Saturday, February 20, 2010

Ayat - Ayat Bahagia (2)


1) Cinta pada Ilahi perlu dipahat dalam hati, perlu digagahi walaupun sukar dimengerti. Bila cinta sudah berputik, mula berbunga, terus dibaja, disiram dan dijaga, kelazatan pula kan dirasa. Nikmat dan kemanisan cinta ini tidak mampu diungkap dengan kata-kata, tidak bisa dianggar peratusannya. Terasa diri ini sentiasa diperhati, ditiliki dan diawasi olehNya yang Maha Menghalusi.


2) Tahukah anda bahawa ruh kita juga amat memerlukan makanan. Sebagaimana jisim inginkan kekenyangan dan kepuasan, ruh juga meronta-ronta kelaparan, meminta-minta makanan keperluan dari tuannya. Namun, sedarkah kita pada perkara ini? Makanan ruh bukanlah seperti makanan jisim yang boleh dilihat dengan mata kasar, bahkan ia adalah zikrullah (ingat kepada Allah).


3) "Nyawa kita diumpamakan api pelita yang pada bila-bila masa sahaja boleh terpadam" ... Fikir-fikirkan, mudah-mudahan kita mampu menggalas ketakwaan di waktu nyawa masih dihidangkan oleh Tuan Pemilik badan, demi mencapai cita-cita kebahagiaan di hari yang pasti dipertemukan.


4) "Apabila kamu inginkan taufiq agar beroleh kekhusyukan, maka jauhilah dari berlebih-lebihan dalam pandangan... Apabila kamu sukakan taufiq agar beroleh hikmah, maka tinggalkanlah berlebih-lebihan dalam percakapan... Apabila kamu mengharapkan taufiq agar dapat mengetahui keaibanmu, maka tinggalkanlah mengintai-ngintai keaiban orang lain." [ Terjemahan dari kitab 500 Nasihah Li al-Mar'ah al-Muslimah, Majdi Fathi as-Sayyid ]



5) "Ubatilah hati kamu dengan lima perkara: Membaca al-Quran dan menghayatinya, berusaha bangun malam demi menunaikan solat tahajjud, berdoa kepada Allah sebelum datangnya waktu Subuh, duduk bersama orang-orang yang soleh dan memperbanyakkan puasa sunat." [ Terjemahan dari kitab: 500 Nasihah Li al-Mar'ah al-Muslimah, Majdi Fathi as-Sayyid ]



6) "Jahil adalah penyakit kanser merbahaya yang menular dalam tubuh manusia. Bahayanya jahil ini boleh membawa syirik kepada Allah. Sepertimana penyakit kanser ada pencegahnya, begitu juga jahil ada pengubatnya. Pengubat bagi penyakit jahil adalah al-Quran dan as-Sunnah." [TG Nik Abdul Aziz Nik Mat ]



7) "Orang yang bijaksana ialah apabila dia bercakap pasti akan memberi kesan kepada pendengar. Itulah yang dimaksudkan dengan bijaksana, atau dalam bahasa al-Quran disebut 'al-Hakim'. Al-Quran bukanlah manusia, tetapi kalamullah. Walaupun dilihat sebagai tulisan, tetapi ianya terkandung kebijaksanaan, iaitu dengan al-Qura
n pembacanya akan terkesan." [ TG Nik Abdul Aziz Nik Mat ]



8) "Percaya selepas melihat sesuatu itu tidak ada apa-apa nilai yang signifikan, tetapi yang hebat ialah percaya sebelum melihat sesuatu dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya." [ Ust Hasrizal Abdul Jamil ]



9) Syurga hanya menerima orang yang hebat untuk menyertainya. Sekiranya kita tidak hebat, apakah pilihan yang kita ada, kalau tidak berjaya masuk ke syurga?... [ Ust Hasrizal Abdul Jamil ]




No comments: