Wednesday, December 30, 2009

Kasihankan Wanita Budaya Yang Disanjung

Satu perkara yang cukup menarik bagi diri saya bila berada di bumi Sweileh, Amman ini ialah wujudnya budaya menghormati wanita dan mengasihani mereka di kalangan penduduk di sini. Budaya ini boleh juga dikatakan sebagai akhlak yang mulia yang perlu diterapkan dalam diri kita masing-masing.

Walaupun banyak perkara yang telah saya kritik dan mual dengan sebahagian dari 'budaya' dan perangai orang-orang sini, hatta saya sanggup berdepan dengan mereka, mengkritik secara langsung apa yang kurang baik dilakukan, namun, ada juga perkara yang saya suka dengan akhlak baik mereka seperti yang saya perkatakan itu.

Saya sebagai seorang wanita yang kerdil tentulah cukup berbangga dengan penerapan budaya menghormati wanita di kalangan penduduk Amman ini. Sebagai contoh yang saya nampak di sini ialah apabila wanita menaiki bas, pihak lelaki akan bangun memberikan tempat duduk kepada wanita jika didapati ruang duduk telah penuh.

Semenjak saya berada di sini, sudah lebih dua tahun lamanya, saya tidak pernah berada di dalam bas dalam keadaan berdiri. Para lelaki dengan sukarela akan bangun memberikan tempat duduk kepada saya, atau mereka diarahkan oleh pihak bas untuk berbuat demikian.

Alangkah indahnya akhlak ini yang menjadi budaya masyarakat setempat yang sepatutnya ditiru oleh masyarakat lain. Saya terharu dengan mereka, dan berharap agar budaya dan akhlak mulia seperti ini akan masuk ke dalam masyarakat tanahair kita. Sedih juga di hati ini kerana masyarakat kita tidak lagi mempraktikkan amalan sebegini, kalaupun ada mungkin peratusannya tidak seberapa.

Menghormati dan mengasihani wanita, orang tua, orang kurang upaya merupakan akhlak yang patut dimiliki oleh kita semua. Ya, saya tetap menyanjung budaya sedemikian rupa!.




1 comment:

Unknown said...

benar ya ukhti,seharusnya budaya ini wajar di tiru terutama masyarakat kita...