JAWAPAN: Tidak. Sama sekali tidak begitu. Islam adalah panduan hidup. Islam adalah cara hidup. Islam yang sebenar adalah yang tidak memisahkan di antara urusan dunia dan urusan akhirat.Kedua-duanya berjalan serentak. Ianya bergandingan antara satu sama lain. Dunia adalah jambatan ke akhirat, apa yang anda lakukan di dunia ini, akan diambil kira di akhirat.
Itulah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya): "Maka sesiapa berbuat kebajikan meskipun seberat zarrah, nescaya akan diberi balasan di akhirat. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan, meskipun seberat timbangan zarrah, akan diberi balasan di akhirat." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)
Ayat ini mengisyaratkan bahawa kerja-kerja manusia di dunia ini hanya ada dua jenis sahaja. Sama ada kerja baik atau kerja jahat. Kerja politik pun demikian juga. Ada politik baik dan ada politik jahat. Kerja politik adalah kerja besar dan berat. Guna dan kesannya juga amat besar.
Ada orang yang seluruh hidupnya dihabiskan dalam berpolitik, siang dan malam berpolitik. Maka rugilah dia jika Allah tidak mengambil kira perjuangan dan pengorbanannya itu, jika ia melakukan politik yang baik.
Dan, tidak adillah kepada Allah SWT jika dibiarkan orang yang melakukan politik jahat itu terus bermaharaja lela dan tidak dibalas di akhirat.
Kuasa politik adalah kuasa yang menentukan hala tuju negara. Rakyat akan terbawa ke dalam penghidupan yang diwarnakan orang politik yang diberi kuasa oleh rakyat.
Jika politik yang mementingkan parti dan kroni, maka untunglah yang mendapat habuan, manakala yang lain-lain akan menderita. Jika politik yang jujur serta ikhlas, berjuang untuk mengajak manusia memartabat dan melaksanakan hukum Allah, melaksanakan perintah Allah sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka akan untunglah insan yang akan mendapat ganjaran di akhirat.
Sekiranya politik itu zalim, yang berkuasa menindas rakyat dan mementing diri sendiri serta sanggup melakukan kezaliman, penindasan dan sebagainya, maka tentulah ada pembalasan di akhirat, atas perbuatan yang melanggar tatasusila dan undang-undang kemanusiaan yang wajib dipelihara.
Meskipun sudah ada penjelasan dalam media massa tentang Islam itu sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan tidak berpisah antara urusan dunia dan akhirat, tiada pemisahan itu dalam Islam, namun kekeliruan masih ketara.
Saya cadangkan bagi mereka yang meragui tentang hakikat ini, merenung kembali kepada ikrar dalam solat kita hari-hari yang dibaca dalam doa iftitah (mafhumnya): "Sesungguhnya solatku, ibadatku, cara hidupku dan matiku, semuanya dilakukan untuk Allah, Tuhan sekelian alam."
Setiap kali solat kita membuat pengakuan mutlak bahawa seluruh hidup kita semuanya kerana Allah, tidak ada yang lain hanya semata-mata kerana Allah.
Berpolitiklah untuk Allah, bukan kerana dunia. Meskipun urusan di dunia, tetapi hendaklah kerana Allah. Berpolitik melalui jalan yang diredai Allah.
Jika anda terbabit dengan politik yang menentang hukum Allah atau politik yang hendak dicapai itu bukan untuk memartabatkan agama Allah, maka ianya berlawanan dengan sifat manusia yang dijadikan sebagai khalifah Allah.
Oleh yang demikian, anda akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang anda lakukan.
Penderhakaan terhadap Allah adalah suatu jenayah agama yang amat besar. Allah mengingatkan kita dengan perintah-Nya seperti firman-Nya (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)
Jika sudah sesat maka Allah menyatakan lagi (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya disediakan di akhirat kelak neraka jahanam yang kekal mereka di dalamnya buat selama-lamanya." (Surah al-Jin, ayat 23)
Oleh kerana itu, berpolitiklah dengan politik yang betul, bukan main tangkap muat atau terikut-ikut atau terpengaruh dengan pujukan ahli-ahli politik yang tidak berpendirian.
Sumber: harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment