Saturday, November 15, 2008

Bertaqwalah Kepada Allah SWT




عن أبي ذرّ جندب بن جنادة، وأبي عبد الرحمن معاذ بن جبل رضي الله عنهما،
عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:
(اِتَّقِِ الله حيثُمَا كنتَ، وأَتْبِعِ السيئةَ الحسنةَ تَمْحُهَا، وخالقِ الناسَ بِخُُلقٍ حسن) رواه الترمذي


Daripada Abu Zarr Jundub ibn Junadah, dan daripada Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal RA, daripada Rasulullah saw bahawa Baginda bersabda: (Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah kejahatan itu dengan kebaikan nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut, dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik).

Hadis riwayat al-Imam at-tarmizi, beliau berkata: Ia adalah hadis hasan, dan sesetengah yang lain menyatakan ia adalah hadis hasan sahih.


Erti Taqwa:


Bertaqwa kepada Allah ialah dengan mengikut segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Taqwa tersebut perlu ada pada diri kita walau di mana kita berada samada di pasar, di pejabat, di sekolah, di universiti, di padang dan sebagainya. Taqwa juga perlu ada pada bila-bila masa samada di waktu pagi, tengahari, petang, siang dan malam, atau ketika kita keseorangan atau berada di khalayak ramai.

Sebenarnya hadis ini merupakan nasihat Rasulullah saw kepada Abu Zarr dan Mu'az bin Jabal. Daripada Anas r.a. berkata bahawa Rasulullah saw telah mengutustkan Mu'az ke Yaman, lalu Baginda saw bersabda: (Wahai Mu'az, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik, dan apabila kamu melakukan kejahatan maka ikutilah ia dengan kebaikan). Berkata anas: Wahai Rasulullah, la ilaha illallah merupakan kebaikan? Rasulullah saw bersabda: Ia merupakan sebesar-besar kebaikan.

Taqwa merupakan jalan kejayaan:

Satu perkara yang paling besar yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam wasiat ini ialah taqwa kepada Allah azza wajalla, iaitu himpunan setiap kebaikan dan pengawasan diri dari segala kejahatan yang mana taqwa itu menjadikan seseorang:

1) mendapat pertolongan dari Allah swt. FirmanNya yang bermaksud: sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang melakukan kebaikan (an-naml: 128).

2) Allah menjanjikan mereka rezeki yang baik, dan terlepas dari kesusahan. FirmanNya yang bermaksud: Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan memberikannya satu jalan keluar, dan akan memberikannya juga rezeki yang tidak disangka-sangka (at-talaq: 3).

3) Allah akan menjaga mereka dari tipu daya musuh, firmanNya yang bermaksud: Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, tidak sesekali akan memudaratkan kamu segala tipu daya mereka (al-imran: 120)

4) Allah akan merahmati mereka. FirmanNya yang bermaksud: Dan rahmatku begitu luas, dan akan ku berikannya kepada orang-orang yang bertaqwa. (al-a'raf: 156).

Kesempurnaan taqwa:

Iaitu dengan menjauhkan diri dari perkara syubuhaat. (barangsiapa yang takutkan perkara-perkara syubuhaat maka dia telah menyelamatkan agamanya dan maruahnya) -hadis Bukhari dan Muslim-. Ia juga termasuklah dengan menjauhkan diri dari perkara-perkara harus yang berkemungkinan boleh mencampakkan seseorang kepada perkara-perkara yang haram.

Syarat untuk memperolehi taqwa:

Taqwa kepada Allah tidak akan tercapai melainkan apabila ilmu itu dihubungkan dengan agama Allah swt. Firman Allah: sesungguhnya mereka yang takutkan Allah swt ialah orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan (alim ulama') (fatir: 28). Ini kerana orang jahil tidak mengetahui apa yang wajib dilakukan dan apa-apa yang perlu ditinggalkan. Oleh itu mencari ilmu merupakan sebaik-baik ibadah dan ia adalah satu jalan untuk sampai ke syurga. Sabda Nabi saw: Barangsiapa yang merintis jalan untuk memperolehi ilmu pengetahuan dipermudahkan oleh Allah baginya jalan ke syurga. (riwayat Muslim). Sabda Rasulullah lagi: Sesiapa yang dikehendaki Allah untuknya kebaikan diberikannya kefahaman dalam agama. (hadis muttafaq 'alaih).


Rujukan: kitab al-Wafi fi Syarh al-Arba'iin an-Nawawiyyah, Dr. Mustafa al-Bugha, Dar Ibn Kathir, 2006M, m/s: 122 wa ma ba'daha.


15 November 2008



2 comments:

mataku (B.i.B) said...

salam kak..
mekasih atas segala huraian mengenai taqwa..doakn sy ye smoga mnjadi manusia y benar2 bertaqwa..sy takut dgn dunia dan hidup ini...
tq n moga2 kite sume bertaqwa..
best! :)

sitihasliza said...

alaikassalam...
terima kasih atas ur comment
terima kasih yang xterhingga juga bgtau saya rujukan tersebut :)
bolehlah saya rujuk dan buat terjemahan..