Friday, August 1, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (6)


Haji Ismail Pontianak
(1882- 1950)


Tokoh ulama perantau. Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular. Lahir sezaman dengan Mufti Idris, Dato’ Perdana Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani.


Nama penuhnya ialah Haji Ismail bin Haji Abdul Majid, tetapi lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak – berkhidmat selama suku abad (1910- 1935).


Meskipun demikian, Haji Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh lepasan Mekah ini dalam perkhidmatan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bermula pada 1 Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan $47.50 sebulan. Selanjutnya beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama MAIK (10 April 1940 hingga 8 Februari 1947). Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).


Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok khatib sebelumya yang masih terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbah secara spontan, dalam bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa ‘segar’ bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jamaah dan anak-anak muridnya, malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggakan dilantik menjadi guru agama merangkap Imam di istana baginda.


Khatib panutan ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin, 18 Muharram 1370 bersamaan 29 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok, Machang –kampung asalnya-.


Satu-satunya pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah 'Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia' (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka iaitu sebuah karya ‘bunga rampai’.


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan
dan disusun oleh Ismail Che Daud


No comments: