Namun untuk mengadakan majlis perkahwinan itu bukanlah satu perkara yang menyusahkan, sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh suasana dan keadaan semasa yang ada sekarang, yang perlu kepada puluhan ribu ringgit untuk mengadakan majlis perkahwinan. Pada hakikatnya persediaan diri kedua-dua belah pihak untuk menghadapi perkahwinan itu adalah lebih penting dan perlu diutamakan berbanding persediaan mengadakan walimah urus. Ini menampakkan kepada kita bahawa kebanyakan masyarakat tidak lagi memandang serius terhadap perkara-perkara yang tersirat dalam pembinaan rumahtangga seperti ilmu agama yang perlu dititikberatkan, bekalan kerohanian peribadi, ilmu rumahtangga dan psikologi, uslub-uslub pentarbiahan anak-anak dan seumpamanya. Tidak dapat dinafikan bahawa ‘fulus’ dan harta juga amat penting dalam menghadapi dunia ‘emas perak’ pada hari ini.
Sebelum saya membincangkan topik yang diutarakan tersebut, sebenarnya perkahwinan merupakan satu anugerah Allah kepada hambanya dan ia merupakan satu tanda kekuasaan Allah sebagaimana firmannya yang bermaksud: “Dan di antara bukti-bukti kekuasanNya ialah menjadikan kamu isteri-isteri daripada kamu sendiri supaya kamu tenang kepadanya dan (Allah) jadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan”. (ar-Rum: 21).
Namun persoalannya, adakah perkahwinan itu suatu paksaan atau kehendak diri masing-masing? Perkara ini perlu dipandang serius oleh kedua ibubapa dan keluarga serta bakal pengantin masing-masing. Ini kerana saya sebagai seorang kaunselor (walaupun tidak diiktiraf secara rasmi), banyak mendengar masalah dari kawan-kawan seperjuangan tentang topik perkahwinan yang berunsurkan paksaan dari kedua ibubapa dan keluarga. Memanglah kalau dilihat dari sudut hukum, ibubapa boleh memaksa anak dara atau teruna mereka berkahwin dengan si fulan yang disukainya dari segi akhlak, yang sekufu dengan anaknya tersebut berdasarkan kepada pandangan ulama dalam Mazhab Syafie.
Kejadian ini terjadi biasanya kerana ibubapa ingin menyatukan anak-anak bersama keluarganya yang terdekat, tidak mahu harta-harta mereka jatuh ke tangan mereka yang tidak ada pertalian saudara dengan mereka, inginkan anak-anak berkahwin dengan nasab yang sama dengan mereka, seperti keturunan 'Syed' dengan keluarga 'Syed', keturunan 'Nik' dengan keluarga 'Nik' dan seumpamanya. Perkara-perkara sedemikian merupakan unsur negatif yang masih bersarang dalam hati dan pemikiran masyarakat kita.
Namun tidakkah ibubapa mempunyai sikap bertolak ansur terhadap anak-anak mereka dan cuba menilai kehidupan zaman sekarang yang berbeza dengan zaman-zaman perkahwinan mereka dahulu, yang mana muda-mudi pada masa kini keluar belajar beramai-ramai dan berjauhan dengan keluarga mereka yang kadang-kadang membawa mereka meminati pasangan seperjuangan dengannya berbanding dengan anak-anak perempuan dahulu yang jarang keluar rumah atau negeri dan pembelajaran mereka agak terhad berbanding wanita-wanita mujahidah sekarang.
Sepatutnya ibubapa perlu mengambil inisiatif dengan membuka ruang berdepan dengan anak-anak mereka dan berbincang isu perkahwinan yang mana mereka inginkan anak mereka disatukan dengan si fulan yang disukainya. Ibubapa juga perlu menyatakan sebab-sebab pemilihan bakal menantunya dan sekaligus bersedia mendengar respon dari anak-anak mereka. Bukanlah hanya menggagahkan kehendaknya tersebut tanpa mempedulikan keinginan anak-anak kerana kononnya anak-anak itu milik ibubapa dan mereka tidak boleh membantah setiap kata-kata ibubapa.
Sebagai seorang anak yang bijak perlu mengatur strategi percakapan dengan memberi respon yang sebaiknya kepada kedua ibubapa mereka. Anak-anak tidak boleh berdiam diri dan memendamkan perasaannya serta mengiakan kata-kata ibubapa walaupun pada hakikatnya dia tidak suka. Bukanlah menjadi satu penderhakaan kalau si anak memberikan respon atau pandangannya terhadap kata-kata ibubapa dengan cara yang baik, lemah- lembut dan tidak menyakiti mereka, bahkan pada pandangan saya ia menjadi satu interaksi sihat agar kedua-dua belah pihak mencapai target yang positif dan matlamat yang diimpikan.
Memang tidak dinafikan bahawa kahwin paksa dari kedua-dua ibubapa itu banyak juga membawa kebahagiaan dalam rumahtangga anak-anak. Dan ramai juga yang mengatakan muda-mudi zaman dahulu yang tidak pernah kenal antara satu sama lain disatukan boleh membawa kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Respon yang saya ingin utarakan tentang muda-mudi zaman dahulu tersebut memang tidak sama kedudukan dan situasinya berbanding dengan dunia sekarang, yang mana pada hari ini muda-mudi terdedah dengan pelbagai program kemasyarakatan, keluar beramai-ramai menuntut ilmu pengetahuan sebagaimana yang dinyatakan tadi, mereka juga bekerja membantu keluarga, terdedah dengan dunia globalisasi dan sebagainya. Oleh itu tidak perlu dipersalahkan kepada mereka jika mereka meminati antara satu sama lain dan ingin mendirikan rumahtangga.
Saya berpandangan sedemikian (minat antara satu sama lain) bukanlah bererti muda-mudi itu minat dan bercinta di luar batasan agama sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, yang mana mereka keluar bersama-sama tanpa adanya mahram, bercinta, berkasih, bercakap perkara-perkara yang tidak sepatutnya, seolah-olah mereka seperti suami isteri dan sebagainya.
Berbalik kepada isu kebahagiaan dalam kahwin paksaan tersebut, memanglah bukan satu perkara yang mustahil. Ini kerana bahagia atau tidak, tenang atau gelisah bergantung kepada pengisian usrah yang dipraktikkan oleh suami isteri seperti adanya tafahum, ta'awun, takaful serta hubungan mereka dengan Allah Taala. Sebab itulah Rasaulullah saw menegaskan kepada umatnya agar memilih mereka yang mempunyai agama (syarat awal) di samping melihat perkara-perkara yang lain. Kerana agamalah yang menundukkan kita dari berlakunya perkara-perkara yang negatif dalam institusi keluarga. Pemilihan tersebut samada lelaki yang ingin memilih wanita atau wanita yang ingin memilih lelaki sebagai suaminya perlu difokuskan kepada ad-deen terlebih dahulu.
Sebagai ibubapa yang berpandangan jauh, perlu berfikir bahawa paksaan dalam perkahwinan anak-anak mereka, adakah ia mendatangkan keuntungan atau risiko? Sebagai contoh, seorang anak perempuan yang telah meminati dan cenderung kepada lelaki sefikrah dengannya, seperjuangannya, sepersatuan dengannya yang telah di'taqdim'kan oleh lelaki tersebut, kemudian terus ke rumahnya, berjumpa dengan ibubapa dan menyuarakan hasratnya untuk berkahwin, kemudian ditolak oleh keluarganya tentulah memberi kesan yang mendalam pada diri kedua belah pihak.
Pengalaman-pengalaman sedemikian, saya perolehi dari rakan-rakan sebagai iktibar pada diri saya. Satu kisah yang mana ada seorang wanita yang dipaksa berkahwin sedemikian, sedangkan dia telah di'taqdim'kan oleh jejaka pilihannya. Perkahwinan wanita ini dengan lelaki pilihan ibubapanya menyebabkan dia berasa sedih dan masih ingatkan lelaki pilihannya itu. Akhirnya perkahwinan itu berakhir dengan penceraian kerana dia mengatakan kepada suaminya bahawa fizikalnya sahaja berada dengan suaminya itu sedangkan ruhnya berada dengan orang lain.
Terkejut juga saya mendengar luahan tersebut. Berbagai-bagai ragam dalam dunia kehidupan hari ini. Banyak juga kisah-kisah sedemikian dilontarkan kepada saya sebagai seorang sahabat yang suka berkongsi pendapat, pengalaman, serta saling menasihati antara satu sama lain. Namun sebagai seorang yang berfikiran rasional perlu mengambil pengajaran, 'ibrah serta i'tibar dari kisah-kisah dan situasi yang berlaku pada hari ini.
Buat semua ibubapa, kawan-kawan, rakan-rakan seperjuangan, ikhwah dan akhawat, diharapkan agar kita sentiasa berfikiran rasional, bertoleransi, bijak bertindak agar setiap langkah dalam kehidupan kita beroleh hasil yang baik serta natijah yang membanggakan.
Sekian, wassalam.
Siti Hasliza Mat Yusoff
Al-Jami'ah Al-Urduniyyah.
No comments:
Post a Comment