![]() | |
HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains. Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. "Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat. Ng Siew Chok - Isyarat Otak Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. "Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur. "Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian. Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah. "Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain, katanya. Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir. Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim). "Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. "Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya. Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang. Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah. Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot. Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan. "Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya. Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus. "Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"katanya. Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. "Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.-end- (Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat ) Sumber: harakahdaily.net |
Thursday, February 26, 2009
Kajian Sains: Solat Rawat Penyakit Kritikal
Sunday, February 22, 2009
Saturday, February 21, 2009
Sahabatku...

Aku bersyukur pada Ilahi,
Atas anugerah pertemuan ini,
Dirimu terlalu berharga,
Mengajar erti kehidupan buatku.
Sahabatku,
Tidak tahu bagaimana rasanya,
Untuk diri ini menghargai,
Malah berbudi kembali pada dirimu,
Dikau sanggup perjudikan masamu,
Di saat ku dilanda susah payah,
Tiada hadiah istimewa daripadaku,
Hanya doa mampu ku titipkan buatmu.
Ku pohon padaNya,
Semoga dikau dirahmati,
Ku harap teguran dan nasihat darimu,
Andai ada kesilapan membelenggu diriku.
Sebelum mata ini terpejam buat selamanya,
Sebelum hembusan nafas ini bertemu noktahnya,
Ku hendak kau tahu,
Aku sayang, aku cinta padamu kerana Allah.
Dipetik dari:
Majalah SUKMA, PMRAM,
Mac- April 2008,
Maqaz Edition UPP DPM Shoubra.
Thursday, February 19, 2009
Program PERTAMA: Tarbiah Mahasiswa Mendepani Negara
Minggu lepas, 12- 14 Feb.2009, satu Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Jordan (PERTAMA) telah diadakan di Jamiah Yarmuk, Irbid. Program ini dibuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Malaysia Jordan dan dijemput perwakilan-perwakilan mahasiswa Malaysia dari Arab Saudi, Mesir, Syiria dan Yaman bagi membentangkan kertas kerja masing-masing.
Pembentangan Kertas Kerja 1 : Feminisme Dan Islam; Huraian Suatu Ideologi Ciptaan (Jordan)
Pembentangan Kertas Kerja 2 : IFC Dan Tuntutan Kebebasan Beragama; Suatu Provokasi Khayalan? (Mesir)
Pembentangan Kertas Kerja 3 : Yoga Dan Pengkid. Benarkah Islam Semakin Menyekat? (Mesir)
Pembentangan Kertas Kerja 4 :Mahasiswa Dan Isu Semasa (Arab Saudi)
Pembentangan Kertas Kerja 5 : Islam Dan Terorisme; Penafian Dan Kebenaran Di Sebaliknya (Yaman)
Pembentangan Kertas Kerja 6 : Mempersonalitikan Diri Dengan Acuan Dan Paradigma Seorang Daie (Syria)
Forum : Mahasiswa Kita- Kuantiti Bukanlah Jaminan Kualiti
Bagi saya, program kali ini cukup baik dan penuh dengan perbincangan dan maklumat-maklumat tentang isu semasa yang berlaku di negara kita, Malaysia. Syabas saya ucapkan kepada barisan peneraju program PERTAMA kali ini serta AJK-AJK yang menjayakannya.



19 Februari 2009
Amman, Jordan.
Tuesday, February 17, 2009
Ziarah Syiria...
Sebelum ini saya hanya mengetahui tentang Syiah melalui pembacaan umum. Itupun hanyalah sekadar maklumat awal tentang apa itu Syiah dan pergerakannya. Namun pada kali ini saya telah melihat sendiri upacara-upacara yang dilakukan oleh mereka, yang menjadikan saya begitu hairan dan pelik dengan keadaan mereka. Apakah yang mereka cari selama ini? Hati saya berasa tidak tenang bersama mereka. Saya memerhatikan gelagat mereka sambil berfikir apa yang mereka lakukan itu? Mereka mencium dan mengucup maqam-maqam, mengambil kain yang berwarna hijau, lalu digosoknya maqam-maqam kemudian disapu pada badan masing-masing. Ada juga yang menangis teresak-esak, menyebut ya Husin ya Husin, ada juga yang membuat halaqah dan menyanyi beramai-ramai menyebut keluarga Sayyidina Ali karramallah wajhah, dan ramai juga yang solat di maqam-maqam setelah selesai upacara-upacara tersebut.
Saya sebagai muslimah yang cintakan Islam, memikirkan tentang agama Allah ini. Sedih dengan apa yang telah berlaku. Mengapa ramai di kalangan umat Islam sedemikian rupa? Adakah Islam ini satu agama warisan atau agama taqlid? Mengapa umat Islam tidak mahu berfikir dengan apa yang mereka lakukan itu? Mudah-mudahan Allah Taala memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua.
maqam-maqam di Syiria
Mereka membaca doa-doa di depan maqam Habil a.s
Mereka menunaikan solat dan doa di depan maqam Habil a.s
Batu-batu yang digunakan semasa menunaikan solat
maqam-maqam aalul-bait




Sunday, February 15, 2009
Ziarah Syiria Satu Kenangan
Sebelum saya menulis panjang lebar di sini, saya nak ucapkan jutaan terima kasih buat ketua kumpulan kami Ukhti Bazilah yang banyak membantu saya dan kawan-kawan dalam menguruskan perjalanan ziarah ini. Ukhti Bazilah merupakan 'orang lama' yang tinggal di Syiria, jadi urusan kami dan program ziarah dapat berjalan dengan lancar walaupun sedikit sebanyak ada perkara yang 'melucukan' buat saya bila bermu'amalah dengan orang-orang timur tengah yang memang diketahui umum.
Mengikut pengurus maqam tersebut, tumbuhnya pokok yang besar di atas maqam al- Imam an-Nawani yang kini berusia lebih dari 700 tahun.
2) Ziarah maqam Nabi Ayyub a.s
Thursday, February 12, 2009
Selamat Pulang Ke Tanahair...
Jutaan terima kasih diucapkan buat anda berdua kerana sudi bertandang ke rumah saya sebelum berangkat pulang. Buat Dee 'thanks a lot' sekali lagi kerana memahami diri ini. Rasanya ada satu persamaan di antara kita :).Tak lupa juga diharapkan agar ukhuwwah kita berpanjangan kerana Allah. Jumpa lagi di sana.
Siti Hasliza Mat Yusoff,
Sweileh, Amman.
Tuesday, February 10, 2009
Mencari Emas Di Perak
Salam Kamunting,
Walaupun anda orang Perak, anda tak boleh memilih perak menggantikan emas.
Walaupun orang sibuk sangat berkerumun merebut perak, anda pasti akan rugi jika disibukkan juga dengan gelagat ramai meninggalkan emas.
Kalau berlumba nak dapat perak, anda bukanlah seorang atlit. Anda mungkin hanya seorang pengampu raja yang mesti diberi emas setiap kali masuk gelanggang.
Sebut kata raja, maka emas adalah untuknya walaupun ’smash’nya asyik tersangkut di jaring atau keluar gelanggang.
Anda samada memilih emas atau mengurniakannya kepada yang sememangnya berhak ke atasnya.
Hari ini, kita sedang mengikuti krisis di negeri Perak. Krisis politik, krisis perlembagaan, krisis raja, krisis Melayu dan paling tidak disebut, krisis nilai.
Saya bertanya ayahanda, adakah ini sama seperti krisis mageran di Kelantan dahulu? Ayahanda menjawab, di Kelantan, ia dibuat - buat. Bakar tayar, bakar balai polis, kemudian isytihar darurat untuk rampas Kelantan. Ibrahim Ali adalah kepala pengat! Semacam ayahanda ingin melebihkan krisis di negeri Perak berbanding di Kelantan. Pada signifikannya.
Paling berbeza di antara dua krisis tersebut ialah anda sendiri. ‘Anda’ dulu adalah orang tua - tua. ’Anda’ sekarang adalah anak - anak muda yang berpendidikan dan berilmu. Yang muda - muda dulu ramainya hanyalah kaki wayang yang hanyut dalam dunia cinta Hisdustan dan Tamil. Hari ini, anak - anak muda adalah kaki blog dan kaki demontrasi menentang kemungkaran politik dan kerajaan.
Dunia ini tempat krisis. Di syurga tak ada krisis lagi. Di neraka, krisis antara penghuninya dilayan tamat dengan masing - masing disimbah azab panas yang bertambah - tambah. Adapun di dunia tempat kita duduk ini, krisis sentiasa berlaku dan ia sebahagian kehidupan. Kehidupan berlangsung dengan wujudnya krisis.
Jika tangan manusia tidak melakukannya, tangan Allah pula melakukannya. Krisis kemarau, krisis banjir dan tanah runtuh, malah krisis macam - macam wabak penyakit yang di luar tangan manusia. Kita dihidupkan dengan krisis dan dipaksa berkrisis.
Jika anda memahami ini, anda sebagai seorang muslim pastinya akan lebih mudah menerima hakikat bahawa dalam krisis itu ada hikmat. Ada jawaban yang anda perlukan dalam kehidupan anda. Justeru anda tidak boleh menempelaknya sebagai buruk atau membelakanginya demi kesucian diri. Allah menciptakannya dan setiap ciptaan Allah penuh dengan hikmah dan kebenaran yang tersembunyi dan nyata.
Jika anda menguasainya, anda akan memperolehi hikmah dan kebenaran itu. Jika anda gagal menguasainya, anda akan kempunan dan kehilangan pedoman dalam kehidupan. Justeru anda perlu bijak berhadapan dengan krisis. Jika anda mahu menang, anda mesti masuk berlawan dulu. Jika anda mengisytihar menang sebelum berlawan, anda akan ditertawakan. Jika anda menawan sebuah empayar pun, orang akan kata, itu empayar haram di perintah oleh bapak menteri haram yang makan gaji haram!
Sebenar - benarnya anda masa itu menghina diri sendiri dengan membunuh diri sendiri di hadapan khalayak semata - mata untuk membuktikan bahawa anda berani membunuh diri!
Di negeri Perak yang sedang berkrisis sekarang, anda hanya perlu menilai dan membezakan di antara tiga perkara. Apakah yang benar dan bagaimana kebenaran itu dijulang pejuangnya. Anda tak boleh dan jangan sesekali mengenal kebenaran melalui orang. Kenali orang melalui kebenaran yang telah anda kenali.
Ertinya, anda perlu melihat kepada tiga. Kebenaran, pejuangnya dan bagaimana ia dibawa.
Jika kebenaran ditemui bersama UMNO, UMNOlah sedang memperjuang kebenaran. Bagaimana ia memperjuangkannya, itu soal ketiga yang tidak akan merosakkan yang pertama walaupun ia boleh memberi kesan kepada yang kedua.
Jika kebenaran ditemui bersama PAS, PASlah pejuang kebenaran. Bagaimana ia diperjuangkan, itu soal ketiga yang terpisah yang tidak akan mengganggu kebenaran.
Jangan nilai kebenaran pada tindakan memboikot majlis angkat sumpat, kekal bertahan di rumah MB atau berdemo dan berbaringan di atas jalan raya. Itu cara menjunjung kebenaran. Itu mungkin betul dan mungkin salah caranya. Ia mungkin menambah manis atau mungkin menambah masin. Ia tetap gulai kambing untuk santapan.
Jangan pula menilai kebenaran pada upacara gilang - gemilang di istana, dipancar langsung di kaca tv atau diulas manis 24 jam. Itu cara menjunjung kebenaran yang didakwa. Ia tetap batil jika ianya sah batil.
Telanjangkanlah kebenaran atau pakaikannya dengan emas berlian, ia adalah kebenaran yang tidak memerlukan apa - apa pun untuk ia kekal benar. Kenapa? Kebenaran itu daripada Allah. Ia tunjang dan neraca di bumi dan dengannya bumi kekal bergerak dan berlayar di peredaran masa.
Adapun pejuangnya, ia adalah perlakuan manusia dan makhluk. Gagah mana makhluk itu, kentallah ia mendakap kebenaran dan cantiklah ia membawa kebenaran.
Bola tetap bola. Jika ia di kaki Ronaldo, cantiklah ia menerjah gawang! Tapi jika ia di kaki pondan atau kaki rasuah, stadium pun runtuh ditagur penonton!
Ia bukan soal PAS atau UMNO. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam neraca syariah dan ugama. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam neraca kemanusian dan keadilan. Di Perak, ia bukan soal PAS atau UMNO.
Ia soal siapa berhak memerintah dan mentadbir negeri Perak daripada sudut kesahihan undang - undang yang termaktub. Kalau BN, BNlah. Kalau PR, PRlah. Jangan anda membodoh diri dengan neraca sendiri yang salah.
PAS dan UMNO bukan krisis di Perak yang tengah bermula. PAS dan UMNO adalah krisis negara. Ia telah lama dan matahari kebenaran telah pun tegak di atas kepala.
Semua tahu kerajaan PR adalah sah semasa ia mengangkat sumpah memerintah negeri Perak selepas menang dalam pilihan raya umum tahun lepas. Hari ini, hak itu telah ditarik dan dilucutkan. Malangnya, ia berlaku secara luar tabi’ie dan penuh kekeliruan. Ia dibayangi komplot politik murahan dan jelik. YAB Nizar dihalau dari pejabatnya. Krisis berlaku. Kedua - dua pihak yang bertentangan masing - masing mendakwa kebenaran.
Apabila kebenaran menjadi pertikaian dan mula kelihatan samar, anda perlu merujukkannya kepada neraca yang benar. Itulah singgahsana tempat kebenaran bertakhta. Jangan rujukkannya kepada Israel atau Amerika. Di situ tempat kebatilan dipakaikan tatahan berlian. Jangan rujukkannya kepada UMNO atau PAS. Mereka adalah orang dalam kandang. Mereka bukan hakim dan tak boleh dilantik sebagai hakim pun.
Carilah nabi Daud alaihis salam jika anda berebut kambing! Dialah hakim yang adil. Itu, inikan pula berebut kerajaan!
Negara kita negara undang - undang. Semua kita terikat dengan undang - undang. Jika anda hanya inginkan dunia, nyahkan undang - undang al Quran. Jika anda inginkan dunia dan akhirat, letakkan undang - undang al Quran yang benar itu di hadapan undang - undang negara yang dipaksakan ke atas kita di dunia ini.
Kita adalah rakyat atau pemerintah atau raja. Raja, pemerintah dan rakyat perlu akur bahawa mereka perlu tunduk pada undang - undang dan perlembagaan negara. Orang PAS tak boleh melaksanakan hukum potong tangan ke atas pencuri kerana undang - undang negara melarang hukum al Quran itu dilaksanakan. Tiada cela daripada Allah pada perkara yang dipaksakan.
Rakyat hari ini bukan seperti rakyat dulu. Rakyat yang berilmu dan meraikan ilmu.
Pemerintah hari ini bukan seperti pemerintah dahulu kala. Ia dipilih dan diangkat oleh rakyat. Ia dipecat dan dijatuhkan rakyat.
Raja hari ini bukan lagi raja zaman purba kala. Raja dulu titahnya adalah undang - undang. Raja hari ini undang - undang mengatur titahnya.
Begitu semangat negara kita dibetuk di hari kita merdeka daripada penjajahan barat. Sesiapa yang melanggar undang - undang, dia salah dan mesti dihukum. Jika anda melindunginya, anda adalah pengkhianat negara. Samada anda rakyat atau pemerintah atau raja.
Begitulah semangat kebenaran dijulang. Ia mudah.
Tetapi di negara kita ada kepayahan. Jika negeri Perak sedang mengalami krisis perlembagaan, maka negara kita sedang mengalami krisis kehakiman. Dahlah undang - undang pun penuh cacat dan cela, para hakim pun dicalit cacat dan cela. Samada sistem kehakiman itu dicemari oleh para hakim sendiri atau ianya dicekik oleh pemerintah BN hari ini, krisis kehakiman akan tetap mewarnai penghakiman ke atas negeri Perak yang sedang berkrisis.
Justeru kita dihadapkan dengan krisis yang lebih besar. Krisis nilai dalam kehidupan.
Kita perlukan guru yang mengajar kita nilai kehidupan. Ia bukan raja atau pemerintah. Guru kita adalah orang - orang yang berilmu di antara kita.
Saya menyarankan anda mengambil kira pandangan para ulama, para pengamal undang - undang, para politikus dan ilmuan lain yang bersih dan berjuang di medan perjuangan yang luas. Mereka guru yang akan memimpin kita kepada nilai hidup yang membahagiakan. Negara kita akan kembali sentosa dengan pemartabatan nilai dalam kehidupan.
Kita hadapi krisis di negeri Perak seadilnya. Biar pun perak kita terlepas, asalkan emas kita miliki. Kebenaran adalah emas dalam kehidupan. Kebenaran adalah nilai kehidupan sebagaimana emas adalah nilai mengukur wang dan harta.
Syurga tiada krisis di dalamnya. Jika kita ingin selamat daripada krisis, kita mestilah jadi ahli syurga sebelum masuk syurga lagi. Ia hanya milik seorang muslim yang tunduk pada kebenaran TuhanNya.
Sumber: nikabduh.wordpress.com
Ziarah Mu'tah lagi...
Al-hamdulillah, kini ramai akhawat yang baru datang untuk menyambung pelajaran di Mu'tah. Pada yang baru tu diucapkan ahlan wasahlan wamarhaban. Pada yang telah menamatkan pengajian marhalah pertama tu terutamanya syafa, Salma, Farhana dan Mursyidah, saya ucapkan tahniah dan syabas!. Insya Allah, boleh jumpa lagi di bumi Malaysia.
Apa yang menyeronokkan juga bila dapat resepi masakan baru dari orang Mu'tah :). Yang lebih menyeronokkan bila dapat makan dalam talam sama-sama. Saya pun kan praktikkan secara berterusan dengan teman saya.
Pada hari Sabtu 31 Januari, saya dan akhawat sana ke Karak, menziarahi Qal'ah Solahuddin (Qal'ah Karak). Di sini saya sertakan beberapa gambar di kawasan Karak, Mu'tah. Terima kasih pada semua yang telah menjayakan program pada musim cuti semester baru-baru ini.







Monday, February 9, 2009
Monday, February 2, 2009
Ziarah Irbid Menyeronokkan
Pada hari Sabtu, 24 Januari, arah yang dituju ialah ke Universiti Yarmuk. Seronoklah jugak tengok universiti orang. Ada muzium pulak tu. Apapun terima kasih pada akhawat bertiga yang bawa kami 'round-round' kat universiti Yarmuk tu.
Sejurus kemudian kami menuju ke balad Irbid mencari bekalan untuk program hari esoknya iaitu ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Irbid. Ust. Helmi dan Ust. Amin sebagai musyrif kami. Kami seramai enam orang boleh dikatakan 'orang baru'...Jadi mereka berdualah yang menunjukkan kami tempat-tempat yang baik untuk dilawati. Thanks a lot for u all.
- Ziarah kawasan Perang Yarmuk

- Ziarah Umm Qais



