinkan saya untuk mencari idea dan maklumat untuk dilontarkan di sini.

Buat saudara-saudari pembaca dan pengunjung blog, perlu kita ingat, agama mengajar kita bahawa tidak ada pengasingan antara Islam dengan mana-mana skop kehidupan. Samada dalam bidang ekonomi, sosial, budaya, perundangan, politik dan sebagainya. Oleh itu, jika ada di kalangan kita yang masih lagi mengenepikan politik dalam Islam atau menganggap politik tidak perlu diperbincangkan dalam Islam, maka anda telah terkena 'virus' sekularisme yang begitu menular dalam masyarakat kita pada hari ini.

Saya sebagai penulis, in syaa Allah, akan berusaha untuk menulis apa-apa topik yang boleh memberi manfaat kepada diri saya dan anda sekalian, demi kebaikan kita bersama dan sekaligus demi menyebarkan Islam yang kita cintai ini.




1 comment:

hidup ujian said...

semoga cabaran dan rintangan itu dapat kamu tempuhi dengan penuh kesabaran...keredhaan Ilahi itu yang utama.