Topik tazkirah yang dilontarkan oleh Ust. Tuan Syed Helmi pada Program Hari Keluarga Amman baru-baru ini, mencetuskan rasa pada diri saya untuk menyambung kembali bicara berkenaannya.
Memang sifat husnu az-zhonn (berbaik sangka) ini susah kita dapati pada diri kita, bahkan buruk sangkalah yang selalunya datang melayang dalam kotak pemikiran kita. Namun, baik sangka ini bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dicanangkan dalam diri kita, bahkan ia akan menjadi sebati dalam jiwa bila sentiasa mengamalkannya.
Antara sebab-sebab yang menjadikan kita dapat berbaik sangka dengan orang ialah:
1) Berdoa
Selalu berdoa kepada Allah swt agar menjadikan diri kita insan yang sentiasa bersifat baik sangka.
2) Meletakkan diri kita pada tahap orang lain
Selalu merasakan bahawa jika kita berada di tempat orang lain, atau jika kita menghadapi masalah sebagaimana orang tersebut merasainya, tentulah kita juga perlu menghadapi dan menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.
3) Perlu bercakap dengan sebaik-baik percakapan
Hendaklah kita bercakap dengan percakapan yang baik serta mengajar diri kita agar tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk tentang orang lain, walaupun mereka tidak mendengar apa yang diperbualkan oleh diri kita.
4) Sentiasa merasakan adanya keuzuran dari orang lain
Hendaklah kita menganggap adanya keuzuran dari kawan kita yang tidak mampu menghadirkan diri dalam sesuatu majlis atau tidak mampu menyelesaikan setiap permintaan dari kita. Hendaklah kita berkata: Boleh jadi ada keuzuran yang tidak kita ketahuinya.
5) Menjauhkan diri dari suka menghukum sesuatu.
Banyak rahsia orang lain yang kita tidak ketahuinya. Namun, ramai di kalangan kita suka menghukum dan menganalisa rahsia-rahsia orang yang tidak perlu diketahuinya mengikut 'selera' dan kehendak mereka. Oleh itu, demi memperolehi sifat sangka baik itu, hendaklah kita jauhkan diri dari terjebak dengan perangai yang suka menghukum rahsia orang lain.
6) Memikirkan keburukan sifat berburuk sangka
Dengan berburuk sangka membawa kita menghina dan mencela orang lain. Dan kadang-kadang mendorong kita untuk melakukan kesalahan terhadap percakapan kita. Ini akan membawa padah buruk dalam kehidupan bermasyarakat. Hendaklah juga kita memikirkan dosa dan balasan Allah terhadap mereka yang bersifat jahat seperti buruk sangka ini.
7) Bersahabat dan selalu merapatkan diri dengan orang yang soleh
Satu amalan yang perlu kita semaikan iaitu merapatkan diri dengan orang yang baik, yang mendorong kita sentiasa mengingati Allah swt. Sahabat yang baik, yang bertakwa kepada Allah sentiasa mengingatkan kita dari terjerumus ke dalam maksiat, mengajak kita supaya tidak memiliki sifat buruk seperti buruk sangka itu.
Oleh itu hendaklah kita berbaik sangka dengan manusia dengan mendidik jiwa dan bermujahadah untuk memperolehi sifat yang baik ini. Ini kerana perlu kita ingat dan berwaspada bahawa syaitan dan konco-konconya sentiasa berlegar-legar di sisi kita untuk menarik kita menjadi teman setianya di dunia ini mahupun di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment