Di antara ibadat puasa yang disunatkan kepada umat Islam ialah berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri di dalam sejarah manusia khususnya umat Islam. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.
Di antara perkara penting yang berlaku pada 10 Muharram ialah Allah menyelamatkan Bani Israel dari kekejaman Firaun dan tentera-tenteranya serta menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keingkaran dan keangkuhannya. Oleh yang demikian tarikh 10 Muharram ialah merupakan tarikh di mana bermulanya episod baru dalam kehidupan Bani Israel setelah berabad lamanya ditindas oleh rejim Firaun di bumi Mesir. Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. – Surah Yunus, ayat 90.
Manakala hujah yang menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku pada tarikh 10 Muharram ialah hadis yang bermaksud : Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, Baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi. Kesemuanya di dalam Kitab Puasa.
Di dalam hadis yang tersebut di atas, Nabi SAW tidak menolak dakwaan Bani Israel bahawa pada tarikh 10 Muharram itu ialah tarikh di mana Nabi Musa dan kaumnya diselamatkan oleh Allah SWT. Secara tidak langsung, perintah Baginda supaya para sahabat berpuasa pada hari tersebut ialah satu pengiktirafan kepada dakwaan Bani Israel.
Manakala peristiwa lain yang berlaku pada 10 Muharram juga ialah pembunuhan Hussein RA di Karbala semasa perselisihan faham dengan tentera Yazid bin Muawiyah. Persitiwa ini membawa kesan besar di dalam sejarah yang seterusnya menjadi amalan penganut-penganut mazhab Syiah untuk merayakannya setiap tahun. Perayaan ini dapat dilihat dengan jelas di Iran dan sebahagian besar kawasan di Iraq.
Peristiwa lain yang dikatakan berlaku pada 10 Muharram ialah mendaratnya kapal Nabi Nuh as di atas bukit Judi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Nabi Nuh kemudiannya berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. – Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, www.islamonline.net
Mengenai ibadat puasa pada hari ‘Asyura ini, Syeikh Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqhus-Sunnah menyenaraikan beberapa hadis yang menyatakan kelebihan berpuasa pada hari tersebut. Antaranya :
2- Daripada Muawiyah bin Abu Sufian bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Hari ini ialah hari ‘Asyura dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka barangsiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah manakala barangsiapa yang ingin berbuka, berbukalah.”
3- Daripada Aisyah RA berkata, “Sesungguhnya hari ‘Asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Adapun Rasulullah SAW juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Barangsiapa yang ingin berpuasa, teruskan. Barangsiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan). – Muttafaq ‘Alaih
4- Daripada Ibnu Abbas RA berkata : Nabi SAW memasuki Madinah dan melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Baginda bertanya, “Apakah ini?” Mereka menjawab, “Ini ialah hari yang baik, Allah menyelamatkan di dalamnya Musa dan Bani Israel daripada musuh mereka, lalu Musa berpuasa.” Maka Rasulullah bersabda, “Kami lebih layak terhadap Musa daripada kamu.” Baginda kemudiannya berpuasa dan memerintahkan para sahabat berpuasa. – Muttafaq ‘alaih
5- Daripada Abi Musa Al-Asy’ari RA berkata, : “Ini ialah hari ‘Asyura yang dimuliakan oleh kaum Yahudi dan dijadikan hari raya. Maka Rasulullah SAW berkata, “Berpuasalah kamu semua.” – Muttafaq ‘alaih
6- Daripada Ibnu Abbas RA berkata : Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah SAW. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud. Di dalam lafaz yang lain disebut sabda Rasulullah SAW : “Seandainya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan (iaitu bersama hari ‘asyura) – riwayat Ahmad dan Muslim.
Berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa disunatkan berpuasa pada hari ‘asyura di dalam tiga kaedah :
- Puasa pada tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.
- Puasa pada hari ke 9 dan 10 Muharram
- Puasa pada hari ke 10 sahaja.
Manakala kelebihan beramal pada 10 Muharram disebut di dalam satu hadis yang bermaksud : “Sesiapa yang meluaskan (memudahkan urusan) ke atas dirinya serta ahlinya pada hari ‘asyura, Allah SWT akan meluaskan padanya sepanjang tahun..” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Ibnu Abdil Barr. Hadis ini mempunyai sanad-sanad yang lain namun dikatakan kesemuanya ialah sanad yang dhoif. Bagaimanapun jika digabungkan sebahagiannya dengan yang lain, ia boleh diterima sebagai hadis yang kuat. – Syeikh Sayyd Sabiq, Fiqhus-Sunnah.
Adapun amalan masyarakat Melayu kita yang merayakan hari ‘asyura dengan mengadakan program membuat bubur ‘ayura adalah satu perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh baginda SAW. Apatah lagi jika dinisbahkan perbuatan tersebut kepada Nabi Nuh AS dengan mendakwa bahawa Nabi Nuh AS membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal. Ia adalah satu dakwaan yang sama sekali tidak mempunyai sandaran di dalam agama. Oleh yang demikian, jika tetap mahu diadakan program membuat bubur tersebut, perlulah diyakini bahawa ia tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Manakala membuat bubur itu sendiri seandainya diyakini datang daripada sunnah Rasulullah SAW atau Nabi Nuh, maka ia adalah kepercayaan yang karut dan perlu diperbetulkan. Wallahu a’lam.
Ahmad Fadhli bin Shaari
Kaherah, Mesir.
28 Februari 2004
Sumber: ahmadfadhli.com.my
4 comments:
Salam...
Di dalam artikel ni disebutkan tiga kaedah berpuasa 'Asyura. Tetapi bukankah ia sepatutnya menjadi 4 kaedah? Iaitu berpuasa 10 dan juga 11 Muharram?
Wassalam
Waalaikumussalam...
Kepada sahabatku Wan Abdul Ba'its,
Ana sudah merujuk kitab Fiqh al-Sunnah dan Nail al-Authar serta dikhabarkan juga datang dari Zad al-Ma'ad bahawa puasa 'Asyura' ada tiga peringkat sebagaimana yang Ustazah Hasliza jelaskan dan puasa pada 10 dan 11 Muharram tidak disebutkan dalam kitab-kitab tersebut. Hal ini mungkin kerana dalam hadis, kaedah tersebut tidak disebut. Dan, puasa pada hari ke-9 lebih aula daripada hari ke-11. Wallahu'alam. Wassalam.
syukran atas jwpn... tetapi jika hadafnya hanya untuk membezakan dengan puasa kaum yahudi maka apa bezanya hari ke9 dan ke11 sedangkan hadafnya sama?
anyway thanks again for the answer :D
Post a Comment