Monday, November 10, 2008

Hormati Pendirian Suami

Dalam kenangan:

al-Marhum Abah ketika hampir berbuka puasa selalu berdoa, yang mana ia merupakan salah satu doa mustajab. Abah berbuka hanya dengan tamar, sedikit manisan dan air. Lebih kurang 2, 3 minit bersila, dia terus bangun dan akan melaungkan azan serta mendirikan solat. Dia tidak sesekali menjamah makanan berat melainkan setelah selesai solat dan tahlilnya. Keseronokannya dengan wirid-wiridnya dan lafaz-lafaz zikirnya itu amat ku fahami. Walau di mana dia berada, kelakuannya memang begitu. Dia tidak akan hiraukan apa yang diperkatakan oleh orang. Wajahnya yang sentiasa dibasahi dengan wudhuk itu dapat ku kenali. Abah lelaki yang tak 'banyak mulut', suka bergaul dengan tok-tok guru kat kampung, sekali keluar pendapatnya 'menggegarkan' orang sekelilingnya.

Pernah suatu ketika, kami dijemput berbuka puasa di rumah nenek. Sanak-saudara dan aqriba' tentulah pulang untuk sama-sama bertemu mata dan berbuka puasa. Bila sahaja masuk waktu maghrib kami semua terus berbuka dengan hidangan-hidangan yang bermacam-macam. Aku terfikir pada abah. Aku tahu dia akan terus meninggalkan hidangannya. Abah bangun menuju ke satu ruang untuk menunaikan solat. Sanak-saudara memandang abahku, saling bercakap sesama mereka. Abahku takkan hiraukan mereka. Dalam pada itu wajah mama sedikit berubah. Lalu ku terus mengubati mama dengan kata: tak apalah mama, dah abah macam tu, lagipun apa yang abah buat tu memang bagus. Biarkan apa orang nak kata, kan abah tu suami mama. Meh..kita hidang sama-sama.
__________________

Suami adalah anugerah Allah buat isteri, begitulah sebaliknya; isteri merupakan anugerah Allah buat suami. Kedua-duanya saling memerlukan, saling melengkapi antara satu sama lain demi kebahagiaan rumahtangga. Suami merupakan ketua keluarga yang perlu menjadikan dirinya insan contoh kepada isteri dan anak-anak. Di 'bahunya' terdapat satu bebanan atau tanggungjawab yang besar yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah swt untuk memastikan keluarganya hidup dalam ketaatan kepadaNya, di samping memberikan mereka kebahagiaan hidup sekeluarga.

Oleh itu isteri diwajibkan mentaati perintah dan kehendak suami selagimana kehendak suami tersebut tidak menyalahi suruhan dan larangan Allah swt. Pendirian suaminya perlu dihormati dan kehendaknya juga perlu ditunaikan.

"abang suka kalau Zety pakai tudung labuh, abang akan tenang"

"abang nak isteri abang ni keluar bersama abang sahaja, kecuali kalau ada hal-hal yang tak boleh dielakkan"

Sebagai seorang wanita yang solehah lagi mukminah tentulah akan menunaikan setiap apa yang dikehendaki suami. Dia sentiasa akan memikirkan sesuatu yang terbaik untuk dilakukan buat suaminya. Sentiasa berusaha menjaga hati suami agar tidak terguris dalam melayaninya. Setiap yang diminta oleh suami pasti akan diusahakannya dengan sebaik mungkin agar kehidupan rumahtangga sentiasa dalam ceria dan bahagia.

Namun, kadang-kadang permintaan dan kehendak suami tidak sesuai baginya, bercanggah dengan keadaan semasa dan tempat. Dirasakan bahawa pandangan suami itu kurang tepat yang menjadikannya kekok untuk melakukan perkara-perkara yang dikehendakinya, disebabkan kehidupan isteri berbeza dengan kehidupan suami sebelum mereka disatukan.

Sebagai isteri yang bijak, bukan hanya bersenyap dan memendamkan perasaan tidak suka dan tidak puas hati dengan pandangan suami tersebut, bahkan cuba mengambil inisiatif dengan berbincang secara bijaksana dengan ketua mereka itu, serta memberikan pendapat-pendapat serta hujah-hujah yang baik agar ketepatan akan diperolehi. Dan jika pandangan suami adalah tepat, maka terimalah ia dengan hati yang terbuka dan hormatilah pendirian suami anda itu.

Saya pernah didatangi seorang kawan menyatakan bahawa suaminya kurang dalam pendidikan agamanya. Solatnya pun kadang-kadang dikerjakan, kadang-kadang tidak. Dia menyuruh isterinya itu agar ber'make up' bila berada bersama sanak-saudara dan aqriba'nya. Katanya suaminya berasa malu jika isterinya tidak berbuat demikian. Ini kerana keluarga, sanak-saudara dan aqriba'nya boleh dikatakan semuanya suka ber'make up'. Sedihnya hati ini bila mendengar keadaan suami seorang kawan yang sedemikian rupa.

"Ittaqillah ya rajul!". Anda diamanahkan untuk menjaga dan mengajak wanita anda ke arah keredhaan Tuhan, bukan memaksa mereka ke jalan kemurkaanNya. Bertuahlah anda mempunyai isteri yang memahami agama, walaupun tindak-tanduknya menyalahi adat keluargamu.

Oleh itu, wahai para isteri, dalam hal ini anda tidak dibenarkan menghormati pendirian dan suruhan suami anda itu. Bawalah berbincang dan berdiskusi dengan suami agar dia memahami erti peraturan dan hukum-hukam Tuhan yang perlu dilaksanakan.

Akhir kalam, hormatilah pendirian suami anda, selagi mana ia tidak bercanggah dengan urusan Tuhan. Hargailah pandangannya, insya Allah keberkatan akan datang mencurah-curah untuk anda.




2 comments:

mataku (B.i.B) said...

salam akak..
moga Allah merahmati abah di sana..
moga akak di pertemukan dgn suami y benar2 soleh dan penyayang..
moga kite sume bahagia dunia akhirat...
post y best!!
:)

sitihasliza said...

Salam hamba utk org irbid yg xpernah dikenali
sorang adik yang paling baik
dah jumpa apa yang tuan hamba mintak tu.. :)
thanks a lot bg comment