Monday, February 28, 2011

Terjemahan: Tafsiran Ayat-Ayat al-Kursi, Oleh: al-Qaradhawi

Sumber asal:

http://www.facebook.com/profile.php?id=742445487#!/video/video.php?v=108241839252410&comments

Oleh: الشيخ الدكتور يوسف القرضاوي

Terjemahan:

Kitab yang mengandungi al-asmaa’ al-husna (nama-nama Allah yang baik) dan sifat-sifatNya yang maha tinggi dan mengandungi pujian dan kehebatan Allah Azza wa Jalla dengan gaya bahasanya yang berbagai-bagai, kamu tidak akan dapatinya dalam mana-mana kitab di dunia ini iaitu kitab yang menghubungkan kamu dengan Allah, menghubungkan akal kamu dengan Allah, menghubungkan pemikiran dan perasaan kamu dengan Allah, menjadikan kamu sentiasa dengan Allah; suka, gerun, takut dan cenderung kepadaNya Ialah al-Quran al-Karim.

Ayat al-Kursi di dalamnya ada sepuluh ayat, semuanya memuji Allah. Ayat yang pertama ialah:

{لا إله إلا هو } (Tiada Tuhan melainkan Dia) iaitu menetapkan (memperkukuhkan) tauhid, tiada syirik bagi Allah, tiada bandingan dengan Allah yang mampu merosakkan kehidupan, mampu merosakkan benda-benda hidup, merosakkan segala kejadian dan syirik.

Manusia tidaklah berasa beban dengan pegangan tiada kewujudan Tuhan. Orang-orang mulhid ialah orang-orang yang mengingkari kewujudan Tuhan. Mereka ini pada setiap zaman dalam liputan sejarah tidaklah ramai. Tidak ramai yang mengingkari kewujudan Allah, namun yang menjadi masalah di sini ialah mereka yang mensyirikkan Allah dengan Tuhan selain Allah. Manusia menyembah berhala, menyembah malaikat, menyembah cakerawala, matahari, bulan, menyembah binatang, lembu…, ini berlaku di kalangan orang-orang Mesir zaman dahulunya, juga di kalangan orang-orang hindu sehinggalah sekarang. Begitu juga mereka menyembah pokok, menyembah sungai, menyembah bukit, menyembah syaitan, menyembah bermacam-macam lagi.

Masalah manusia ini meninggalkan Tuhan yang sebenar lalu menyembah Tuhan yang batil. Mereka mendakwa bahawa Tuhan itu boleh memberi syafaat (pertolongan) kepada mereka. Lalu datanglah agama, datanglah para nabi memberitahu dan memperkukuhkan tauhid.

{ولقد بعثنا في كل أمة رسولا أن اعبدوا الله واجتنبوا الطاغوت} (النحل: 36}, maksudnya: Dan sesungguhnya Kami bangkitkan Rasul pada setiap umat untuk menyeru manusia “Sembahlah Allah dan jauhilah Thaghut.”

{وما أرسلنا من قبلك من رسول إلا نوحي إليه أنه لا إله إلا أنا فاعبدون} (الأنبياء: 25}, maksudnya: Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka hendaklah kamu sekalian menghambakan diri kepadaKu.

{لا إله إلا الله } (Tiada Tuhan melainkan Dia)

Islam telah datang menetapkan tauhid, tidak sebagaimana agama lain sehinggakan tauhid itu disebut dalam azan pada setiap hari sebanyak lima kali, juga di dalam iqamah, dalam tasyahhud; asyhadu alla ilaha illallah, ketika dilahirkan manusia disambut dengan azan, diazankan pada telinga kanan bayi; أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Dan ketika mengingatkan manusia: لَقٍّنُوْا موتاكم (bacakanlah kepada orang-orang yang mati itu) wahai orang-orang yang sentiasa beringat dengan menyebut la ilaha illallah. Manusia menyambut kehidupannya dengan tauhid dan mengakhiri kehidupannya jua dengan tauhid. Oleh itu ayat yang pertama dalam ayat-ayat al-Kursi ialah: الله لا إله إلا هو , tiada seorang pun yang menghambakan diri kepada selainNya dan tidak layak sesuatu ibadat itu seperti selainNya kerana Dia adalah Pencipta, Pemberi nikmat semuanya; kecil atau besar

{وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها} (النحل: 18) maksudnya: Dan sekiranya kamu menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tidak sekali-kali mampu menghitungnya.

{الله لا إله إلا هو الحي القيوم}

Ayat yang kedua ialah الحي القيوم (Yang Maha Hidup, Maha berdiri dengan sendiri (tidak bergantung kepada makhluk lain)). Tuhan ini bukanlah satu benda seperti berhala-berhala yang disembah oleh orang Arab dan mereka berkata “Tidaklah kami menyembah mereka melainkan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” Tidak! Tuhan (yang sebenar) ialah yang hidup. Hidup yang bagaimana? Bukanlah seperti kehidupan kita; kehidupan yang mempunyai perkara-perkara tertentu seperti makan, bernafas, buang balik dan sebagainya. Namun, sesungguhnya kehidupan Tuhan kita, sifat-sifat Tuhan kita semuanya tidak sama dengan sifat-sifat kita. DIA ada ilmu tetapi tidak seperti ilmu kita, DIA ada kudrat tetapi tidak seperti kudrat kita, DIA ada rahmat (kasih sayang) tetapi tidak seperti rahmat kita.

DIA adalah sesuatu (zat) yang berkaitan dengan ketuhanan. Hidupnya adalah kehidupan ketuhanan bukan seperti Tuhan berhala, bukan seperti Tuhan ahli-ahli falsafah. Ahli-ahli falsafah selalu mengenali Allah dengan penafian semata-mata. Mazhab Mu’tazilah dan selainnya mengambil pegangan ini. Mereka menyifatkan Allah dengan penafian. Allah tidak berjisim, tidak berbentuk, tidak zahir, tidak itu, tidak ini, sebenarnya apa? Mereka tidak menghuraikan perkara itu. Mereka menyatakan penafian bagi (kesempurnaan Allah) secara terperinci dan menetapkan (kekurangan) itu secara keseluruhan. Namun, di dalam al-Quran itu sebaliknya, iaitu penafian pada (kekurangan atau kecacatan) secara keseluruhan dan menetapkan (kesempurnaan nama dan sifat Allah) secara terperinci. [Tambahan: Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kaedah tersebut sila rujuk laman:

http://audio.islamweb.net/audio/index.php?page=FullContent&audioid=214764

Penafian secara mujmal (keseluruhan) itu sebagaimana firman Allah: ليس كمثله شيء dan لم يلد ولم يولد, padanya ada ithbat (penetapan) iaitu ithbat pada nama-nama Allah. Ithbat kehidupan bagi Allah Azza wa jalla ialah ithbat al-Qayyumiyyah (Yang Maha berdiri dengan sendiri, Maha menjaga makhlukNya). Qayyumiyyah ialah shighah mubalaghah sebagaimana yang diperkatakan oleh ulama' lughah (bahasa), bahawa DIAlah yang mengadakan sesuatu, menjaga manusia, menjaga segala kehidupan di langit dan di bumi,

{ومن آياته أن تقوم السماء والأرض بأمره} (الروم: 25} maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah berdirinya langit dan bumi mengikut kehendakNya. Setiap perkara itu wujud dengan kehendakNya. Dia mengetahui semua perkara,

{يعلم ما يلج في الأرض وما يخرج منها وما ينزل من السماء وما يعرج فيها} (سبأ: 2}, maksudnya: Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya.

Dia yang Maha berdiri dengan sendiri itu bukanlah seperti Tuhan ahli-ahli falsafah, bukan seperti Tuhan Aristotle di kalangan orang-orang Yunani. Aristotle ialah Tuhan yang tidak memerintah alam ini. Dia adalah Tuhan yang kenal dirinya sahaja, yang memerhatikan tentang dirinya sahaja, tidak tahu pun tentang alam ini, tidak mentadbir dan tidak memerintah apa-apa pun. Sebab itulah ahli falsafah Wilbur Wran ada berkata:

“Wahai Tuhan Aristotle, Tuhan yang lemah, yang tidak tahu sesuatu di dunia ini, yang tidak mentadbirnya. Sesungguhnya dia seperti Raja Inggeris yang memiliki dan tidak dapat memerintah.” Tuhan apa macam ni? Tapi Tuhan (kita) ini ialah Tuhan al-Quran. Lain! Yang Maha Hidup, Maha Berdiri dengan sendiriNya. Ini adalah nama yang disebut di dalam al-Quran sebanyak tiga kali. Di dalam ayat ini atau di dalam surah aal-‘Imran dan dalam surah Toha:

{وعنت الوجوه للحي القيوم} (طه: 111}, maksudnya: Dan tunduklah semua muka (dengan merendah diri) kepada Tuhan Yang Maha Hidup, Maha Berdiri dengan sendiri, yang sentiasa mengurus makhluk-makhlukNya.

{لا تأخذه سنة ولا نوم} (DIA tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur)

Dan di antara tanda-tanda kesempurnaan sifatnya yang maha hidup dan kesempurnaan sifatnya yang maha berdiri dengan sendiri dan menjaga segala makhlukNya ialah tidak ada padaNya kekurangan sebagaimana manusia selalu ditimpa kekurangan seperti lupa dan lemah. Mereka perlukan tidur. Manusia, pasti akan datang kepadanya waktu tidur, tetapi Allah Taala tidak mengantuk dan tidak tidur. As-sinah ialah permulaan rasa mengantuk. Bilamana tidur datang menyelubungi manusia dan bila mereka tenggelam di dalamnya maka mereka lupa segala perkara di sekelilingnya. Allah Taala tidak pernah lupa pada makhluk ini; langit, bumi, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda, cakerawala, DIA tidak lupa walaupun sekelip mata dan DIA tidak pernah tidur dan tidak layak bagiNya untuk tidur.

{له ما في السموات وما في الأرض} (MilikNyalah segala apa yang ada di langit dan di bumi.)

Setiap perkara di dunia ini adalah kepunyaan Allah Taala, milikNya dan dibawah kekuasaanNya. DIAlah memiliki dan DIAlah Raja yang menguasai sebagaimana kita sebut di dalam surah al-Fatihah (مالك يوم الدين) dan juga ملك يوم الدين). DIA di alam akhirat nanti sebagaii Pemilik dan juga sebagai Raja, DIAlah di dunia sebagai Pemilik dan juga sebagai Raja pemerintah. Tidak ada di sana seorang pun yang mampu mengatasinya. BagiNyalah segala apa yang terdapat di langit dan di bumi dan milikNya jualah sesiapa sahaja di langit dan sesiapapun di bumi.

Kalimah (ما) biasanya dalam Bahasa Arab digunakan untuk perkara yang tidak berakal dan (مَن) untuk yang berakal, tetapi apabila disebut [ما في السموات] meliputi perkara yang berakal dan yang tidak berakal. Maka milikNyalah apa-apa yang di langit dan yang di bumi sehinggakan apa-apa yang ada selepas langit dan bumi sekalipun. Dalam sesetengah hadis, Nabi SAW ketika bangun dari rukuk Baginda menyebut: ربنا لك الحمد ملء السموات وملء الأرض وملء ما شئت من شيء بعد .. Ada juga perkara selain langit dan bumi. Milik Allah juga semua perkara ini. Tidak ada seorang pun yang mampu mengatasiNya, tidak ada sekutu bagiNya di dalam pemerintahanNya. {ولم يكن له شريك في الملك}

{له ما في السموات وما في الأرض}

DIA juga membuat sesuatu apa yang dikehendakiNya, memberikan kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, mencabut (membinasakan) kerajaan di tangan sesiapa yang dikehendakiNya, DIA mampu memuliakan sesiapa yang dikehendakiNya dan menghina sesiapa yang dikehendakiNya. Alam ini adalah milikNya, DIA lah yang mengatur, memberi, menegah, menjatuhkan, mengangkatkan, memuliakan, menghinakan. MilikNyalah segala perkara di langit dan apa-apa perkara pun di bumi ini.

الله أعلم بالصواب


Sekian.

Disediakan oleh:

Siti Hasliza Binti Mat Yusoff,

Amman, Jordan.


27 Februari 2011M = 24 Rabi'ul Awwal 1432H


No comments: