Tuesday, February 2, 2010

Itukah Penyebab Kamu Kasih & Cinta?


Wajah yang cantik, kemas dan indah, mampu menawan hati seseorang. Melalui kemerduan suara mampu menangkap minat dan cinta seseorang. Budi bahasa dan pekerti baik, mampu meraih perhatian dan kasih seseorang.

Ringan tulang, banyak membantu serta sering ambil berat terhadap masalah orang lain, sering menjadi benih sehingga tanpa sedar ia mengikat jiwa mereka yang dibantunya.

Walaupun belum benar-benar mengenali individu yang punyai sifat tadi. Jiwa pasti akan tertarik sedikit demi sedikit. Jika benar cara pembawakannya, ia membawa kepada yang lebih baik, demikian juga sebaliknya.

Para ahli muzik sama ada nasyid dan lagu dengan mudah punyai pengikut, peminat fanatiknya. Semuanya penangan suaranya, wajahnya dan mungkin semakin mendalam apabila mengenali budi pekerti dirinya.


SAMI YUSUF

Mendengar nasyid zikir yang dipersembahkan oleh Sami Yusuf bertajuk "Asma Allah" dalam album terbaru beliau ini boleh menyentuh banyak jiwa. Saya kira ramai yang boleh tertarik dengan persembahannya, suaranya, kandungan zikirnya. Ramai juga yang boleh jatuh kasih tanpa sengaja kepadanya hanya kerana persembahan ini.

Namun, Sami Yusuf dengan suaranya, beserta individu-individu yang dianugerahkan Allah swt untuk memiliki minda yang kreatif dalam karangannya, miliki wajah tampan, kacak, cantik, pemilik bahasa sastera indah dengan olahan bijak serta menusuk jiwa, individu berpekerti baik, penyantun, individu yang ringan tulang membantu orang lain serta lain-lain kelebihan. Semua mereka menjadi sumber kasih seseorang.

Sesudah terpautnya hati, seseorang mampu berbuat pelbagai benda pelik demi untuk yang dikasihinya. Sebagaimana insan bercinta sesama insan, yang malam tidak dirasa, perkara berat terasa ringan, beban dirasa nikmat dan sebagainya.

Menurut Ibn Hazm, cinta itu sulit dihuraikan. Namun ada beberapa tanda seseorang yang telah jatuh cinta, iaitu (rujuk Tuq al-Hamamah) :-

Pertama: Kecanduan memandang orang yang dikasihi atau apa sahaja barang kepunyaannya lalu mengingatkan kepada pemiliknya. Itu sahaja sudah sebuah nikmat.

Kedua: Segera menuju ke tempat kekasih berada, sengaja duduk dekatnya dan mendekatinya.

Ketiga: gelisah dan gugup ketika ada seseorang yang mirip dengan orang yang dicintainya.

Keempat: kesediaan untuk melakukan hal-hal yang sebelumnya enggan dilakukannya. Adapun perbuatan yang mencacatkan cinta menurut Ibn Hazm adalah mereka yang berbuat maksiat antara lain adalah berzina dan lain-lain.

Justeru, kiranya seseorang telah jatuh cinta kepada Allah dan RasulNya, pasti dia selalu berdua-duaan denganNya melalui solatnya, pasti resah dan gugup tatkala melihat dan membaca ayat-ayatNya. Rela dan gembira untuk melakukan apa sahaja untuk mencapai redha Allah walau sukar dan memeritkan pada mata dan aqal manusia lainnya. Semuanya menjadi mudah kerana kasih dan cinta.

KITAKAH ITU?

Sedarkah kita bahawa semua kecantikan yang wujud di alam ini hanyalah secebis zarrah dari keindahan Allah swt, tuan punya dan pemilik kepada segala sesuatu.

Imam Abu Hamid Al-Ghazzali ketika mengulas bab cinta Allah dan Rasul di dalam kitabnya 'Ihyaa' Ulumiddin' menegaskan.. faktor-faktor biasa yang disebutkan di atas menjadikan manusia jatuh hati, kasih dan cinta kepada manusia lain, hingga adakalanya mencapai tahap fanatik.

Namun bagaimanakah kita terlupa bahawa Allah mempunyai segala sesuatu sebab musabbab untuk manusia jatuh kasih kepadanya, malangnya kita sering terhalang dek kelebihan manusia. Mari kita sama-sama teliti nama-nama Allah yang dinasyidkan oleh Sami Yusuf ini, sebahagian nama-nama ini mewakili sifat-sifatNya.

Jika cantik dan indah menjadi puncanya, maka Allah adalah yang terindah..keindahannya terzahir dari makhluknya.

Jika banyak membantu menjadi sebabnya, Allah maha membantu...udara yang disediakan, matahari yang memancar, alam yang penuh dengan rezeki serta nikmatnya. Ya Allah... tidak terkira nikmatNya...

Demikian juga Rasulullah s.a.w yang menjalankan tugasnya sebagai pesuruh Allah s.w.t. Bertungkus lumus membantu kita agar terselamat di alam barzakh dan akhirat kita. Tidak terhutang budikah kita dengan kesungguhannya?

Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w, paling layak menerima kasih dan cinta kita. Namun kelemahan kita sering gagal memujuk hati ini untuk jatuh kasih kepadaNya, akibat dihalang oleh tembok besar dunia, tembok besi kejahilan, tembok penipuan yang dipasang syaitan.

Ya Allah Ya Tuhan, bantulah kami kasih kepadamu, dan segala amalan yang boleh membawa kami kasih kepadaMu dan peroleh kasihMu, dan hampir dengan manusia yang boleh membawa kami kasih kepadaMu.

Firman Allah s.w.t.:


قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّه وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Ertinya: Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik" ( At-Tawbat: 24 )

Ya Allah "ultuf bina" (be gentle with us).. O forgiver ..forgive our sins...Ya Rasulullah, terimalah kami sebagai umatmu.


Coretan tazkirah ringkas untuk diri dan pembaca web saya. Moga kita dirahmati Allah.


Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net


Sumber: zaharuddin.net


1 comment:

Anonymous said...

Aku mencintai Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan fisabilillah...