Saturday, November 21, 2009

Tafsiran 'Sekufu' Dari Sudut Psikologi Moden

Oleh: Pn. Ainon Mohd.

Kajian pakar-pakar psikologi menunjukkan bahawa pasangan yang berkongsi nilai-nilai dan sikap yang serupa, -sebagai contoh sama-sama menyokong parti yang serupa, sama-sama menyukai orkid dan lain-lain, mereka menikmati hubungan yang kekal lebih lama, dibandingkan dengan pasangan yang berlainan nilai dan sikapnya.

Pola ini berlaku baik di kalangan pasangan yang sudah berkahwin ataupun belum. Pola yang serupa juga berlaku di kalangan para rakan dan sahabat.

Menurut para pengkaji, pasangan yang berlainan nilai dan sikap menunjukkan ciri-ciri berikut:

1. Lebih banyak mengalami pelbagai masalah komunikasi.

2. Kurang berinteraksi antara satu sama lain.

3. Kurang bercakap-cakap dan berbual-bual.

4. Kurang bertukar-tukar pendapat dan fikiran.

5. Percakapan mereka lebih singkat.

6. Ayat-ayat yang mereka gunakan lebih ringkas.

7. Disebabkan mereka lebih banyak berbeza pendapat, mereka lebih kerap bertengkar dan mereka menghadapi lebih banyak koflik.

8. Mereka tidak banyak melakukan apa yang disebut pendedahan diri. Mereka tidak banyak memberitahu apa yang ada di dalam lubuk hati mereka kepada pasangan masing-masing. Mereka tidak banyak bercakap tentang diri mereka secara mendalam.

9. Mereka juga kurang menghabiskan waktu bersama-sama dan kurang terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang serupa.

10. Mereka juga lebih banyak saling kritik- mengkritik satu sama lain, lebih kerap tuduh menuduh dan saling membela diri.

11. Mereka kurang menikmati rasa kepuasan dalam perhubungan, oleh itu mereka kurang memberi kata-kata pujian dan sanjungan kepada pasangan mereka. Sebaliknya, mereka sendiri juga kurang menerima kata-kata pujian dan sanjungan daripada pasangan mereka.

12. Mereka juga kurang bertukar-tukar hadiah antara satu sama lain. Oleh itu mereka kurang berasa dirinya dihargai oleh pasangannya. Akibatnya, mereka mengalami keadaan di mana jiwa dan kalbu mereka berasa seolah-olah “kosong” dan kurang “bermakna” meskipun mereka mempunyai isteri, suami atau kekasih.

Banyak pasangan tersedar bahawa mereka telah berkahwin dengan orang yang nilai dan sikapnya banyak berbeza dengan nilai dan sikapnya sendiri. Tetapi oleh kerana sudah terkahwin, mereka meneruskan juga hidup dalam keadaan itu.

Oleh hal yang demikian mereka mencipta berbagai-bagai cara untuk mengurangkan perselisihan dalam rumah tangga mereka. Umpamanya, mereka mengambil sikap mengalah sahaja setiap kali berlaku pertentangan pendapat.

Satu cara lain yang popular ialah mereka mengurangkan interaksi dengan cara banyak diam melainkan keadaan sangat memerlukan mereka bercakap.

Strategi mengalah dan diam adalah strategi yang dapat mengurangkan pertengkaran dan konflik rumah tangga, tetapi ia mencipta kesan sampingannya sendiri. Strategi tersebut menyebabkan perkahwinan itu tidak dapat lagi membekalkan makna kepada jiwa dan kalbu.

Bagi menghilangkan perasaan itu, mereka mencari makna itu di tempat-tempat lain, umpamanya dengan membina hubungan lain.


Sumber: facebook.com


No comments: