Tuesday, January 20, 2009

Akan Berjayakah Boikot Yang Bermusim?


Dalam senarai barangan produk Amerika-Israel yang disyorkan beberapa pihak agar diboikot berikutan keganasan rejim Zionis di Gaza, terdapat dua gergasi makanan segera iaitu Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonalds yang yang begitu popular di kalangan rakyat Malaysia, terutama kanak-kanak.

Persoalannya mampukah rakyat Malaysia tidak mengunjungi premis KFC dan McDonald's yang begitu sinonim dengan kanak-kanak, buat sementara waktu ini, selama sebulan, dua bulan atau selama-lamanya?

Dua jenis makanan segera yang mudah didapati di mana-mana ini mempunyai kaitan dengan syarikat Amerika-Israel yang menjadi dalang kekejaman dan keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Selain makanan, minuman dihidangkan biasanya adalah Coca-cola dan Pepsi, juga didakwa ada kepentingan Amerika-Israel.

Pernahkah rakyat Malaysia khususnya umat Islam membayangkan keuntungan yang diperolehi oleh pihak berkenaan hasil jualan KFC, Coca-cola, Pepsi dan McDonald's.

Menurut seorang bekas kakitangan KFC di bandar Batu Pahat, setiap hari 6,000 ketul ayam digoreng dengan keuntungan yang diperolehi pada hari biasa kira-kira RM5,000 hingga RM6,000. Manakala pada hari minggu dan cuti umum keuntungan yang diperolehi melebihi RM10,000. Ini tidak termasuk premis KFC yang ada di pekan lain dalam daerah Batu Pahat.

Bagaimana dengan keuntungan yang diperolehi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Shah Alam dan Putrajaya yang mempunyai banyak premis KFC dan McDonald's?

Sejak serangan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza sejak 28 Disember tahun lalu, PAS telah mengetuai demonstrasi dengan menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak.

Setiap minggu selepas solat Jumaat perhimpunan dan perarakan mengutuk kekejaman Zionis Israel dan Amerika diadakan di setiap negeri. Laungan mengutuk kekejaman Israel dan Amerika bergema memecah kesibukan suasana jalan raya ketika itu.

Bagaimanapun apakah bantahan itu hanya dilaungkan dalam perhimpunan tersebut sedangkan dalam masa yang sama ada lagi rakyat Malaysia dan umat Islam yang melutut menyembah Yahudi Israel dan Amerika?

Melutut bukan bermaksud berhadapan dengan wakil mereka tetapi menyumbat mulut anak isteri dan keluarga dengan menyumbang wang kepada premis KFC, McDonald's, Coca-cola dan Pepsi.

Selain itu, ramai masih setia menggunakan ubat gigi jenama Colgate, menghirup minuman di Starbucks, membeli barangan Nestle dan lebih malang masih menghisap rokok yang mempamerkan kehebatan ibu kota antarabangsa, London, Paris dan New York.

Tergamakkah kita menyaksikan mulut kita mengutuk kerana tidak puas hati dengan sikap biadap Israel dan Amerika tetapi daripada sudut ekonomi kita masih membantu mereka? Salah siapa? Apakah umat Islam dan rakyat Malaysia masih mahu bersengkokol dengan Israel dan Amerika untuk terus menghancurkan rakyat Palestin?

Keseriusan pihak prihatin dalam menggerakkan kempen boikot perlu diteruskan. Media termasuk stesen TV juga boleh berperanan dengan tidak mengiklankan barangan yang ada berkaitan kepentingan Israel Amerika seperti KFC, Coca-cola dan McDonald's.

Apa yang dikesalkan sejak kempen boikot dilancarkan, sesetengah stesen televisyen bukan sama-sama membantu tetapi semakin ghairah mengiklankan produk KFC, Coca-cola dan McDonald's.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyeru umat Islam sedunia supaya bersungguh-sungguh dalam memboikot barangan yang mempunyai kaitan dengan Israel dan Amerika.

Beliau berkata Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu bertindak dengan cepat dan mengusahakan agar negara anggotanya tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada ekonomi Amerika.

Katanya, ini kerana negara-negara umat Islam sewajarnya sudah memikirkan transaksi tidak membabitkan dolar Amerika sebaliknya memikirkan mata wang yang lain iaitu dinar emas supaya ummah tidak bergantung sepenuhnya kepada ekonomi Amerika yang menjadi dalang Zionis Israel.

Bagi mengatasi Malaysia terus bernaung dan bergantung kepada kedudukan ekonomi Amerika beliau menyarankan supaya negara dan OIC sendiri memberikan perhatian pada sektor pertanian.

Selain itu beliau turut terkilan kerana ramai di kalangan rakyat dan umat Islam yang tidak sedar dengan taktik halus Yahudi Israel dan Amerika yang disalurkan melalui penjualan rokok.

Ini kerana tambah beliau, apabila seorang itu telah ketagih rokok ia memberi jalan mudah untuk menghisap dadah dan minuman keras.

Tanpa disedari Zionis Israel dan Amerika telah berjaya memusnahkan akidah atau nilai-nilai murni umat Islam, itulah taktik halus yang digunakan oleh Yahudi dari dulu tetapi tidak disedari oleh umat Islam, katanya.

"Apabila umat Islam sudah lalai dengan minuman keras mereka tidak akan memikirkan untuk membina ekonomi sendiri, sebab itu negara kita bergantung penuh kepada ekonomi Barat," ujar beliau.

Berhubung tindakan terhadap aktivis anti-Israel, awal tahun 1997 Ketua Pemuda PAS ketika itu Mahfuz Omar dan Timbalannya, Salahuddin Ayub telah ditangkap polis kerana didakwa menggepalai demonstrasi menentang kehadiran pemain kriket Israel.

Polis telah melakukan tangkapan dengan mengepung kawasan masjid Universiti Malaya dari petang hingga malam semata-mata kerana bersengkokol dengan rejim Israel.

Selain dua pimpinan Pemuda, turut ditangkap aktivits parti dan seorang wartawan Harakah. Bagaimanapun mereka dilepaskan setelah bermalam di surau balai polis Bangsar.

Sejak itu boikot terhadap barang-barang keluaran Israel dan Amerika turut dilakukan tetapi hanya 'hangat-hangat tahi ayam'. Boikot KFC sudah lama dilaungkan tetapi antara pengunjung KFC, McDonald's, Starbucks dan penghisap rokok jenama Amerika-Israel sebahagiannya adalah orang Islam, malah PAS.

Ini menunjukkan seolah-olah boikot adalah mengikut musim. Musim umat Islam diganasi Israel masa itu laungan boikot barangan bergema selepas habis perang, premis dan barangan yang ada kaitan Amerika-Israel menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

Justeru, apakah boikot kita untuk melumpuhkan ekonomi dua negara gergasi itu akan berjaya?


Sumber: http://harakahdaily.net/




No comments: