Saturday, May 23, 2009

Akhlak Yang Baik

Sesungguhnya Rasulullah saw itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia. Pada zaman Jahiliah juga kita dapati akhlak yang baik seperti memuliakan tetamu, menjaga maruah, berani dan sebagainya. Namun, di dalam Islam, mereka yang mengamalkan akhlak yang baik ini akan mendapat ganjaran yang tinggi di sisi Allah swt kerana kita berusaha mengikuti akhlak Rasulullah saw.

Akhlak yang baik ini boleh kita perolehinya dengan usaha dan latihan pada diri sendiri. Bagaimana boleh kita aplikasikannya?
Kita jadikan akhlak itu sebagai tuntutan agama kita atau sebagai satu ibadah kepada Allah swt. Ia merupakan satu perkara yang mudah dan di sana akan kita dapati peri pentingnya hidup dengan berbekalkan akhlak. Oleh itu, perlulah kita aplikasikannya terhadap diri kita, jiran-jiran dan terhadap manusia keseluruhannya dengan tiada tujuan untuk kepentingan diri sendiri.

Kelebihan memiliki akhlak yang baik
1) memperolehi darjat yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah saw mengajar kita bercakap dengan percakapan yang baik, perlu berlapang dada dengan manusia. "Tidak ada satu amalan yang paling berat pada hari qiamat melainkan dengan akhlak yang baik."

2) Akhlak yang baik merupakan ibadah yang disukai oleh Allah Azza wa Jalla. "Yang paling sempurna iman di kalangan orang mukmin ialah mereka yang mempunyai akhlak yang baik".

3) Akhlak yang baik membuktikan ketinggian iman. Sesungguhnya akhlak yang baik itu mempunyai kaitan dengan iman seseorang. Orang yang beriman mempunyai akhlak yang buruk, sebenarnya imannya berkurangan.

Adakah senyum juga termasuk dalam akhlak yang baik?
Memang tidak syak lagi. Senyum terhadap saudara kita dikira sebagai sedeqah. Namun, sebahagian dari kita bakhil untuk melontarkan senyumannya, sedangkan Rasulullah saw itu sentiasa senyum walaupun terdapat percanggahan antara baginda dan para sahabat.

Oleh itu hendaklah kita mengikuti jejak langkah baginda saw al-mustofa, yang mana kehidupan baginda dipenuhi dengan akhlak yang baik, samada dengan ahli keluarganya, dengan sahabat-sahabat, aqriba', sesama manusia sehinggakan dengan musuh dalam peperangan sekalipun.

Akhlak Rasulullah saw dengan ahli keluarganya, kita dapati baginda suka membersihkan rumah, mengatur peralatan rumah, dan menolong isteri-isterinya. Kalaulah baginda saw mampu melakukan sedemikian, maka kita sebagai umatnya perlulah mencontohi baginda .

Rasulullah juga suka minum dari gelas yang diminum oleh isteri baginda dan baginda pernah makan dalam bekas yang dimakan oleh isterinya. Oh, romantiknya pemimpin manusia yang agung ini. "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan ahli keluarganya, dan aku adalah insan yang paling baik terhadap ahli keluargaku."

Pernah berlaku peristiwa sebelum israk dan mikraj, bilamana datang malaikat memberi tawaran kepada Rasulullah saw untuk mebinasakan penduduk Taif yang telah menghina dan mencederakan baginda kerana dakwah Islam, namun Rasulullah tetap menolak tawaran malaikat lalu menyatakan semoga Allah mengeluarkan dari generasi mereka orang-orang yang beriman kepada Allah swt. Nabi saw juga mendoakan agar kaumnya itu mendapat hidayah dari Allah swt. Dengan akhlak yang baik itulah menjadikan manusia tertarik untuk menerima Islam, agama Allah swt ini.

Kenapa sukar untuk kita dapati orang-orang yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji ini?
Kerana mereka menganggap akhlak ini satu perkara kecil, atau urusan biasa yang kurang penting. Mereka juga menganggap bahawa ia merupakan satu perkara yang diharuskan. Sedangkan akhlak yang baik ini sepatutnya dijadikan satu perkara yang perlu ada pada setiap muslim agar kehidupan mereka diberkati Allah swt dan disenangi masyarakat umumnya.


Terjemahan dari siaran tazkirah al-Mahajjah al-Baidhaa', Tajuk: Husnul Khuluq, TV Saudi 1, disampaikan oleh: Dr. Abdullah Ali Basfar.




1 comment:

mataku (B.i.B) said...

sungguh indah tazkirah ini..
Allahu yujzikil khair!