Sunday, November 29, 2009

Arafah - Hitung Kami Sebagai TamuMu

Oleh: Husam Musa

9 Zulhijjah – ‘himpunan di Padang Kebangkitan Semula’.

Haji adalah Arafah – kata Rasulullah. Arafah - padang berhamparan pasir beratapkan sinar mentari terik. Pakaian rasminya ‘kain kafan tak berjahit’, putih menyelimuti ‘mayat’ yang akan bangkit di hadapan Rabnya.

Pangkat, kedudukan, kekayaan, keturunan, telah ‘ditinggalkan’. Sebuah kehidupan baru akan bermula. Sebuah keputusan sedang ditunggu. Keampunan? Penerimaan?

Insan beruntung dibasahi tangisan penyesalan. Satu demi satu rantai noda dan dosa terbayang – diikuti keinsafan. Sedar akan kesalahan. Dosa sesama insan, umpat keji, caci maki, hasad dengki, adu domba, makar yang hina, fitnah dan dusta, perampokan maruah, harta atau apa saja, berat di atas pundak. Di depan api, mundur ke belakang semula tidak bisa lagi.

Dosa pada Ilahi, yang masih ingat, yang sudah terlupa, yang disedari, banyak pula yang tak disedari, yang baru, yang lama, yang kecil, yang besar – bakarlah semuanya di Arafah supaya di Mahsyar nanti tidak lagi digalas beban. Ampuni!
Menjadi tamu – hanya di padang pasir hangat ini? Mana pelayan? Mana kemewahan? Mana kebesaran? Padang gersang ini untuk tetamu Tuhan?

Ia sebuah refleksi. Masa depan yang tidak sesiapa pun dapat lari darinya. Hadapi realiti sebelum realiti tak dapat ditolak lagi!

Padang hangat membakar ego diri, kemegahan, keangguhan. Pedulilah pada hari yang berat, hisablah diri, bakarlah sifat permusuhan mu, keluarlah sebagai bayi suci yang dosanya telah dibakar hangus. Selamanya, Mahsyar ini akan berdiri dalam dirinya sampai ketemu Mahsyar sejati.

Ia sebuah persinggahan. Wukuf. Sedemikian jauh engkau berjalan dalam hidup mu, tersadai di persinggahan ini juga engkau?

Menuju destinasi Keampunan atau Kemurkaan. Penerimaan atau Penolakan. Ia sebuah persinggahan menuju destinasi.

RahmatMU jua kami pohon – jadikan hari ini hari pengampunan untuk kami, sekalipun kami hanya di sini. Sekalipun manusia lain enggan mempedulikan lintasan Kebesaran Hari WukufMu ini dalam kelalaian mereka.

Perhatikan juga sebahagian petikan Syarahan Perdana Junjungan Mulia dalam Hajinya yang terakhir, pesan untuk semua manusia;

"Wahai manusia! Dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia! Sepertimana engkau menganggap bulan ini, hari ini dan kota ini adalah suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.
Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih)

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh."



Sumber: cetusan-hati.blogspot.com



No comments: