Tuesday, November 24, 2009

Garam Dan Usia



Oleh: Anual Bakri Haron

Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.

Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat hingga kehujung. Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya.

Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam. Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian / tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah, emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita.

Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap quadragenarian / quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada terkesan di mana-mana.

*Sebahagian petikan sahaja*


Sumber: harakahdaily.net



No comments: