Friday, December 11, 2009

Cinta Pertama Payah Dilupa

Myspace Graphics

Bila bercakap tentang cinta ramai yang berasa bahagia, namun tidak dapat dinafikan bahawa cinta juga boleh membawa duka. Topik cinta cukup luas dan dalam kerana ia bukan hanya berfokuskan kepada cinta manusia sahaja, bahkan kepada cinta-cinta lain.


Kali ini aku ingin mengajak kalian memahami kisah cinta pertama dalam sebuah kehidupan seorang wanita terhadap suaminya.

Semasa aku berada di tanahair bersama keluarga di Hari raya Puasa yang lalu, rumahku didatangi seorang wanita, kawan mamaku walaupun dia lebih berusia dari mama.

"Assalamualaikum", dalam dua tiga kali wanita itu memberi salam. Sambil menjawab salam, aku dan adikku terus bergegas ke dapur mencari mama. Adik beradikku yang lain sudah tiada di rumah; ada yang keluar, ada yang ke rumah mertua, ziarah sana-sini dan sebagainya. Tinggallah aku, adikku yang pertama dan mamaku.

"Mama, cepatlah, ada orang datang ni. Tinggalkan kerja tu, nanti kakak buatlah", kataku sambil memanggil mama di halaman dapur.

"Kenapa tak pergi?", tanya mamaku lalu terus memakai tudung ke ruang tamu.

Aku tersengih, lega bila mama dah keluar. Bukan mudah aku nak keluar ke ruang tamu bila ada orang datang. Mama aku pula ada ramai 'peminat', sentiasa ada orang berkunjung ke rumahku. Sifat 'kekampungan' itu masih membelenggu diriku walaupun kadang-kadang aku dicemuh oleh sebahagian insan dalam hal ini.

Dalam masa aku menyiapkan makanan dan minuman pada tetamuku, tiba-tiba aku terdengar topik 'cinta' yang dibualkan oleh mereka berdua. Pada permulaanya, aku tidak tahu apa yang dibincangkan kerana aku bukanlah suka mendengar cerita-cerita orang tua. Namun, bila topik 'cinta' itu diutarakan aku terus memasang telinga.

"Wah, tentu seronok kisah cinta orang yang berusia, boleh aku dapat sedikit 'habuan' untuk dibentangkan pada mereka yang memerlukan", fikirku.

Sebenarnya wanita tersebut telah berkahwin buat kali yang ketiga. Perkahwinan yang ketiga ini baru sahaja berlangsung beberapa bulan. Suaminya yang pertama dan kedua telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Setelah habis 'iddah dia terus mendapat aqad baru bersama lelaki ini. Kata orang kampung: cepat laku sungguh makcik ini. Aku tergelak mendengar huraian manusia.

Mamaku mendengar luahan wanita itu satu persatu. "Kita pun sebenarnya nak tanya Kak Moh pasal ni, tapi takut Kak Moh malu. Dah loni Kak Moh royak kita dengarlah", kata mamaku. Aku tersenyum keseorangan di dapur.

"Pastu anak-anak takpo?", tanya mamaku.

"Eh, sebelum Kak Moh nak nikah, Kak Moh dah royak ko anak-anak, kena terima dan buat macam ayah kamu dulu", jawab wanita itu.


Pernah mamaku ditanya tentang perkahwinan baru, mamaku terus menjawab spontan: "kita tak nak anak-anak kita ada ayah tiri, kita bimbang kalau-kalau anak-anak kita tak selesa berada di rumah kita".

Oh, begitu sekali jawapan yang keluar dari mulut mama. Perasaan ibuku terhadap anak-anaknya yang begitu sukar untuk dihuraikan. Pertembungan antara perasaan ini dengan 'perasaan itu' cukup payah untuk dileraikan kecuali salah satu darinya telah dikalahkan. Ya, aku dapat merasakan ada jurang berbezaan antara perasaan mamaku dan wanita itu.

"Kak Moh kena nikah, sebab Kak Moh takut duduk sorang-sorang", kata wanita itu kepada mamaku.

Lantas mamaku menjawab: "Kita ada Allah dok jaga, malaikat dok keliling kita, kita baca al-Quran, baca itu baca ini, selawat banyak-banyak, istighfar, meratib, in syaa Allah Tuhan akan 'duduk' dengan kita ". "Kita tak akan tinggal hak muloh abah dia buat selama ni", mama menambah lagi.


Ya Allah... gementar hatiku mendengar kenyataan mamaku. Aku menghayati ayat-ayat mama itu. Ya, aku kenal siapa mama, aku kenal siapa al-marhum abah. Tuhan...berilah keampunan dan rahmat serta redhaMu buat mama dan abah.

"Oh, gitu deh", kata wanita itu.

"Tapi Dah, Kak Moh nok royak, tak serupo dengan kita nikah mulo-mulo. Kak Moh rasa macam bermimpi, nikah kali yang kedua dan ketiga ni. Terfikir, betul ke aku nikah ni? Sebab Kak Moh dok teringat ko muloh Abe Zin (suaminya yang pertama). Rasa suka, rasa seronok, rasa bahagia nikah hok mulo-mulo. Loni tak rasa gitu sangat", katanya.

Hatiku terus sebak, air mata turun tanpa disedari. Ya, aku amat memahami jiwa seorang wanita. Aku juga menjiwai perasaan mamaku. Aku kenal erti cinta, cinta seorang isteri terhadap suaminya. Cinta yang luhur tidak dilumur dengan darah hipokrit, cinta yang suci demi menuntut keredhaan Ilahi. Ya, aku tetap berkata 'cinta pertama payah dilupa' walau ia diselubungi kemanisan harta dan takhta.

"Ya la, kita duduk dengan dia lama dah, susah payah duduk besarkan anak-anak, buat kerja sekali, mesti kita teringat ko dia", mamaku mengiakan kata-katanya.

Aku terfikir, kalaulah suami baru wanita itu mendengar luahannya itu, sudah pasti dia akan bersedih. Entahlah...

Kemudian mamaku datang mengambil minuman dan halwa untuk tetamu. Setelah beberapa minit berlalu, wanita itu meminta diri untuk pulang. Mama pun terus masuk ke dapur.

"Amboi, seronok nampak bincang pasal kahwin", aku berseloroh dengan mama.

"Huh, seronok apo, kita takdok doh, tokse doh", mamaku menjawab dengan tegas.


Aku tersenyum. "Alah..., kakak gurau je mama, takdelah, sebab tadi dengar macam rancak", aku menambah.


"Ikut dialah, dah Kak Moh tu nak cerita ke mama, mama dengarlah", mama menjawab lagi.


Aku tersenyum lagi. Aku tahu mama ingin bercinta hingga ke syurga. Cinta pada suaminya itu tidak pernah luntur. Ingatan padanya tidak pernah kendur. Nama suaminya disebut-sebut, dulu, kini dan selamanya.

Syabas buat mama!.



3 comments:

izu said...

seronok bace ttg cinta pertama payah dilupa ni ustazah....

HasanahCY said...

best la citer ni ustazah! macam novel plak rasanya!cinta pertama sememangnya sukar dilupakan...tapi, macamana dengan kata-kata"mungkin yang pertama bukan jodoh yang sebenarnya untuk kita?"..apa komen ustazah?

HasanahCY said...

best la citer ni ustazah! macam novel plak rasanya!cinta pertama sememangnya sukar dilupakan...tapi, macamana dengan kata-kata"mungkin yang pertama bukan jodoh yang sebenarnya untuk kita?"..apa komen ustazah?