Terjemahan:
Sebelum kita memulakan pelajaran baru, saya ingin mengucapkan salam Maulidur Rasul SAW buat diri saya dan kamu semua, yang mana Allah Taala telah memuliakan kita dengannya buat kali yang kedua dan kita pohon pada Allah Taala agar memberi petunjuk kepada dunia kita dunia Arab dan Islam untuk menyambut hari maulid ini dengan sambutan yang diredhai oleh Rasululah SAW dan kita menjadikannya sebagai wasilah untuk mengumpul ucapan-ucapan dan menyelesaikan isu-isu kefasadan dan pergolakan yang timbul dalam masyarakat Islam.
Malangnya, kita telah lupa atau buat-buat lupa pada sabda Rasulullah SAW: “Jangan ada yang kembali selepas kewafatanku nanti kepada kekufuran, sebahagian dari kamu memukul dan membunuh sebahagian yang lain.”
Selain itu, banyak berlaku dalam menyambut perayaan ini pada setiap tahun, perdebatan yang terjadi –malangnya- di kalangan sebahagian dari saudara kita tentang pensyariatan sambutan memperingati Maulid Rasulullah SAW. Sebagaimana yang kamu tahu, di sana ada yang menetapkan bahawa merayakan hari Maulidur Rasul ini tidak disyariatkan dan mereka lebih suka melakukan perdebatan yang panjang dengan masayarakat dan menyatakan kepada orang ramai tentang percanggahan mereka dengan perayaan ini. Ramai juga yang bertanyakan saya tentang perkara ini dan saya tidak dapat tidak perlu menjawabnya. Saya kata bahawa :
Perdebatan ini selalu berulang, kemudian berulang, kemudian berulang lagi pada setiap tahun. Orang yang melontarkan perkara ini bukanlah nak sangat mencapai kepada perkara yang sebenar, bahkan untuk kepentingan dirinya sahaja, iaitu mereka yang menetapkan bahawa menyambut Maulid Rasulullah tidak disyariatkan, kalaupun turunnya ayat-ayat al-Quran dan kalaupun Rasulullah SAW dibangkitkan lagi dan baginda berkata: Ianya disyariatkan nescaya mereka itu akan katakan tidak disyariatkan juga.
Natijah daripada perdebatan ini hanyalah sia-sia dan seumpamanya, dan paling penting mereka ini hendaklah meninggalkan perdebatan dan berpuas hati dengan orang-orang yang berijtihad serta pandangan mereka, bahawa sambutan memperingati Maulidur Rasul tidak ada dan kita juga orang-orang yang berijtihad dan kita berpandangan bahawa ia ada dan dibolehkan. Tamatlah kemusykilan.
Betapa banyak perkara khilaf yang ada padanya telah diijtihadkan dan didapati hukum bagi masalah ini begini, dan yang lain pula telah berijtihad dan mendapati hukumnya begini. Ahli-ahli ijtihad menyambut ijtihad saudara-saudara mereka, dan mereka yang lain pula juga menyambut ijtihad saudara-saudara mereka yang lain. Kalaulah di kalangan kita sekarang berpegang pada adab khilaf sebagaimana ulama’ kita yang terdahulu berpegang kepada adab dalam kekhilafan nescaya tenanglah kita.
Namun, mereka ini tetap inginkan pertelingkahan pada setiap masa dan mengajak pemuda-pemuda untuk mengadakan perdebatan yang tiada kesudahannya tentang topik ini. Perkara ini mendorong kita untuk memberikan saudara-saudara kita maklumat yang berfaedah dalam melakukan perdebatan.
Secara ringkasnya, kita katakan bahawa memperingati hari Maulidur Rasul adalah dibolehkan (masyruu’) dengan syarat perayaan tersebut tidak membabitkan perkara-perkara yang haram. Berkumpul mengingati sifat-sifat Rasulullah, perkara-perkara yang membawa kita kepada kecintaan kepada Rasulullah SAW tanpa adanya perkara –perkara yang haram di dalam majlis, kita kata bahawa ini disyariatkan.
Bukti kepada perkara tersebut ialah Nabi SAW menyambut hari memperingati Nabi Musa AS yang terselamat dari fir’aun. Setelah baginda mengetahui bahawa hari yang Allah Taala selamatkan Sayyidina Musa dari fir’aun iaitu pada hari yang ke-10 pada bulan Muharram, baginda menyambutnya. Baginda juga menyuruh sahabat-sahabatnya berpuasa pada hari tersebut dan menyuruh mereka yang tidak berpuasa agar menahan diri dari makan pada sebahagian waktu siang kerana menyambut perayaan tersebut. Baginda juga bersabda setelah mengetahui bahawa orang-orang Yahudi juga merayakannya, : Kita lebih utama dengan Nabi Musa dari mereka.
Jika harus bagi kita merayakan Nabi Musa yang diselamatkan oleh Allah dari fir’aun kerana mengikuti Rasulullah, tidakkah harus bagi kita memperingati hari kelahiran baginda, insan yang telah dijadikan oleh Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam?! Jelas! Dan ini juga terdapat dalam sahih Muslim dan lainnya. Kemudian, dalam sahih al- Bukhari dan lainnya juga ada menyatakan bahawa nabi SAW menjadikan hari Isnin sebagai hari puasa. Ditanyakan kepada baginda sebab puasanya itu, maka baginda menjawab ia adalah hari yang aku dilahirkan, iaitu Nabi SAW merayakan hari kelahirannya dengan cara ini. Oleh itu, kita katakan bahawa harus menyambut hari Maulid Rasulullah SAW.
Bagaimana pula kita ingin merayakan hari tersebut?
Kita rayakan perayaan ini dengan apa-apa perkara yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah. Berhimpun untuk mendengar sifat-sifat mulia Rasulullah dan akhlak baginda yang tinggi, tidakkah ia dikatakan zikir?! Berkumpul untuk memuji Rasulullah dan menerangkan sifat-sifatnya, tidakkah ia dikatakan mendekatkan diri kepada Allah?! Sudah tentu sekali! Berkumpul untuk berdoa pada hari ini agar Allah menghimpunkan sekalian orang-orang Islam, menambahkan keakraban kepadaNya dan kita berjanji untuk memperbaharui bai’ah kita kepada Rasulullah SAW pada hari kelahirannya yang masyhur ini, tidakkah ia menambahkan keakraban kita?! Bagaimana kita menyambutnya? Beginilah!
Sekali lagi saya katakan dengan syarat majlis tersebut tidak ada perkara-perkara yang haram. Sebahagian negara mengadakan Maulid ini dengan percampuran antara lelaki dan perempuan. Tidak! Kita tidak begini. Ini haram, jelas! Haram tetap haram. Kita bercakap tentang sambutan mengingati Rasulullah dengan amalan-amalan dan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri kita kepada Allah.
Baiklah, sila ingat apa yang saya ingin perkatakan pada kamu ini. Akan ada sebahagian dari saudara kita berkata begini: Tapi nabi SAW tidak buat sambutan ini. Tidak mengumpulkan para sahabat untuk menyambut hari kelahiran baginda pada setiap tahun, di majlis atau masjidnya atau di mana-mana tempat. Menyuruh sahabat untuk bernasyid dan sebahagiannya pula menyampaikan ucapan-ucapan, tak ada pun. Beginilah mereka akan katakan. Jadi, apa jawapannya?
Jawapannya begini: Qaedah usul dan fiqh menghimpunkannya, sila hafaz wahai saudara-saudara sekalian. “Apa yang tidak dilakukan oleh Nabi al-Mustafa SAW bukanlah menjadi dalil bahawa baginda mengharamkannya. Ini adalah kaedah yang makruf (diketahui umum)…"
Sekian.
Disediakan oleh:
Siti Hasliza Binti Mat Yusoff
Sweileh, Amman, Jordan.
14 Februari 2011
11 Rabi'ul Awwal 1432H
1 comment:
السلم عليكم ورحمة الله
Benar apa yang dibicarakan. Sesuatu perkara itu tidak haram hukumnya hanya dengan alasan tidak dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam. Melainkan ia menjadi haram ketika ada dalil yang melarang dan mengharamkannya.
Post a Comment