Friday, August 8, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (8)

Haji Saad Kangkong
(1893- 1943)

Imam Waktu Perintis di Masjid Besar Kota Bharu. Guru kitab Arab paling muda di Halaqat Kitab Masjid Muhammadi. Rakan setugas Haji Yaakub Legor dan Haji Yaakub Lorong Gajah Mati. Nama penuhnya ialah Haji As'ad bin Haji Daud, berasal dari Kampung Kangkong, Pasir Mas.

Beliau tidak jemu-jemu
belajar dan mengajar, semenjak muda sampai tua. Guru-guru utamanya termasuk Tok Kenali, Haji Ahmad Hafiz, Mufti Haji Wan Musa dan anaknya, Haji Nik Abdullah. Juga disebut-sebut pernah menuntut di Mekah selama tujuh tahun.

Apabila pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) memperkenalkan jawata Imam Sembahyang Waktu di Masjid Besar, Kota Bharu (sekarang Masjid Muhammadi), beliau terpilih sebagai penyandang pertamanya -berkhidmat mulai 19 Jun 1927 hingga 31 Disember 1930, bergaji $15 sebulan.


Sepanjang dasawarsa 1930-an beliau bertugas sepenuh masa sebagai guru kitab Arab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu), bergaji $30 sebulan dan meningkat ke $40 apabila bertukar ke Jami' Merbau al-Ismaili (sejak awal 1941).

Haji Saad menggalakkan murid-muridnya supaya membaca akhbar dan majalah bagi menambah ilmu pengetahuan. Antara murid-murid kenamaannya termasuk Dato' Haji Ismai (Mufti Kerajaan Kelantan), Haji Abdul Rahman Lubok Tapah, Haji Nik Man Sungai Budor, Haji Awang Beta, Haji Yusoff Tasek Berangan, Haji Nik Daud Tanah Merah, Haji Osman Padang Siam, Haji Ibrahim Apa-Apa, Haji Ismail Kampung Talak, Haji Che Mat Padang Upeh, Haji Yaakub Wakaf Bharu, Haji Abdullah Kampung Laut, Haji Abdullah Aur China, Haji Abdullah Gemuk Hutan Pasir, Haji Mohd Amin Tok Bachok (Qadhi), Haji Mustapha Idris (pesara Timbalan Qadhi Besar Kelantan), Ustaz Haji Wan Ahmad Kampung Menuang, Haji Yaakub Kampung Sireh (Pegawai Agama MAIK), Haji Abdul Shukor Kubang Gendang (kemudian menjadi menantunya), Haji Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka), Haji Husain Hafiz Umbai (Melaka), Ahmad Zaini Haji Tahir Asahan (Sumatera) dan Haji Shuaib Ahmad Pulau Kerengga, Marang Terengganu.


Sebagaimana rakan-rakan seperjuangannya, beliau turut dilantik menjadi Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Kelantan (1940).

Tuan Guru Haji Saad Kangkong ditakdirkan meninggal dunia secara mengejut di rumahnya sekitar jam 11.00 pagi, 22 Jamadil Akhir 1362 bersamaan 26 Jun 1943.


Bakat beliau dalam kegiatan dakwah kini diwarisi cucunya, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor (Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya).


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan
dan disusun oleh Ismail Che Daud.




2 comments:

|| The Masterz || said...

salam..
boleh tanya tak.?
dalam petikan atas, ada nama NIK DAUD tanah merah. nama penuh beliau tok guru hj. nik daud bin nik mat? ada biodata ringkas tak tentang dia?

siti said...

Salam
ok, nanti saya check balik,
tq so much ziarah blog ni