Friday, January 16, 2009

Laungan Jihad Dari Sweileh - Amman






Jumaat, 16 Januari 2009, sekali lagi saya menyaksikan himpunan masyarakat Sweileh, Amman dan sekitarnya, mencetuskan seruan jihad kepada insan-insan sekeliling khasnya dan buat masyarakat dunia amnya. Himpunan aman tersebut dibuat setelah selesai solat fardhu Jumaat, bermula di Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, menyusuri jalan-jalan kecil kawasan penduduk setempat sehinggalah jalan-jalan utama mereka.

Sebelum himpunan aman ini diadakan, saya telah mendengar pengumuman dari pihak masjid yang akan mengadakannya setelah selesai solat Jumaat. Al-hamdulillah, rumah saya yang berdekatan dengan masjid ini amat menggembirakan hati saya. Walaupun saya wanita bukan 'kaki masjid', namun diri ini begitu seronok bila dapat mendegar azan solat, khutbah Jumaat, qunut nazilah serta doa-doa yang dibacakan oleh imam khas buat penduduk Ghazzah.

Sebaik saja mendengar laungan jihad, saya dan 'teman rapat' terus membuka tingkap memerhatikan gerak-geri kaum muslimin yang semakin hampir melalui jalan rumah kami. Saya perhatikan mereka, ada yang tua, muda, lelaki, perempuan serta anak-anak kecil menyertai program tersebut. Walaupun saya bukanlah salah seorang dari mereka dalam perhimpunan itu, namun saya adalah salah seorang dari hati-hati mereka.

Saya juga melihat bagaimana pihak keselamatan, polis dan seumpanya turut bersama masyarakat setempat dalam perhimpunan aman itu. Ada kanak-kanak yang melemparkan senyuman kepada saya bilamana saya menjenguk mereka dalam perhimpunan itu.

Laungan jihad yang dibuat oleh mereka menjadikan saya lebih bersemangat, lebih cintakan Islam, cintakan umat Islam, cintakan jihad. Namun, saya tetap terharu dengan keadaan umat Islam kini, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita di Palestin yang sentiasa ditindas oleh kuffar, sedangkan kerajaan-kerajaan Islam yang lain (khususnya negara-negara Arab yang berdekatan) hanya berdiam diri, membisu tidak mahu menyatakan pendirian. Lebih dahsyat lagi, ada yang menyokong dan mendokong kerajaan Israel dan sekutunya di sebalik tabir yang jarang.




No comments: