Sunday, February 7, 2010

Sedetik Bersama Ustaz Farid Ravi

03 Februari yang lalu, aku bersama anak-anak sekali lagi turun menuju ke bumi Irbid, ingin berjumpa mata dengan Ustaz Farid Ravi dalam program ringkas bersama beliau. Aku bertiga turun sebelum solat Maghrib ditemani oleh saudara Qud menuju ke perhentian bas ke Irbid.

Dalam masa menunggu bas, aku bersembang dengan mereka tentang kehidupan di Tanah Arab ini. Bertanya khabar tentang pelajaran, berbincang tentang aktiviti-aktiviti pelajar di sini dan sebagainya. Aku cukup kecewa dengan aktiviti yang tidak sihat berlaku di kalangan anak-anak watan di bumi Syam ini seperti merokok, pergaulan bebas tanpa sempadan di antara lelaki dan perempuan, berpakaian yang tidak senonoh dan lain-lain.

Sedang aku asyik bercakap bersama mereka, datang seorang pakcik Arab bertanyakan kami.
"Kamu semua nak ke Irbid ke?"
"Ya", kami menjawab.
"Jom, naik kereta saya", dia berkata lagi.
"Qud, tanya pak cik tu dulu, berapa dia nak tambang?", aku menyuruh Qud bertanya demikian, bimbang kalau-kalau...
"Dia kata ikut je lah Kak Za", Qud menjawab.
"Ok lah, jom kita naik", aku menyuruh mereka semua.

Dalam perjalanan ke Irbid, pakcik Arab tersebut berkenal-kenalan dengan kami. Bertanya tentang negara Malaysia dan pelajar-pelajar Malaysia di bumi Jordan ini. Rupanya pakcik itu tinggal di Irbid, bekerja di Amman, telah pencen pada bulan yang lepas dan merupakan graduan Universiti Jordan awal 80an dulu. Aku sungguh gembira kerana dia dapat berinteraksi dengan kami dalam bahasa Arab fusha.

Sebaik sahaja di pertengahan jalan, pakcik itu meminta izin dari kami untuk berhenti solat Maghrib. Qud juga menyusul sama. Kami bertiga pula berada dalam kereta, ingin solat jamak di Irbid nanti, kerana merasakan masyaqqah untuk solat di situ. Kami berasa terkejut kerana dia meninggalkan keretanya, sedangkan kami berada di dalamnya.

Setelah selesai solat, mereka berdua datang, lantas aku bertanyakan pakcik Arab itu. "Pakcik percayakan kami?". Dia menjawab: "ya, semasa kamu menunggu bas tadi, saya memerhatikan kamu, saya melihat wajah-wajah kamu dan saya yakin kamu adalah orang baik".

Aku terharu. "Ini maknanya firasat orang-orang yang beriman ke pakcik?", aku bertanya sambil tersenyum. Pakcik juga tersenyum lalu berkata: "boleh jadi".

Sampai sahaja di Irbid, aku lega. Kami ingin membayar tambang, tetapi ditolak oleh pakcik itu. Al-hamdulillah, rezeki kami. Mudah-mudahan Allah membalas budi baiknya dengan sebaik-baik balasan.

Kemudian kami menuju ke dewan untuk mendengar ucapan dari Ustaz Farid Ravi. Al-hamdulillah disambut baik oleh akhawat Irbid, dan dapat berkenalan dengan akhawat baru. Seketika kemudian, Ustaz Farid tiba bersama jurufotonya dan ikhwah di sana.

Dalam ucapan tersebut, beliau menceritakan pengalaman-pengalaman yang dilaluinya sebagai seorang pelajar di Universiti aalil Bait, Mafraq, tahun 90an dahulu. Kesusahan dan keperitan yang dialaminya sehinggalah beliau dapat menguasai Bahasa Arab. Beliau juga menyatakan kedatangannya ke Timur Tengah (Mesir dan Jordan) untuk berjumpa para mashayikh dan berbincang tentang program dan penubuhan sebuah institusi hadis di Malaysia (di bawah KUIS). Beliau adalah perintis bagi institusi tersebut.

Ustaz Farid juga memperkenalkan para pelajar tentang as-Sheikh Dr. Solah al-Khalidy yang merupakan guru talaqqinya suatu ketika dulu dan beliau datang dan terus berjumpa dengan as-Sheikh tersebut menceritakan tentang tujuannya itu.



Aku terharu mendengar, sebak dan rasa cemburu dengan insan yang diangerahkan Allah permata-permata ilmu. Aku mengenali serba sedikit tentang as-Sheikh Dr. Solah al-Khalidy semasa berada di bumi UIAM lagi. Kitab kecilnya "al-Khittoh al-Barroqoh li zi an-Nafsi at-Tawwaqoh" sedikit sebanyak memberi motivasi dan dorongan kepadaku sebagai seorang pelajar kerdil dalam dunia bahasa Arab.

Aku ingin menjadi seperti insan-insan yang asyik dengan ilmu, mampu mendekatkan hati dengan Pencipta. Rasa cemburu dengan mereka yang mampu keluar beramai-ramai pergi menceduk mutiara-mutiara kata dari para mashayikh. Namun, siapalah aku ini? akan adakah jamaah wanita yang akan bersamaku untuk mengadap mereka? Akan menjadi realitikah keinginanku itu? Inginkah mereka menerima kami?

----------------------------------

Al-hamdulillah, lebih kurang satu setengah jam kami bersama ucapan dan celoteh Ustaz Faid Ravi yang cukup memuaskan hatiku. Jutaan terima kasih diucapkan kepada beliau dan pihak penganjur iaitu persatuan anak-anak Irbid dan Badan Kebajikan Anak-Anak Selangor. Semoga Allah merahmati kita semua.

Aku, anak-anak dan Qud pulang ke 'Amman sebaik sahaja selesai program tersebut.





No comments: