Wednesday, March 11, 2009

Banyak Kenyataan TG Nik Aziz 'Berbisa'

Hari ini banyak kita dengari sebahagian dari masyarakat kita menyanggah kenyataan TG Nik Aziz tentang isu nama Allah untuk semua. TV perdana dan akhbar-akhbar harian mengulas kenyataan beliau tersebut.

Saya seorang pelajar yang semenjak di bangku sekolah lagi banyak menimba ilmu dari TG Nik Aziz secara 'berdepan' dan 'di sebalik tabir' amat mengenali uslub dan gaya bahasa Tok Guru dalam penyampaian Kuliah Jumaat, tazkirah dan ceramahnya.

Gaya bahasa Tok Guru begitu mudah untuk difahami oleh setiap lapisan masyarakat, tambahan pula beliau suka menyelitkan ucapannya dengan kiasan-kiasan dan perumpamaan-perumpamaan agar masyarakat dapat memahami dengan lebih jelas. Namun, banyak juga kenyataan Tok Guru yang begitu 'dalam' dan 'berbisa' yang memerlukan kita merenung sejenak dan memerhatikan apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh beliau.

Sebelum timbulnya isu penggunaan nama Allah untuk semua agama, telah banyak isu yang diperkatakan oleh Tok Guru disanggah oleh banyak pihak pada permulaannya, namun, setelah dikaji dan diteliti, kenyataan beliau ada betulnya dan tepat penggunaannya.

Pernah suatu ketika dulu, sewaktu saya masih berada di bumi UIAM, timbul isu 'Tuhan samseng dan mencarut' yang diperkatakan oleh TG Nik Aziz dan diwarwarkan oleh media massa. Ramai yang menyatakan bahawa Tok Guru telah rosak aqidahnya disebabkan kenyataan beliau yang melampau sedemikian rupa. Saya juga ada menonton berita dan mendengar kata-kata Perdana Menteri kita pada ketika itu yang menempelak dan memperlekehkan TG Nik Aziz.

Pada permulaannya, saya memang terkejut juga dengan kenyataan tersebut. "Kenapa Tok Guru berkata sedemikian?" Hati saya bertanya. Namun, saya tahu mesti ada sesuatu di sebalik kata-katanya itu.

Lalu saya bertanya kawan-kawan yang memiliki CD tentang kenyataan beliau tersebut. Al-hamdulillah, saya dapat mendengar sendiri ceramah Tok Guru berkenaan topik yang diperkatakan itu. Beliau menghuraikan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah termasuklah al-Qahhar, al-Jabbar dan al-Mutakabbir yang membawa makna kegarangan dan kesombongan Allah terhadap mereka-mereka yang zalim, menderhaka dan tidak mahu menurut perintah Allah swt dan dikaitkan dengan ungkapan samseng dan mencarut itu.

Tok Guru juga melontarkan hujah-hujahnya berpandukan kepada tafsiran-tafsiran al-Quran yang masyhur termasuklah tafsir-tafsir dalam Bahasa Melayu seperti Tafsir Pimpinan ar-Rahman yang disusun oleh ulamak terkenal Allahyarham Hj. Mohd Nor Hj. Ibrahim, bekas mufti Kerajaan Kelantan.

Pada kali ini TG Nik Aziz menyatakan bahawa tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Beliau berkata lagi bahawa: "pada zaman Nabi, jika ditanya siapakah pencipta langit dan bumi? Mereka tetap mengaku Allah yang menciptanya. Jadi ertinya perkataan Allah ini bukan benda baru yang disebut oleh orang bukan Islam," katanya.

Bagi saya, kenyataan Tok Guru ini cukup berhikmah. Beliau bercakap bukan atas dasar sebagai ahli politik untuk menarik minat masyarakat menyokong dan memuji beliau. Bahkan atas dasar Islam, yang mana Islam mengiktiraf setiap manusia adalah makhluk, hamba kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa, walaupun manusia tersebut tidak mahu meng'abdikan dirinya kepada Allah dan menyekutukanNya.

Cuba kita perhatikan ayat-ayat Allah swt. Firman Allah yang bermaksud:

Pertama: "Dan Sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" tentu mereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar) (Al-Ankabut: Ayat 61)


Kedua: “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).


Ketiga: "Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?", nescaya mereka menjawab: "Allah". Katakanlah: "Maka terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudharatan kepadaku, apakah berhala-berhalamu itu dapat menghilangkan kemudharatan itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmatNya?. Katakanlah: "Cukuplah Allah bagiku". Kepada- Nyalah bertawakkal orang-orang yang berserah diri. (Al-Zumar: Ayat 38).


Malah, dalam isu trinty dalam Kristian, al-Quran ada menyebut dengan jelas tentang kepercayaan mereka. Firman Allah : Sesungguhnya kafirlah orang- orang yang mengatakan: "Bahwasanya Allah salah seorang dari yang tiga", padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan yang Esa. jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. (Al-Maidah : ayat 73)


Ayat-ayat di atas menceritakan bagaimana kaum Kafir Quraisy, malah Yahudi dan Nasrani mengakui kewujudan Allah sebagai Tuhan. Yang menjadi kepincangan pada mereka hanyalah mereka enggan menyembah dan meng'abdikan diri kepada Allah, tetapi memilih untuk menyekutukanNya. Keengganan inilah yang menyesatkan mereka.

Oleh itu bagi saya, soal Allah hanya untuk umat Islam tidak timbul. Yang penting ialah soal aqidah seseorang itu dengan Allah swt. Bahkan bagi saya, kenyataan yang dikeluarkan oleh TG Nik Aziz itu begitu berhikmah dan halus untuk menarik orang yang bukan Islam kembali kepada Islam, kerana inilah satu-satunya ad-deen yang secocok dan selari dengan fitrah manusia.




No comments: