Saturday, November 21, 2009

Akhawat...Maruah Anda: Tolong Jaga 'Hati' Allah!

Ketikamana Syawal yang lalu masih lagi menyelubungi insan-insan sekeliling, aku dijemput oleh satu persatuan di bumi Jordan ini untuk meraikan bulan yang mulia itu dengan menghadiri satu program yang cukup meriah lagi 'menghairankan' dengan tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan ukhuwwah di kalangan para pelajar dan ahli-ahli persatuan.

Setelah aku berhempas-pulas di bumi tanahair yang tercinta dengan program-program yang begitu menggembirakan hati, di samping dapat beraya dengan keluarga, aku juga dihidangkan dengan program-program ikatan ukhuwwah setelah datang kembali ke bumi syam ini. Penat juga menghitung tarikh-tarikh untuk dimasukkan ke dalam jadual peribadi.

Apa yang menghairankan aku, program dari persatuan tersebut diadakan di Wadi Syu'aib. Oh, bagus juga nak pergi wadi ni, boleh kenal tempat baru, boleh tengok air, boleh bermesra dengan geng-geng, fikirku. Aku pun dah lama tak makan angin dengan mereka.

Pagi-pagi lagi kami bertolak ke wadi tersebut dengan menaiki bas yang disewa khas. Ya, sungguh seronok pergi ramai-ramai. Perjalanan ke sana lebih kurang satu jam juga (kalau tak silap). Dalam perjalanan tersebut, telingaku mendengar dan memfokuskan pada tazkirah yang dipasang oleh pemandu bas yang berbicara tentang solat. Amat berkesan tazkirah tersebut buat mereka yang ber'aqal, tambahan pula dengan suara penyampainya yang begitu lantang menerjah ke benakku. Antara intipati tazkirah tersebut ialah:
  • Solat itu merupakan rezeki dari Allah Taala
  • Solatlah kamu selagimana kamu masih mempunyai 'aqal
  • Jagalah solat dengan sebaik-baiknya nescaya solat akan menjaga kamu
  • Teramat rugi bagi mereka yang meninggalkan solat
  • Meninggalkan solat merupakan satu punca terjerumus ke dalam syahawat
  • Adakah dengan solat boleh menghabiskan wang anda?!, adakah dengan solat menghabiskan masa anda?!
  • Wahai orang yang meninggalkan solat, musibah untuk anda!
Mudah-mudahan Allah memberikan ganjaran yang sebaiknya buat penyampai tazkirah tersebut.

Bila saja ku sampai di wadi itu, ku melihat air yang tenang sedang mengalir. Kanak-kanak dah mula bersorak sebaik sahaja melihat air di situ. Bagaimana aku nak menyeberangi wadi ini? fikirku. Airnya dalam juga, lebih kurang paras betis dan lutut. Al-hamdulillah beberapa orang ikhwah berganding bahu mengangkat batu, meletakkannya ke dalam air agar kami para akhawat dapat menyeberangi wadi tersebut. Terima kasih ku ucapkan pada mereka.

Namun, apa yang menyedihkanku, sebahagian dari akhawat berjalan atas batu-batu tersebut sambil tangan mereka memegang bahu para ikhwah. Ada yang terus membuka stokin dan mengangkat sedikit pakaian mereka agar tidak terkena air. Aku terkejut! Subhanallah! Kenapa macam ni?

Aku tahu bahawa batu-batu di situ masih tidak kuat dan akan sedikit bergolek bila dipijaknya, oleh itu sebahagian daripada ikhwah membenarkan diri mereka dipegang oleh akhawat untuk menyeberangi wadi itu. Namun, persoalan di sini ialah adakah keadaan tersebut dikatakan dharurah yang menghalalkan anda untuk memegang sang lelaki yang bukan mahram anda? Begitulah sebaliknya bagi sang lelaki. Soalan lagi ku lontarkan: Adakah dengan mengharungi air wadi itu berkemungkinan besar maut akan menimpa diri anda?


Ada juga yang berkata: "takpelah, pegang adik je". Eh, betulkah 'teori' ini? Adik itu kecil atau besar? Umur berapa?

Fikir-fikirkanlah, mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang dimarahi Tuhan.


Apapun aku ucapkan hamdan lillah, terima kasih wahai Allah, Tuhanku yang menyelamatkan aku dari menyentuh insan-insan yang bukan mahramku. Aku juga cuba meniti dan berjalan atas batu-batu tersebut, namun aku kalah. Aku undur kembali, kemudian mengharungi air wadi itu. Biarlah pakaianku sedikit basah, asalkan perbuatanku tidak mengguris 'hati' Tuhanku yang sentiasa memerhatikan tindak- tandukku. Maafkan aku wahai Tuhan, kalau aku salah seorang dari mereka yang membelakangkan undang-undangMu.


21 November 2009