Monday, December 7, 2009

Faktor-Faktor Yang Menjadikan Seseorang Itu Pencemburu

Oleh: Ainon Mohd.

Kata orang tua-tua ‘cemburu tanda sayang’, tetapi cemburu yang keterlaluan adalah sejenis penyakit jiwa.

Menurut pakar-pakar perhubungan, emosi cemburu yang keterlaluan bukanlah bukti si pencemburu itu amat mencintai pasangannya. Sebaliknya, ia adalah tanda-tanda seseorang itu berasa kedudukannya amat tidak selamat, manakala semua tingkah laku si pencemburu adalah menifestasi hasratnya mahu mengawal dan menguasai pasangannya.

Cemburu adalah salah satu ancaman serius kepada kasih sayang disebabkan emosi cemburu boleh mencetuskan pelbagai masalah. Malah cemburu merupakan salah satu punca perceraian.

Orang yang mempunyai pasangan yang amat pencemburu tidak dapat hidup bahagia disebabkan tingkah laku si pencemburu itu amat menyusahkannya. Oleh itu adalah normal apabila seseorang itu takut kalau-kalau dia terkahwin orang yang amat pencemburu.

Dari satu segi kita tidak mempunyai panduan bagi mengenal pasti individu yang amat cemburu ataupun tidak kerana sifat pencemburu bukan berpunca daripada ciri-ciri personaliti seseorang itu, dalam erti kata tidak ada orang yang dilahirkan dengan sikap pencemburu.

Seseorang itu menjadi pencemburu akibat ciri-ciri yang ada pada perhubungannya dengan pasangannya. Inilah yang menyebabkan seseorang itu tidak menjadi pencemburu sekiranya dia berkahwin dengan orang tertentu, tetapi dia menjadi pencemburu disebabkan dia berkahwin dengan orang lain.

Sebagai contoh, seorang guru perempuan sekolah rendah tidak menjadi pencemburu sekiranya dia berkahwin dengan guru juga. Tetapi disebabkan kemudian suaminya menjadi seorang bisnesman yang kaya raya dan kerap out-station, maka dia menjadi seorang yang sangat pencemburu.

Faktor paling utama yang dapat meramalkan sama ada seseorang itu akan menjadi pasangan pencemburu ialah wujudnya beberapa ciri pada perhubungannya dengan pasangannya.

Salah satu faktor yang menghasilkan masalah pasangan pencemburu ialah wujudnya jurang perbezaan ‘daya tarikan’ yang luas antara suami dan isteri. Daya tarikan ialah ciri-ciri peribadi yang menjadikan seseorang itu menarik pada kaum bukan sejenisnya.

Perempuan-perempuan yang berwajah jelita dan memiliki bentuk tubuh badan yang cantik amat mudah menarik minat lelaki, manakala lelaki-lelaki yang memiliki wang dan kuasa amat mudah menarik minat perempuan. Seorang lelaki kaya tetapi tua yang berkahwin dengan gadis model yang muda dan jelita besar kemungkinan akan amat mencemburui isterinya. Seorang janda yang berkahwin dengan pemuda 9 tahun lebih muda daripadanya mungkin akan amat mencemburui suaminya itu.

Faktor-faktor yang menjadikan seseorang itu menarik kaum bukan sejenisnya ialah keelokan rupa paras, kelulusan tinggi, jawatan penting, kejayaan ekonomi, bakat istimewa, taraf sosial, keturunan mulia dan lain-lain ciri seperti itu.

Keelokan rupa paras membuatkan model-model, bintang-bintang filem dan personaliti tv yang tampan dan jelita diminati oleh ramai orang. Bakat-bakat istimewa membuatkan orang-orang seperti pelakon, penyanyi, pemuzik, penulis, pelukis, ahli sukan dan lain-lain mempunyai ramai peminat. Manakala kuasa membuatkan lelaki-lelaki yang kaya ataupun berjawatan tinggi, baik yang masih muda ataupun yang sudah tua amat mudah membuat perempuan-perempuan tertarik kepada mereka.

Orang-orang yang memiliki daya tarikan yang tinggi dipandang sangat menarik oleh mereka yang bukan sejenisnya. Lelaki yang memiliki daya tarikan tinggi dipandang sangat menarik perempuan-perempuan, dan begitu juga sebaliknya. Ramai yang berminat untuk menjadikan mereka sahabat, teman wanita, kekasih, suami ataupun isteri.

Kedudukan ekonomi yang dimiliki oleh lelaki juga menjadikan lelaki itu amat menarik di mata perempuan. Walaupun rupa paras lelaki itu tidak amat elok, manakala usianya juga sudah lanjut, tetapi dengan memiliki wang dan harta yang banyak, lelaki seperti mereka itu dipandang amat sesuai dijadikan suami oleh perempuan, termasuk gadis-gadis yang jauh lebih muda dan jelita, tidak kurang pula yang sudi menjadi isteri muda mereka.

Orang yang amat pencemburu berasa dirinya seorang yang tidak menarik apabila dia membandingkan dirinya dengan pasangannya. Perasaannya itu berpunca daripada faktor-faktor yang ada pada dirinya.

Jikalau si pencemburu itu seorang perempuan, dia mungkin tidak mempunyai wajah dan penampilan yang boleh menarik minat lelaki-lelaki lain, disebabkan mungkin rupa parasnya tidak jelita, ataupun dia kini sudah tua, ataupun dia terlalu kurus dan lain-lain kekurangan pada tubuh badannya, manakala suaminya pula sangat tampan ataupun mempunyai kedudukan yang tinggi oleh itu mudah menarik minat perempuan-perempuan lain. Yang sebaliknya juga boleh berlaku dengan lelaki.

Perempuan yang pencemburu mungkin tidak memiliki kelebihan-kelebihan sosial, seperti kelulusannya rendah, ataupun jawatannya juga rendah, manakala kekasihnya ataupun suaminya mempunyai kelulusan dan kedudukan sosial yang jauh lebih tinggi.

Tidak seperti pasangannya, si pencemburu mungkin tidak memiliki sebarang bakat yang dihargai oleh masyarakat seperti bakat seni, sukan, dan seumpamanya yang boleh mengimbangi kekurangan-kekurangnya dari sudut-sudut lain dibandingkan dengan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh pasangannya.

Tanpa memilik bakat-bakat istimewa si pencemburu dia tidak dapat memiliki pencapaian peribadi yang istimewa. Individu seperti itu dia tidak berupaya mencipta bagi dirinya kejayaan di dalam kerjayanya ataupun di dalam bidang-bidang lain seperti itu, bagi menjadikan dirinya seorang yang sama menarik berbanding dengan pasangannya memiliki pencapaian tinggi.

Kajian pakar-pakar mendapati semakin luas jurang daya tarikan yang wujud antara seseorang dengan pasangannya, semakin besar kemungkinan pasangannya itu akan menjadi seorang yang amat pencemburu.

Hasil kajian ini mempunyai implikasi kepada anda yang sedang mencari bakal pasangan hidup. Untuk mengelakkan masalah cemburu yang serius, pilihlah pasangan yang memiliki daya tarikan yang seimbang dengan diri sendiri.

Pasangan yang mempunyai daya tarikan yang seimbang, iaitu kedua-duanya sama-sama menarik, lazimnya pasangan seperti ini tidak menghadapi masalah cemburu yang serius.

Apabila salah seorang itu jauh lebih menarik dibandingkan dengan pasangannya, pihak yang tidak mempunyai daya tarikan yang tinggi akan menjadi seorang yang pencemburu.

NOTA: Nabi Muhammad menggalakkan kita kahwin sekufu.....


Sumber: facebook.com
_________________

Komen saya:
Ada lagi faktor-faktor lain yang menjadikan seseorang itu mempunyai perasaan cemburu yang tidak dapat dirasai oleh seseorang melainkan insan yang dianugerahinya itu. Cemburu itu adakalanya baik dan adakalanya tidak baik, bergantung pada situasi, keadaan dan tahap seseorang dalam memiliki perasaan tersebut.



No comments: